Sahih bukhari kitab ilmu 0001
٣.كِتَابُ العِمِ
(3) Kitab al-`Ilm¹
_______________
¹ Kitāb Ilmu dengan Kitāb Iman sebelumnya mempunyai hubungan yang sangat rapat, kerana ilmu yang betul akan meneguhkan iman seseorang yang boleh bertambah dan
berkurang itu.
Dengan ilmu juga seseorang mu’min dapat mengetahui apakah tuntutan iman yang sebenarnya, bagaimanakah cara pelaksanaannya dan dengannya juga dia akan dapat
mengetahui perkara-perkara yang membahayakan imannya.
Ilmu yang ada pada seseorang yang tidak beriman juga tidak berguna, kerana ilmu yang tidak berasaskan iman hanyalah bersifat sementara dan tidak akan mencapai
maksud sebenar ilmu itu dipelajari. Selain dari itu, ilmu tentang keimanan dan kepercayaan yang diperolehi dengan tidak berpandukan wahyu juga tidak boleh dipegang dan diyakini.
Kerana itulah setelah Allah menyatakan tanda-tanda kewujudan dan kebesaranNya di dalam al-Qur’ān, disebutkan bahawa ia hanyalah tanda-tanda kebesaran, kewujudan, keagungan, kebesaran dan kekayaan Allah s.w.t. kepada orang-orang yang berilmu pengetahuan. Lihat sebagai contohnya firman Allah berikut:
Ar-Rum 30:22
وَمِنْ ءَايَٰتِهِۦ خَلْقُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَٱخْتِلَٰفُ أَلْسِنَتِكُمْ وَأَلْوَٰنِكُمْۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَءَايَٰتٍ لِّلْعَٰلِمِينَ
Bermaksud: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (dan bukti-bukti) bagi orang-orang yang berilmu pengetahuan (ar-Rūm:22).
Sering kali juga ilmu pengetahun membawa seseorang yang tidak beriman kepada keimanan, tidak kerana lain melainkan kerana rapatnya hubungan ilmu pengetahun
dan iman itu.
Imam Bukhāri juga menyesuaikan susunan Kitāb Ilmu ini dengan firman Allah s.w.t. di dalam bab pertama nanti yang menyebutkan bahawa Allah s.w.t. mengangkat darjat
orang-orang yang beriman terlebih dahulu, kemudian barulah disebutkan orang-orang yang berilmu.
Susunan sebegini juga mengisyaratkan bahawa antara ilmu yang ada di dunia ini, ilmu yang paling berfaedah ialah ilmu tentang Kitāb yang disebutkan olehnya sebelum ini, iaitu ilmu tentang keimanan dan `aqidah. Ilmu-ilmu itu juga menjadi keperluan dan kemestian setiap orang Islam, tidak seperti ilmu lain yang tidak salah jika tidak mengetahuinya .
Ilmu yang berguna dalam konsep agama Islam ialah ilmu yang berkaitan dengan Allah s.w.t. dan hari akhirat, bukan semata-mata ilmu yang berkait dengan kehidupan
duniawi sahaja, kerana kehidupan seorang muslim tidak hanya terhenti di dunia ini.
Adapun Kitāb Wahyu yang disebut terlebih dahulu daripada Kitāb Iman, ia bukan menunjukkan iman itu kurang penting dan tidak sesuai dijadikan Kitāb pertama, tetapi
kerana ilmu yang boleh diyakini dan boleh dijadikan pegangan dalam `aqidah.
1.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan