Rabu, Julai 08, 2020

Daurah tafsir 2019 sesi 05(09)(s2)nota5(098)

Daurah tafsir 2019 sesi 05(09)(s2)nota5(098)

Zaman Turun Surah at-Taubah Dan Latarbelakangnya.

Pada bulan Rajab 9 Hijrah, Rasulullah s.a.w. telah keluar membawa satu pasukan tentera berjumlah 30,000 orang untuk berperang dengan Qaisar Rom di sebelah utara. Baginda berangkat bersama pasukan itu ke Tabuk tetapi Qaisar dan bala tenteranya tidak datang. Rasulullah s.a.w. menetap di sana selama 20 hari. Negeri-negeri Kristian yang kecil-kecil di bawah jajahan Qaisar telah bersedia membei jizyah sebagai tanda ketaatan mereka kepada pemerintah Islam. Rasulullah s.a.w. berangkat pulang pada bulan Sya'baan 9 Hijrah. Bahagian kedua Surah at-Taubah diturunkan pada bulan Rajab 9 Hijrah sehubungan
persiapan dan persediaan untuk berangkat ke Tabuk. Bahagian ketiga Surah at-Taubah diturunkan pada
beberapa waktu yang berlainan ketika pulang daripada perang Tabuk. Dan bahagian pertama Surah at-Taubah merupakan yang paling akhir diturunkan. Ia diturunkan pada bulan Zul Qa'dah 9 Hijrah sebelum umat Islam mengerjakan haji. Perintah mengerjakan haji dan hukum-hakamnya mula-mula sekali disampaikan oleh Abu Bakar sebagai amir haji, setelah itu, beberapa hukum tambahan disampaikan pula oleh Sayyidina 'Ali. Ia disebarkan sebagai perisyiharan umum dalam perhimpunan besar orang-orang musyrikin Arab. Surah at-Taubah turun pada 9 Hijrah. Pada bulan Rajab 9 Hijrah, perjalanan untuk peperangan Tabuk telah bermula.
Ayat 113 bagaimanapun diturunkan di mekah pada tahun ke-10 Kenabian berkenaan dengan Abu Thalib, di dalamnya terdapat larangan mendoakan keampunan untuk orang-orang musyrikin.

Penurunan beberapa ayat Surah at-Taubah secara terpisah adalah seperti berikut:

1. Ayat t hingga 12 diturunkan pada 9 Hijrah sebelum orang-orang Islam mengerjakan haji,berkemungkinan besar ayat 25 hingga 28 dan 36 hingga 37 juga diturunkan pada masa itu.
2. Ayat 13 hingga 24 diturunkan di permulaan tahun ke-8 Hijrah sebaik saja terbatalnya perjanjian damai di Hudaibiyah.
3. Ayat-ayat 29 hingga 35 berhubung dengan jihad dan jizyah terhadap Ahli Kitab turun sebelum peperangan Tabuk yang berlaku pada bulan Rajab tahun ke-9 Hijrah.
4. Ayat-ayat ke-38 hingga 41 turun berkaitan dengan persiapan untuk peperangan Tabuk, di dalamnya
tersebut galakan dan gesaan supaya berjihad.
5. Ayat-ayat 42 hingga 127 diturunkan pada akhir tahun ke-9 Hijrah ketika Rasulullah s.a.w. kembali dari peperangan Tabuk, kebanyakan ayat-ayatnya berkenaan dengan orang-orang munafiq.
6. Dua ayat terakhir iaitu ayat 128 hingga 129 turun di akhir tahun ke-10 Hijrah. Di dalamnya tersebut betapa Rasulullah s.a.w. bersimpati dan mahukan kebaikan untuk umatnya, umat Islam dinasihatkan supaya menghargainya.

98

Tiada ulasan:

Catat Ulasan