Qawaid tafsir 2018 kaedah 0040
Qawaid tafsir 2018 nota 5(0062)
قعادة 40 الْإِيْمَانُ بِظَاهِرِ البَّنْزِيْلِ فَرْضٌ، وَمَا عَدَاهُ فَمَوْضُوْعٌ عَنَّا تَكَلُّفُ عِلْمِهِ إِذَا لَمْ تَأْتِ بِالْبَيَانِ عَنْهُ دَلَالَةُ مِنْ كِتَابٍ أَوْ خَبَرٍ عَنْ رَسُوْلِ الله صلى عليه وسلم
Percaya kepada (ma'na yang)zahir (daripada ayat al-Qur'an
adalah fardhu (wajib). Apa-apa yang tidak terdapat keterangan jelas tentangnya daripada al-Qur'an atau as-Sunnah, tidaklah wajib kita mengetahuinya.
Keterangan: Seseorang muslim wajib beri'tiqad bahawa semua (kandungan) al-Qur'an adalah benar. Dia diwajibkan mengetahui dan mempelajari hukum-hakam serta ajaran-ajaran al-Qur'an yang lain yang sememangnya ada faedah dan ada kaitan dengan kehidupannya. Adapun perkara-perkara yang tidak disebut Allah di dalam al-Qur'an atau ia merupakan urusan gahib, maka tidak perlulah dia
menyibukkan diri dengannya. Pergi kepada perincian dan tafsilan kisah umat silam juga satu kerja sia-sia dan membuang masa. Apa yang disebut oleh al-Qur'an dengan
terang itu saja yang wajib diimani. Yang disebutnya secara samar-samar atau tidak nyata, kita serahkan saja hakikatnya kepada Allah s.w.t.
Aplikasi qaedah ini dapat dilihat pada beberapa firman Allah di bawah ini:
(1)Yusuf 12:20
وَشَرَوْهُ بِثَمَنٍۭ بَخْسٍ دَرَٰهِمَ مَعْدُودَةٍ وَكَانُوا۟ فِيهِ مِنَ ٱلزَّٰهِدِينَ
Maksudnya: Kemudian mereka menjualnya (Yusuf) dengan harga yang murah, iaitu (dengan) beberapa dirham sahaja; dan mereka (para pembeli) tidak menunjukkan
minat pun untuk membelinya.(Yusuf:20).
Al-Qur'an tidak menyebutkan dengan terang dan tepat, (Nabi) Yusuf telah dijual dengan berapa dirham. Ia cuma menyebutkan secara samar, umum dan tidak terang,
"beberapa dirham sahaja". Walaupun ada ahli tafsir yang dinukilkan berkata, dua puluh dirham, ada yang berkata dua puluh dua dirham dan ada pula yang berkata empat puluh dirham, namun semua itu tidak perlu diketahui oleh kita. Apa yang perlu diimani hanyalah dia telah dijual dengan harga yang murah, dengan beberapa dirham sahaja.
(2)Yusuf 12:22
وَلَمَّا بَلَغَ أَشُدَّهُۥٓ ءَاتَيْنَٰهُ حُكْمًا وَعِلْمًاۚ وَكَذَٰلِكَ نَجْزِى ٱلْمُحْسِنِينَ
Maksudnya: Dan tatkala dia telah cukup dewasa, Kami berikan kepadanya hikmah dan ilmu. Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.
(Yusuf 22).
Tidak jelas tersebut berapakah umur Nabi Yusuf ketika dia telah cukup dewasa itu?Ada yang berkata, dua puluh tiga tahun, ada yang berkata, dua puluh tahun, ada yang
berkata, lapan belas tahun, dan ada pula yang berkata tiga puluh tahun dan lain-lain lagi. Di dalam hadits yang sahih juga tidak terdapat keterangan tepat tentang umur
sebenar Nabi Yusuf ketika Baginda dikatakan Allah telah cukup dewasa itu. Cuma mafhumnya sahaja dapat disimpulkan, iaitu ketika Nabi Yusuf berada di kemuncak
zaman mudanya. Maka tidak perlulah anda membuang masa untuk menentukan berapa umur sebenarnya pada ketika itu.
(3)Al-Ma'idah 5:114
قَالَ عِيسَى ٱبْنُ مَرْيَمَ ٱللَّهُمَّ رَبَّنَآ أَنزِلْ عَلَيْنَا مَآئِدَةً مِّنَ ٱلسَّمَآءِ تَكُونُ لَنَا عِيدًا لِّأَوَّلِنَا وَءَاخِرِنَا وَءَايَةً مِّنكَۖ وَٱرْزُقْنَا وَأَنتَ خَيْرُ ٱلرَّٰزِقِينَ
Maksudnya: 'Isa Ibni Mariam (pun berdoalah ke hadhrat Allah dengan) berkata: Ya Allah, Tuhan kami! Turunkanlah kiranya kepada kami satu hidangan dari langit, untuk menjadi hari raya bagi kami, iaitu bagi kami yang ada hari ini dan bagi orang-orang kami yang datang kemudian dan sebagai satu tanda (mukjizat) daripadamu (yang menunjukkan kebesaran dan kekuasaanMu) dan kurniakanlah rezeki kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi rezeki. (al-Maa'idah: 114).
Tidak tersebut dengan terang, baik di dalam ayat ini atau ayat-ayat lain di dalam al-Qur'an, begitu juga di dalam mana-mana hadits sahih tentang kandungan hidangan
yang diturunkan oleh Allah dari langit untuk Nabi 'Isa dan pengikut-pengikutnya itu.Meskipun ahli-ahli tafsir ada mengemukakan beberapa pendapat tentangnya,
antaranya ialah ia berupa makanan, ia terdiri dari roti dan ikan, ia berupa buah-buahan dari syurga dan macam-macam lagi, namun apa yang disebutkan itu tidak harus dijadikan pegangan. Semuanya termasuk dalam kerja sia-sia. Mengetahuinya tidak membawa apa-apa faedah dan tidak mengetahuinya pula langsung tidak menjejaskan
iman.
63
Tiada ulasan:
Catat Ulasan