Ahad, Mac 06, 2022

Daurah tafsir 2022 kuliah 0001(05-08)s

Daurah tafsir 2022 kuliah 0001(05-08)s

Kepentingan belajar dan faham tafsir Quran:
Ini adalah kerana Allah, tuhan sekelian alam ini, menyuruh sampaikan Qur’an. 
Nabi telah bersabda bahawa manusia yang paling baik adalah yang belajar Quran dan menyampaikannya. 

Dan tidak ada ilmu lain lagi yang lebih penting dari Ilmu Aqidah yang mana boleh menyelamatkan manusia.

AlQuran  mengandungi ilmu yang penting ini, jadi untuk memperkemaskan akidahlah, perlu sekali belajar Tafsir Quran.

Definisi Qur’an:
Kitab yang diturunkan dari Allah kepada Nabi Muhammad .

Dan Quran ini diturunkan untuk insan semuanya,yang mesti difahami  agar boleh memperbetulkan kepercayaan yang ada dalam fikiran juga amalan 

Apakah itu ‘Tafsir Quran’?
Kita belajar tafsir untuk tahu apakah kehendak Allah ke atas kita. 

Ada beberapa jenis tafsir :
1. Tafsir Quran dengan Quran. Iaitu menggunakan ayat Quran sendiri untuk menafsir ayat Quran yang lain. 
Kerana ada ayat yang ringkas sahaja dalam menyebut sesuatu perkara dalam satu ayat dan ianya dijelaskan dengan lebih mendalam dalam ayat lain. Itulah sebabnya kena belajar 30 juzuk baru boleh dapat faham secara keseluruhan. Kerana kalau kita hanya tahu sebahagian ayat sahaja, kita tidak dapat tahu keseluruhan makna yang hendak disampaikan oleh Allah.

Terdapat tafsir Qur’an dengan Qur’an dalam ayat yang sama. Maknanya tak jauh kita nak cari makna atau penjelasan satu-satu ayat itu. 

Sebagai contoh, kita lihat ayat 2:187
dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) 
dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar.
 وَكُلُوا۟ وَٱشْرَبُوا۟ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ ٱلْخَيْطُ ٱلْأَبْيَضُ مِنَ ٱلْخَيْطِ ٱلْأَسْوَدِ مِنَ ٱلْفَجْرِۖ 

Asalnya ayat ini hanya,
وَكُلُوا۟ وَٱشْرَبُوا۟ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ ٱلْخَيْطُ  ٱلْأَبْيَضُ  مِنَ ٱلْخَيْطُ  ٱلْأَسْوَدِ  
Tetapi ada sahabat yang tidak tahu apakah maksud ‘benang’ putih dan benang hitam itu. 
Sampaikan ada yang meletakkan benang hitam dan putih di bawah bantal mereka. Dan mereka akan melihat benang-benang itu sampai jelas kepada mereka warna antara hitam dan putih itu, baru mereka berhenti makan. Kerana mereka sangka maksudnya memang literal benang putih dan benang hitam. Akhirnya diturunkan tambahan kepada ayat itu   (perkataan ditambah ) مِنَ ٱلْفَجْرِۖ  

Oleh  itu perkataan ٱلْفَجْرِۖ adalah  tafsir kepada الخيط(benang).  Dahulunya ayat itu hanya 
setakat sebut benang sahaja. Tapi kemudian diberikan penjelasan bahawa ‘benang’ yang  dimaksudkan adalah dari ‘fajar’. Jadi ini adalah contoh bagaimana ayat Qur’an ditafsirkan dengan ayat Qur’an di dalam ayat yang sama.

Ada juga tafsir Qur’an dengan Qur’an tapi ayat penafsiran itu duduk dalam surah yang lain.  Jenis sebegini lebih banyak dari jenis yang sebelumnya. Tapi kita kena tahu dimanakah kita boleh berjumpa dengan ayat penafsiran itu.

Contohnya ayat ini adalah bagaimana diceritakan Nabi Adam telah terima kalimat dari Allah. Ini disebut dalam 2:37
فَتَلَقَّىٰٓ ءَادَمُ مِن رَّبِّهِۦ كَلِمَٰتٍ فَتَابَ عَلَيْهِۚ 
Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya),
lalu Allah menerima taubatnya;

Nabi Adam telah melakukan kesalahan memakan pohon larangan dan baginda telah bertaubat tapi Allah tak terima taubat baginda dan Hawa. Berbagai cara telah digunakan.
oleh mereka berdua tetapi Allah tidak memakbulkan taubat mereka. Sehinggalah Allah ajar sendiri kalimat taubat itu sendiri. Kalimat taubat itu ada dalam surah lain iaitu dalam 
Al-A’raf:23.
قَالَا رَبَّنَا ظَلَمْنَآ أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ ٱلْخَٰسِرِينَ 
Mereka berdua merayu: “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi”.

Kalau tak belajar keseluruhan Qur’an, boleh jadi kita ada sangkaan lain kepada apakah maksud ‘kalimat’ itu.

2. Tafsir Quran dengan Sunnah. Pertamanya, kita kena sedar bahawa ‘Hadis’ dan ‘sunnah’ tidak sama. Sebab hadis ada banyak jenis – ada yang sahih, yang dhaif dan yang 
palsu pun ada. Kalau dikatakan sesuatu itu ‘sunnah’, semestinya hadis yang sahih. Hadis yang mansukh tidak dikira sunnah kerana tidak diamalkan lagi. Sebagai contoh, ada hadis yang Nabi pernah bersabda yang makan makanan yang dimasak dengan api akan membatalkan wuduk. Memang ianya ada dalam hadis yang sahih, tetapi itu adalah hukum semasa awal Islam dan hukum itu tidak dipakai lagi kerana ada hadis lain yang menunjukkan amalan Nabi tidak begitu.Kita memahami maksud sesuatu ayat itu mengikut apakah yang dijelaskan oleh Nabi. Ini 
adalah kerana ianya tugas Nabi untuk menjelaskan mana-mana ayat yang tak jelas. Kalau baginda tidak jelaskan, tentu kita tidak akan dapat tahu. Bagaimana cara Nabi jelaskan? Baginda jelaskan dalam bentuk amalan. Dengan cara itu, kita dapat tahu bagaimanakah 
cara untuk mengamalkan sesuatu perkara itu. Sebagai contoh, ayat Quran banyak menyuruh kita mengerjakan solat. Tapi kalau Nabi tidak ajar kita bagaimana mengerjakan solat, kita tidak akan tahu bagaimana caranya mengamalkan sesuatu yang Allah suruh kita lakukan dalam Qur’an.

3. Tafsir dengan perkataan sahabat. Kata-kata para sahabat boleh dipercayai sebab mereka belajar sendiri dengan Nabi. Dan mereka jujur dalam tafsir dan tidak dipertikaikan. Imam Hakim kata tafsir dengan sahabat Nabi itu adalah sesuatu yang kukuh dan teguh dan diterima pakai sebagai hujah oleh Bukhari dan muslim.

4. Tafsir dengan kata-kata tabein. Kerana mereka adalah anak murid kepada sahabat Nabi. Tapi tafsir dengan kata-kata tabein ini ada syarat. Bukan semua kata-kata tabein boleh dijadikan hujah dalam tafsir. Kalau mereka semua sepakat atas tafsir mana-mana ayat, maka itu adalah hujah. Tapi kalau mereka berselisih pendapat, tidak lagi boleh dipakai hujah itu untuk menghujah kata-kata tabein yang lain yang tidak sama. Dan tak boleh digunakan untuk lawan dengan hujah orang selepasnya pula (yang bukan tabein). Kalau jadi begitu, kena cari dalil sokongan untuk menguatkan hujah mereka. Antaranya, kena tengok pada lughah Qur’an dan lughah hadis. Iaitu melihat kebiasaan maksud yang digunakan dalam Qur’an dan hadis.

Kalau tidak ada, maka kena pakai keumuman bahasa 
Arab yang biasa digunakan dan difahami. Kena buka kamus bahasa Arab. Ataupun melihat kepada pendapat sahabat yang mirip kepada pendapat tabein itu.
Walaupun begitu, sikit sangat yang ada perselisihan antara tabein. Maka, kalau tafsir menggunakan pendapat ulama sahaja, ianya adalah lemah. 

Kisah Israiliyat pun tidak boleh digunakan dan tidak perlu digunakan sebagai hujah dalam tafsir. Buat punah sahaja. Tafsir Israiliyat ini diambil dari kitab atau pendapat ulama Yahudi. Ini Tidak perlu dan tidak sangkut paut dengan kita. Malangnya, banyak sekali digunakan atau dimasukkan dalam kitab tafsir termasuk dalam Tafsir Jalalain sekalipun. Tapi hanya kita ketahui perkata ini kalau kita belajar. Takut kita hanya terima sahaja tanpa usul periksa.

 Selain dari yang empat derajat tafsir ini, ia dipanggil ‘takwil’, bukan tafsir. Apakah Maksud Takwil?:
Takwil bermaksud huraian makna kedua. Ianya bukan datang dari Nabi, sahabat atau tabein. Ianya memalingkan makna dari lafaz asal kepada makna baru. Dari makna yang zahir kepada makna lain tapi bersesuaian dengan lafaz itu. Bersesuaian juga dengan ayat sebelum dan ayat selepasnya. Juga tidak bercanggah dengan ayat lain dan sunnah. 
Sebagai contoh, Ayat Maidah:6, ada dikatakan yang wuduk akan terbatal kalau ‘sentuh’.
 وَإِن كُنتُم مَّرْضَىٰٓ أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ أَوْ جَآءَ أَحَدٌ مِّنكُم مِّنَ ٱلْغَآئِطِ أَوْ لَٰمَسْتُمُ ٱلنِّسَآءَ فَلَمْ تَجِدُوا۟ مَآءً فَتَيَمَّمُوا۟ صَعِيدًا طَيِّبًا فَٱمْسَحُوا۟ بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُم مِّنْهُۚ 
dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air) atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah – debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah – debu itu.
 
Makna asal perkataan لَٰمَسْتُمُ adalah ‘sentuh’. Abdullah Abbas kata maknanya bukanlah sentuh yang biasa tapi ‘bersetubuh’ – bersentuh-sentuhan. Pertukaran makna itu adalah  takwil. 

Ibn Mas’ud pula kata memang ianya bermaksud ‘sentuh’ sahaja. Beliau juga sahabat. Oleh itu, dua-dua boleh pakai.

Imam Syafie dalam qaul qadimnya, kalau sentuh bersyahwat maka akan batal wuduk. Jadi kalau sentuh tiada syahwat, tidaklah batal. Inilah yang dipakai kalau pergi umrah haji. Supaya memudahkan mereka yang sedang dalam  keadaan orang ramai itu supaya tidaklah selalu terbatal wuduk dan susah payah pula untuk ambil wuduk.

15 ilmu alat yang perlu ada untuk tafsir  atau takwil ayat Qur’an:
1. Lughah – seseorang yang boleh takwil itu kenalah mahir bahasa Arab. Tahu bahasa Arab dengan sempurna.
2. Kaedah bahasa Arab. Tahu nahu bahasa Arab dengan mahir.
3. Tasrif – perubahan kalimah. Dalam bahasa Inggeris dipanggil tense.
4. Kajian asal kalimah. Tahu katadasar asal sesuatu ayat dalam Quran itu.
5. Ilmu Maani – satu-satu perkataan ada banyak makna, jadi ulama takwil kena mahir ilmu ini.
6. Ilmu Bayan – Dan ada kalanya, banyak perkataan, tapi satu makna sahaja.
7. Ilmu badi’ – indah makna dari sebutan. Macam ada surah yang berakhir dengan ‘ya’  sahaja. Ini selalu digunakan dalam Qur’an.
8. Qiraat. Cara baca Qur’an yang berbeza-beza
9. Usuluddin – ilmu tentang akidah.
10. Usul Fiqh – kaedah mengeluarkan hukum fekah. Dari sinilah timbul beza mazhab. Kerana usul feqah yang berbeza. Kalau tak boleh buat usul sendiri, kena ikut mazhab. Macam di Malaysia  pakai mazhab Syafie.
11. Asbabun Nuzul. Tahu sebab turun sesuatu ayat. Kita akan jelas tentang sesuatu ayat itu kalau kita tahu apakah peristiwa turunnya ayat itu. 

12. Nasikh mansukh.   Imam Suyuthi kata ada 20 ayat yang telah dimansuhkan.Ada pula ulama yang kata 5 ayat sahaja.
13. Feqah. Kena tahu hukum lengkap dari sunnah. Apabila jumpa ayat hukum, kena tahu hukum yang lengkap. Kerana ayat Qur’an hanya sebut ringkas sahaja dan penjelasan 
ada dalam hadis Nabi 
14. Beberapa hadis yang disebut khas oleh Nabi yang menjelaskan makna sesuatu ayat yang samar maknanya. Kerana kalau Nabi tidak beritahu, kita tidak akan tahu.
15. Ilmu wahbiyyun. Kemahiran. Allah akan beri kemahiran ini apabila sudah faham keseluruhan 14 ilmu sebelum ini. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan