Ahad, Julai 26, 2020

K90.Anak Tak Duduk Diam Itu Tak Semestinya Hiperaktif. Kena Caranya Mereka Boleh Jadi Bijak.

K90.Anak Tak Duduk Diam Itu Tak Semestinya Hiperaktif. Kena Caranya Mereka Boleh Jadi Bijak.

“Anak saya terlalu aktif..tak boleh duduk diam walau seminit..melompat sana, melompat sini. Nak tengok dia duduk diam, waktu dia tidur. Tidur pulak sekejap sahaja. Begitulah antara keluhan ibu-ibu yang anak mereka terlalu aktif.

Sebenarnya anak yang aktif menunjukkan mereka sihat. Otak mereka pantas berfikir untuk melakukan pelbagai aktiviti. Bayangkan jika anak kita terbaring saja, tentu kita susah hati juga dibuatnya.

Justeru ibu-ibu setkan minda kita untuk memandang situasi itu dari sudut yang positif bagi mengurangkan stres. Tip berikut mungkin boleh membantu kita dalam menangani anak-anak yang sentiasa aktif ataupun hiperaktif.
1) Tetapkan peraturan yang jelas untuk anak-anak dan seisi keluarga. Jangan fleksibel kerana kanak-kanak yang terlalu aktif ini mereka memerlukan peraturan yang jelas.
Beri penerangan dari mata ke mata tentang peraturan dan minta mereka mengulangi kembali apa yang kita katakan untuk memastikan mereka faham. Perlu faham jika anak buat kesalahan kita kena juga menghukum mereka sebagai pengajaran.

2) Rutin yang tetap boleh membantu kanak-kanak, termasuk kanak-kanak hiperaktif. Kebanyakan kanak-kanak cenderung untuk menghadapi kesukaran apabila tidak ada rutin yang tetap dan konsisten. Jika kanak-kanak tahu bahawa waktu tidur adalah pada pukul 9 malam, maka secara semula jadi, itu akan menjadi tabiatnya.
Bagi ibu bapa yang memang doktor sahkan anaknya dalam kategori hiperaktif, pastikan buat sesuatu aktiviti tidak lebih dari 30 minit kerana kanak-kanak hiperaktif sukar untuk fokus untuk jangka masa yang lama.

3) Gunakan masa lapang untuk membawa anak-anak keluar bersiar-siar ke taman permainan, membaca buku bersama-sama, atau sekadar bermain dan bergurau dengan mereka. Detik-detik seperti ini boleh membantu terutamanya untuk menjalin hubungan yang mesra dengan anak-anak dan meningkatkan daya tumpuannya secara berperingkat.

4) Elakkan anak daripada banyak menonton TV, dan jangan biarkan menonton TV pada waktu malam terlalu lama. Bunyi TV yang kuat dan kadang-kadang mengkhayalkan boleh merangsang kanak-kanak hiperaktif. Pilih satu atau dua rancangan yang sesuai untuk mereka tonton. Kanak-kanak hiperaktif lebih mudah belajar dengan melakukan aktiviti bukan dengan duduk menonton. Jadi, sediakan banyak aktiviti yang memerlukan pergerakan untuk mereka.

Oleh itu, ibu bapa harus tahu personaliti anak masing-masing. Kadang-kadang anak ini mereka sebenarnya nak perhatian daripada ibu bapa sahaja. Jika terlalu kerap menjerit, membentak atau memukul secara tak langsung perangai mereka boleh jadi semakin melampau.

Sebaiknya kesabaran yang tinggi sangat penting kerana setiap anak personalitinya berbeza-beza. Pendekatan yang berhemah, penuh kasih sayang boleh membantu anak-anak ini berjaya kelak.

Paling penting usah memberi label yang negatif seperti “buas” kepada mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan