Jumaat, Oktober 14, 2022

Tafsir quran dengan quran 12/10/22(05)

Tafsir quran dengan quran 12/10/22(05)
Al-Baqarah 2:178
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلْقِصَاصُ فِى ٱلْقَتْلَىۖ ٱلْحُرُّ بِٱلْحُرِّ وَٱلْعَبْدُ بِٱلْعَبْدِ وَٱلْأُنثَىٰ بِٱلْأُنثَىٰۚ فَمَنْ عُفِىَ لَهُۥ مِنْ أَخِيهِ شَىْءٌ فَٱتِّبَاعٌۢ بِٱلْمَعْرُوفِ وَأَدَآءٌ إِلَيْهِ بِإِحْسَٰنٍۗ ذَٰلِكَ تَخْفِيفٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَرَحْمَةٌۗ فَمَنِ ٱعْتَدَىٰ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَلَهُۥ عَذَابٌ أَلِيمٌ
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu (para pemerintah) diwajib melaksanakan hukuman "qishaash" (balasan yang seimbang) dalam kes orang-orang yang mati dibunuh, iaitu orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan.²⁸¹ Sesiapa
(pembunuh) yang diberi suatu kemaafan dari saudaranya (pihak keluarga yang terbunuh),²⁸² maka hendaklah ia (pihak yang memaafkan itu) mengikut cara yang wajar (dalam menuntut ganti nyawa), dan (pihak pembunuh yang mendapat kemaafan itu pula) hendaklah menunaikan (bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Itulah suatu keringanan dan rahmat dari Tuhanmu.²⁸³  Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula), maka ia akan mendapat azab yang amat pedih. [178].

-orang beriman dalam ayat ini bermaksud pemerintah.
-persatuan atau pertubuhan walau seramai mana pengikutnya tidak boleh melaksanakan perintah Allah ini.
-hanya pemerintah yang boleh melaksanakannya.
-pemerintah bererti orang yang mempunyai kuasa atau adanya negara yang diperintah.
-Atau dengan kata lain hanya dengan ada negara baru boleh buat hukum qisas
- ini menunjukan Islam akan sempurna dengan adanya negara.
- maka menegak negara Islam wajib sebab nak menegakan peraturan-peraturan yg Islam suruh tegakan  .

- kaedahnya مَا لَايَتِمُّلْ وَجِب إِلَّا بِهِ فَهُوَ وَجِب
Sesuatu yang wajib tidak sempurna melainkan dengannya maka itu pun jadi wajib.


²⁸¹ Sekali pandang ayat ini hanya mewajibkan hukuman qishaash terhadap orang merdeka apabila ia membunuh orang merdeka juga, hamba baru dihukum qishaash apabila ia membunuh hamba sepertinya dan wanita hanya diqishaash (dihukum bunuh) apabila ia membunuh wanita juga. Adapun kalau orang merdeka membunuh hamba, maka ia tidak diqishaash dan pembunuh yang berlainan jantina juga tidak diqishaash. 

Pandangan seperti ini tidak benar. Lebih-lebih lagi pandangan sesetengah pihak yang mengatakan hukuman qishaash itu hanya berlaku apabila terdapat persamaan taraf dan darjat di antara pembunuh dan yang dibunuh.

Orang yang lebih tinggi darjatnya tidak boleh diqishaash (dibunuh) kerana membunuh orang yang lebih rendah kedudukan dan darjat daripadanya. Hukuman qishaash itu hanya terhadap orang yang sama darjat dengan orang yang dibunuh atau terhadap orang yang lebih rendah darjatnya daripada orang yang dibunuh. 

Hamba akan diqishaas apabila membunuh orang merdeka, tetapi orang merdeka tidak boleh diqishaash kerana membunuh hamba, lantaran darjat mereka tidak sama.

Wanita akan diqishaash apabila membunuh orang lelaki, tetapi lelaki tidak boleh diqishaash apabila membunuh wanita, kerana darjat mereka juga tidak sama. 

Begitu juga orang kafir akan diqishaash apabila membunuh orang Islam, sebaliknya orang Islam tidak boleh diqishaash apabila membunuh orang kafir, kerana daripada segi darjat mereka juga tidak sama. 

Kedua-dua pandangan tersebut tidak menepati prinsip keadilan yang dikemukakan oleh Al-Qur'an. 

Prinsip keadilan Islam dalam kes qishaash tersebut dengan jelas di dalam ayat Surah al-Maa'idah yang akan dikemukakan nanti. la tidak membeza-bezakan jantina, umur, status kemasyarakatan, ugama dan lain-lain. Malah manusia semuanya sama menurut hukum Allah. 


Lihat ayat berkenaan di bawah ini: Al-Ma'idah 5:45
وَكَتَبْنَا عَلَيْهِمْ فِيهَآ أَنَّ ٱلنَّفْسَ بِٱلنَّفْسِ وَٱلْعَيْنَ بِٱلْعَيْنِ وَٱلْأَنفَ بِٱلْأَنفِ وَٱلْأُذُنَ بِٱلْأُذُنِ وَٱلسِّنَّ بِٱلسِّنِّ وَٱلْجُرُوحَ قِصَاصٌۚ فَمَن تَصَدَّقَ بِهِۦ فَهُوَ كَفَّارَةٌ لَّهُۥۚ وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ فَأُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ 
Bermaksud: Dan Kami telah tetapkan atas mereka di dalamnya (Kitab Taurat itu), bahawa nyawa (dibalas) dengan nyawa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi, dan luka-luka (pun) ada qishaashnya. Tetapi sesiapa yang melepaskan (hak qishaash) nya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. 

Ayat ini dengan jelas menyatakan hukuman yang saksama, "nyawa (dibalas) dengan nyawa" tanpa mengaitkannya dengan kesamaan taraf, baik daripada segi jantina, umur, status kemasyarakatan, ugama dan lain-lain.


Qaid (orang merdeka diqishaash dengan sebab membunuh orang merdeka, hamba diqishaash dengan sebab membunuh hamba, dan perempuan diqishaash dengan sebab membunuh perempuan) yang terdapat pada ayat 178 Surah al-Baqarah ini hanya qaid ittiifaqi . la bukan qaid ihtirazi yang merupakan syarat yang mesti. Sememangnya ada sebab dan latar belakang tertentu yang menghendaki sifat-sifat itu disebutkan di dalam ayat 178 ini. la hanya berkait dengan sebab dan latar belakang berkenaan sahaja.

²⁸² Penggunaan perkataan أخيه (saudaranya) di sini mengisyaratkan kepada syari'at lebih menggalakkan pengampunan daripada menuntut qishaash. Di dalam ayat yang lain Allah berfirman:   
Al-Baqarah 2:237
وَإِن طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِن قَبْلِ أَن تَمَسُّوهُنَّ وَقَدْ فَرَضْتُمْ لَهُنَّ فَرِيضَةً فَنِصْفُ مَا فَرَضْتُمْ إِلَّآ أَن يَعْفُونَ أَوْ يَعْفُوَا۟ ٱلَّذِى بِيَدِهِۦ عُقْدَةُ ٱلنِّكَاحِۚ وَأَن تَعْفُوٓا۟ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰۚ وَلَا تَنسَوُا۟ ٱلْفَضْلَ بَيْنَكُمْۚ إِنَّ ٱللَّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ 
Bermaksud: Dan jika kamu ceraikan mereka sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka, padahal kamu sudah menetapkan kadar maskahwin untuk mereka maka mereka berhak mendapat separuh dari maskahwin yang telah kamu tetapkan itu kecuali jika mereka (isteri-isterimu itu) memaafkannya (tidak menuntutnya); atau (pihak) yang memegang ikatan nikah itu memaafkannya (memberikan maskahwin itu dengan sepenuhnya). Dan pemaafan kamu itu lebih hampir kepada taqwa. Dan janganlah pula kamu lupa berbudi kepada sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat apa jua yang kamu kerjakan. 

²⁸³ Keringanan dan rahmat yang disebutkan Allah ini mengisyaratkan kepada syariat terdahulu yang tidak memberi hukuman pilihan kepada pembunuh dengan sengaja. Hukuman terhadapnya tidak ada lain selain dibunuh balas (diqishaash).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan