Khamis, Ogos 27, 2020

Tafsir asas quran nota 5(062).

Tafsir asas quran nota 5(062).

(12) Mencari Dan Mengesan Struktur Mikro Atau  النظم الخفيف Dalam Ayat-Ayat Al-Qur'an.

Usul seterusnya untuk memahami al-Qur'an dengan baik ialah berusaha mencari dan mengesan perkataan-perkataan yang saling berkaitan di dalam sesuatu ayat atau beberapa ayat. Seseorang penuntut ilmu al-Qur'an hendaknya sentiasa berjalan dengan memegang
jari setiap perkataan yang dibacanya di dalam setiap ayat al-Qur'an. Semua perkataan didalam al-Qur'an ada ertinya yang tersendiri. Tiada satu pun hurufnya berlebihan atau sia-sia. Dalam membincangkan sesuatu perkataan, para ulama Tafsir kadang-kadang memerlukan beberapa muka surat untuk menyelami maksudnya. Mereka sehabis daya
berusaha mengaitkan satu ayat dengan ayat yang lain, bahkan satu perkataan dengan satu perkataan yang lain. Segala mahzufaat (perkataan-perkataan atau ayat-ayat yang dibuang)dipastikan. Segala yang tersembunyi pula dinyatakan. Betapa besarnya jasa dan sumbangan mereka. Allah sahajalah yang dapat memberikan ganjarannya.
Berikut dikemukakan beberapa langkah yang perlu diambil dalam usaha mengesan kesinambungan satu perkataan dengan perkataan lain. seterusnya satu ayat dengan ayat
yang lain:
(a) Mengesan apa-apa yang tersirat di sebalik beberapa ayat kecil (jumlah) di dalam sesuatu ayat yang panjang.
(b) Berusaha menggilap kebolehan memahami struktur ayat dan apa yang tersurat.
(c) Memahirkan diri dalam mengesan apa-apa yang dibuang (محذوفات) dan apa yang seharusnya ditaqdirkan. 
(d) Terdapat banyak sekali ayar-ayat yang disudahi dengan menyebutkan sifat-sifat tertentu Allah s.w.t. Seperti 
الغفور الرحيم  ، الغني الحميد ، العزيز الحكيم ، السميع العليم،  
Dan sebagainya.

Sif'at-sifat itu tentu sekali tidak disebutkan sembarangan tanpa sesuatu maksud. Ia tentunya mempunyai kaitan dan pertalian dengan apa yang tersebut sebelumnya atau 
selepasnya. Apa yang perlu anda lakukan ialah merenungi apakah gerangan hikmat di sebalik sifat-sifat Allah itu disebutkan pada tempat-tempat berkenaan.

6 2

Tiada ulasan:

Catat Ulasan