Khamis, November 23, 2017

Tafsir asas quran sesi 67.


TAFSIR AL-QURAN PERINGKAT ASAS
- Sesi 67- 1-Nov-17 Ringkasan 20 Usul Tarsi Al-Quran (Yang Perlu Dikuasai Untuk Memahami Al-Qur’an Dengan Betul Dan Selamat) oleh Maulana Asri Yusoff
USUL KE 17
MENGETAHUI AYAT-AYAT YANG MENASAKHKAN DAN AYAT-AYAT YANG DIMANSUKHKAN MENURUT AHLI TAFSIR MUTAQADDIMIN DAN MUTA'KKHIRIN

NOTA KULIAH NASAKH MENURUT ISTIALAH ULAMA' MUTAQADDIMIN Shah Waliyullah (Ahmad bin `Abdir Rahim ad- Dihliwi m.1176H) di dalam al-Fauzul Kabirnya berkata:
“Salah satu tempat yang rumit dalam bidang (usul) Tafsir dan luas perbincangannya serta banyak pula terdapat perbedaan pendapat `ulama’ tentangnya ialah perbincangan tentang Nasikh dan Mansukh.
Antara sebab terpenting bagi kesukaran bab ini ialah kerana berbedanya istilah mutaqaddimin dan muta’akhirin tentang Nasakh itu sendiri.
Apabila diteliti dan diperiksa kata-kata Sahabat dan Tabi`in, anda akan mendapati mereka selalu menggunakan perkataan nasakh dengan ma`na lughawinya (pengertian di sudut bahasa `Arab), iaitu (TULISAN ARAB) (menghilangkan sesuatu dengan sesuatu yang lain).
Mereka tidak memakainya menurut pengertian yang dipakai oleh `ulama’ Usul (`ulama’ muta’akhirin).
Ma`na Nasakh menurut mereka ialah menghilangkan sifat-sifat tertentu dari sesuatu ayat (atau bahagian ayat) dengan ayat ( atau bahagian ayat) yang lain, samaada dengan
(1) menyatakan habisnya tempoh beramal dengannya atau
(2) dengan memalingkan percakapan daripada ma`na yang hampir dan segera difahami kepada ma`na yang jauh dan tidak difahami. Atau
(3) dengan menyatakan mana-mana qaid yang terdapat di dalam sesuatu ayat hanyalah qaid ittifaqi. Atau
(4) mentakhshihkan yang `aam. Atau
(5) menyatakan perbedaan di antara yang mansukh dan apa-apa yang diqiaskan dengannya secara zahir. Atau (6) menghilangkan adat resam jahiliah. Atau
(7) menghapuskan syari`at yang lalu.
Pintu Nasakh menurut mereka luas. Perkongsian pemikiran juga berlaku dengan banyak sekali dalam bab ini.
Dengan itu daerah perbedaan pendapat juga turut meluas, sehingga ayat-ayat yang dimansukhkan sampai kepada lima ratus ayat, bahkan jika direnungi dengan mendalam, niscaya tidak terhingga banyak bilangannya. Secara ringkasnya Shah Waliyyullah menyimpulkan Nasakh menurut istilah mutaqaddimin berlaku untuk menyatakan tujuh keadaan:
(1) Menyatakan habisnya tempoh beramal dengan sesuatu nas al-Qur’an. Antara contohnya ialah firman Allah: Bermaksud:
“Dan (terhadap) para wanita yang mengerjakan perbuatan keji, hendaklah ada empat orang saksi diantara kamu (yang menyaksikannya). Kemudian apabila mereka telah memberi persaksian, maka kurunglah mereka (wanita-wanita itu) di dalam rumah sampai mereka menemui ajalnya, atau sampai Allah memberi jalan lain kepadanya.” (an-Nisaa’ : 15)
Ayat ini dimansukhkan oleh ayat kedua Surah an-Nur: Bermaksud:
“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.”
(an-Nur : 22)
Ertinya ialah ayat ke-2 Surah an-Nuur ini menyatakan habisnya tempoh beramal dengan ayat ke-15 Surah an-Nisaa; yang tersebut sebelum ini.
Selepas turun ayat ke-2 Surah an-Nuur ini, perintah yang tersebut di dalam ayat ke-15 Surah an-Nisa’ tidak boleh dipakai lagi, kerana tempoh beramal dengannya telah pun tamat.
`Ulama’ mutaqaddimin ternyata hanya bersepakat dengan `ulama’ muta’akhirin dalam Nasakh bahagian
(1) ini sahaja .
Adapun bahagian-bahagian lain yang dikemukakan oleh Shah Waliyullah selepas itu, semuanya tidak menepati definisi nasakh yang diterima pakai oleh `ulama’ muta’akhirin.
(2) Memalingkan percakapan atau perkataan daripada ma’na yang jauh dan tidak segera difahami. Antara contohnya ialah firman Allah di bawah ini: Bermaksud: “Dihalalkan bagi kamu pada malam hari bulan puasa bercampur dengan isteri-isteri kamu; mereka adalah pakaian kamu, dan kamupun adalah pakaian mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu tidak dapat menahan nafsumu, kerana itu Allah mengampuni kamu dan memberi ma`af kepadamu. Maka sekarang campurilah mereka dan ikutilah apa yang ditetapkan Allah untukmu, dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benam hitam, iaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam, (tetapi) janganlah kamu mencampuri mereka itu, sedang kamu beri’ktikaf dalam masjid. Itulah larangan Allah, maka janganlah kamu mendekatinya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada manusia, supaya mereka bertaqwa.”
(al-Baqarah : 187 )

SAMBUNGAN NOTA DI RUANGAN KOMEN YOUTUBE)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan