Sahih bukhari kitab azan 10/7/22(2)
¹⁴⁰¹ Tajuk bab ini adalah sebahagian daripada hadits kedua dan ketiga yang dikemukakan oleh Bukhari di bawah bab ini iaitu hadits 688 dan 689.Tujuan diadakan tajuk bab ini ialah untuk menyatakan bahawa mengikut imam bererti ma'mūm haruslah mengikut imamnya pada segala perbuatannya dalam shalat,baik pada takbir-takbirnya atau pada ruku', sujud, berdiri, duduk, bacaan dan lain-lain. Ia tidak boleh mendahului imam, menyalahinya atau melakukan serentak bersama-samanya. Kecuali apabila ada dalil yang menunjukkan ma'mum dikehendaki membaca atau melakukan sesuatu yang lain daripada apa yang dibaca dan dilakukan oleh imam.
Antara masalah yang terkecuali daripada peraturan yang asal itu ialah:
(1) Apabila imam bersembahyang sambil duduk kerana sesuatu keuzuran, ma'mum yang mampu berdiri tidak perlu duduk. Berhubung dengan masalah ini terdapat dua peristiwa yang berlaku kepada Rasulullah s.a.w. semasa hidupnya.
Pertama,pada tahun ke-5 Hijrah. Apa yang berlaku pada peristiwa itulah yang digambarkan dalam hadits 688 dan 689.
Keduanya, pada tahun ke-11 Hijrah ketika sakit yang membawa Baginda kepada kewafatan.Apa yang berlaku pada peristiwa itulah yang digambarkan dalam hadits 687.
Menurut jumhur 'ulama', dalam keadaan imam bershalat sambil duduk, ma'mum yang mampu berdiri tidak boleh duduk. Amalan terakhir Rasulullah s.a.w. itulah yang menjadi dalilnya. Dan ia memansukhkan atau mengkhususkan arahan Baginda supaya duduk yang diberikan pada tahun ke-5 Hijrah.
Itulah sebabnya Imam Bukhari mendahulukan huraian tajuk bab dengan katanya, “Nabi S.A.W.Bersembahyang Mengimami Orang Ramai Sambil Duduk Semasa Sakit Yang Membawa Kepada Kewafatan Baginda." Sedangkan orang ramai menjadi ma'mūm di belakang Baginda dengan bersembahyang sambil berdiri, dan Baginda tidak menyuruh pun mereka duduk. Ini menunjukkan hadits Nabi s.a.w إنما جعل الإمام ليؤتم به itu sama ada telah mansukh atau umum makhsus. Ia tidak (harus) dipakai seumum-umumnya.
Imam Ahmad cuba menjama'kan kedua-dua hadits di bawah bab ini. Bagi beliau, dalam keadaan imam bersembahyang sambil duduk kerana keuzuran dari awal sembahyang lagi, para ma'mum hendaklah bersembahyang sambil duduk juga, walaupun mereka mampu berdiri. Dalam keadaan imam bersembahyang sambil duduk di pertengahan shalat pula, ma'mum yang mampu berdiri hendaklah bersembahyang sambil berdiri. Alasan beliau ialah dalam peristiwa shalat pada tahun ke-5 itu Rasulullah s.a.w. kerana uzur, dari awal lagi telah bersembahyang sambil duduk. Sedangkan dalam peristiwa shalat bersama Abu Bakar di akhir hayat Baginda pula, duduknya Baginda adalah ketika shalat sedang berlangsung. Abu Bakar memulakannya dengan berdiri.
Bagi Imam Malik, seseorang yang uzur sehingga tidak dapat berdiri tidak boleh menjadi imam kepada orang-orang yang mampu berdiri. Semua yang mampu berdiri pula hendaklah bersembahyang fardhu sambil berdiri, tidak kira ia imam, ma'mum atau seorang diri. Apa yang tersebut di dalam hadits di bawah bab ke-51 ini khusus dengan Rasulullah s.a.w. sahaja. Orang-orang lain tidak dibenarkan mengimami para ma'mum yang mampu berdiri jika ia sendiri hanya mampu duduk.
(2) Menurut jumhur 'ulama', imam ketika bangun daripada ruku' hanya mengucapkan tasmī' (سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَه) sahaja. Ma'mum pula hanya mengucapkan tahmid (ُرِبَّنَا وِلَكَ الْحَمْد) sahaja. Dalilnya ialah pembahagian oleh Rasulullah s.a.w. sendiri berdasarkan sabda Baginda di dalam hadits 689 di bawah bab ini:
وإذا قال سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَه فقولوا رِبَّنَا وِلَكَ الْحَمْد
Maksudnya:...dan apabila ia (imam) mengucapkan سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَه (pula), maka kamu ucapkanlah رِبَّنَا وِلَكَ الْحَمْد)...
Menurut Imam Syafi'e, imam dan ma'mum mengumpulkan kedua-dua zikir itu. Jadi berdasarkan fahaman beliau ma'mum tetap mengikut imam dalam mengumpulkan kedua-dua zikir tersebut. Sementara mengikut fahaman jumhur pula, ini juga termasuk dalam perkara yang dikecualikan ma'mum mengikut imam.
(3) Para 'ulama' berbeda pendapat tentang kewajipan membaca Fatihah kepada ma'mum. Menurut jumhur 'ulama', tidak wajib, malah dilarang terutamanya dalam shalat jahriyyah. Dalil mereka ialah sabda Rasulullah s.a.w.:
وإذا قرأ فأنصتوا
Bermaksud: “...dan apabila ia (imam) membaca, kamu hendaklah diam...”
(Hadits riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud, an-Nasā'i, Ibnu Majah dan lain-lain). Dan juga sabda Baginda:
مَنْ صَلَّ خَلْفَ الإِمَامِ فَإِنَّ قِرَاءَةَ الإِمَامِ لَه قِرَاءَةٌ
Bermaksud:“Sesiapa bersembahyang di belakang imam, maka bacaan imam menjadi bacaan baginya.”
(Hadits riwayat Imam Muhammad di dalam al-Muwattha' dan al-Aatsārnya, `Abdur Razzaaq di dalam Mushannafnya, `Abd bin Ĥumaid di dalam Musnadnya dan lain-lain).
Hadits ini diriwayatkan daripada lima orang sahabat. Untuk mendapat perincian tentangnya sila lihat Nashbu ar-Rāyah karangan az-Zaila`i (j.2 m/s 6-11).
Hadits-hadits di atas dan hadits-hadits lain seumpamanya bagi jumhur 'ulama', mengecualikan ma'mum daripada mengikut imam dalam bacaan Fatiĥah dan juga surah di dalam shalat. Terdapat banyak juga atsar sahabat berhubung dengan masalah ini.
(Lihat Nashbu ar-Rāyah j.2 m/s 12-14).
¹⁴⁰² Hadits Nabi s.a.w. ini dikemukakan secara ta'līq sahaja di sini, sedangkan ia adalah satu hadits yang musnad daripada riwayat 'Aaishah. (Lihat hadits 664). Sepintas lalu ia kelihatan tidak mempunyai perkaitan dengan tajuk bab. Tetapi jika direnungi, akan nampaklah perkaitannya. Potongan hadits yang dikemukakan oleh Bukhari itu menghendaki ma'mūm mengikut imam secara mutlaq. Padahal ada pun dalil yang mengkhususkannya. Dalil yang mengkhususkannya ialah hadits pertama di bawah bab ini (hadits ke-687). Kalaulah ma'mūm secara mutlaq harus mengikut imam, niscaya para sahabat yang menjadi ma'mūm kepada Rasulullah s.a.w. di akhir hayatnya itu mestilah juga bershalat sambil duduk, kerana Baginda bershalat dalam keadaan duduk dalam shalatnya itu.
¹⁴⁰³ Atsar Ibnu Mas'ud ini dikemukakan secara ta'līq sahaja oleh Bukhari. Ia dikemukakan secara maushūl dengan isnad yang sahih oleh Ibnu Abi Syaibah. Redaksinya lebih sempurna daripada apa yang dikemukakan oleh Bukhari di sini. Berikut adalah teksnya:
Bermaksud: “Janganlah kamu mendahului imam-imam kamu dengan rukū' dan jangan juga dengan sujud. Jika seseorang daripada kamu mengangkat kepalanya ketika imamnya sedang sujud, ia hendaklah sujud (kembali) selama ia telah mendahului imamnya.”
لَا تُبَادِرُوا أَئِمَّتَكُمْ بِالرُّكوعِ وَلَا بِالسُّجُودِ وَإِذَا رَفَعَ أَحَدُكُمْ رَأْسَهُ وَالْإِمَامُ سَاجِدٌ فَلْيَسْجُدْ ثُمَّ لْيَمْكُثْ فِدّرِ مَا سَبَقَهُ بِهِ الْإِمَامُ
Seolah-olahnya apa yang disebut oleh Ibnu Mas'ud ini adalah apa yang difahaminya daripada hadits Rasulullah s.a.w. إِنَّمَا جُعِلَ الْإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ dan juga hadits وَمَا فَاتَكُمْ فَأَتِمُّوا
Bermaksud:“dan apa-apa yang terlepas (dalam shalat), hendaklah kamu sempurnakan.”
Abdur Razzāq pula dengan isnad yang sahih juga meriwayatkan daripada 'Umar kata-kata yang sama mafhumnya dengan kata-kata Ibnu Mas'ud itu. Teksnya adalah seperti berikut:
أَيُّمَا رَجُلٍ رَفَعَ رَأْسَهُ قَبْلَ الْإِمَامِ فِى رُكُوعٍ أَوْ سُجُودٍ فَلْيَضَضْ رَأْسَهُ بِقَدْرِ رَفْعِهِ إيَّاهُ
Bermaksud: “Mana-mana orang yang mengangkat kepalanya sebelum imam, sama ada daripada ruku' atau daripada sujud, ia hendaklah kembali menundukkan kepalanya selama ia telah mengangkat kepala mendahului imam.”
Berkata az-Zain Ibnu al-Munaiyyir,“Kalau orang yang mengangkat kepala mendahului imam disuruh mengqadha' kadar yang didahuluinya, maka wajar sekali ma'mum mengikut imam pada keseluruhan sujud. Dengan itu, tidak bolehlah ia bersujud selagi imam belum bersujud.
Berdasarkan keterangan yang lalu, nyatalah kesesuaian atsar ini dengan tajuk babnya.
¹⁴⁰⁴ Atsar al-Ĥasan al-Bashri yang dikemukakan oleh al-Bukhari di sini berbicara tentang dua masalah furu'.
Pertamanya tentang orang yang bersembahyang mengikut imam dua raka'at, tetapi ia tidak dapat sujud kerana kesesakan yang amat sangat. Apakah yang harus dilakukannya? Lalu beliau (Ĥasan) sendiri memberi jawapannya, iaitu ia hendaklah bersujud dua kali setelah imam memberi salam, kemudian bangun untuk mengqadha' raka`at pertamanya bersama-sama dua sujud yang tidak dapat dilakukannya ketika mengikut imam.
Atsar Ĥasan ini diwashalkan oleh Sa'id bin Manshūr daripada Husyaim daripada Yunus daripada Ĥasan. Begini teksnya:
في الرجل يركع يوم الجمعة فيزحمه الناس فلا يقدر على السجود، قال:إذا فرغوا من صلاتهم سجد سجدتين لركعته الأولى، ثم يقوم ركعة وسجدتين
Maksudnya: Berhubung dengan orang yang bersembahyang (Juma'at) pada hari Juma'at. Kerana sesak sangat orang, ia tidak dapat bersujud. Kata beliau (Ĥasan): “Apabila selesai semua orang bersembahyang, ia hendaklah bersujud dua kali untuk raka`at pertama baginya. Kemudian bangun mengerjakan satu raka'at lagi dengan dua sujudnya.”
Hukum ini tidak khusus dengan sembahyang Juma'at sahaja, lain-lain sembahyang juga sama hukumnya, seperti sembahyang dua hari raya atau sembahyang Subuh dan
lain-lain. Disebutkan sembahyang Juma'at hanyalah kerana kesesakan selalunya berlaku pada ketika sembahyang Juma'at.
Keduanya ialah tentang orang yang terlupa satu sujud dalam shalatnya lalu ia berdiri. Menurut Hasan al-Bashri, ia perlu terus sujud dengan meninggalkan perbuatan berdirinya tanpa mengerjakan terlebih dahulu dua sujud yang sempurna.
Atsar Ĥasan ini diwashalkan oleh Ibnu Abi Syaibah dengan lebih sempurna lagi daripada apa yang dikemukakan oleh Bukhari di sini. Begini teksnya:
في رجل نسي سجدة من أول صلاته فلم يذكرها حتى كان إخر ركعة من صلاتهد قال:يسجد ثلاث سجدات فإن ذكرها قبل السلام يسجد سجدة واحدة، وإن ذكرها بعد انقضاء الصلاة يسئانف الصلاة
Maksudnya: Tentang orang yang terlupa satu sujud di permulaan shalatnya, ia tidak ingat kecuali pada raka'at terakhir shalatnya (ketika hendak sujud). Kata Ĥasan:“Ia hendaklah bersujud tiga kali. Jika ia teringat sebelum memberi salam, ia hanya perlu bersujud sekali sahaja. Jika ia teringat selepas selesai bersembahyang, maka hendaklah ia mengulangi sembahyangnya.”
Soalnya di manakah letaknya kesesuaian atsar Ĥasan yang dikemukakan ini dengan tajuk bab yang diadakan oleh Bukhari?
Jawapannya ialah ia terletak pada ma'mum tetap perlu mengikut imam walaupun ada sedikit sebanyak percanggahan pada perbuatannya dengan imam.
Menurut Malik, dalam keadaan kesesakan yang teruk, ma'mum tidak boleh bersujud di atas belakang ma'mum di hadapannya. Dan sembahyang perlu diulangi apabila ma'mum menyalahi imam. Tokoh-tokoh besar dalam / Hanafi, Imam Syafi'e dan Imam Abu Tsaur pula berpendapat, ia boleh bersujud (di atas belakang, tumit atau betis ma'mum di hadapannya) tanpa perlu mengulangi shalatnya. (Lihat 'Umdatul Qāri j.5 m/s 313, Fatĥul Bāri j.2 m/s 174).
1117
Tiada ulasan:
Catat Ulasan