Khamis, Februari 11, 2021

K441.Seorang lelaki yang bergelar suami, berdepan dengan masalah ibunya suka 'cari gaduh' dengan isterinya.

K441.Seorang lelaki yang bergelar suami, berdepan dengan masalah ibunya suka 'cari gaduh' dengan isterinya.

Dalam bahasa mudah, ibunya tidak sukakan isterinya. Padahal si isteri sentiasa berkelakuan baik, bersopan santun serta menjaga tutur kata dengan mertua. Namun entah kenapa setelah dicuba sehabis ikhtiar pun, ada saja yang tidak kena. Hati si ibu tetap tidak dapat dipuaskan.

Maka si suami berada dalam dilemma. Jika diturutkan kata hati sang ibu, si isteri akan makan hati. Jika dijaga hati isterinya, ibunya pula yang terkilan. Saya tahu ramai sebenarnya yang berdepan dengan situasi sebegini.

Lelaki ini boleh memilih untuk mendengar saja kata ibunya 100%. Saya tahu ramai lelaki yang berada dalam situasi ini memilih pendekatan ini barangkali kerana merasakan ibunya lebih perlu disayangi dan dihormati dari isterinya.

Namun sesungguhnya ini bukanlah tindakan yang tepat, malah berkemungkinan menimbulkan masalah besar pada rumah tanggnya. Kerana ketiadaan nilai keseimbangan di sini akan membuatkan si isteri makin terus makan hati. Dan apabila isteri itu terlalu banyak disakiti dan dia merasakan dirinya tidak dihargai, dia akan mula merasakan yang untuk tidak mempunyai suami adalah lebih baik daripada mempunyai suami.

Maka apa yang seharusnya dilakukan oleh lelaki yang berada dalam situasi ini?

Pertama, lelaki ini harus menjadi seorang yang bijak dan mengutamakan rasionaliti. Dia harus menerima hakikat kenyataan yang dia tidak boleh menjaga hati kedua-duanya dalam semua keadaan. Umpama seperti dia berada di atas sebuah neraca. Adakalanya dia boleh duduk tetap di tengah-tengah dan bersikap neutral. Ada waktunya dia harus berlari ke bahagian kanan, lalu bahagian kirinya naik dan adakalanya dia perlu beralih arah dan berkejar ke arah kanan dan bahagian kirinya pula naik.

Pendek kata, dia tidak boleh memenangi hati kedua-duanya.

Justeru akan ada waktunya apabila tindakan yang paling rasional adalah menyebelahi isteri kerana isterinya berada di pihak yang benar. Apa yang benar tetap benar. Siapa yang benar, dialah yang akan disokong dan dibantu. Lelaki ini harus berpegang kepada prinsip yang tegas. Dia tidak boleh bertolak ansur dengan apa yang tidak seharusnya ditolak ansurkan.

Namun tetap ada cabarannya kerana si suami barangkali akan berfikir: "Bagaimana dengan ibuku dan haknya sebagai seorang ibu? Bukankah aku diminta agar sentiasa mentaatinya dan jangan menyakitinya?".

Di sini timbul satu perkara mengenai apa yang biasa dipercayai oleh masyarakat bahawa ketaatan terhadap kedua ibu bapa ialah ketaatan mutlaq.

Sebenarnya, soal ketaatan terhadap orang tua memang tidak dinafikan mempunyai kedudukan yang begitu tinggi dalam Islam, namun ia tidak sekali-kali pernah mencecah tahap ketaatan mutlaq. Masih lagi ada satu jenis ketaatan yang merupakan ketaatan mutlaq yang sebenar, yang berada di atas taat kepada ibubapa, yakni taat kepada Allah dan Rasul.

Allah dan Rasul sentiasa benar dan tidak mungkin dibantah. Namun ibu bapa hanya manusia biasa yang adakalanya berada di bawah pengaruh perasaan dan pemikiran/kefahaman/persepsi/konsep yang salah mengenai sesuatu peristiwa/kejadian/perbuatan, lalu adakalanya mereka bercakap perkara yang salah dan bertindak bukan di atas asas kebenaran, maka perkataan atau perbuatan mereka tidaklah boleh menjadi sesuatu yang dibenarkan.

Dan termasuk erti kata taat kepada Allah dan Rasul ini ialah condong menyokong segala kebenaran, berlaku adil dalam setiap penilaian dan hukuman serta memusuhi setiap kezaliman dan bertindak dengan waras tanpa didasari oleh kata hati. Tindakan seorang suami yang membantu isterinya di saat isterinya benar-benar berpihak kepada kebenaran termasuk dalam bab ini.

Kedua, lelaki ini harus terus menerus berdoa kepada Allah agar hati ibunya (atau kedua-duanya sekali) diperelokkan kerana krisis yang sebegini terjadi akibat kondisi hati yang tidak sihat dan manusia sama sekali tidak berdaya ke atas hati manusia lain. Yang berkuasa ke atas hati-hati manusia—sebagai pemilik dan pencipta hati itu—ialah Allah sendiri. Maka hanya kepada Allah juga dia harus merendah hati dan memohon agar memperbaiki keadaan ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan