Ahad, Disember 31, 2017

Daurah tafsir 2015 sesi 1

Daurah Tafsir (2015) - Sesi 1 muqadimah
DaurahTafsir MaulanaHadi2015

ISTILAH TERJEMAH AL-QURAN AL-KARIM
Ada enam belas Istilah yang harus difahami bagi menterjemah Al-Quran Al-Karim. Bukan setiap surah itu terdapat kesemua istilah ini, Cuma wajib bagi setiap surah mengandungi salah satu daripada istilah-istilah tersebut, sekurang-kurangnya ada istilah yang pertama. Oleh itu, kefahaman pelajar bergantung kepada sejauh mana kefahaman mereka tentang istilah-istilah ini. Maka wajib setiap pelajar menghafal serta memahaminya. Keterangan lengkap tentang istilah-istilah tersebut:

1- Istilah pertama:
Da’wa atau maksud bagi surah (maksud asal surah diturunkan) Mafhum bagi da’wa surah atau maksud surah ialah,
da’wa suatu perkara yang paling penting bagi surah tersebut iaitu suatu perkara yang mesti diketahui terlebih dahulu sebelum perkara-perkara lain.
Da’wa surah umpama biji bagi sepohon pokok, manakala akar, batang, dahan, daun serta buahnya, kesemuanya ada hubungan dengan biji (yakni da’wa surah) dan mempunyai kesan daripada biji.
Da’wa surah juga dengan kata lain dikenali sebagai tajuk perbahasan dan kajian. Ayat-ayat lain selain da’wa adalah sebagai bukti dan dalil. Atau ayat-ayat lain itu sebagai pelengkap bagi sesuatu kajian tentang da’wa itu. wallohua’lam.
Da’wa atau maksud surah ada tiga jenis:
1. التوحيد Tauhid 2. الرسالة Risalah 3. الآخرة Akhirat
Ketiga-tiga jenis ini dibahagikan kepada mafhum:
1- Mafhum tauhid (توحيد) 2-
Mafhum syirik (شرك) 3-
Mafhum risalah (رسالة) 4-
Mafhum bid’ah (بدعة) 5-
Mafhum akhirat (اخرة) 6-
Mafhum dunia (دنيا)
Dengan begitupun lebih daripada 2/3 Al-Quran mengandungi da’wa serta maksud yang menjurus kepada tauhid.
Ini kerana kesilapan pada aqidah tidak mudah dikesan melalui penglihatan dan pendengaran, kerana aqidah adalah sesuatu perkara yang tersembunyi di dalam hati. Oleh itu bagi menjelaskan tentangnya Allah s.w.t telah menurunkan Al-Quran (yakni wahyu) secara langsung bagi tujuan pemahaman tentang aqidah tauhid dan pegangan manusia, lebih-lebih lagi tentang zat (ذات) dan sifat (صفات) serta af’alnya (افعال) . termasuk juga perkara-perkara akhirat yang mana semua ini dari jenis perkara ghaib (أمور غيبية) .
Adapun tentang cara melaksanakan hukum, samada hukum itu jenis ibadat atau jenis adat maka wahyu secara tidak langsung (iaitu Hadis Nabawi) diturunkan.
Lebih daripada 2/3 Hadis Nabawi membicarakan tentang amalan dan perbuatan manusia. Wallohua’lam.
Mafhum tanwir da’wa (تنوير دعوى) ialah suatu penjelasan tambahan tentang da’wa, ianya berbentuk soalan dan jawapan. Biasanya sebahagian mafhum da’wa sebenarnya telah diakui oleh pihak lawan, cuma tinggal sebahagian yang lain yang perlu diberi penjelasan, dan penjelasan itu adalah dalam bentuk soalan dan jawapan.
Maka dengan ini pihak lawan tiada lagi peluang untuk menolak da’wa tersebut samada secara terang-terangan mahu pun senyap.
Perkara seperti ini dinamakan “tanwir da’wa” ( penyinaran da’wa).

2- Istilah kedua: Dalil
- Mafhum bagi dalil ialah suatu bukti yang dikemukakan bagi mensabitkan da’wa. Biasanya Allah s.w.t mendatangkan berbagai-bagai dalil di dalam kitabnya bagi tujuan mensabitkan da’wa atau maksud tersebut. Biasanya di mana saja ada da’wa, disitu ada dalilnya. Dan kebiasanya dalil akan datang menyusuli da’wa. Oleh itu sejauh mana kefahaman seseorang tentang dalil yang diberikan maka sekadar itulah kekuatan pegangan seseorang terhadap da’wa.
Jadi pemahaman dalil secara mendalam adalah amat penting.
Dalil terbagi kepada tiga jenis:
1- Dalil ‘aqli (دليل عقلي) 2-
Dalil naqli (دليل نقلي) 3-
Dalil wahyi (دليل وحي)
Dalil ‘aqli pula terbagi kepada tiga jenis
: 1- Dalil aqli anfusi (دليل عقلي انفسي) 2-
Dalil aqli afaqi (دليل عقلي آفاقي) 3-
Dalil aqli I’tirafi (دليل عقلي اعترافي)
Mafhum dalil aqli ialah sejenis dalil yang dapat diterima oleh setiap yang berakal atau boleh diterima oleh setiap yang memiliki naluri fitrah yang merupakan suatu perkara yang Allah s.w.t kurniakan kepada manusia sama rata.
Oleh itu sekiranya manusia tidak di kuasai oleh hawa nafsu jahat atau suasana yang buruk yang merosakkan nescaya dengan akal dan fitrah yang sedia ada mereka dapat memahami setiap tuntutan dalil seterusnya penerimaan dalil akan membawa kepada penerimaan da’wa.
Dengan kata lain dalil itu didatangkan bagi tujuan mengajak manusia kepada penerimaan da’wa.
Mafhum “dalil aqli anfusi” ialah suatu dalil yang dikhabarkan oleh Allah s.w.t tentang qudrat dan iradahnya didalam mencipta akan sesuatu yang ada pada diri manusia itu sendiri.
Melalui dalil aqli anfusi seseorang yang berakal dapat memahami betapa sempurnanya ciptaan Allah s.w.t, sekaligus mengajak manusia itu mengakui dan menerima bahawa Allah s.w.t jualah zat yang wajib disembah dan ditaati.
Mafhum “dalil aqli afaqi” ialah suatu dalil yang dikhabarkan oleh Allah s.w.t tentang qudrat dan iradahnya di dalam mencipta akan sesuatu yang ada di luar diri manusia itu yakni daripada segenap ufuk pada alam semesta.
Dalil aqli afaqi dibahagi kepada tiga: 1- علوي - ‘ilwi - atas langit hingga ‘arasy ilahi.
2- سفلي  sifli -permukaan bumi, segala lautan dan daratan termasuk malaikat, jin dan sebagainya.
3 جوّي – jawwi – udara, seperti burung dan sebagainya (bawah pada langit yang pertama).
Mafhum “dalil aqli I’tirafi” ialah sejenis dalil yang memang diakui oleh pihak lawan (yakni musyrikin mekah), dalil yang menjelaskan betapa kudratnya Allah s.w.t didalam mencipta perkara-perkara yang besar ( الامور العظام) . jadi apabila pihak lawan telah menerima perkara-perkara besar seterusnya akan di ajak untuk menerima juga bahawa Allah s.w.t jualah yang mengurus perkara-perkara besar dan seperti itulah Allah mengurus perkara-perkara kecil ( الامور الحقيرة ) yang mereka silap faham iaitu mereka memahami perkara-perkara kecil (الامور الحقيرة) di urus oleh wakil-wakil Allah s.w.t kepada kefahaman yang sebenar, wallohua’lam. Biasanya dalil-dalil I’tirafi ini berbentuk soalan dan jawapan. Mafhum dalil naqli ialah sejenis dalil berbentuk nukilan daripada kisah-kisah hikayat atau nukilan berbentuk perkataan. Dalil naqli ini menjadi bahan bukti kedua selepas dalil aqli.
Dalil naqli ada tujuh jenis: 1- نقلي كتبي - Dalil naqli kutubi
2- نقلي أنبيائي مفصّل - Dalil naqli anbiai mufassal 3- نقلي أنبيائي مجمل - Dalil naqli anbiai mujmal 4- نقلي اهل الكتاب - Dalil naqli ahli kitab 5- نقلي جنى - Dalil naqli jinni 6- نقلي ملكى - Dalil naqli malaki 7- نقلي حيوانى - Dalil naqli hayawani Mafhum “dalil wahyi” ialah sejenis titah khas yang ditujukan kepada Nabi besar Muhammad s.a.w (dengan lafaz yang ditujukan kepadanya), supaya baginda mengajak dan menyampaikan kepada manusia tuntutan mentauhidkan Allah s.w.t , baik didalam ibadat maupun adat. Kepentingan dalil wahyi ini ialah bagi menghilangkan sifat salah anggap yang ada pada pihak lawan iaitu bahawa kerja mengajak dan menyampaikan ini dianggap sebagai kehendak dan kerja Nabi Muhammad s.a.w. Bagi mereka seolah-olah baginda s.a.w yang pandai-pandai bergerak ke sana sini mengatakan itu ini tentang Allah s.w.t – wallohua’lam. Bentuk dalil wahyi biasanya ayat yang berbunyi “katakanlah wahai Muhammad (kepada mereka) aku telah diperintahkan oleh tuhanku” atau ayat yang berbunyi “ telah diwahyukan kepadaku” atau mana-mana ayat yang semakna dengan ini.

3 - istilah yang ketiga: Takhwif ukhrowi , iaitu penakutan tentang keadaan yang akan berlaku diakhirat. Mafhum takhwif ukhrowi ialah suatu ancaman azab siksa yang bakal berlaku diakhirat nanti, bermula daripada sakaratul maut sampai ke dalam neraka. Ayat takhwif didatangkan oleh Allah s.w.t supaya pihak lawan yang masih enggan menerima da’wa itu akan merasa takut serta bimbang terhadap masa depan mereka , lalu melalui takhwif ukhrowi ini akan mendorong mereka mengakui serta menerima da’wa.

4 - istilah yang keempat: Takhwif duniawi, iaitu penakutan tentang keadaan yang akan berlaku didunia. Mafhum takhwi duniawi ialah suatu ayat yang ada didalamnya ancaman siksa di dunia lagi yakni daripada jenis kesusahan yang tidak mampu diselamatkan oleh sesiapa pun. Di dalam bahasa Arab disebut "ايام الله" atau "مواعيد الله" Contoh takhwif وَنَسُوقُ الْمُجْرِمِينَ إِلَى جَهَنَّمَ وِرْدًا (maryam 86) - takhwif ukhrowi وَكَمْ أَهْلَكْنَا قَبْلَهُمْ مِنْ قَرْنٍ (maryam 98) - takwif duniawi Faedah: Di dalam usul tafsir الفوزالكبير oleh imam waliyyullah ad-Dehlawi ada menyebut:  takhwif ukhrowi didatangkan dalam bentuk sebagai “التذكير بالموت وما بعد الموت”  takhwif duniawi didatangkan dalam bentuk sebagai “التذكير بايام الله”

5- istilah kelima: Tabsyir ukhrowi- iaitu berita gembira tentang keadaan yang akan berlaku di akhirat. Mafhum tabsyir ukhrowi ialah ayat yang ada didalamnya khabar gembira tentang nikmat akhirat yang bakal di terima oleh mereka yang mengakui dan menerima da’wa.

6 – istilah keenam: Tabsyir duniawi- iaitu berita gembira tentang keadaan yang bakal diterima di dunia ini lagi. Mafhum tabsyir duniawi ialah ayat yang ada didalamnya khabar gembira tentang nikmat dunia yang bakal diterima oleh mereka yang mengakui dan menerima da’wa. Oleh kerana nikmat dunia berbentuk sementara maka ianya bukan maksud sebenar para mukmin (yang menerima da’wa). Maka tabsyir duniawi sedikit sekali diceritakan di dalam Al-Quran berbanding dengan tabsyir ukhrowi. contoh Tabsyir إِنَّ الَّذِينَ آَمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ كَانَتْ لَهُمْ جَنَّاتُ الْفِرْدَوْسِ نُزُلًا ( al-Kahfi 107) - tabsyir ukhrowi إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ (al-Nasr 01) - tabsyir duniawi

7 – istilah ketujuh: Syakwa atau Syikayah ialah rungutan tentang sikap degil manusia. Mafhum syikayah ialah ayat yang ada didalamnya makna seolah-olah suatu rungutan tuhan terhadap kedegilan pihak lawan. Syikayah yang didatangkan didalam Al-Quran berbentuk kata-kata mereka yang degil, yakni jenis tuduhan yang tidak munasabah atau jenis kata-kata yang membawa makna yang mencabar kemampuan pembawa da’wa. Kata-kata sedemikian bertujuan menunduk atau melemahkan pembawa da’wa, sekaligus menjadi penghalang melalui kata-kata mereka itu terhadap yang diseru. Cara mengenali ayat syikayah ialah pada permulaan ayat terdapat قال atau قالوا . Istilah ini dinamakan syikayah yakni bermaksud suatu rungutan atau aduan perihal kedegilan penentang da’wa. Contoh Syikayah وَقَالُوا لَنْ نُؤْمِنَ لَكَ حَتَّى تَفْجُرَ لَنَا مِنَ الْأَرْضِ يَنْبُوعًا (al-isra’ 90) - syikayah atau syakw

8 – istilah kelapan: Zajrun iaitu teguran membina untuk Nabi atau teguran keras untuk penentang da’wa. Kedua-duanya ini menunjukkan sesuatu sikap ke atas manusia. Mafhum zajrun ialah ayat-ayat yang ada didalamnya suatu teguran tegas lagi membina kepada pembawa da’wa atau suatu teguran keras serta kiasan pedas di atas sikap pihak lawan, samada disebabkan sikap mereka membuat tuntutan tidak munasabah atau disebabkan tindakan daripada salah laku mereka. Zajrun juga berlaku terhadap pembawa da’wa (Nabi dan Rasul) di atas perbuatan “khilaful aula” mereka. Harus berhati-hati dalam menghuraikan ayat-ayat sepeti ini kerana ianya berlaku kepada dua golongan yang berlainan aqidah dan cara hidup. Contoh Zajrun فَلَمَّا جَاءَتْهُمْ رُسُلُهُمْ بِالْبَيِّنَاتِ فَرِحُوا بِمَا عِنْدَهُمْ مِنَ الْعِلْمِ (al-mukmin 83) - Zajrun bagi orang kafir. عَفَا اللَّهُ عَنْكَ لِمَ أَذِنْتَ لَهُمْ حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكَ الَّذِينَ صَدَقُوا وَتَعْلَمَ الْكَاذِبِينَ (at-taubah 43) - Zajrun bagi Nabi

9 – istilah kesembilan: Tasliyah iaitu pujukan atau penghibur hati. Mafhum tasliyah ialah ayat yang ada didalamnya suatu makna pujukan atau makna yang menghiburkan hati pembawa da’wa. Ayat-ayat seperti ini didatangkan oleh Allah s.w.t supaya pembawa da’wa mendapat ketenangan dan ketabahan didalam menjalankan tugas mereka iaitu menyeru dan mengajak manusia kepada da’wa. Tasliah ada tiga jenis:  kaedah البلوى اذا عمّت خفّت  Kaedah ترك القليل للكثير  Kaedah ترك المبالاة بالمخالفين بأداء الشكر على نعم المنعم Contoh Tasliah  وَإِنْ يُكَذِّبُوكَ فَقَدْ كُذِّبَتْ رُسُلٌ مِنْ قَبْلِكَ ( Faatir 4) - البلوى اذا عمّت خفّت  فَاصْبِرْ عَلَى مَا يَقُولُونَ وَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ (Toha 130) - ترك المبالاة بالمخالفين بأداء الشكر على نعم المنعم  لَا يَغُرَّنَّكَ تَقَلُّبُ الَّذِينَ كَفَرُوا فِي الْبِلَادِ مَتَاعٌ قَلِيلٌ (ali-Imran 196-197) - ترك القليل للكثير 10

10 - istilah kesepuluh : Umurmuslihah (امور مصلحة) iaitu amalan-amalan yang memberi kesan pada islah diri. Mafhum umurmuslihah ialah ayat yang ada didalamnya menekankan tentang ibadat khas seperti solat supaya dengan ibadat khas ini kehidupan seseorang yang telah menerima da’wa dari segi adat mereka iaitu “mu’asyaroh, mu’amalah, siasatul madaniyyah dan akhlaq” akan menjadi lebih baik dan lebih teratur. (adat ini di dalam istilah kesebelas dinamakan umurmunazzhimah امور منظمة ) Contoh Umurmuslihah (امور مصلحة) حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلَاةِ الْوُسْطَى (al-baqoroh 238) -Umurmuslihah Kaedah: Satu kejahatan atau dosa yang telah dilakukan oleh seseorang akan melahirkan di dalam hatinya satu ransangan baru untuk berusaha terus di dalam melakukan kejahatan lain. Begitu juga dengan satu kebaikan yang telah dibuat oleh seseorang akan melahirkan di dalam hatinya satu dorongan baru yang merupakan taufiq Ilahi untuk terus berusaha di dalam amalan kebaikan lain. Oleh itu di mana saja terdapat huraian tentang “umurmunazzhimah” di situ akan diselangi dengan “umurmuslihah”. Ini semata-mata adalah di atas tujuan ini (taufiq kepada kebaikan) – wallohua’lam.

11- istilah yang kesebelas: “Umurmunazzhimah” iaitu cara hidup bermasyarakat atau peraturan hidup di dalam masyarakat. Mafhum Umurmunazzhimah ialah ayat-ayat jenis kaedah hidup berumahtangga dan bermasyarakat, termasuk nikah kahwin, jual beli, cara memiliki harta, cara membelanjakan harta, pembahagian harta pusaka dan undang-undang jenayah (apabila berlaku keterlanjuran) serta cara-cara “muhakamah” (mengadili). Keadaan ummat muslimah sampai kepada satu tahap, mereka tidak akan mampu untuk memperjuangkan da’wa kepada pihak penentang atau pihak lawan sekiranya kehidupan mereka sendiri kacau bilau, kucar kacir tidak teratur. Dengan kata lain pembawa da’wa tidak mampu mengatasi pihak lawan sekiranya mereka sendiri berpecah belah, tidak bersatu. Maka ayat-ayat jenis umurmunazzhimah ini diturunkan bagi membentuk pembawa da’wa atau penerima da’wa kepada satu cara hidup yang tersusun rapi, teguh dengan cara adil dan saksama dibawah petunjuk wahyu ilahi. Tetapi Umurmunazzhimah tidak akan sempurna jika Umurmuslihah tidak sempurna. Oleh itu dicelah-celah ayat Umurmunazzhimah ini didatangkan ayat Umurmuslihah. Contoh Umurmunazzhimah لِلَّذِينَ يُؤْلُونَ مِنْ نِسَائِهِمْ تَرَبُّصُ أَرْبَعَةِ أَشْهُرٍ (al-baqoroh 227) - mu’asyaroh يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنْتُمْ بِدَيْنٍ إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى فَاكْتُبُوهُ (al-baqoroh 282) - mu’amalah وَإِنْ طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا (al-hujurat 9) -muhakamah وَإِذَا جَاءَهُمْ أَمْرٌ مِنَ الأمْنِ أَوِ الْخَوْفِ أَذَاعُوا بِهِ (al-nisa’ 83) - siasatul madaniyyah

12- istilah yang kedua belas: “Idmaj” atau jumlah Mahzufah Mafhum Idmaj ialah suatu jumlah yang tiada disebut didalam Al-quran, tetapi mesti ditakdirkan bagi melahirkan makna sebenar sesuatu ayat, atau dinamakan di dalam istilah lughah (bahasa) arab, iaitu “jumlah muqaddaroh”. Contoh Idmaj مَثَلُهُمْ كَمَثَلِ الَّذِي اسْتَوْقَدَ نَارًا (وفي ذالك الموضوع رجال قاعدون) (al-baqoroh 17) - daripada jumlah mahzufah dinamakan “Idmaj”

13- istilah yang ketiga belas “Idkhol Ilahi” – dari segi bahasa disebut “pencelahan Tuhan. Mafhum Idkhal Ilahi ialah yang didatangkan dicelah di antara ayat yang berhubungan di antara satu sama lain. Tujuan didatangkan ayat idkhal ilahi ini ialah supaya ada penekanan khas daripada Allah s.w.t pada penurunan ayat-ayat tersebut. Kadang-kadang Idkhal Ilahi didatangkan sabagai jawapan kepada soalan muqaddar di tengah ayat tersebut. Wallohua’lam. Contoh Idkhal Ilahi وَإِنْ يَكُ كَاذِبًا فَعَلَيْهِ كَذِبُهُ (al-mukmin/ghaafir 25) – didatangkan di celah hujah رجل مؤمن من آل فرعون

14 – istilah keempat belas: “I’adah” dari segi bahasa ialah pengulangan semula. Mafhum I’adah ialah pengulangan semula kalimah yang telah disebut supaya maksud hukum yang didatangkan pada akhir sesuatu ayat dapat difahami dengan mudah atau kalimah I’adah itu akan mendekatkan semula hukum yang akhir dengan kandungan-kandungan yang panjang sebelumnya- wallohua’lam. Contoh I’adah فَلَوْلا إِذَا بَلَغَتِ الْحُلْقُومَ (al-waqi’ah 83) – iaitu kalimah لولا didatangkan ارتباط hukum dengan khabar

15- istilah kelima belas : Khotmul Qolbi - ختم القلب - kunci mati mata hati. Mafhum Khotmul Qolbi ialah ayat2 yang didatangkan sebagai keputusan terakhir daripada Allah s.w.t ke atas penentang da’wa. Keadaan in berlaku setelah diberi peluang oleh Allah s.w.t bagi menerima da’wa dengan cara dicipta akal fikiran, penglihatan, pendengaran. Juga didatangkan kepadanya pembawa da’wa daripada Nabi dan Rasul serta pengikut-pengikut mereka. Mereka datang untuk memberi penjelasan dengan dalil dan bukti serta contoh tauladan dan nasihat yang berguna. Dengan adanya semua ini pun, para penentang masih berdegil bahkan melawan terus, maka Allah s.w.t akan menarik balik kebolehan dan peluang itu mengikut “hikmah ilahiah” dan takdir ilahi dan seterusnya dikunci mati segala asbab hidayah yang ada pada diri mereka. Apabila seseorang itu berada pada tahap ini, maka tiada lagi jalan yang boleh menyampaikan kepada haq – perkara ini dinamakan “Khotmul Qolbi”. Tiga perkara disebut tentang Khotmul Qolbi ini: 1. Apa makna “Khotmul Qolbi” 2. Bagaimana cara Khotmul Qolbi berlaku dan kenapa berlaku 3. Siapa yang melakukan Khotmul Qolbi ini Contoh khotmul Qolbi لَهُمْ قُلُوبٌ لا يَفْقَهُونَ بِهَا (al-a’raf 179) - apa makna Khotmul Qolbi كَلا بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ (al-mutoffifin 14) - bagaimana cara Khotmul Qolbi خَتَمَ اللَّهُ عَلَى قُلُوبِهِمْ (al-baqoroh 7) - siapa yang melakukan Khotmul Qolbi أُولَئِكَ الَّذِينَ طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قُلُوبِهِمْ (an-nahl 108) - siapa yang melakukan Khotmul Qolbi

16 – istilah keenam belas: Robtul Qolbi – ربط القلب –iaitu peneguhan hati atau keyakinan yang sejati. Mafhum Robtul Qolbi ialah ayat-ayat yang ada didalamnya berita tentang keadaan hati seseorang pembawa da’wa yang istiqomah di dalam pendirianya menegakkan hukum sekalipun didatangi berbagai-bagai ujian dan cubaan. Mereka tetap teguh setelah berjaya menempuh ujian dan dugaan tersebut. Hati mereka akan sampai ke peringkat paling tinggi dan mulia, dan apabila telah sampai keperingkat ini, sukar untuk kembali ke arah kesesatan. Kesemua para sahabat Nabi Muhammad s.a.w telah sampai ke peringkat ini. Wallohua’lam. Contoh Robtul Qolbi وَرَبَطْنَا عَلَى قُلُوبِهِمْ (al-kahfi 14) - Ashabul kahfi- setelah mereka sanggup berdiri dan mengeluarkan hujah-hujah di atas pegangan dan pendirian mereka, mereka diberi “Robtul Qolbi” Sila ikuti risalah kedua “ "فوائدتفسيرية (Faedah-faedah ilmu tafsir atau kaedah tafsir)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan