12.Tujuan Kitab Jaami` At-Tirmizi Ditulis.
Boleh dikatakan setiap pengarang kitab hadits mempunyai maksud dan tujuan tersendiri bilamana mereka membuat keputusan menghasilkan sesebuah karya.
Begitulah juga dengan Imam Tirmizi. Beliau juga tidak terkecuali mempunyai motif dan sebab yang mendorongnya mengarang kitab ini. Untuk menghasilkan sesebuah karya yang cukup istimewa, karya itu perlulah ada kelainan. Ia semestinya unik dan tidak berkumpul dalam suatu lingkaran yang sama. Malah jika keunikan dan
keistimewaan itu belum pernah diketahui dihasilkan sepanjang sejarah atau tidak pernah diketengahkan oleh sesiapa pun sebelumnya, maka ia akan menjadi tinggalan dan warisan yang amat bernilai.
Manfa`atnya pula cukup besar di kemudian hari.
Kitab Jaami` Tirmizi yang dipersembahkan oleh Imam Tirmizi ini selain mengumpulkan hadits-hadits yang berbagai-bagai taraf dan kedudukannya, ia juga
memainkan peranan utama dalam menerangkan mazhab-mazhab `ulama’ mujtahidin yang terdapat pada ketika itu. Komitmen Imam Tirmizi ini jelas kelihatan di dalam kitabnya, apabila setiap pendapat `ulama’ mazhab tertentu dalam sesuatu masalah atau hukum dirangkaikan bersama hadits yang menjadi asas dan dalil kepada
pendapat tersebut.
Dalam hal ini Imam Tirmizi ada metodenya yang tersendiri. Beliau telah memilih jalan tengah di antara kaedah penulisan Imam Bukhari dan Imam Muslim. `Ulama’-
`ulama’ serta para pengkaji hadits melalui pengamatan dan pengalaman telah membuat sebuah kesimpulan bahawa tidak mungkin bagi seseorang itu memahami apa yang dikehendaki Imam Bukhari tanpa terlebih dahulu bertungkus-lumus mempelajari dan mengerti metodologi penulisannya.
Antara matlamat utama Imam Muslim menulis Kitab Sahihnya pula ialah untuk memberitahu bahawa hadits-hadits sahih yang menjadi pegangan umat Islam itu banyak thuruqnya. Secara tidak langsung kitab beliau itu menjadi terlalu terperinci, kerana setiap turuq hadits tersebut akan dikemukakan oleh beliau.
Walaupun Imam Abu Daud juga menghasilkan kitab yang menekankan sudut dalil bagi fuqaha’, namun setakat itu sajalah persamaannya dengan kitab Imam Tirmizi. Tidak disebut di dalam kitab Sunan Abi Daud nama-nama fuqaha’ yang terlibat dalam sesuatu topik yang diperbincangkan. Sama ada dari kalangan sahabat, tabi`in atau imam-imam mujtahidin lainnya.
Tetapi tidak demikian halnya dengan Jaami` Tirmizi. Keseluruhan nama-nama dan individu-individu yang berkaitan telah disertakan bersama oleh Imam Tirmizi. Dengan itu kitab Jaami` at-Tirmizi telah muncul sebagai salah satu sumber rujukan dan kitab penyelidikan terpenting bagi umat Islam.
Antara tujuan Imam Tirmizi mengarang kitab Jaami`nya ialah mengumpul turuq(saluran-saluran) riwayat yang banyak dengan cara yang paling ringkas. Dengan
melakukan demikian Imam Tirmizi telah meninggalkan suatu kaedah yang cukup bernilai dalam mengenal pasti hadits-hadits yang mempunyai intisari yang sama,
tetapi diriwayatkan oleh perawi yang berlainan. Tujuan Imam Tirmizi hampir sama dengan tujuan Imam Muslim dalam hal ini, akan tetapi caranya berbeza sekali. Pada
ketika Imam Muslim bertungkus-lumus mengemukakan sesuatu hadits dengan perawi-perawinya yang berlainan, menjadikan sesuatu topik perbincangan panjang
lebar dan berjela-jela, Imam Tirmizi pula mengemukakan hanya satu hadits dan kemudian menggunakan satu istilah yang mengisyaratkan kepada wujudnya hadits yang sama atau hampir sama ma`nanya, tetapi melalui tariq (saluran riwayat) yang berlainan. Istilah yang digunakannya ialah “وفي الباب.“
Misalnya selepas mengemukakan satu hadits di bawah sesuatu bab yang diadakan, Imam Tirmizi berkata
وفي الباب عن أَبِي سَعِبدٍ وَجَبِرٍ
“Dengan kata fil bab itu beliau sebenarnya mengisyaratkan kepada wujudnya hadits-hadits lain yang juga ada kaitan dengan bab yang sedang dibicarakan. Hadits-hadits itu mungkin boleh ditemui di dalam kitab beliau sendiri atau di dalam kitab-kitab hadits yang lain.
Menerusi pendekatan ini keistimewaan khusus yang terdapat di dalam kitab Sahih Muslim juga boleh
diperolehi di dalam Jaami` Tirmizi, tetapi dengan cara yang cukup ringkas.
Keistimewaan dan kelebihan yang ada di dalam kitab ini lebih menonjol bilamana Imam Tirmizi menarafkan setiap hadits yang dikemukakannya. Tidak dapat dinafikan
usaha ini adalah sesuatu yang cukup bermanfa`at kepada para penuntut dan pengkaji hadits. Bukan sekadar itu sahaja, apabila sesuatu hadits itu tidak sahih maka Imam
Tirmizi akan menerangkan punca kenapa ia dikatakan tidak sahih.
Contohnya Imam Tirmizi akan melabelkan sesuatu hadits dengan gharib kerana di dalam sanad hadits itu terdapat seseorang perawi yang dianggap dha`if oleh beliau. Kaedah yang diguna pakai oleh Imam Tirmizi ini secara tidak langsung melatih dan membiasakan mereka yang baru menceburkan diri di lapangan pengajian hadits dengan taraf dan kedudukan seseorang perawi.
Antara ciri khusus yang menjadikan kitab ini lebih istimewa ialah adanya pendedahan oleh Imam Tirmizi tentang mazahib fuqaha’ dari kalangan sahabat, tabi`in dan tab`i at-tabi`in. Lebih dari itu, mazhab-mazhab `ulama’ di negeri-negeri tertentu bahkan di kawasan-kawasan tertentu juga ada disenaraikan.
Faedah yang diperolehi daripada pendedahan seperti itu ialah kita dapat mengenal pasti dan mengetahui apakah perbezaan asasi di antara satu mazhab dengan satu mazhab yang lain. Di samping dapat juga mengetahui perkembangan fiqh di sudut sejarahnya.
Tidak terhenti setakat itu sahaja, Imam Tirmizi pergi lebih jauh lagi, di mana beliau menyenaraikan dan memperkenalkan kepada kita mazhab-mazhab yang tidak
lagi diamalkan oleh umat Islam masa kini. Sebagai contohnya, mazhab Imam al-Auzaa`i, Sufyan as-Tsauri, Ishaq bin Ibrahim al-Marwazi dan lain-lain. Pemerincian
sebegini amat sukar ditemui di dalam kitab-kitab lain. Ia jelas merupakan pesaka Imam Tirmizi yang sangat besar dan sangat berma`na kepada umat Islam.
Dengan segala keistimewaan yang terbuku di dalam kitab Jaami` at-Tirmizi itu tidak syak lagi ia merupakan salah sebuah karya terbaik pernah dihasilkan dalam sejarah penulisan kitab umat Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan