Selasa, Mei 04, 2021

K888. 10 perkara yang saya praktik kepada anak-anak untuk mereka dengar cakap.

K888. 10 perkara yang saya praktik kepada anak-anak untuk mereka dengar cakap. 

Saya tak pasti tips ini berkesan untuk semua atau tidak, tapi hari hari saya usahakan lakukan 10 tips ni atau sebahagianya saya nampak banyak perubahan. Jadi saya kongsikan disini supaya ada manfaatnya juga.

1) Jika anak tak beri perhatian dan sedang sibuk dengan urusan lain. Panggil namanya dengan jelas. Tapi, sebelum itu jauhkan anak dari situasi yang menganggu seperti bunyi alunan muzik, televisyen, suara orang ramai sedang bercakap. Sebaliknya tutup gangguan atau bawa anak ke tempat yang sesuai supaya anak dapat bertenang dan memberikan perhatian terhadap apa yang ingin kita sampaikan.

2) Rendahkan badan sebelum bercakap, jadi anak tak perlu mendongak ketika bercakap. Semasa rendahkan badan, boleh sentuh bahu mereka atau genggam tangan mereka. Boleh juga usap rambut atau pipi mereka. Anak akan berasa kasih dan belaian bila adanya sentuhan fizikal dari kita berbanding gunakan perkataan semata-mata.

3) Mula bercakap mengikut aras paras mata anak dan apabila anak beri perhatian kepada anda sepenuhnya. Pandang mata anak dengan penuh kasih sayang bukan dengan mata menjengil kemarahan. Cara ini membantu anak menerima arahan anda dengan jelas dan sepenuh perhatian tanpa perlu risau dengan ledakan emosi kita yang bila bila saja akan meletus.

4) Guna perkataan mudah difahami dan jelas didengari anak-anak. Tak perlu panjang dan berleter kerana ini akan mengelirukan anak. Membebel dalam masa mereka sedang fokus buat kerja lain, serius bazir masa kita. Trust me, they hear but they don’t listen.

5) Bercakap dengan suara lembut dan sopan tapi dalam masa sama ada unsur ketegasan. Tak perlu meninggi suara. Sebaiknya sebelum kita bercakap dengan anak, kawal emosi kita dahulu untuk mengelakkan kita menggunakan marah dan tengking untuk senyapkan anak.

6) Beri anak pilihan, kemukakan soalan jenis terbuka supaya anak dapat meluah pendapat mereka. Dengar, raikan dan jelaskan pendapat mereka. Jangan memaksa sehingga anak rasa dirinya tiada pilihan.

7) Semasa kita bercakap gunakan bahasa tubuh yang sesuai. Bahasa tubuh yang positif dan boleh memberi impak kepada sesebuah komunikasi. Contohnya anggukan kepala, thumbs up, give me five sign atau tepukan semasa bercakap.

8) Gunakan ayat positif semasa menegur anak. Anak akan rasa ada pesanan yang diselitkan bukan larangan semata. Contohnya, ubah kata-kata ” Abang, adik jangan bergaduh ” kepada ” Abang, adik main sama-sama sayang”.

9) Selepas bercakap, guna teknik bisikan. Anak akan rasa istimewa sebab baginya dia saja yang mendengar apa yang diluah oleh ibu. Semasa bisikan boleh ungkapkan kasih sayang dan sesekali boleh nyatakan reward bila mereka mendengar apa yang kita cakap.
” Nanti habis simpan mainan, kita buat cheesetart sama-sama nak?”

10) Minta anak ulang semula. Ini kerana anak-anak perlukan masa untuk memahami arahan yang diberi. Contohnya “Ahza, tolong mama simpan kertas lukisan Ahza dalam file. Ahza tadi mama minta tolong apa ye sayang?”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan