Khamis, Ogos 06, 2020

Qawaid tafsir 2018 kaedah 0019

Qawaid tafsir 2018 kaedah 0019

Kaedah 19

إِذَا كَانَ مُتَعَلِّقُ الْخِطَابِ  مَقْدُوْرًا حُمِلَ عَلَيْهِ، وَإِنْ كَانَ غَيْرَ مَقْدُوْرٍ  صُرِفَ الْخِطَابُ لِثَمَرَتِهِ أَوْسَبَبِهِ

Apabila sesuatu perintah berkaitan dengan sesuatu perbuatan yang mampu dilakukan oleh mukhathab(orang yang ditujukan perintah kepadanya), maka dengan ma'na hakikatnyalah ia dipakai.Dan jika ia berkaitan dengan sesuatu yang tidak mampu dilaksanakan (oleh mukhathab),maka pada ketika itu khithab(perintah) dipalingkan kepada buah atau sebab bagi apa yang diperintahkan.

Antara contoh Allah di bawah

Keterangan: Apa-apa yang diperintahkan oleh Allah kita melakukannya atau meninggalkannya, tidak terlepas daripada dua keadaan. Sama ada ia mampu dilakukan oleh kita atau tidak. Contoh perintah yang mampu dikerjakan ialah shalat,zakat, puasa dan lainlain. Apabila Allah memerintahkan kita melakukannya bererti Allah menghendaki kita melakukan semua yang tersebut itu sendiri. Dan apabila Allah memerintahkan manusia melakukan sesuatu yang tidak mungkin atau tidak mampu dilakukannya, seperti perintah Allah supaya pergi dengan segera ke syurga atau mati dalam keadaan beriman, maka itu bererti Allah menghendaki manusia mengambil sebab-sebab yang membawa kepadanya atau ia merupakan buah dan hasil bagi sesuatu perbuatan dan amalan yang membawa kepadanya.Antara contoh perintah Allah yang mampu dilaksanakan oleh manusia ialah firman
dibawah ini:
Al-Baqarah 2:83
وَإِذْ أَخَذْنَا مِيثَٰقَ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ لَا تَعْبُدُونَ إِلَّا ٱللَّهَ وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ إِحْسَانًا وَذِى ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْيَتَٰمَىٰ وَٱلْمَسَٰكِينِ وَقُولُوا۟ لِلنَّاسِ حُسْنًا وَأَقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُوا۟ ٱلزَّكَوٰةَ ثُمَّ تَوَلَّيْتُمْ إِلَّا قَلِيلًا مِّنكُمْ وَأَنتُم مُّعْرِضُونَ 

Bermaksud: Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil janji dari Bani Israel (iaitu):Janganlah kamu menyembah selain Allah, dan berbuat baiklah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia, dirikanlah salat dan tunaikanlah zakat. Kemudian kamu tidak memenuhi janji itu, kecuali sebahagian kecil daripada kamu, dan kamu selalu berpaling.(al-Baqarah:83).

Contoh perintah Allah kepada manusia supaya meninggalkan sesuatu yang mampu dilakukan olehnya ialah seperti berzina, meminum arak, melakukan perkara-pekara keji, menderhakai dua ibu bapa, mengumpat dan lain lain.Contoh perintah kepada manusia supaya melakukan sesuatu yang tidak mampu dilakukannya ialah firman Allah berikut:

Aali-Imran 3:133
وَسَارِعُوٓا۟ إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا ٱلسَّمَٰوَٰتُ وَٱلْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ 

Dan bersegeralah kamu kepada keampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi. Ia disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa.
(Aali'Imraan: 133).

Perintah Allah ini bermaksud mengambil sebab-sebab yang membawa kepada keampunan Allah dan membawa seseorang ke syurga. Sebab-sebab itu ialah iman dan amal saleh. Maka perintah Allah supaya bersegera pergi kepada keampunan Allah itu bererti bersegera kepada beriman dan beramal saleh, kerana ia merupakan sebab bagi keampunan Allah. Untuk bersegera pergi kepada keampunan Allah itu sendiri adalah suatu yang tidak mungkin. Begitu juga dengan perintahNya supaya bersegera pergi kesyurga, maksudNya ialah bersegera beriman dan beramal saleh, kerana iman dan amal saleh itu merupakan sebab bagi seseorang dapat masuk syurga dengan segera. Tentu sekali Allah tidak bermaksud supaya manusia berlari dengan pantas kepada keampunan Allah atau ke syurga itu sendiri, kerana itu adalah suatu yang di luar batas kemampuan manusia. Boleh juga dikatakan keampunan Allah dan syurga itu adalah buah dan hasil daripada iman dan amal saleh. Maka iman dan amal saleh itulah yang disuruh Allah kita melakukannya dengan segera.Termasuk dalam bahagian ini juga segala perintah Allah yang kadang-kadang kerana sesuatu keuzuran ia tidak dapat dilaksanakan. Tetapi dalam keadaan-keadaan tertentu pula ia mampu dilaksanakan. Contohnya ialah perintah berperang kepada orang-orang Islam. Dalam keadaan mereka tidak mampu berperang, maka mereka hanya dituntut menyediakan sebab-sebab yang membawa kepada kemampuan mereka berperang.Antara contoh perintah Allah supaya orang mu'min meninggalkan sesuatu, sedangkan perintah itu tentu sekali tidak mampu dilaksanakan ialah firman Allah di bawah ini:
Al-Hujurat 49:12
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱجْتَنِبُوا۟ كَثِيرًا مِّنَ ٱلظَّنِّ 

Bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah banyak daripada purba-sangka (kecurigaan).
(al-Hujuraat:12).

Pra sangka=sangkaan awal

Perintah Allah supaya orang-orang yang beriman menjauhi kebanyakan purba-sangka itu sebenarnya bermaksud supaya mereka menjauhi sebab-sebab yang membawa kepadanya. Lantaran kebanyakan purba-sangka itu sendiri adalah sesuatu yang tidak mungkin dijauhi. Justeru ia datang tanpa ikhtiar manusia.Antara contoh perkara yang diperintah Allah supaya ditinggalkan, tetapi ia tidak mampu dilakukan oleh manusia ialah apa yang tersebut di dalam firmanNya ini

An-Nur 24:2
ٱلزَّانِيَةُ وَٱلزَّانِى فَٱجْلِدُوا۟ كُلَّ وَٰحِدٍ مِّنْهُمَا مِا۟ئَةَ جَلْدَةٍۖ وَلَا تَأْخُذْكُم بِهِمَا رَأْفَةٌ فِى دِينِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْءَاخِرِۖ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَآئِفَةٌ مِّنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ 
Bermaksud: Perempuan yang berzina dan lelaki yangberzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat dan hendaklahdisaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dariorang-orang yang beriman. 
(an-Nuur:2)

Perintah Allah supaya orang-orang Islam tidak dipengaruhi oleh perasaan belaskasihan terhadap kedua penzina (lelaki dan perempuan) dalam menjalankan hukum agama Allah (hukuman had ke atas mereka) jelas, sedangkan perasaan itu boleh timbul di dalam hati manusia tanpa ikhtiar (ada pilihan pada) mereka. Sesuatu yang di luar daripada kemampuan dan ikhtiar manusia sebagaimana ia tidak mungkin dilakukan, ia juga tidak mungkin ditinggalkan. Kalau begitu apa tujuan Allah memerintahkan
supaya orang-orang Islam tidak dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap kedua penzina? Jawabnya ialah mengikut qaedah ke-20 yang dikemukakan di atas,bukan رَأفة(prerasaan belas kasihan) itu sendiri yang diperintah Allah supaya tidak mempengaruhi orang-orang Islam, sebaliknya buah atau akibatnyalah yang diperintah Allah supaya tidak mempengaruhi orang-orang Islam. Buah dan akibat daripada adanya perasaan belas kasihan itu ialah tidak melaksanakan hukuman had yang ditentukan untuk mereka. Jadi maksud firman Allah itu ialah Jangan sampai kerana adanya belas kasihan di dalam hati kamu terhadap penzina-penzina mengakibatkan kamu tidak melaksanakan hukuman had keatas mereka".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan