Asas(usul) Tafsir 19(07)
Kitab-Kitab Tafsir Yang Banyak Mengandungi Riwayat-Riwayat Israiliyyat.
Kitab-kitab tafsir lama jauh lebih banyak mengandungi riwayat-riwayat Israiliyyat berbanding kitab-kitab tafsir yang ditulis di zaman moden ini. Kitab tafsir tulisan tokoh-tokoh Islam di zaman moden ini kebanyakannya anti riwayat Israiliyyat. Kalau ada tersebut pun di dalamnya riwayat Israiliyyat, maka untuk didedahkan kebatilan dan kekarutannya, kemudian diberikan penjelasan dan tafsiran sebenar bagi ayat-ayat berkenaan.
Di bawah ini dikemukakan beberapa tafsir yang masyhur kerana banyak mengandungi riwayat-riwayat Israiliyyat dan ia merupakan punca bagi tafsir-tafsir yang datang selepasnya:
(1) At-Tafsir al-Kabir karangan Muqatil bin Sulaiman (m150H). Tafsir ini boleh dikatakan penuh dengan riwayat-riwayat Israiliyyat. Pengarangnya telah mengemukakan riwayat-riwayat itu tanpa sanad. Hafiz Ibnu Hajar berkata, "Para 'ulama' menganggapnya sebagai seorang pendusta. Orang yang meriwayatkan tafsir itu daripadanya adalah Abu lshmah Nuh bin Abi Maryam. Dia juga dianggap pendusta oleh para ulama'. Selain Nuh bin Abi Huzail bin Habib juga meriwayatkan tafsir itü daripada Muqatil. Tetapi Huzail juga seorang yang dianggap lemah, meskipun dia tidak dianggap seteruk Nuh.
(2) Al-Kasyfu Wa al-Bayan An Tafsir al-Qur'an, karangan ats-Tsalabi (Ahmad bin Muhammad bin İbrahim m.427H). Tafsir ini termasuk dalam kategori 'tafsir bil Ma'tsur" tanpa sanad dan tanpa komentar terhadap riwayat-riwayat Israiliyyat yang dikemukakan.
(3)Tiga buah kitab Tafsir al-Wahidi iaitu al-Basith, al-Wasith dan al-Wajiz. Ketiga-tiganya mengandungi riwayat-riwayat Israiliyyat dan juga riwayat-riwayat lemah dan palsu. Al-Wahidi (Abul Hasan Ali bin Ahmad bin Muhammad m.468H) adalah murid ats-Tsa'labi.
(4)Tafsir Jami' al-Bayan Fi Tafsir al-Qur'an yang terkenal juga dengan nama Tafsir at-Thabari. Pengarangnya ialah Muhammad bin Jarir at-Thabari (m.310H). Tafsir ini juga banyak sekali mengandungi riwayat-riwayat Israiliyyat. Pengarangnya tidak banyak membuat komentar terhadapnya. Bagaimanapun banyak daripada riwayatnya bersanad. Tafsir ini dianggap rujukan tafsir bil ma'tsur yang paling utama. la merupakan asas bagi tafsir Ibnu Katsir. Tafsir Ibnu Katsir sebenarnya merupakan ringkasan bagi tafsir ini. Ibnu Katsir bagaimanapun telah memilih riwayat-riwayat yang sahih daripadanya dan banyak pula telah membersihkannya dengan mengemukakan komentar terhadap riwayat-riwayat Israiliyyatnya.
Banyak daripada riwayat-riwayat Israiliyyat yang terdapat di dalamnya berpunca daripada perawi-perawi utamanya seperti Ka'ab al-Ahbaar, Wahab bin Munabbih, Ibnu Juraij dan lain-lain Ahlul Kitab yang memeluk agama Islam di zaman tabiin dan Atbaa at-Tabiin.
(5)Lubaab at-Ta'wil Fi Maani at-Tanzil karangan al-Khazin (Abul Hasan Ali bin Muhammad bin İbrahim m.741H). Rujukan utama tafsir ini ialah tafsir al-Baghawi dan tafsir ats-Tsa'labi. Tafsir al-Khazin menurut pengarangnya sendiri merupakan ringkasan bagi kitab tafsir Baghawi. Tafsir Baghawi pula menurut Ibnu Taimiyyah merupakan ringkasan bagi tafsir ats-Tsalabi. Kerana itu tidak peliklah kalau tafsir ini sama seperti tempat rujukannya, banyak mengandungi riwayat-riwayat Israiliyyat dan juga riwayat-riwayat lemah dan palsu. Kebanyakan riiwayat-riwayatnya adalah berhubung dengan kisah-kisah para nabi, kisah-kisah umat terdahulu tentang fitnah-fitnah dan juga peperangan-peperangan. Pengarangnya tidak membuat apa-apa komentar terhadap riwayat-riwayat itu pada kebanyakan tempat di dalam tafsirnya. Kalau ada pun hanya sedikit sahaja. Seolah-olahnya cerita-cerita yang tidak dikritik beliau boleh saja diterima. Begitulah mungkin difahami sesetengah orang daripada caranya itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan