Maqasid Syariah.
Maqasid syariah merupakan tujuan yang dikeluarkan daripada
nas-nas syarak secara mendalam dan menyeluruh.
Maqasid syariah bukanlah suatu
kemaslahatan yang difikirkan oleh akal manusia semata-mata tetapi ia bersandarkan
kepada kefahaman yang mendalam dan menyeluruh terhadap nas-nas syarak.
Pembahagian Maqasid Syariah.
Maqasid syariah ialah matlamat yang ingin dicapai oleh syarak melalui pensyariatan hukum.
Ia telah dibahagikan kepada beberapa bahagian oleh ulama berasaskan kepada ijtihād mereka
melalui penelitian yang mendalam terhadap dalil-dalil syarak .
Secara
umumnya syariat Islam bertujuan untuk memberikan kebaikan dan menjauhkan keburukan
daripada manusia serta menjamin kepentingan mereka.
Kepentingan manusia yang menjadi
objektif syarak terbahagi kepada tiga jenis iaitu:
(a) Maqasid Ḍarūriyyāt: iaitu perkara yang menjadi keperluan manusia dan menjadi asas
kepada kehidupan mereka. Jika keperluan ini tidak dipenuhi, kehidupan mereka akan
menuju kehancuran. Keperluan asas ini ialah agama, nyawa, akal, keturunan dan
harta. Perkara-perkara ini menjadi objektif syarak dalam keseluruhan pensyariatan
hukum .
(b) Maqasid Ḥājiyyāt: iaitu keperluan manusia yang menjadikan kehidupan mereka
berjalan dengan mudah dan lancar. Ketiadaannya menyebabkan manusia menjalani
kehidupan dengan penuh kesukaran dan huru-hara. Antara contoh perkara tersebut
adalah keharusan jual beli, sewaan, pinjaman dan keringanan melakukan ibadat
ketika sakit atau bermusafir.
Perkara-perkara ini menyokong maqasid ḍarūriyyāt
seperti yang dinyatakan di atas.
(c) Maqasid Taḥsiniyyāt: iaitulah keperluan sampingan dan pelengkap yang menjadikan
kehidupan manusia lebih kemas dan selesa. Keperluan jenis ini berada di tahap yang
paling rendah dan kehilangannya tidaklah menyusahkan kehidupan manusia tetapi
kesannya, ia menyebabkan kehidupan menjadi hambar, suram serta tidak ceria.
Contoh maqasid ini ialah keharusan memakai pakaian dengan pelbagai corak dan
warna, keharusan menggunakan kenderaan yang mewah dan keharusan
menggunakan gelaran-gelaran yang baik
Pertama: Memelihara agama.
Ia merupakan prinsip yang paling utama untuk dipelihara berbanding dengan prinsip-prinsip lain. Contohnya adalah kewajipan keluar berperang mempertahankan Islam bagi mereka yang memenuhi syarat-syaratnya dan mendapat arahan daripada pemerintah. Walaupun peperangan itu boleh membawa kepada terkobannya jiwa dan kerosakan harta benda, namun kewajipan memelihara agama wajib didahulukan daripada perkara-perkara lain.
Kedua: Memelihara nyawa.
Ia merupakan prinsip yang kedua terpenting mengikut urutan keutamaan untuk dijaga selepas memelihara agama. Contohnya, Islam melarang perbuatan membunuh, sama ada membunuh diri sendiri atau manusia lain bagi memelihara nyawa. Hukuman qisas, diyat atau kaffarah dikenakan bagi mereka yang telah melakukan pembunuhan terhadap manusia lain sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.
Ketiga: Memelihara Akal.
Islam menuntut kita untuk menjaga akal kerana akal merupakan satu anugerah yang diberikan oleh Allah SWT kepada manusia dan telah menjadikan manusia lebih mulia berbanding dengan makhluk-makhluk lain. Contohnya, Islam melarang untuk meminum arak dan perkara-perkara yang memabukkan kerana perbuatan tersebut boleh merosakkan akal.
Keempat: Memelihara Keturunan.
Islam menggalakkan perkahwinan di antara lelaki dan perempuan sebagai salah satu cara untuk memelihara keturunan dan dalam masa yang sama melarang penzinaan dan menutup sebarang jalan yang membawa kepada penzinaan kerana perbuatan tersebut boleh membawa kepada kerosakan kepada keturunan serta nasab.
Kelima: Memelihara Harta.
Prinsip terakhir dalam al-dharuriyyat al-khamsah ialah memelihara harta. Contoh kepada prinsip ini ialah Islam melarang perbuatan mencuri, merompak dan seumpamanya bagi memelihara harta, dan dalam masa yang sama menggalakkan umatnya mencari rezeki yang halal melalui pelbagai cara yang diharuskan oleh syara’.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan