Ahad, September 19, 2021

Daurah tafsir 2019 sesi 30(108)nota 16(476)

Daurah tafsir 2019 sesi 30(108)nota 16(476)

Zaman Diturunkan
Surah al-Kautsar juga diturunkan pada peringkat kedua kehidupan Rasulullah di Mekah di antara tahun ke-4 hingga ke-5 Kenabian, pada ketika itu da'wah sudah pun disampaikan secara terbuka oleh Rasulullah s.a.w., surah ini diturunkan ketika Rasulullah s.a.w. sedang mengalami kesedihan yang amat sangat kerana kematian anakanda Baginda; Qasim. Dengan kematian Qasim, seorang pemimpin Quraisy bernama' Aash bin Wa'il as-Sahmi berkata: "Muhammad sudah أَبْتَر.

Perkaitan Surah Al-Kautsar Dengan Surah Sebelum Dan Selepasnya
1. Di dalam Surah al-Ma'un sebelum ini disebutkan kesalahan-kesalahan dan jenayah-jenayah
kemasyarakatat yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Quraisy Mekah, kerana tidak percayakan hari akhirat, mereka tidak melaksanakan hak-hak Allah dan hak-hak hamba (orang ramai). Di dalam Surah al-Kautsar ini pula diberi ramalan dan isyarat kepada sekalian musuh-musuh Rasulullah bahawa mereka akan binasa dan lenyap, melalui ajaran Rasulullah s.a.w. pula manusia akan pandai menjaga hak-hak Allah dan juga hak-hak hamba.

2. Di dalam Surah al-Ma'un disebutkan salah satu kesalahan besar pemimpin-pemimpin Quraisy iaitu
mereka bersembahyang tidak kerana Allah melainkan untuk menunjuk-nunjuk kepada orang ramai sahaja. Mereka sebenarnya tidak mempedulikan sembahyang pun. Di dalam Surah al-Kautsar ini pula dikemukakan contoh pemimpin yang ideal kerana bersembahyang dengan ikhlas hanya kepada Allah dan berkorban juga hanya untuk mendapat keredhaanNya.

3. Di dalam Surah al-Kafirun selepas ini, Rasulullah s.a.w. diperintahkan supaya memutuskan terus hubungan dengan pemimpin-pemimpin musyrikin Quraisy yang berpura-pura itu. Tiada ruang langsung dalam agama yang memperjuangkan aqidah tauhid untuk bertolak ansur atau berkompromi dengan ahli-ahli politik yang bertalam dua muka.


476

Tiada ulasan:

Catat Ulasan