Khamis, Februari 27, 2020

Tafsir asas quran sesi 006-008

Tafsir asas quran sesi 006-008

USUL KE 7 - TAFSIR AL-QURAN BERDASARKAN AYAT SEBELUM DAN SELEPASNYA
Di sana terdapat beberapa istilah untuk menyatakan usul ketujuh ini.
Tafsir al-Qur’an berdasarkan:
(a) Kesesuaian antara ayat-ayatnya
(b) Perkaitan antara ayat-ayatnya
(c) Perhubungan antara ayat-ayatnya
( d) Berdasarkan ayat selepas dan sebelumnya atau siyaaq dan sibaaqnya.
Usul ketujuh ini sangat istimewa dan penting kerana beberapa sebab berikut:
(i) Ia menampakkan wujudnya keseragaman dan kesinambungan di dalam firman Allah.
(ii) Ia membuktikan tertib kitabi al-Qur’an
(tertib al-Qur’an seperti yang terdapat di dalam Mushaf hari ini) benar-benar diredhai Allah dan ia termasuk dalam perkara tauqifi (perkara yang ditentukan oleh Allah melalui Rasulnya).
Tidak ada sebarang campur tangan manusia, baik sahabat mahupun Tabi’in dalam penyusunannya.
(iii) Tertib al-Qur’an seperti yang terdapat di dalam Mushaf hari ini, meskipun tidak mengikut tertib nuzulnya, tetap mengandungi ciri-ciri I’jaz.
(iv) Pengaplikasian usul ketujuh dengan baik akan memadamkan kritikan dan kemusykilan sesetengah pihak yang menda’wa susunan ayat-ayat al-Qur’an berkecamuk dan tidak menarik.
(v) Keperluan siyaaq dan sibaaq untuk menentukan ma’na dan maksud asal sesuatu ayat lebih-lebih lagi diperlukan apabila terdapat riwayat tentang sebab nuzulnya yang kelihatan janggal dan tidak secocok dengan ayat-ayat selepas dan sebelumnya.
(vi) Da’waan golongan sesat dan menyeleweng seperti Syi’ah Rafidhah dan lain-lain bahawa sesetengah al-Qur’an tergantung kerana ada beberapa ayat sebelum dan selepasnya dibuang oleh para sahabat dengan sendirinya akan lenyap apabila anda berjaya mempertautkan ayat berkenaan dengan siyaaq dan sibaaqnya.
(vii) Sebagaimana siyaaq dan sibaaq
(ayat yang tersebut selepas dan sebelum sesuatu perkataan) banyak membantu memahami ma’na dan maksud sesuatu perkataan didalam sesuatu ayat, begitu juga ia banyak membantu kita memahami ma’na dan maksud sesuatu ayat itu sendiri. Sebelum mengemukakan contoh-contoh ma’na dan maksud ayat yang difahami berdasarkan siyaaq dan sibaaq,elok kiranya dilihat terlebih dahulu betapa siyaaq dan sibaaq memainkan peranan yang penting dalam menentukan ma’na dan maksud sesuatu perkataan di dalam sesuatu ayat.

Di bawah ini dikemukakan beberapa contohnya:
(i) Perkataan الحكمة“al-hikmah” misalnya, menurut Abu Hayyan mempunyai 30 ma’na.
Ia pada asalnya bererti kebijaksanaan.
Inilah ertinya yang masyhur dan popular. Tetapi jika anda membaca ayat 261 hingga 274 di dalam Surah al-Baqarah, anda akan dapati 14 ayat berkenaan berbicara tentang berbelanja di jalan Allah الانفاق في سبيل الله .
Di dalam ayat 269 daripadanya tersebut firman Allah yang terkandung di dalamnya perkataan الحكمة “al-hikmah”.
Firman Allah:
يؤتي الحكمة من يشاء ومن يؤت الحكمة فقد اوتي خيرا كثيرا
Apakah di sini juga perkataan itu seharusnya dipakai dengan ma’na popularnya atau ma’na-ma’nanya yang lain? Para ulama yang mengambil kira siyaaq dan sibaaqnya akan berkata, ma’na-ma’nanya yang lain kurang sesuai dipakai di sini. Ia di sini lebih sesuai dipakai dengan erti sifat murah hati, sifat suka berderma dan berbelanja di jalan Allah.
(ii) Perkataan المتّقين “al-muttaqin” disebut Allah sebanyak 41 kali di dalam al-Qur’an. Ma’na asalnya ialah orang-orang yang bertaqwa. Ia dipakai oleh para mufassirin dengan maksud-maksud yang sesuai dengan siyaaq dan sibaaqnya.
Di dalam Surah at-Taubah ayat 4, ia dipakai dengan ma’na orang-orang yang menepati dan memenuhi janji-janjinya.
Berdasarkan siyaaq dan sibaaq, ia secara khususnya digunakan untuk orang-orang yang menepati dan memenuhi janji-janjinya dalam konteks polisi dan dasar luar negara.
Lihat Surah at-Taubah ayat 1-7.
Di dalam Surah al-Qashash ayat 83, mengambil kira siyaaq dan sibaaq, perkataan المتّقين “al-muttaqin” seharusnya dipakai dengan ma’na orang-orang yang menggunakan kuasa dalam batas-batas peraturan dan undang-undang.Dan ia secara lebih khusus berkaitan dengan pihak berkuasa.
Di dalam Surah an-Naba’ ayat 31 pula ia digunakan dengan ma’na orang-orang yang menjalani kehidupan dunia dengan penuh kesedaran dan keyakinan tentang akan adanya hari kiamat dan hari pembalasan. Perkataan المتّقين digunakan di situ sebagai lawan kepada perkataan الطاغين “at-thoghin” yang telah disebutkan sebelum itu di dalam ayat 22.
Perkataan الطاغين “at-thoghin” di sini telah dipakai dengan erti yang lebih khusus, iaitu orang-orang yang menjalani kehidupan dunia dengan melampui batas hukum Tuhan serta tidak mempunyai kesedaran dan kepercayaan akan adanya hari kiamat dan hari pembalasan.
Lihat Surah an-Naba’ ayat 21-36.

Tafsir Asas Quran (Sesi 7).
SAMBUNGAN) USUL KE 7
- TAFSIR AL-QURAN BERDASARKAN AYAT SEBELUM DAN SELEPASNYA
Sekarang tibalah masanya untuk dikemukakan contoh-contoh ma’na dan maksud ayat yang difahami berdasarkan siyaaq dan sibaaqnya

Di bawah ini diberikan hanya 3 contoh sahaja sebagai panduan dan pedoman: 
(i) Ayat ke 16, 17, 18, dan 19 di dalam Surah al-Qiyamah, 
zahirnya tidak bersesuaian dengan siyaaq dan sibaaq.
Keempat-empatnya kelihatan tergantung di tengah-tengah ayat-ayat lain yang berbicara tentang apa yang akan berlaku di hari kiamat nanti. Perhatikan ayat-ayat berkenaan dan terjemahannya di bawah ini. 
Maksudnya: 
Aku bersumpah dengan hari kiamat, (1)
dan Aku bersumpah dengan jiwa yang amat menyesali (diri sendiri) (2) 
Apakah manusia mengira, bahawa Kami tidak akan mengumpulkan (kembali) tulang belulangnya? (3) 
bukan demikian, sebenarnya Kami berkuasa menyusun (kembali) jari jemarinya dengan sempurna. (4) 
bahkan manusia itu hendak membuat ma’shiat terus menerus. (5) 
Ia bertanya (secara mengejek): “Bilakah hari kiamat itu?” (6) 
Maka apabila mata terbelalak (ketakutan), (7) 
dan apabila bulan telah hilang cahayanya, (8) 
dan matahari serta bulan dikumpulkan, (9) 
(maka) pada hari itu berkatalah manusia (yang ingkarkan hari kiamat): “ Kemanakah hendak melarikan diri?” (10) 
Tak usahlah bertanya demikian! Tidak ada lagi tempat perlindungan! (11) 
hanya kepada Tuhanmu sajalah pada hari itu tempat kembali. (12) 
pada hari itu, manusia diberitahu akan apa yang ia telah lakukan, dan apa yang ia telah tinggalkan. (13) 
Bahkan manusia itu menjadi saksi terhadap dirinya sendiri. (14) 
Meskipun ia memberikan alasan-alasannya (untuk membela diri). (15) 
Janganlah engkau (wahai Muhammad) kerana hendakkan cepat menghafaz Quran yang diturunkan kepadamu menggerakkan lidahmu membacanya (sebelum selesai dibacakan kepadamu). (16) 
Sesungguhnya Kami jamin untuk mengumpulkannya (di dalam dadamu) dan (membuatmu pandai) membacanya. (17) 
Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu; (18) 
Kemudian, sesungguhnya kepada Kamilah terserah urusan menjelaskan kandungannya (yang memerlukan penjelasan). (19) 
Sekali-kali janganlah demikian. (Sebenarnya kamu tidak ingatkan kesudahan kamu) bahkkan kamu sentiasa mencintai (kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya. (20) 
dan meninggalkan (kehidupan) akhirat (yang kekal abadi kehidupannya). (21). 

Tetapi berdasarkan tafsiran al-Qaffaal yang mengambil kira siyaaq dan sibaaqnya tidak ada sebarang keadaan ketergantungan pada firman Allah di dalam Surah al-Qiyaamah tadi. Ini kerana menurut beliau, keemapat-empat ayat tersebut juga berkaitan dengan hari kiamat.

Orang yang dihadap cakap oleh Allah di dalam firmannya: itu bukanlah Nabi s.a.w. Sebaliknya ia ditujukan kepada seluruh umat manusia kerana setiap manusia di hari Qiamat kelak akan membaca buku suratan amalan masing-masing berdasarkan firman Allah s.w.t di dalam ayat al-Quran yang bermaksud : 
Bacalah buku (suratan amalanmu), cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala yang telah engkau lakukan). (al-Israa’:14). 
Dan ayat Quran yang bermaksud: Pada hari itu, manusia akan diberitahu tentang apa yang ia telah lakukan, dan apa yang ia telah tinggalkan. (al-Qiyaamah:13)
Lalu apabila bacaan mereka sampai kepada catitan-catitan amalan buruk masing-masing, mereka akan mempercepatkan bacaan kerana gerun dan takut kepada balasan yang akan diterima serta malu untuk mendedahkannya di hadapan khalayak ramai di Mahsyar nanti. Pada ketika itulah dikatakan kepadanya sebagaimana ayat 16 surah al-Qiyamah.

Menurut al-Qaffaal, maksudnya ialah janganlah engakau membaca dengan cepat suratan amalanmu itu. Kerana, sebagaimana ayat 17 surah al-Qiyamah; Al-Qaffaal mentafsirkannya dengan kata beliau: “Sesungguhnya Kami telah mengumpulkan segala-galanya di dalam buku suratan amalanmu itu dan Kami pasti akan membacanya (di hadapanmu)”. Ayat kelapan belas selepasnya, bermaksud, “Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu” 
Menurut tafsiran al-Qaffaal adalah: Apabila Kami selesai membacanya,terima sajalah kandungan apa yang dibaca itu”. Ayat kesembilan belas selepasnya pula, bermaksud, “Kemudian, sesungguhnya kepada Kamilah terserah urusan menjelaskan kandungannya (yang memerlukan penjelasan)”.

Menurut tafsiran al-Qaffaal adalah: “Kemudian kami akan menjelaskan balasan bagi setiap amalan buruk yang telah kamu lakukan”.

Tafsiran al-Qaffaal ini sangat sesuai dengan siyaaq dan sibaaqnya, meskipun ia tidak selaras dengan tafsiran Ibnu ‘Abbaas, dimana beliau mengaitkannya dengan peristiwa Nabi s.a.w. mempercepatkan bacaan Baginda untuk mengikuti bacaan Jibril yang menjadi sebab Nuzul bagi ayat-ayat yang berkenaan. 
Kebanyakan penterjemah al-Qur’an dalam bahasa Melayu memilih tafsiran Ibnu ‘Abbaas di sini. Apa yang perlu sekali diketahui dan difahami ialah tafisran Ibnu ‘Abbaas itu sebenarnya merupakan tafsiran kedua (المراد الثانوي) baginya, sedangkan tafsiran pertama dan asal (المراد الاولى) baginya adalah seperti yang diberikan oleh al-Qaffaal tadi.

(ii) Allah berfirman di dalam Surah Shaad: 
Bermaksud: 
Dan sudahkah sampai kepadamu (Wahai Muhammad) berita (perbicaraan dua) orang yang berselisihan? Ketika mereka memanjat tembok tempat ibadat; (21) 
Iaitu ketika mereka masuk kepada (Nabi) Daud, lalu ia terkejut melihat mereka; mereka berkata kepadanya: “Janganlah takut, (kami ini) dua orang yang berselisihan, salah seorang dari kami telah berlaku zalim kepada yang lain; oleh itu hukumkanlah di antara kami dengan adil, dan janganlah melampaui (batas keadilan), serta pimpinlah kami ke jalan yang lurus). (22) “Sebenarnya orang ini ialah saudara (seagama)ku; ia mempunyai sembilan puluh sembilan ekor kambing betina dan aku mempunyai seekor sahaja; Dalam pada itu, ia (mendesakku dengan) berkata: ‘Serahkanlah yang seeekor itu kepadaku’, dan dia telah mengalahkan daku dalam merundingkan perkara itu”. (23) 
Berkata dia (Nabi Daud): “Sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepadamu dengan meminta kambingmu itu (sebagai tambahan) kepada kambing-kambingya; dan sesungguhnya kebanyakan dari orang-orang yang bergaul dan berhubungan (dalam berbagai-bagai lapangan hidup), setengahnya berlaku zalim kepada setengah yang lain, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal saleh; sedang mereka amatlah sedikit!” dan (Nabi) Daud (setelah berfikir sejurus) mengetahui bahawa sebenarnya Kami sedang mengujinya (dengan peristiwa itu), lalu ia memhon ampun kepada tuhannya sambil merebahkan dirinya sujud, serta ia rujuk kembali (bertaubat). (24) 
Maka kami ampunkan kesalahannya itu; dan sesungguhnya ia mempunyai kedudukan yang dekat di sisi Kami serta tempat kembali yang sebaik-baiknya (pada hari akhirat kelak). (25) (Shaad: 21-25).

Persoalan mungkin timbul di dalam hati sesetengah orang bahawa apakah yang dimaksudkan Allah dengan firmanNya di dalam ayat 24 dan 25 dari Surah Shaad yang dikemukakan di atas? Apakah bentuk ujian dan cubaan Allah terhadap Nbai Daud a.s? Apakah Nabi Daud telah melakukan apa-apa dosa besar hingga beliau memhon ampun kepada Tuhan sambil merebahkan diri bersujud dan bertaubat? 
Untuk memecahkan persoalan ini macam-macam jawapan telah diberikan oleh para mufassirin. Ada di antara mereka mengemukakan riwayat-riwayat Israiliyat yang menunjukkan memang Nabi Daud telah melakukan dosa besar. Dosa besar yang dilakukan beliau ialah membunuh Uria, seorang pahlawan yang amat setia kepada beliau dengan senagaja menghantarnya ke medan perang supaya ia terbunuh. Dan memang ia terbunuh. Maksud Daud melakukan begitu tidak lain hanyalah untuk dapat mengahwini isterinya Batsyeba. Ada yang mengatakan, kesalahan Daud sebenarnya terletak pada beliau terus memenangkan pihak yang memiliki seekor anak kambing tanpa mendengar terlebih dahulu keterangan pihak yang memiliki 99 ekor kambing. Sepatutnya beliau mendengar terlebih dahulu keterangan dari kedua-dua belah pihak yang berselisih sebelum membuat sesuatu keputusan. Kesilapan itulah yang mendorong Daud beristighfar dan bertaubat kepada Allah, apabila mengingatkan apa yang berlaku kepadanya itu sebenarnya merupakan ujian Allah. Ada pula yang mengatakan, orang-orang yang datang dengan memanjat pagar atau dinding istana Daud sememangnya bermaksud membunuh beliau. Setelah mereka mendapati ada ramai pengawal di kawasan mihrab tempat Nabi Daud beribadat, mereka berpura-pura mengemukakan kes seperti yang tersebut di dalam ayat 22-23 Surah Shaad. 
Nabi Daud mengetahui maksud sebenar mereka. Beliau bertekad untuk menghukum mereka dengan seberat-berat hukuman. Tetapi setelah berfikir bahawa semua itu adalah ujian Allah kepadanya, beliau membatalkan maksud asalnya hendak menghukum mereka. Nabi Daud sedar bahawa tindakan yang paling layak dan sesuai dengan kedudukan beliau ialah mema’afkan, bukan membalas dendam. Maka beliau terus beristighfar dan bertaubat kepada Allah atas keterlanjurannya itu. Oleh kerana Daud telah betul-betul insaf, Allah terus mengampunkan kesalahan dan ketelanjurannya. Dan macam-macam lagi… Namun semuanya tidak mengambil kira siyaaq dan sibaaq ayat-ayat tersebut. 
Maulana Hifzur Rahman Sevhaarwi di dalam Qasas al-Qur’annya berbeza daripada mufassir-mufassir yang lain kerana beliau mengaitkan ayat-ayat tersebut dengan siyaaq dan sibaaqnya. Menurut beliau, berdasarkan riwayat Ibnu ‘Abbaas yang dihukum sahih oleh al-Haakim dan Az-Zahabi, Nabi Daud telah membahagikan hari-hari dalam kehidupannya kepada empat bahagian. Satu hari khusus untuk beribadat kepada Allah. Satu hari untuk menyelesaikan kes-kes yang dikemukakan kepada beliau. Satu hari khusus untuk memenuhi keperluan peribadi dan keluarganya dan satu hari pula untuk memimpin dan membimbing kaumnya, Bani Israil. Pembahagian hari-hari seperti itu kurang sesuai dengan kedudukan seorang khalifah dan raja, Seorang khalifah dan raja seperti Nabi Daud tidak sepatutnya mengkhususkan sehari suntuk untuk beribadat semata-mata, walaupun ibadat adalah sesuatu yang disukai Allah dan merupakan tujuan sebenar kejadian jin dan manusia. Kerana pada hari-hari yang lain juga tentunya Nabi Daud ada beribadat. Sama sekali tidak dapat dibayangkan adanya hari-hari seseorang nabi langsung tidak diisi dengan sebarang ibadat. Ibadat tentu  ada dalam amalan harian seseorang nabi. Cuma mengkhususkan satu hari untuk beribadat semata-mata di mana langsung tidak dapat dihubungi dan ditemui sesiapa pun dalam keadaan bagaimana sekalipun adalah sesuatu yang tidak layak dan tidak sesuai dengan kedudukan seorang nabi lagi raja seperti Daud. Itulah sebabnya Allah berfirman di dalam ayat berikutnya begini (bermaksud): 
“Wahai Daud, Sesungguhnya Kami menjadikanmu khalifah (penguasa) di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah Engkau menurut hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu” (Shaad:26).
Sebagai seorang khalifah beliau seharusnya mengutamakan masyarakat daripada kepentingan dan kesukaan peribadi sendiri. Beliau sepatutnya lebih banyak memberi masa untuk membimbing dan menyelesaikan masalah rakyat jelatanya. Akibat daripada pembahagian hari-hari seperti itulah berlaku apa yang telah berlaku. Ia diceritakan oleh Allah di dalam Surah Shaad bermula dari ayat 21 hingga 25.
Peristiwa yang tersebut di dalam ayat 21 hingga 25 itu merupakan sindiran dan teguran Allah secara tidak langsung kepada Daud. Namun Daud dapat menangkapnya, kerana beliau seorang yang bijaksana. Beliau terus beristighfar, bersujud dan bertaubat kepada Allah atas keterlanjurannya itu. Maka taubatnya diterima Allah. Selepas itu pembahagian hari-hari dalam kehidupan Daud tidak lagi berjalan seperti sebelumnya. 
Perhatikan siyaaqnya, iaitu ayat 26 Surah Shaad yang dikemukakan tadi. Dan perhatikan pula sibaaqnya sebagaimana berikut (bermaksud): “Dan kami kuatkan kerajaannya serta Kami berikan kepadanya hikmah dan kebijaksaan dalam menyelesaikan perselisihan”.(Shaad:20)
Bukankah kedua-duanya berada dalam jalinan yang sangat teguh dan indah bersama-sama dengan beberapa ayat dari Surah Shaad yang mengisahkan ujian Allah terhadap Nabi Daud a.s.? Tafsiran ini kuat dan menarik kerana selain ia mengambil kiran siyaaq dan sibaaq ayat, ia juga mengambil kira riwayat dan dirayat hadits berkenaannya.

Tafsir Asas Quran (Sesi 8).
SAMBUNGAN) USUL KE 7 - TAFSIR AL-QURAN BERDASARKAN AYAT SEBELUM DAN SELEPASNYA 
(iii) Siapakah yang dimaksudkan oleh Allah dengan Ahlul Bait di akhir 
ayat 33 
Surah al-Ahzaab ini? 
Ayat al-Quran bermaksud: Sesungguhnya Allah hendak menghilangkan dosa dari kamu wahai Ahlul Bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya. 
Adakah ia isteri-isteri Rasulullah s.a.w. atau keluarga Baginda seumumnya atau individu-individu tertentu seperti kata golongan Syi’ah? 
Menerima orang-orang lain selain isteri-isteri Rasulullah s.a.w sebagai Ahlul Bait di dalam ayat ini bererti memutuskannya daripada kalam Allah sebelum dan selepasnya. 
Jika dilihat kepada siyaaq dan sibaaqnya, jelas yang dimaksudkan dengannya ialah isteri-isteri Rasulullah s.a.w. Mengatakan bukan isteri-isteri rasulullah yang dimaksudkan di sini bererti melakukan penyelewengan terhadap ma’na al-Qur’an. 
Di bawah ini dikemukakan ayat berkenaan lengkap dengan siyaaq dan sibaaqnya:
Bermaksud: 
Wahai isteri-isteri Nabi, sesiapa di antara kamu yang melakukan sesuatu perbuatan keji yang nyata, nescaya akan digandakan azab seksa baginya dua kali ganda. Dan (hukuman) yang demikian itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya. (30) 
Dan sesiapa di antara kamu semua tetap taat kepada Allah dan RasulNya serta mengerjakan amal yang soleh, Kami akan beri kepadanya pahala amalnya itu dua kali ganda, dan Kami sediakan baginya limpah kurnia yang mulia. (31) 
Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti wanita yang lain, kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan). (32) 
Dan hendaklah kamu tetap diam di rumahmu serta janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyah zaman dahulu; dan dirikan sembahyang, tunaikanlah zakat dan ta’atilah Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah hendak menghilangkan dosa dari kamu wahai Ahlu Biat dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya. (33) 
Dan ingatlah (serta amalkanlah) apa yang dibaca di rumahmu dari ayat-ayat Allah (Al-Quran) dan Hikmah (Sunnah Nabimu). Sesungguhnya Allah Maha Halus tadbirNya, lagi Maha mendalam pengetahuannNya. (34). 
(al-Ahzaab:30-34). 

Mengatakan ganti nama jama’ muzakkar yang tersebut di dalam firman Allah ( akhir ayat 33 surah al-ahzaab sebagaimana di atas) menghalang perkataan Ahlu Bait dipakai dengan isteri-isteri nabi s.a.w adalah berpunca daripada kejahilan tentang bahasa ‘Arab dan kurangnya penelitian terhadap kalam Allah di dalam al-Qur’an.

🍅
Ayat 30
يَا نِسَاءَ النَّبِيِّ مَنْ يَأْتِ مِنْكُنَّ بِفَاحِشَةٍ مُبَيِّنَةٍ يُضَاعَفْ لَهَا الْعَذَابُ
ضِعْفَيْنِ ۚ وَكَانَ ذَٰلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرًا

Wahai isteri-isteri Nabi, sesiapa di antara kamu yang melakukan sesuatu perbuatan keji yang nyata, nescaya akan digandakan azab seksa baginya dua kali ganda. Dan (hukuman) yang demikian itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya.

Ayat 31
وَمَنْ يَقْنُتْ مِنْكُنَّ لِلَّهِ وَرَسُولِهِ وَتَعْمَلْ صَالِحًا نُؤْتِهَا أَجْرَهَا مَرَّتَيْنِ وَأَعْتَدْنَا لَهَا رِزْقًا كَرِيمًا

Dan sesiapa di antara kamu semua tetap taat kepada Allah dan RasulNya serta mengerjakan amal yang soleh, Kami akan beri kepadanya pahala amalnya itu dua kali ganda, dan Kami sediakan baginya limpah kurnia yang mulia.

Ayat 32
يَا نِسَاءَ النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِنَ النِّسَاءِ ۚ إِنِ اتَّقَيْتُنَّ فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلًا مَعْرُوفًا

Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).

Ayat 33
وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَىٰ ۖ وَأَقِمْنَ الصَّلَاةَ وَآتِينَ الزَّكَاةَ وَأَطِعْنَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ۚ إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنْكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا

Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu - wahai "AhlulBait" dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).

Ayat 34
وَاذْكُرْنَ مَا يُتْلَىٰ فِي بُيُوتِكُنَّ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ وَالْحِكْمَةِ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ لَطِيفًا خَبِيرًا

Dan ingatlah (serta amalkanlah) apa yang dibaca di rumah kamu dari ayat-ayat Allah (Al-Quran) dan hikmah pengetahuan (hadis-hadis Rasulullah). Sesungguhnya Allah Maha Halus tadbirNya, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan