Khamis, Januari 27, 2022

Panduan bersedekah

Panduan bersedekah dari alquran
Al-Baqarah:Ayat 3
الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ
Iaitu orang-orang yang beriman (percaya)kepada perkara ghaib¹⁶ dan  mendirikan shalat¹⁷ serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian rezeki yang Kami berikan  kepada mereka¹⁸ [3]


¹⁸ Salah satu sifat al-muttaqin yang disebutkan di dalam ayat ke-3 Surah al-Baqarah ini ialah mereka membelanjakan sebahagian daripada rezeki yang Allah kurniakan kepada mereka.
Erti sebahagian itu diperolehi daripada perkataanمن تبعيضية pada مما.
Ia menunjukkan Allah tidak hendak semua harta seseorang dibelanjakan atau didermakan di jalan Allah, sebaliknya sebahagian sahaja daripadanya. Mungkin sebagai zakat yang difardhukan atau sebagai derma sukarela yang disunatkan. Jika sebagai zakat, maka panduan terperinci mengenainya boleh ditemui di dalam Sunnah Nabi s.a.w. Dan jika sebagai derma sunat pula apa panduannya? Sebanyak manakah seharusnya dibelanjakan dan sebanyak mana pula harus disimpan, tidak dinyatakan disini. Ia diterangkan pada ayat berikut:

Al-Baqarah 2:219
يَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلْخَمْرِ وَٱلْمَيْسِرِۖ قُلْ فِيهِمَآ إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَٰفِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَآ أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَاۗ وَيَسْـَٔلُونَكَ مَاذَا يُنفِقُونَ قُلِ ٱلْعَفْوَۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمُ ٱلْءَايَٰتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ 
Bermaksud: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang arak dan judi.Katakanlah: "Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan ada pula beberapa manfa'at bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfa'atnya". Dan mereka bertanya pula kepadamu: "Apakah yang mereka harus belanjakan(dermakan)? Katakanlah: "Yang lebih dari keperluan(mu). Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu supaya kamu berfikir. 


Ayat ini menyatakan harta yang lebih daripada keperluan dan tanggungan seseorang sahaja dianjurkan supaya dibelanja atau didermakan. Berhubung dengan soal perbelanjaan terdapat beberapa lagi panduan di dalam Al-Qur'an. Sebagai contohnya firman Allah ini:

Al-Isra' 17:29
وَلَا تَجْعَلْ يَدَكَ مَغْلُولَةً إِلَىٰ عُنُقِكَ وَلَا تَبْسُطْهَا كُلَّ ٱلْبَسْطِ فَتَقْعُدَ مَلُومًا مَّحْسُورًا 
Bermaksud: Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di tengkukmu dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya akan tinggallah engkau dalam keadaan tercela lagi sengsara. 


Firman Allah ini melarang kita menjadi orang kedekut dan boros, kerana kedua-duanya mengakibatkan seseorang jadi tercela dan sengsara. Apa yang dikehendaki Allah sebenarnya ialah bersederhana dalam perbelanjaan. Hakikat ini tersebut dengan jelas di dalam ayat berikut:

Al-Furqan 25:67
وَٱلَّذِينَ إِذَآ أَنفَقُوا۟ لَمْ يُسْرِفُوا۟ وَلَمْ يَقْتُرُوا۟ وَكَانَ بَيْنَ ذَٰلِكَ قَوَامًا 
Bermaksud: Dan mereka (yang diredhai Allah) itu, apabila membelanjakan hartanya,tiadalah melampaui batas (boros) dan tiada pula bakhil kedekut, sebaliknya pertengahan di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu. 


Tempat berbelanja atau kepada siapa elok dibelanjakan harta juga ada panduannya didalam Al-Qur'an. Lihat firman Allah ini sebagai contohnya:

Al-Baqarah 2:215
يَسْـَٔلُونَكَ مَاذَا يُنفِقُونَۖ قُلْ مَآ أَنفَقْتُم مِّنْ خَيْرٍ فَلِلْوَٰلِدَيْنِ وَٱلْأَقْرَبِينَ وَٱلْيَتَٰمَىٰ وَٱلْمَسَٰكِينِ وَٱبْنِ ٱلسَّبِيلِۗ وَمَا تَفْعَلُوا۟ مِنْ خَيْرٍ فَإِنَّ ٱللَّهَ بِهِۦ عَلِيمٌ 
Bermaksud: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): "Apakah yang akan mereka belanjakan dan kepada siapakah)? Katakanlah: "Apa jua harta benda yang kamu belanjakan, hendaklah diberikan kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan".Dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu buat, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya). 


Perbelanjaan yang tidak kena pada tempatnya boleh mengakibatkan penyesalan dikemudian hari. Bukan sekadar itu, malah ia akan membawa pembelanja ke Neraka Jahannam. Hakikat ini juga tersebut di dalam Al-Qur'an. Lihat ayat berkenaan dibawah ini:

Al-Anfal 8:36
إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ يُنفِقُونَ أَمْوَٰلَهُمْ لِيَصُدُّوا۟ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِۚ فَسَيُنفِقُونَهَا ثُمَّ تَكُونُ عَلَيْهِمْ حَسْرَةً ثُمَّ يُغْلَبُونَۗ وَٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ إِلَىٰ جَهَنَّمَ يُحْشَرُونَ 
Bermaksud: Sesungguhnya orang-orang kafir yang selalu membelanjakan harta mereka untuk menghalangi (manusia) dari jalan Allah, maka mereka tetap membelanjakannya, kemudian ia (harta yang dibelanjakan) menyebabkan penyesalan kepada mereka, tambahan pula mereka dikalahkan, dan (ingatlah) orang-orang kafir itu (akhirnya) dihimpunkan dalam Neraka Jahannam. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan