Muawiyah hantar
Di dalam teks asal berbahasa `Arab, sebelum وحَدَّثَنَا هَنَّادٌ terdapat huruf ح. Para `ulama’ hadits berbeda pendapat tentang hakikat dan erti huruf ح ini serta cara membacanya. Pendapat mereka antara lainnya adalah seperti berikut: (1) Ia adalah huruf ح sebenar-benarnya tanpa sebarang titik (حاء مهملة مفردة), bukan jim (ج) atau kha (خ). Ia merupakan ringkasan kepada perkataan (a) التحول (perpindahan / pertukaran sanad). (b) التحويل(pemalingan / pemusingan sanad). (c) الحديث (bacalah haditsnya nanti). (d) صح (betul) (e)الحائل (yang menyekat / menghalang). Jika ia dipakai dengan erti (a) dan (b), maka ia dibaca dengan ح(ha) sahaja mengikut sesetengah `ulama’ hadits di sebelah timur. Mengikut sesetengah yang lain, ia dibaca dengan حاء (haa’). Ertinya ialah pertukaran sanad di sini adanya. Menurut Maulana Muhammad Anwar Syah al-Kashmiri, ia lebih elok dibaca dengan qashar (ha), bukan mad (haa’). Alasan beliau ialah kata Sibawaih bahawa huruf ejaan bahasa `Arab yang tunggal atau terdiri daripada dua huruf yang berakhir dengan alif, jika berada dalam ayat akan dibaca dengan mad. Dalam keadaan bersendirian dan tidak berada di dalam ayat pula ia akan dibaca dengan qashar. Antara contohnya ialah sya`ir Hassaan bin Tsaabit dalam memuji Rasulullah s.a.w. Kata beliau:
ما قال لا قَطُّ إلا في تَشهدِهِ ◊ لولا التَّشَهُّدُ لم تُسْمَعْ لَهُ لاء
Bermaksud: Tidak pernah dia berkata tidak sama sekali kecuali dalam tasyahhudnya. Kalau tidak kerana bertasyahhud, niscaya tidak dapat didengar dia berkata tidak. (Lihat Kitab al-Kulliyyaat, karangan Abi al-Baqaa’). `Ulama’-`ulama’ hadits di sebelah barat (مغاربة)pula membacanya dengan berkata: تحويل (tahwil). Ertinya ialah pemusingan sanad berlaku atau ada di sini. Jika ia dipakai dengan erti (c), maka pada hakikatnya الحديث yang disebutkan itu menjadi maf`ul bagi fi`il yang mahzuf. Taqdirnya ialah اقرأ الحديث (bacalah haditsnya nanti) atau الحديث yang disebutkan itu menjadi mubtada’ yang mahzuf (dibuang) khabarnya. Taqdirnya ialah حديثه يأتي بعد (haditsnya akan datang nanti). Jika ia dipakai dengan erti (d), maka apabila sampai kepadanya disebutlah صح (betul). Dan jika ia dipakai dengan erti (e) pula, ia akan diabaikan tanpa disebut apa-apa apabila sampai kepadanya. Ia hanya dikira sebagai pemisah di antara dua sanad semata-mata. (2) Ia sebenarnya adalah huruf خ bukan huruf ح seperti yang disebutkan tadi. Sama ada ia merupakan ringkasan kepada: (a) إسناد آخر (ini isnad lain pula) atau (b) إقرأ إلى آخره (bacalah hingga ke akhir isnad / hadits). Tahwil atau pertukaran isnad terbahagi kepada dua bentuk. (1) Seseorang pengarang kitab hadits mempunyai dua sanad yang berbeza bagi sesuatu hadits. Kemudian dua sanad itu bertemu pada seorang perawi. Perawi di mana bertemunya dua sanad yang berbeza tadi dipanggil مدار الإسناد (perawi yang merupakan paksi kepada sesuatu hadits) atau مخرج الإسناد (perawi yang merupakan punca bagi sesuatu hadits). Hadits pertama yang dikemukakan oleh Tirmizi ini misalnya, diriwayatkan oleh Qutaibah dan Hannaad melalui dua saluran riwayat (sanad) yang berbeza. Kemudian kedua-dua saluran riwayat mereka bertemu pada Simaak bin Harb. Dengan itu Simaak bin Harb adalah مدار الإسناد bagi hadits berkenaan. (2) Seseorang pengarang kitab hadits mempunyai satu saja sanad bagi sesuatu hadits di permulaannya. Tetapi ia berpecah dua di peringkat atasnya. Tahwil bentuk kedua ini jarang sekali terdapat di dalam kitab-kitab Sihah Sittah. Sedangkan tahwil dalam bentuk pertama banyak sekali terdapat di dalamnya. Perlu juga diingat bahawa pada umumnya apabila terdapat tahwil di dalam isnad pengarang sesebuah kitab hadits, matan yang dikemukakannya adalah matan bagi sanad yang lebih tinggi. Maksud sanad yang lebih tinggi ialah sanad yang perawi-perawinya lebih sedikit berbanding sanad yang satu lagi. Sanad Tirmizi daripada Qutaibah lebih tinggi berbanding sanad beliau daripada Hannaad. Kerana di antara beliau dengan Simaak di dalam sanad Qutaibah hanya ada dua orang perawi sahaja. Sedangkan di dalam sanad beliau daripada Hannaad ada tiga orang perawi sebelum Simaak. Kerana itulah Imam Tirmizi mengemukakan matan yang diterimanya melalui sanad Qutaibah. Beliau menyebutkan perbezaan yang terdapat di dalam riwayat Hannaad daripada riwayat Qutaibah secara berasingan dengan katanya: قَالَ هَنَّادٌ فِي حَدِيثِهِ إِلاَّ بِطُهُور(Kata Hannaad di dalam hadits riwayatnya: “melainkan dengan bersuci.”). Maksud Imam Tirmizi ialah matan hadits yang diterimanya melalui riwayat Qutaibah adalah seperti yang dikemukakanya di atas. Matan hadits itu yang diterima beliau melalui riwayat Hannaad pula selengkapnya adalah begini:لاَ تُقْبَلُ صَلاَةٌ إِلاَّ بِطُهُوْرٍ وَلاَ صَدَقَةٌ مِنْ غُلُولٍ. Perbezaan di antara riwayat Qutaibah dan riwayat Hannaad terletak pada بِغَيْرِ طُهُوْرٍ dan إِلاَّ بِطُهُوْر sahaja. Yang lain-lain semuanya sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan