Jumaat, Mei 28, 2021

K999.Sabar Seorang Ibu

K999.Sabar Seorang Ibu
.
Saya ingin mengenang kembali kesabaran seorang ibu mengajar Matematik kepada seorang anak. Ini kisah isteri saya dengan salah seorang anak kami. Ini diceritakan oleh isteri saya pada saya kerana semasa peristiwa itu berlaku saya tiada di situ.
.
Anak itu berada di Tahun 6 dan akan menduduki UPSR. Untuk mengelak sebarang gangguan dari sesiapa termasuk dari anak-anak lain, isteri saya membawa anak kami itu ke pejabat saya. Ia letak berdekatan dengan rumah kami. Hari itu hari Sabtu. Pejabat tidak beroperasi. 
.
Isteri saya berazam bersungguh-sungguh mahu membantu anak kami yang itu sesuatu tajuk tertentu Matematik peringkat UPSR. Prestasi dalam ujian-ujian bulanannya terlalu hambar. Semasa mengajar, isteri saya mengulang dan mengulang dan terus mengulang benda yang sama dengan memberi pelbagai contoh mudah dan basic. 
.
Namun dia amat kecewa kerana anak kami tadi masih belum dapat tangkap perkara yang mahu disampaikan. Terlalu kecewa isteri saya kerana seolah-olah langsung tiada kemajuan pada anak kami walaupun setelah hampir dua jam berlalu mengajarnya. 
.
Frust sangat, maka isteri saya mengambil set kertas latihan dan baling atau campak merata-rata kertas-kertas nota dan latihan tadi lalu beredar ke bilik sebelah mengambil wuduk, solat dan menangis dan mengadu memohon pertolongan Allah.
.
Kira-kira 20 minit kemudian dia keluar dari bilik itu dan melihat anak kami itu sedang membongkok mengutip sehelai-sehelai kertas yang dicampak dan disusunnya elok-elok semula.
.
Aduuh terasa teramat kesihan pula melihat anak tadi yang bersabar  mengumpul semula kertas-kertas yang dicampak. Lalu isteri saya memeluk anak, meminta maaf dan meneruskan pengajaran hari itu.
.
Usaha serupa itu diteruskan beberapa kali lagi selepas itu sehingga isteri saya yakin anak kami semakin menguasai tajuk-tajuk yang dia lemah sebelumnya.
.
Alhamdulillah dia memperolehi A dalam Matematik bagi peperiksaan UPSR. Dia masih nakal ke sekolah menengah ... kebiasaan nakalnya seorang pelajar. Dipendekkan cerita agak cemerlang di sekolah harian biasa dan belajar sehingga ke England dalam bidang engineering. Kini bekerja sebagai jurutera luar pesisir (offshore engineer) di Malaysia dan luar negara.
.
Apa pengajarannya ?
.
Pertama sekali jangan meletak harapan (expectation) yang terlalu tinggi dalam masa yang singkat. Biar expectation rendah tetapi semakin meningkat sedikit demi sedikit.
.
Keduanya, kesabaran yang tinggi - mengajar anak sendiri sama seperti si suami mengajar isteri memandu kereta. Mesti banyak banyak bersabar. Usah cepat berputus asa. Kena bertahan emosi.
.
Ketiga, tukar teknik - kalau sesuatu cara tidak berkesan, ubah cara dan teknik mengajar lain pula. Ubah contoh, ubah strategi. Kena kreatif dan turunkan level ke level si anak tadi. Mungkin ikut logikal akal dia patut boleh faham, namun masih tidak faham. Justeru ubah cara penyampaian.
.
Keempat perlu banyak latihan. Latih dan latih dan latih. Justeru si ibu atau ayah yang mengajar tadi kena banyak membuat semakan (correction). Dalam hal ini isteri saya yang bertugas sebagai Penguasa Kastam ketika itu membawa kertas latihan anak-anak dan membuat semakan semasa rehat tengah hari di tempat kerja. Dia bawa bekal ke ofis justeru ada ruang untuk membuat semakan kerana menjimat masa keluar makan di kanteen atau kedai makan berdekatan. Selain itu kekadang bila sampai awal pagi di ofis, dia guna masa yang ada sebelum masa rasmi kerja bermula untuk semak latihan anak-anak.
.
Akhir sekali, kena banyak berdoa dan memohon bantuan Allah agar  membuka hati dan fikiran anak agar rajin belajar serta memberi kekuatan dan kesabaran untuk ibu atau ayah terus membantu anak.
.
Kejayaan memerlukan usaha berterusan si anak dan si ibu (dan bapa). Atas sebab itulah saya selalu juga komen sesetengah ibu bapa yang hanya mahu jalan mudah tetapi malas melibatkan diri membantu anak. Mereka membelikan anak "pil cerdas otak". Mana ada jalan. Tak betul cara itu. Mungkin (saya kata mungkin) kalau pun berkesan ia memberi sumbangan 5-10%, yang lain usaha, usaha dan usaha. Allah telah mengingatkan kita "Di sebalik kesukaran terdapat kesenangan". Susah dulu, senang kemudian, InSyaAllah.
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan