Ahad, Januari 15, 2017

Tafsir asas al quran sesi 38.

TAFSIR AL-QURAN PERINGKAT ASAS - Sesi 38 - 11-Jan-17
Ringkasan 20 Usul Tafsir Al-Quran (Yang Perlu Dikuasai Untuk Memahami Al-Qur’an Dengan Betul Dan Selamat)

{Sambungan} USUL KE 14 - Mengetahui Kesinambungan DI antara Dalil Dan Madlul Pada Sumpah-sumpah Allah Di Dalam Al-Quran

NOTA KULIAH:
Kenapa Allah Bersumpah Dengan Fenomena Alam Dan Makhluk-Makhluk Ciptaannya?
Sesetengah ahli tafsir dan ahli ilmu al-Kalam menimbulkan persoalan bahawa kenapa Allah dengan segala keagungan dan kebesaran yang ada padaNya perlu bersumpah apabila hendak menyatakan perkara-perkara tertentu? Dan kenapa pula pada sekian banyak tempat di dalam al-Qur’an Allah tidak bersumpah dengan fenomena alam dan makhluk-makhluk ciptaannya? Padahal bukankah nabi s.a.w telah melarang umatnya daripada bersumpah dengan sesuatu selain Allah?
Beberapa jawapan telah diberikan kepada tiga persoalan yang ditimbulkan itu. Antara lainnya adalah seperti berikut:
(1) Sumpah Allah dengan fenomena alam atau makhluk-makhluknya hanya pada zahir sahaja kelihatan sebagai muqsam bihi. Sedangkan muqsam bihi sebenarnya adalah sesuatu yang mahzuf (dibuang). Sesuatu yang mahzuf itu adalah رب yang juga merupakan nama sifat Allah. Pada والتين والزيتون (Demi Tuhan Tiin dan Zaitun) misalnya, haruslah ditakdirkan ورب التين والزيتون. Pada والشمس وضحاها pula misalnya, haruslah ditaqdirkan ورب الشمس وضحاها (Demi matahari dan waktu dhuhanya) dan begitulah seterusnya.
Ibnu Abi Haatim meriwayatkan bahawa Hasan al-Bashri berkata, Allah s.w.t boleh bersumpah dengan sesiapa sahaja atau apa saja dari makhluk-makhlukNya sedangkan tiada siapa pun dari makhlukNya boleh berbuat begitu. Mereka hanya dibenarkan bersumpah dengan nama Allah sahaja.
SAMBUNGAN NOTA KULIAH) Apabila Allah bersumpah dengan kataNya: لعمرك (demi hidupmu) kepada Nabi s.a.w maka itu bererti Dia hendak menyatakan kebesaran dan kedudukan yang tinggi Muhammad s.a.w di sisiNya kepada makhluk-makhlukNya yang lain. Ibnu Mardawaih meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbaas, katanya, Allah tidak menjadikan sesuatu apapun yang lebih mulia dan lebih tinggi kedudukannya di sisiNya daripada Muhammad. Kerana Allah tidak pernah bersumpah dengan kehidupan sesiapapun dari kalangan makhlukNya selain Beliau s.a.w. (2) Oleh kerana al-Qur’an itu diturunkan dalam bahasa ‘Arab, maka qaedah penggunaan bahasa oleh orang-orang ‘Arab juga diambil kira ketika Allah hendak menyampaikan maksud-maksud tertentu. Orang-orang ‘Arab apabila hendak menguatkan sesuatu cerita atau membuktikan kebenaranya selalu menggunakan sumpah, maka begitulah juga Allah, apabila hendak menguatkan sesuatu cerita atau membuktikan kebenarannya akan menggunakan gaya bahasa sumpah. Hakikatnya anda baru akan dapat membuatkan sesorang manusia percaya kepada apa yang anda sampaikan kepadanya dan menenangkan serta memuaskan hatinya apabila ia disokong dengan salah satu daripada dua perkara, iaitu dengan mengemukakan saksi atau bersumpah. Kedua-dua cara itu telah digunakan oleh Allah di dalam al-Qur’an. Itulah sebabnya Allah bersaksi atau bersumpah apabila hendak menyatakan sesuatu perkara yang penting atau sangat-sangat mustahak kepada manusia dalam menjalani kehidupannya di dunia. (3) Apabila Allah bersumpah dengan fenomena alam dan makhluk-makhluk ciptaanNya, maka ia menunjukkan kelebihan, kepentingan, kegunaan dan khasiat-khasiat yang ada padanya. Oleh itu manusia tidak seharusnya mengabaikan dan tidak mempedulikannya, jika ia mahu berjaya dalam kehidupan di dunia ini. (4) Kata Ibnu al-Qayyim, apabila Allah bersumpah dengan fenomena alam dan makhluk-makhluk ciptaanNya, maka ia mengisyaratkan kepada Zat Tuhan yang Maha Berkuasa dan sifat-sifat Tuhan yang ada kaitan dengn kejadian dan penciptaannya. Ia juga merupakan dalil, bukti dan saksi bagi adanya Tuhan yang mempunyai sifat-sifat yang sempurna. Pada hakikatnya ia sama seperti bersumpah dengan ZatNya sendiri. (5) Makhluk-makhluk ciptaan Allah yang dijadikan sebagai muqsam bihi itu sebenarnya adalah dalil-dalil dan bukti-bukti yang menunjukkan kebenaran muqsam ‘alaih yang dikemukan selepasnya. Oleh itu manusia tidak seharus bersikap sambil lewa dan bermudah-mudah terhadap muqsam ‘alaihnya.   مقسم عليه (Muqsam Alaih) Di Dalam al-Qur’an مقسم عليه atau perkara yang diangkat sumpah kerananya juga ada banyak. Secara kasar ia dapat dibahagikan kepada bebrapa perkara berikut: (1) Menurut Ibnu al-Qaiyyim di dalam at-Tibyaan, Allah pada beberapa tempat bersumpah atas asas-asas iman yang wajib diketahui dan dipercayai manusia. Dengan kata lain, perkara-perkara yang berkaitan dengan prinsip-prinsip imanlah yang dijadikan Allah sebgai muqsam ‘alaih dalam sumpahNya. Hakikat ini dapat anda lihat pada contoh-contoh yang akan diberikan di bawah nanti. (a) Muqsam ‘alaih berkaitan dengan aqidah ketauhidan (keesaan) Allah. Lihat misalnya di dalam firman Allah berikut: Bermaksud: Demi (hamba-hambaKu) yang berbaris dengan berderet-deret. (1) (Hamba-hambaKu) yang melarang (dari kejahatan) dengan sesungguh-sungguhnya. (2) (Hamba-hambaKu) yang membaca kandungan Kitab Suci; (3) (Sumpah demi sumpah) sesungguhnya Tuhan kamu hanyalah Satu, (4) (as-Shaffaat:1-4). Ayat keempat dalam petikan di atas merupakan muqsam ‘alaih. Dan ia berkaitan dengan keimanan kepada ketauhidan Allah. (b) Muqsam ‘alaih ialah kebenaran kerasulan Muhammad s.a.w. Lihat misalnya di dalam firman Allah berikut: Bermaksud: Yaa Siin. (1) Demi al-Qur’an yang penuh hikmat. (2) Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad adalah seorang Rasul) dari Rasul-rasul yang telah diutus, (3) yang tetap di atas jalan yang lurus (agama Islam). (4) (Yaasiin:1-4). Ayat ketiga dan keempat dalam petikan di atas merupakan muqsam ‘alaih. Ia membenarkan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan