Khamis, April 07, 2022

Jami' Al-Tirmizi 0017-0031

Jami' Al-Tirmizi 0017

Tidak terhenti setakat itu sahaja, Imam Tirmizi pergi lebih jauh lagi, di mana beliau menyenaraikan dan memperkenalkan kepada kita mazhab-mazhab yang tidak 
lagi diamalkan oleh umat Islam masa kini. Sebagai contohnya, mazhab Imam al-Auzaa`i, Sufyan as-Tsauri, Ishaq bin Ibrahim al-Marwazi dan lain-lain. Pemerincian 
sebegini amat sukar ditemui di dalam kitab-kitab lain. Ia jelas merupakan pesaka Imam Tirmizi yang sangat besar dan sangat berma`na kepada umat Islam. 

Dengan segala keistimewaan yang terbuku di dalam kitab Jaami` at-Tirmizi itu tidak syak lagi ia merupakan salah sebuah karya terbaik pernah dihasilkan dalam sejarah penulisan kitab umat Islam. 


Mazhab Imam Tirmizi
Imam-imam besar seperti Imam Tirmizi, Bukhari, Muslim dan lain-lain mempunyai pengaruh yang sangat besar dan mereka dihormati seantero dunia Islam. 

Faktor inilah yang mendorong sesebuah kumpulan atau sesuatu golongan berpuas hati dan berbangga jika tokoh-tokoh besar seperti itu dikaitkan dengan kumpulan mereka. Fenomena sebegini selalunya berlaku kepada mereka yang terlalu mengikat diri dengan pengamalan mazhab. Pengaruh dan gah yang dimiliki tokoh-tokoh besar hadits itu sangat didambakan, kerana ia merupakan sandaran yang kukuh untuk menguatkan hujjah dan pegangan mazhab masing-masing. 

Apatah lagi kepada 
`ulama’-`ulama’ yang terlalu fanatik dengan mazhab yang dianuti mereka. Mereka tidak dapat menerima dan langsung tidak dapat membayangkan bahawa imam-imam 
besar itu tiada pegangan mazhab yang khusus. 

Contohnya pengikut-pengikut mazhab Syafi`e akan menda`wa bahawa Imam Tirmizi juga mempunyai pegangan mazhab yang sama dengan mereka. Jadi tidaklah pelik jikalau ada antara nama-nama besar itu 
terselit dalam senarai tokoh-tokoh kenamaan dan individu-individu terkemuka mazhab tersebut. Semuanya ini berlaku tidak kerana lain melainkan untuk 
menguatkan nama dan pengaruh mazhab masing-masing sahaja. Situasi dan senario yang sama juga menyelubungi Imam Bukhari, di mana masing-masing pengikut 
mazhab tidak mahu melepaskan peluang untuk mengaitkan beliau dengan mazhab dan pegangan mereka. 

Da`waan yang mengaitkan Imam Tirmizi dengan mazhab Syafi`e bukanlah langsung tidak berasas. Tidak kurang `ulama’ dan cerdik pandai yang berpendapat

17

Jami' Al-Tirmizi 0018

demikian. Punca utama yang mencetuskan pandangan seperti itu ialah kerana beliau kelihatan lebih banyak menyokong dan mentarjihkan pendapat-pendapat yang 
kebetulannya bertepatan dengan mazhab Syafi`e. Walaupun demikian halnya, tidaklah patut seseorang itu cepat membuat kesimpulan yang sembarangan. Ini kerana di sa`at beliau memberi pendapat yang bersesuaian dengan mazhab Syafi`e, di sana juga terdapat banyak percanggahan di antara ijtihad beliau dengan mazhab itu.

Jadi apakah pula justifikasi mereka di sini? Apakah Imam Tirmizi yang dikatakan bermazhab Syafi`e itu akan menentang mazhab imamnya? Apakah itu caranya orang yang bertaqlid kepada imam-imam tertentu? Seseorang yang mampu menilai dengan sebaik-baik penilaian dan sejujur-jujur pertimbangan akan mendapati hujah seperti ini sebenarnya terhasil daripada analisa yang kurang cermat.

Sebenarnya tiada satu mazhab pun patut mendakwa secara mutlak bahawasanya Imam Tirmizi adalah pengikut mazhab mereka. 

Syah Waliyullah menggambarkan fenomena yang berlaku kepada tokoh-tokoh hadits yang dikaitkan dengan sesuatu mazhab itu dengan katanya: 
وكان أهل الحديث قد بينسب إلى أحد الماذهب لكثرة موافقته
Ulama- ulama hadits kadang-kadang dikaitkan dengan sesuatu mazhab hanya kerana terdapat banyak persamaan pendapatnya dengan mazhab tersebut. 

Kata-kata Syah Waliyullah ini tentunya dilontarkan sebagai 
menyanggah pendapat sesetengah orang yang mendakwa imam-imam besar itu juga seorang muqallid hanya kerana pendapat dan ijtihadnya kelihatan sama dengan 
mazhab-mazhab tertentu.

Hujjah yang kukuh betapa Imam Tirmizi bukanlah muqallid sepertimana yang disangkakan oleh sesetengah orang, boleh ditelusuri dan diperhati pada pendapat beliau sendiri di dalam kitab Jaami`nya. 

Sebagai contoh, di bawah 
باب ما جاء في تاخير الظهر في شدّة الحر 
jelas kelihatan keputusan yang diambil oleh Imam Tirmizi 
berlawanan dengan ijtihad dan pegangan Imam Syafi`e. 
Menafikan Imam Tirmizi daripada dikaitkan dengan mana-mana mazhab imam-imam mujtahidin, bukan terbatas dengan dalil di atas sahaja. Terdapat banyak sekali petunjuk lain di dalam kitabnya yang ternyata jika diperhalusi dan dipertimbangkan dengan fikiran yang saksama akan mencerminkan kedudukan sebenar Imam Tirmizi. 
 والعمال على هاذا عند أصاحابنا وعند الشافعي وأحماد واساحاق 
Misalnya beliau menulis:  Inilah
pegangan ashab kita, Syafi`e, Ahmad dan Ishaq.

18

Jami' Al-Tirmizi 0019

Begitu juga di bawah   
باب َما َجاء فيِ النَّهْيِ عَنْ المُحَاقِلَةِ وِالْمُحَاقَلَةِ وِالْمُزَابَنَة
beliau menulis   هو قول الشافعي وأصاحابتا.
Itulah pendapat Syafi`e dan ashab kita. 

Rasionalnya di sini, apabila Imam Tirmizi mengisytiharkan sedemikian, ia memberi erti mazhabnya, mazhab Syafi`e dan mazhab-mazhab lain yang disebutkan bersama adalah entiti berlainan. 

Jika Imam Tirmizi juga bermazhab Syafi`e, tentu sekali beliau tidak akan berkata begitu. Kerana mazhab Syafi`e juga merupakan mazhabnya. Apa perlu dan apa 
faedahnya Imam Tirmizi mahu memisahkan dirinya daripada Syafi`iyyah? Jadi  jelaslah di sini bahawa ashab kita yang dimaksudkan Imam Tirmizi itu adalah mazhab 
dan pegangannya yang tersendiri, bukan Syafi`iyyah dan bukan juga mazhab-mazhab lain selain Syafi`iyyah. Menurut Syeikh Siraj Ahmad as-Sarhindi dan `Allamah as-Sindi -pensyarah kitab Jaami` Tirmizi- apa yang dimaksudkan oleh Imam Tirmizi dengan katanya ashab kita itu adalah kumpulan `ulama’ hadits atau Ahlul Hadits.

Kepada mereka yang berfikiran terbuka dan matang, kata-kata Imam Tirmizi ini merupakan suatu petanda bahawa beliau mempunyai aliran dan pengikut tersendiri 
yang sefahaman dengan beliau. 

Selagi maksud ashab kita tidak dapat dijelaskan dengan perincian lain yang boleh diterima maka tiada gunanya menafikan Imam Tirmizi adalah seorang mujtahid mutlaq seperti gurunya juga.

Walaupun begitu, setelah mengkaji dan memerhati keseluruhan kandungan kitab Jaami` Tirmizi, para `ulama’ tidak mengatakan Imam Tirmizi mempunyai suatu 
mazhab tersendiri yang langsung berbeza daripada mazhab-mazhab yang ada. 

Bahkan mereka telah menyimpulkan bahawa pendapat dan mazhab Imam Tirmizi secara keseluruhannya lebih cenderung dan lebih banyak persamaannya dengan pendapat `ulama’ Hijaziyyin seperti Imam Malik dan Imam Syafi`e. 

Contohnya apabila Imam Tirmizi mengemukakan dua hadits yang menjadi dalil dalam sesuatu masalah fiqh, hadits yang mula-mula dikemukakan oleh beliau biasanya adalah dalil yang menyokong pendapat Hijaziyyin, manakala hadits seterusnya sama ada merupakan asas atau isyarat kepada asas pegangan Ahli al-Kufah atau golongan Kufiyyin. 

Garapan seumpama ini oleh Imam Tirmizi di dalam kitabnya telah memberi gambaran kepada `ulama’-`ulama’ kemudian bahawa pendapat beliau lebih cenderung 
kepada `ulama’-`ulama’ Hijaz atau beliau lebih menyetujui pendapat mereka.

19

Jami' Al-Tirmizi 0020

Kedudukan Jarh Dan Ta'dil Yang Dilakukan Oleh Imam Tirmizi 

Sepertimana `ulama’ besar yang lain, Imam Tirmizi juga mampu menganalisa dan membuat penilaian sendiri terhadap sesebuah hadits, berbekalkan ilmu yang melaut 
luasnya hasil daripada pengajian yang lama dan mendalam di bidang ini. Atau dengan kata lain, beliau juga seperti tokoh-tokoh besar yang lain mempunyai autoriti untuk 
melakukan jarh dan ta`dil terhadap perawi-perawi. Dalam bidang pengajian hadits, ilmu jarh dan ta`dil merupakan komponen terpenting untuk seseorang itu mampu 
menganalisa sesebuah hadits dengan baik. Tanpa ilmu ini mustahil kelayakan yang diperlukan itu dicapai. Pemusatan usaha, tenaga dan kebijaksanaan, di samping masa 
yang cukup diperlukan untuk menguasainya. 

Dalam sejarah pengajian dan perkembangan ilmu hadits, bermula dari zaman penulisan dan pembukuan hadits hingga ke waktu ini, kajian dan penyelidikan `ulama’-`ulama’ hadits sentiasa berterusan. Mereka tidak pernah berdiam diri dari terus membuat analisa, menilai dan seterusnya membuat komentar terhadap piawaian yang telah diperkenalkan oleh `ulama’ sebelumnya. Malah budaya mengkritik seakan sudah menjadi tradisi, terutama sekali dalam bidang jarh dan ta`dil. 

Para pengkritik hadits akan menilai, menghalusi, menegur dan memperbetulkan piawaian seseorang `ulama’ lain yang dianggap kurang tepat. Semuanya ini dilakukan tidak kerana lain melainkan untuk menjaga kesucian hadits-hadits Rasulullah s.a.w. dan demi memeliharanya daripada unsur-unsur jahat dan virus perosak yang boleh mengganggu dan mengotori sumber rujukan umat ini.

Sebelum kenyataan dan keputusan Imam Tirmizi dinilai ketepatannya, setiap pengkaji hadits perlu mengetahui sejauh manakah pandangan `ulama’ terhadap kemampuan dan kebolehan yang dimiliki Imam Tirmizi dalam menganalisa setiap pendapat yang telah diberikannya.

Pada dasarnya tokoh-tokoh hadits memang menganggap Imam Tirmizi seorang yang amat layak lagi berkemampuan tinggi serta mahir sekali dalam bidang ilmu jarh dan ta`dil. Begitu juga pengetahuannya tentang rijal (perawi-perawi) hadits. Boleh dikatakan tidak ada siapa pun mempertikaikan hakikat ini. Bukti yang paling terang dan kukuh, dapat anda saksikan di celah-celah Kitab Jaami` sendiri dan juga kitab `Ilal yang dirangkumkan bersama di hujungnya. 

Dengan menyelongkar dua buah kitab ini sahaja pun, orang-orang yang ahli dalam bidang hadits akan terdorong mengakui kemahiran dan kepakaran Imam Tirmizi


Jami' Al-Tirmizi 0021

dalam kedua-dua bidang ilmu tersebut. Namun, walau setinggi mana pun pengiktirafan yang telah diberikan kepada beliau, para `ulama’ pengkaji hadits tidak 
menganggap ia sebagai suatu halangan dan tegahan yang boleh merencatkan mereka dari mengutarakan kritikan dan komentar terhadap apa yang dilihat memerlukan 
pembaikian.

Setelah mengkaji dan meneliti kitab beliau, para `ulama’ hadits telah membuat kesimpulan bahawa Imam Tirmizi bukanlah antara `ulama’ yang meletakkan piawaian terlalu tinggi dalam menilai dan mengukur kedudukan seseorang perawi. 

Malah dalam beberapa kes keputusan Imam Tirmizi dilihat agak rapuh dan longgar. Beliau kadang-kadang menerima baik (dengan menghukum sahih atau hasan) hadits 
yang diriwayatkan oleh perawi yang diragui kedudukannya.

Maka sepertimana `ulama’ hadits yang lain pernah dikritik dan diserang pendapat-pendapat mereka, Imam Tirmizi juga tidak terlepas daripada kritikan dan bantahan oleh kalangan pengkritik hadits. Keadaan ini berlaku tatkala beliau memberi pendapatnya tentang taraf sesuatu hadits, khususnya hadits-hadits di dalam Jaami` at-Tirmizi. Oleh yang demikian, apabila Imam Tirmizi menilai sesuatu hadits di dalam kitabnya sama ada sebagai sahih, hasan, dha`if mahupun gharib, penarafan dan standard yang diletakkannya itu telah menarik respons ramai `ulama’ dan pengkaji hadits untuk membicarakannya. 

Perbahasan berkenaan penilaian Imam Tirmizi terhadap hadits-haditsnya itu terus-menerus berlangsung dari dahulu hingga sekarang dan ia mendapat sambutan yang hangat dari kalangan `ulama’ di setiap zaman. 

Antara tokoh yang telah membuat komentar terhadap keputusan Tirmizi berkenaan dengan kedudukan dan taraf sesebuah hadits ialah Mulla Ali Qaari. 

Di dalam kitabnya Mirqaat beliau menulis
عنده نوع من التساهل في التصحيح لايضرّه
Iman Tirmizi mempunyai semacam (sedikit) sikap tasaahul (lembut) dalam mentashihkan sesuatu hadits.
Bagaimanapun sikap beliau itu tidaklah menjejaskan kedudukannya. 
(Lihat Mirqaat Syarah Misykaat j.1 m/s 56).

Dua baris selepas itu beliau menulis
وقد أطلق الحاكم والحطيب الصحة على ما جمع في سنن الترمذي  
Hakim dan Khatib Baghdadi mensahihkan semua hadits yang terdapat di dalam Sunan Tirmizi). (ibid).

Pandangan dan keputusan kedua-dua imam yang disebut oleh Mulla `Ali al-Qaari itu dikritik keras oleh para `ulama’ hadits. Imam as-Suyuthi dalam bidasannya menyifatkan Hakim dan Khatib Baghdadi sebagai

21


Jami' Al-Tirmizi 0022

mutasahil (orang yang meletakkan syarat terlalu longgar dan rendah dalam menilai kedudukan sesuatu hadits). (as-Suyuthi- Tadrib ar-Raawi j.1 m/s 165). 

Imam az-Zaila`i (Jamaaluddin Abu Muhammad Abdullah bin Yusuf bin Muhammad az-Zaila`i m.762H) juga turut mengecam pendapat kedua-dua mereka. Setelah berkata, Hakim terkenal dengan sikapnya yang terlalu mudah menghukum sahih sesuatu hadits, az-Zaila`i menulis: 
قيل إن تصحيحزالحاكم دون تصحيح الترمذي والدار قطني بل تصحيه كتحسين الترمذي
Maksudnya: Kata `ulama’, tashih (keputusan tentang sahihnya sesuatu hadits oleh) Hakim lebih rendah daripada tashih (keputusan tentang sahihnya sesuatu hadits oleh) Tirmizi dan Daaraquthni. Bahkan tashih beliau hanya seperti tahsin (keputusan tentang hasannya sesuatu hadits oleh) Tirmizi saja. Kadang-kadang ia lebih rendah lagi daripadanya. (az-Zaila`i - Nashbu ar-Raayah j.1 m/s 352).

Imam Zahabi pula mempunyai kayu ukurnya yang tersendiri apabila beliau meletakkan kedudukan kitab Jaami` Tirmizi lebih rendah dari kitab Sunan Abi Daud dan Sunan Nasaa’i. Beliau menegaskan tidak mungkin sebuah kitab yang ada termuat di dalamnya riwayat daripada al-Waqidi dan al-Kalbi boleh dii`tiraf sebagai sebuah kitab yang hanya menghimpunkan hadits-hadits sahih. Ini kerana beliau beranggapan apa pun periwayatan dari kedua-dua perawi ini tidak boleh diterima. Mereka berdua ini bukan sekadar disifatkan sebagai dha`if bahkan dianggap dan dilabelkan sebagai kazzab oleh imam-imam hadits.

Di bawah biografi Katsir bin Abdillah bin `Amar bin `Auf al-Muzani, Imam az-Zahabi menukilkan kata-kata beberapa orang tokoh Rijaal hadits yang mendiskreditkan Katsir. Antara mereka ialah Ibnu Ma`in, Syafi`e, Abu Daud, 
Daaraquthni, Ibnu Hibbaan dan lain-lain. Beliau juga menukilkan apa tindakan Ahmad terhadap haditsnya
قال ابن معين ليس بشيء وقال الشافعي زأبو داؤد ركن من اركان الكذب وضرب أحمد على حديثه
Maksudnya: Kata Ibnu Ma`in, (Katsir) langsung tidak berguna. Kata Syafi`e dan Abu Daud, dia adalah salah seorang rukun dusta. Ahmad pula memadamkan haditsnya. 

Jelas kelihatan di sini pendirian Ibnu Ma`in bahawa Katsir bin Abdillah adalah seorang yang langsung tidak berguna. Imam Syafi`e dan Abu Daud pergi lebih jauh lagi dengan melabelkan Katsir ini sebagai salah satu tiang utama dusta.

Imam Ahmad pula langsung tidak mahu menerima pakai hadits-haditsnya. Dalam keadaan begini pun Imam Tirmizi masih mengemukakan hadits Katsir bin Abdillah di dalam kitab

22


Jami' Al-Tirmizi 0023

Jaami`nya. Maka tersenarailah nama itu dalam senarai perawi-perawi Jaami` Tirmizi, lalu jatuhlah nilai kitab Tirmizi itu kerananya. Hadits riwayat Katsir itu ialah:
 الصلح جائز بين المسلمين
Maksudnya: Perdamaian itu harus di antara orang-orang Islam. 

Imam Tirmizi mengatakan hadits ini sahih. Kata az-Zahabi seterusnya: “kerana itulah tashih (keputusan tentang sahihnya sesuatu hadits oleh) Tirmizi tidak dipercayai `ulama’.” 

Bagi penulis bukan semua hadits yang ditashih dan ditahsinkan oleh Tirmizi itu tidak dipercayai `ulama’. Yang tidak dipercayai atau lebih tepatnya yang diragui `ulama’ 
sebenarnya ialah hadits-hadits yang dikatakan sahih atau hasan oleh Tirmizi seorang diri sahaja, tanpa ada keputusan sahih atau hasan oleh orang-orang lain juga bersama beliau. 

Di bawah biografi Yahya bin Yamaan pula Imam az-Zahabi mengemukakan satu lagi kritikan. Yahya bin Yaman telah meriwayatkan satu hadits daripada Ibnu Abbaas 
yang berbunyi:
إن النبي صلى الله عليه وسلم دَخَلَ قُبْرًا لَيْلًا فَأُسْرِجَلَهُ سِرِاجٌ
Maksudnya:“Sesungguhnya Nabi s.a.w pernah memasuki kawasan perkuburan pada suatu malam, maka dinyalakanlah lampu untuk Baginda s.a.w.”

Hadits ini telah dihasankan oleh Tirmizi. Sedangkan di dalam rantaian sanad hadits tersebut terdapat tiga orang perawi yang jelas dha`ifnya.

Imam az-Zaila`i telah memperincikan lagi perbahasan hadits ini di dalam kitab Nashbu ar-Raayah (sebuah kitab yang mentakhrijkan hadits-hadits hidayah). Baginya 
pandangan Imam Tirmizi tentang kedudukan hadits ini hasan adalah tidak tepat sama sekali. 

Ini kerana madar (perawi paksi) kepada hadits ini adalah Hajjaaj bin Arthaat. Hajjaaj terkenal sebagai seorang perawi mudallis dan hadits ini tidak termasuk dalam hadits yang beliau tashrihkan sama`nya. Malah ia telah diriwayatkan secara `an`anah.

Yahya bin Said al-Qatthan juga mengkritik salah seorang perawi hadits ini iaitu Minhal bin Khalifah. Ibnu Ma`in mengatakan dia perawi yang dha`if. 

Imam Bukhari pula berkata: فيه نظر  sebagai isyarat kepada kedha`ifannya yang teruk.

Berdasarkan apa yang telah dibincang dan dibentangkan di atas bolehlah disimpulkan bahawa Imam Tirmizi termasuk dalam kalangan `ulama’ hadits yang bersikap mutasahil (mudah menghukum sahih atau hasan terhadap sesuatu hadits) dalam menilai dan menghukum sesuatu hadits.

Kecenderungan sebeginilah yang membuatkan para `ulama’ dan penyelidik hadits berwaspada dalam menerima setiap 
analisis Imam Tirmizi terhadap hadits, tidak kira sama ada pandangannya itu dalam

23

Jami' Al-Tirmizi 0024

menghukum sesuatu hadits sebagai sahih ataupun hasan. Keputusan-keputusan beliau dalam jarh dan ta`dil tidak ditelan bulat-bulat oleh mereka, disebabkan sikap dan 
pendiriannya itu. Malah dalam hal ini tokoh-tokoh hadits telah memberikan satu tuntunan penting dan sangat berguna untuk dijadikan panduan melalui pesanan dan 
ingatan mereka. 

Antaranya ialah kata-kata az-Zahabi berikut ini: 
لا تغتر بتحسين التررمذي
Maksudnya: Jangan kamu terpedaya dengan tahsin (hukum hasan terhadap sesuatu hadits oleh) Tirmizi.

Apa Kata Ibnu Hazam Tentang Tirmizi.
Walaupun nama Tirmizi meniti di bibir hampir setiap umat Islam sejak dahulu hingga ke hari ini, kitab Jaami` Tirmizi pula dimiliki dan dipelajari hampir semua `ulama’, namun ada juga rupanya imam besar yang tidak kenal Tirmizi dan tidak pernah melihat pun kitab Jaami`nya. 

Imam yang dimaksudkan ialah Imam Ibnu Hazam al-Andalusi. Kata Ibnu Hazam, Tirmizi majhul (seorang yang tidak dikenali). 

Pendapat beliau ditolak oleh para muhadditsin. Imam az-Zahabi berkata: Ketsiqahan Abu `Isa at-Tirmizi disepakati para `ulama’. Kata Ibnu Hazam, beliau majhul tidak layak dihiraukan. Sebenarnya Ibnu Hazam tidak pernah tahu pun tentang kitab Jaami` Tirmizi dan `Ilalnya.

Kata Hafiz Ibnu Hajar, di dalam Kitab al-Faraa’idh Minal Ishaal Ibnu Hazam menulis, Muhammad bin `Isa (Imam Tirmizi) majhul. Orang yang dapat berkata begini hanyalah orang yang tidak tahu menahu tentang hafalan dan karangan (`ulama’). 

Ibnu Hazam juga telah menggunakan ayat seperti itu untuk orang-orang lain. Padahal mereka adalah orang-orang yang begitu terkenal dan diterima baik oleh semua. 

Imam az-Zahabi di dalam Siyar A`laam an-Nubalaa’ menulis, banyaklah kitab-kitab hadits telah disebut oleh Ibnu Hazam. Tetapi beliau tidak pernah menyebut tentang Sunan Ibnu Majah dan Jaami` at-Tirmizi. 

Sebabnya ialah beliau tidak pernah melihat pun kitab-kitab itu. Kitab-kitab itu baru dibawa masuk ke Andalusia hanya 
selepas kematian Ibnu Hazam. 

Imam az-Zahabi di dalam Mizaan al-I`tidaal menyebut, pada Imam Baihaqi juga tidak ada Kitab-kitab Sunan Nasaa’i, Ibnu Majah dan Jaami` at-Tirmizi. (Lihat untuk semua keterangan tadi Muqaddimah Tuhfatu al-Ahwazi j.1 m/s 271.)

24

Jami' Al-Tirmizi 0025

Hadits-Hadits Jaami` Tirmizi Yang Dikritik Imam Ibnu Al-Jauzi.
Kata as-Suyuthi, Ibnu al-Jauzi telah menghukum maudhu` tiga puluh hadits Jaami` Tirmizi. Ibnu al-Jauzi adalah seorang yang sangat keras dalam menilai dan 
mengkritik hadits. Kata an-Nawawi, banyak sekali hadits yang telah dihukum maudhu` oleh Ibnu al-Jauzi di dalam kitabnya. Padahal tidak ada dalil pun tentang maudhu`nya hadits-hadits itu. Hadits-hadits itu sebenarnya adalah dha`if bukan maudhu`. 

Menurut Imam az-Zahabi, Ibnu al-Jauzi telah memasukkan banyak sekali hadits-hadits yang kuat dan hasan ke dalam Kitab al-Maudhu`aatnya. As-Suyuthi telah menjawab kritikan Ibnu al-Jauzi terhadap hadits-hadits Jaami` Tirmizi dan lain-lain di dalam dua buah bukunya yang berjudul: “Al-Qaulu al-Hasan Fi az-Zubbi `An as-Sunan” dan “At-Ta`aqqubaat `Ala al-Maudhu`aat”. Tetapi bagi penulis, kritikan Ibnu al-Jauzi yang dikatakan bersifat terlalu keras itu baik sekali untuk menjaga sunnah Rasulullah s.a.w.

Pada sesetengah tempat kritikan beliau memang wajar. 
Banyak juga hadits Jaami` Tirmizi yang belum dikritik dan disentuh orang padahal ia juga bermasalah.

Ciri-Ciri Istimewa Yang Terdapat Di Dalam Kitab Jaami` Tirmizi
Antara ciri istimewa kitab Jaami` Tirmizi ialah: 
(1) Selain kitab Jaami` ia juga merupakan kitab Sunan. 
(2) Hadits-hadits di dalamnya tidak berulang-ulang. 
(3) Imam Tirmizi mengemukakan dalil-dalil utama semua golongan fuqaha’ dengan mengasingkan bab-bab khusus untuk mereka. 
Satu tajuk bab diadakan untuk menyokong aliran `ulama’ Hijaaziyyin. Tokoh-tokoh yang termasuk dalam aliran ini antara lainnya ialah Malik, Syafi`e, Ahmad dan lain-lain. 
Satu tajuk bab lagi diadakan untuk menyokong aliran `ulama’ Kufah atau `Iraq. Antara tokoh yang termasuk dalam aliran ini ialah Sufyan ats-Tsauri, Abu Hanifah, Waki` dan lain-lain. 
(4) Di bawah setiap bab yang berkenaan dengan fiqh, dikemukakan pelbagai alirannya. 

Dengan itu kitab Jaami` Tirmizi bukan sahaja merupakan kitab hadits, malah dalam masa yang sama ia juga merupakan kitab perbandingan fiqh dan kitab yang mengandungi keterangan tentang perbezaan-perbezaan di antara aliran-aliran fiqh. Hakikat ini dapat dilihat umpamanya melalui kata-kata Tirmizi والعمل على هذا عتد أهل العلم atau والعمل على  هذا عند أكثر أهل العلم atau والعمل على هذا عند بعض أهل العلم .
`Ahli ilmu yang dimaksudkan oleh beliau ialah para mujtahidin dari pelbagai aliran fiqh. 
(5) Kedudukan dan darjat

25

Jami' Al-Tirmizi 0026

sesuatu hadits dinyatakan. Selain itu kelemahan-kelemahan yang terdapat di dalam sanad juga didedahkan. 
(6) Di bawah setiap bab dikemukakan satu, dua atau tiga 
hadits. Hadits-hadits yang dipilih Imam Tirmizi pada umumnya tidak dikemukakan oleh imam-imam hadits yang lain. Ia kemudiannya disusuli dengan kata beliau
وفي الباب عن فلان وفلان
 
iaitu satu istilah khusus beliau yang menunjukkan bahawa di sana terdapat juga hadits-hadits yang diriwayatkan oleh sahabat-sahabat lain selain yang telah dikemukakan oleh beliau. Hadits-hadits yang diisyaratkan oleh beliau 
melaluiوفي الباب عن فلان وفلان  itu sesuai juga dimasukkan di bawah bab yang dikemukakan beliau itu. 
Hadits-hadits yang diisyaratkan oleh tirmizi melalui isyarat 
 وفي الباب عن فلان وفلان
 itu mungkin betul-betul sama lafaznya dengan hadits yang dikemukakan oleh beliau di bawah sesuatu bab. Mungkin juga hanya sama dari sudut ma`na atau kandungannya sahaja. 

(7) Imam Tirmizi biasanya akan meringkaskan hadits yang terlalu panjang. Beliau akan mengambil hanya bahagian yang diperlukan dan berkenaan sahaja dengan sesuatu bab. Kerana itulah anda akan dapati hadits-hadits Tirmizi selalunya ringkas dan pendek. Bentuk hadits yang ringkas dan pendek itu tentunya mudah dihafal dan diingat. 

(8) Jika sanad sesuatu hadits ber`illat (mempunyai kecacatan) atau mudhtharib (tidak tetap), Imam Tirmizi akan menjelaskannya secara terperinci. 

(9) Menghilangkan kekeliruan yang mungkin timbul daripada nama-nama perawi yang mengelirukan. Jika seseorang perawi itu terkenal dengan nama sebenarnya, nama panggilan (kuniah) atau nama gelarannya 
(laqab) juga disertakan. Dan jika seseorang perawi itu terkenal dengan nama panggilannya (kuniah), nama sebenarnya pula disertakan. Dengan cara ini kekeliruan 
tentang seseorang perawi tidak akan berlaku.

Kadang-kadang Imam Tirmizi juga membincangkan tentang seseorang perawi, sama ada ia memang mendengar daripada orang yang diriwayatkan sesuatu hadits daripadanya ( عتا مرو ) atau tidak. 

(10) Jaami` Tirmizi disusun secara tertib dan cermat. Tajuk-tajuk babnya pula terang dan mudah difahami. Hadits-hadits di dalamnya juga senang dicari. 

(11) Menurut Imam Tirmizi, hadits-hadits yang tersebut di dalamnya tidak ada yang ditolak oleh semua ahli fiqh. 
Pasti ada faqih yang menggunakannya, kecuali dua hadits sahaja, iaitu: 
(a) Hadits tentang menjama`kan dua sembahyang tanpa sebarang ke`uzuran. Hadits itu dikemukakan oleh Tirmizi bawah باب ما جاء في الجمع بين الصلوتين
 Lihat  haditsnya: 
حَدَّثَنَا هَنَّادٌ حَدَّثَنَا أَبُو مُعَاوِيَةَ عَنْ الْأَعْمَشِ عَنْ حَبِيبِ بْنِ أَبِي ثَابِتٍ عَنْ سَعِيدِ بْنِ جُبَيْرٍ عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ جَمَعَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ وَبَيْنَ الْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ بِالْمَدِينَةِ مِنْ غَيْرِ خَوْفٍ وَلَا مَطَرٍ قَالَ فَقِيلَ لِابْنِ عَبَّاسٍ مَا أَرَادَ بِذَلِكَ قَالَ أَرَادَ أَنْ لَا يُحْرِجَ أُمَّتَهُ
(telah menceritakan kepada kami Hannad berkata; telah menceritakan kepada kami Abu Mu'awiyah dari Al A'masy dari Habib bin Abu Tsabit dari Sa'id bin Jubair dari Ibnu Abbas ia berkata; "Di Madinah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah menjamak antara shalat zhuhur dan asar, serta antara maghrib dan isya, bukan karena takut atau hujan." Sa'id berkata; "Dikatakan kepada Ibnu Abbas, "Apa yang beliau kehendaki dari hal itu?" ia menjawab, "Beliau tidak ingin mempersulit rakyatnya.)

Maksudnya Kata  Ibnu Abbaas  : 
 
26


Jami' Al-Tirmizi 0027

“Rasulullah s.a.w. telah menjama`kan sembahyang Zohor dan `Ashar dan juga sembahyang Maghrib dan `Isyaa’ di Madinah dalam keadaan tidak ada sebarang ketakutan dan hujan.” Kata perawi, maka ada orang bertanya Ibnu `Abbaas, kenapa Baginda s.a.w. berbuat begitu? Jawab Ibnu `Abbaas: Baginda s.a.w. berbuat begitu supaya tidak menyusahkan umatnya. 
(Jaami` Tirmizi j.1 m/s 314). 

(b) Hadits tentang hukum bunuh terhadap peminum arak. Hadits ini tersebut di bawah
 ما جاء من شرب الخمر فاجلدوه ومن عاد في الرابعة فاقتلوه
Lihat hadits ini
ِ حَدَّثَنَا أَبُو كُرَيْبٍ حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ عَيَّاشٍ عَنْ عَاصِمِ بْنِ بَهْدَلَةَ عَنْ أَبِي صَالِحٍ عَنْ مُعَاوِيَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ شَرِبَ الْخَمْرَ فَاجْلِدُوهُ فَإِنْ عَادَ فِي الرَّابِعَةِ فَاقْتُلُوهُ
Maksudnya: Rasulullah s.a.w. bersabda: Sebatlah orang 
yang minum arak. Jika dia mengulangi lagi meminumnya buat kali keempat, bunuhlah dia. 
(Jaami` Tirmizi j.5 m/s 355). 

Sebenarnya hadits ini juga dipakai oleh fuqaha’. Dalam fiqh mazhab Hanafi, hadits pertama dipakai sebagai jama` shuri. Hadits kedua pula dipakai sebagaihukum berdasarkan siasah. 

(12) Kadang-kadang Imam Tirmizi mengadakan satu tajuk bab menggunakan lafaz satu hadits sahih yang masyhur dan diriwayatkan oleh seseorang sahabat. Hadits itu diriwayatkan juga oleh pengarang-pengarang kitab Sihah Sittah yang lain. Untuk membuktikan apa yang dida`wa beliau di dalam tajuk bab, beliau bawakan satu hadits yang tidak masyhur yang diriwayatkan oleh seorang sahabat lain. Meskipun sanad hadits yang dikemukakan oleh beliau itu lebih rendah tarafnya daripada sanad hadits yang 
dikemukakan di dalam tajuk bab, ia disusuli dan diperkuatkan dengan kata beliau: 
وفي الباب عن فلان وفلان وفلان وفلان
Salah seorang fulan yang diisyaratkan dengan kata
 وفي الباب
tadi ialah sahabat yang meriwayatkan hadits yang dikemukakan beliau di dalam tajuk bab. Faedahnya ialah selain memperkenalkan hadits yang tidak begitu popular, dapat juga beliau menyatakan apa-apa kecacatan jika ia terdapat di dalam hadits yang dikemukakan itu. 
Adakalanya Imam Tirmizi juga menyatakan apa yang kurang dan apa yang lebih di dalam sesuatu matan hadits.

(13) Boleh dikatakan apabila Imam Tirmizi mengemukakan hadits seseorang sahabat di bawah sesuatu tajuk bab, beliau tidak akan menyebut lagi nama sahabat itu dalam senarai orang-orang yang beliau isyaratkan dalam katanya: وفي الباب عن فلان وفلان وفلان وفلان .Akan tetapi ada juga beberapa tempat yang terkecuali daripada qaedah ini, di mana beliau menyebut pula nama sahabat berkenaan dalam senarai yang diisyaratkan itu. Di bawah  باب مَا جَاءَ فِي الرَّكْعَتَيْنِ إِذَا جَاءَ الرَّجُلُ وَالإِمَامُ يَخْطُبُ:  sebagai contohnya, Imam Tirmizi mengemukakan hadits Jaabir bin `Abdillah. 
Selepas mengemukakan hadits kedua di bawah bab ini beliau berkata وَفِي الْبَابِ عَنْ جَابِرٍ وَأَبِي هُرَيْرَةَ وَسَهْلِ بْنِ سَعْدٍ.
dalam bab ini dari Jabir, Abu Hurairah dan Sahl bin Sa'ad.

27
Jami' Al-Tirmizi 0028

dalamnya. Apa tujuan Imam Tirmizi menyebut semula nama Jaabir di sini? Jawab  Hafiz al-`Iraaqi, tujuannya mungkin untuk mengisyaratkan kepada riwayat lain Jaabir 
yang juga berkaitan dan berkenaan dengan tajuk bab. 
(14) Selalu juga selepas meringkaskan hadits yang panjang Tirmizi mengatakan فيه قصة وفيه كلام أكثر من هذا
Maksudnya: Hadits ini punya kisah dan cerita yang lebih panjang daripada apa yang disebutkan ini. 

(15) Nama-nama perawi yang sama akan dibezakan dengan gelarannya. 

Misalnya Yazid, ada dua orang. 
Untuk membezakan dua orang yang bernama Yazid itu Imam Tirmizi akan berkata, Yazid al-Faarisi atau Yazid ar-
Raqaasyi. Dua nama panggilan yang dikongsi juga akan dibezakan oleh Tirmizi. 

Abu Haazim misalnya adalah nama panggilan untuk dua orang yang berbeza. Ia mengelirukan. Untuk membezakannya Imam Tirmizi akan berkata, Abu Haazim az-Zaahid atau Abu Haazim al-Asyja`i. Nama sebenar Abu Haazim az-Zaahid ialah Salamah bin Dinar al-Madini. Nama sebenar Abu Haazim al-Asyja`i pula ialah Salman al-Kufi.

Pendek kata Imam Tirmizi akan menghilangkan kekeliruan yang mungkin timbul akibat daripada kesamaan nama perawi-perawi. 


(16) Imam Tirmizi juga kadang-kadang mengadakan bab tanpa tajuk باب بلا ترجمة seperti yang dibuat guru beliau Bukhari sebelumnya. Selepas menukilkan hadits di bawahnya, beliau berkata   وفي الباب عن فلان وفلان dengan maksud mengisyaratkan kepada hadits-hadits 
yang sema`na dengannya. 

Bab tanpa tajuk biasanya mengambil alih perkataan “Fasal”. Ia bererti hadits di bawahnya masih berkenaan dengan tajuk bab sebelumnya. Ia juga mungkin bererti hadits di bawahnya mengandungi masalah, pengajaran atau panduan yang masih ada kena mengenanya dengan tajuk bab sebelumnya. 


(17) Sering kali juga selepas mengemukakan sesuatu hadits yang diriwayatkan oleh seseorang sahabat, Imam Tirmizi berkata: وفي الباب عن فلان  dengan menyebut nama sahabat yang lain. Lalu selepas itu beliau kemukakan terus hadits sahabat yang diisyaratkan tadi. Maka dalam keadaan ini perlulah difahami bahawa itulah sebenarnya hadits sahabat yang diisyaratkan oleh beliau di dalam kata:  وفي الباب عن فلان. Misalnya di bawah  بَاب ما جاء في زكاة البقر Imam
Tirmizi mengemukakan satu hadits yang diriwayatkan oleh `Abdullah bin Mas`ud.
ما جاء في زكاة البقرZakat sapi
٥٦٥ - حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عُبَيْدٍ الْمُحَارِبِيُّ وَأَبُو سَعِيدٍ الْأَشَجُّ قَالَا حَدَّثَنَا عَبْدُ السَّلَامِ بْنُ حَرْبٍ عَنْ خُصَيْفٍ عَنْ أَبِي عُبَيْدَةَ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنُ مَسْعُودٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فِي ثَلَاثِينَ مِنْ الْبَقَرِ تَبِيعٌ أَوْ تَبِيعَةٌ وَفِي كُلِّ أَرْبَعِينَ مُسِنَّةٌ وَفِي الْبَاب عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ قَالَ أَبُو عِيسَى هَكَذَا رَوَاهُ عَبْدُ السَّلَامِ بْنُ حَرْبٍ عَنْ خُصَيْفٍ وَعَبْدُ السَّلَامِ ثِقَةٌ حَافِظٌ وَرَوَى شَرِيكٌ هَذَا الْحَدِيثَ عَنْ خُصَيْفٍ عَنْ أَبِي عُبَيْدَةَ عَنْ أَبِيهِ عَبْدِ اللَّهِ وَأَبُو عُبَيْدَةَ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ لَمْ يَسْمَعْ مِنْ عَبْدِ اللَّهِ أَبِيهِ
565. Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin 'Ubaid Al Muharibi dan Abu Sa'id Al Asyajj keduanya berkata, telah menceritakan kepada kami 'Abdus Salam bin Harb dari Khushaif dari Abu 'Ubaidah dari Abdullah bin Mas'ud dari Nabi Shalallahu 'alaihi wa salam beliau bersabda: "Pada setiap tiga puluh ekor sapi, zakatnya satu ekor Tabi' atau Tabi'ah (sapi jantan atau betina yang telah memasuki tahun kedua) dan pada setiap empat puluh ekor sapi, zakatnya satu ekor Musinnah (yang telah memasuki tahun ketiga) ". Dalam bab ini (ada juga riwayat -pent) dari Mu'adz bin Jabal. Abu 'Isa berkata, demikianlah 'Abdus Salam bin Harb meriwayatkannya dari Khushaif, sedangkan 'Abdus Salam adalah orang yang tsiqah dan hafizh. Hadits ini juga diriwayatkan oleh Syarik dari Khushaif dari Abu 'Ubaidah dari ayahnya Abdullah, sedangkan Abu 'Ubaidah belum pernah meriwayatkan hadits dari ayahnya.

Lalu beliau berkata:وَفِي الْبَاب عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ.Kemudian terus beliau kemukakan pula hadits Mu`az yang diisyaratkan itu. 

(18) Selepas mengemukakan sesuatu hadits Imam Tirmizi 
mengatakan هاذا حديث صحيح atau هاذا حديث غريب atau هاذا حديث منكر
Keputusan Imam Tirmizi yang seperti ini  tidak menimbulkan sebarang masalah atau kekeliruan. Yang 
menimbulkan kekeliruan ialah apabila beliau berkata:
هذا  حديث صحيح حسن  غريب 
atau
 هذا

28


Jami' Al-Tirmizi 0029

  حديث  غريب صحيح
atau
هذا حديث حسن غريب

dan sebagainya

Apa ertinya semua istilah-istilah ini? Ia kelihatan semacam bertentangan. Kalau sudah sahih kenapa pula 
dikatakan gharib (dha`if)? Bolehkah sesuatu hadits itu sahih dan dalam masa yang sama ia juga dha`if? 

Para `ulama’ hadits telah memberi beberapa jawapan untuk menghilangkan kekeliruan akibat penggunaan istilah yang kelihatan bertentangan itu: 
(a) Imam Tirmizi mahu mengisyaratkan bahawa hadits berkenaan ada diriwayatkan melalui beberapa saluran riwayat. Ada antaranya yang sahih, ada yang hasan dan ada juga yang gharib atau dha`if. 
(b) Hadits berkenaan pada pandangan dan penilaian 
sesetengah `ulama’ sahih. Pada pandangan dan penilaian sesetengah `ulama’ yang lain ia hasan. Sementara pada pandangan dan penilaian sesetengah `ulama’ yang lain 
pula ia gharib. Ertinya ialah para `ulama’ hadits berbeza pendapat tentang taraf dan kedudukannya sesuai dengan syarat dan iltizam masing-masing. 
(c) Imam Tirmizi mengatakan begitu bukan hanya untuk hadits yang dikemukakan beliau sahaja. Salah satu daripada hukum yang diberikan itu memang sesuai untuk hadits yang dikemukakan beliau. Adapun yang dua lagi, ia tidak sesuai dengannya, malah ia sesuai dengan hadits-hadits sahabat lain yang diisyaratkan oleh beliau dengan kata: وفي الباب عن فلان وفلان

Ertinya keputusan yang dibuat Tirmizi itu adalah dengan 
mengambil kira hadits-hadits lain yang sema`na dengan hadits yang dikemukakan oleh beliau. 

(d) Menurut Hafiz al-`Iraqi, kata-kata Tirmizi هذا حديث حسن غريب misalnya bererti bagi beliau sifat hadits hasan pada hadits yang dikemukakan adalah lebih kuat daripada sifat hadits gharib atau dha`if. Apabila Imam Tirmizi menyebutkan hasan sebelum gharib, itu bererti sifat hasanlah yang lebih kuat padanya. Tetapi jika gharib 
pula disebut dahulu, maka itu bererti sifat ghariblah yang lebih kuat padanya. Antara hadits yang boleh diterapkan qaedah yang dikemukakan oleh Hafiz al-`Iraqi ini ialah 
hadits marfu` yang diriwayatkan oleh Ibnu `Umar dibawah 
ما جاء في الأربع قبل العصر
Berikut ialah haditsnya٣
٣٩٥ - حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ مُوسَى وَمَحْمُودُ بْنُ غَيْلَانَ وَأَحْمَدُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ الدَّوْرَقِيُّ وَغَيْرُ وَاحِدٍ قَالُوا حَدَّثَنَا أَبُو دَاوُدَ الطَّيَالِسِيُّ حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ مُسْلِمِ بْنِ مِهْرَانَ سَمِعَ جَدَّهُ عَنْ ابْنِ عُمَرَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ رَحِمَ اللَّهُ امْرَأً صَلَّى قَبْلَ الْعَصْرِ أَرْبَعًا قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ غَرِيبٌ حَسَنٌ
395. Telah menceritakan kepada kami Yahya bin Musa dan Mahmud Al Gahilan dan Ahmad bin Ibrahim Ad Dauraqi dan selainnya berkata; telah menceritakan kepada kami Abu Dawud Ath Thayalisi berkata; telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Muslim bin Mihran mendengar Kakeknya dari Ibnu Umar dari Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, beliau bersabda: "Semoga Allah merahmati orang yang shalat empat rakaat sebelum ashar." Abu Isa berkata; "Hadits ini derajatnya hasan gharib."

Maksudnya:“Semoga Allah merahmati orang yang bersembahyang (sunat) empat raka`at sebelum (bersembahyang) `Ashar.”

 Bagi al-`Iraqi sifat hadits gharib pada hadits ini lebih kuat 
berbanding sifat hadits hasan. Ini kerana Imam Tirmizi mendahulukan perkataan gharib daripada perkataan hasan. (Lihat as-Suyuthi- Quut al-Mughtazi j.1 m/s 57, al-
Mubarakfuri- Tuhfatu al-Ahwazi j.2 m/s 417). 

(19) Adakalanya Imam Tirmizi hanya mengemukakan hadits gharib dan dha`if di bawah sesuatu tajuk bab. Padahal ada pun

Jami' Al-Tirmizi 0030

hadits sahih yang sesuai untuk tajuk itu. Imam Tirmizi sendiri bahkan ada mengisyaratkan kepada hadits sahih itu dalam kata beliau: وفي الباب عن فلان وفلان .

Kenapa beliau tidak mengambil saja hadits sahih itu dan mengemukakannya dengan lengkap di bawah tajuk bab berkenaan? Jawabnya ialah Imam Tirmizi mempunyai 
maksud lain di situ. Maksud beliau ialah memperkenalkan hadits dha`if dan perawi-perawinya. Yang menjadi pegangan beliau dan lain-lain `ulama’ dalam bab berkenaan bukan hadits dha`if yang dikemukakan itu, tetapi sebaliknya hadits-hadits sahih yang diisyaratkan oleh beliau melalui katanya: وفي الباب عن فلان وفلان .Hadits dha`if itu 
dikemukakan beliau mungkin hanya sebagai syahid atau mutaba`at sahaja. 


(20) Ada juga ketikanya, setelah mengemukakan pendapat atau pandangan tokoh tertentu tentang ma`na dan maksud sesuatu hadits, Imam Tirmizi mengkritik pendapatnya lalu
mengulas hadits berkenaan berdasarkan pemahaman beliau sendiri. Kitab-Kitab Syarah Dan Hasyiah Jaami` Tirmizi
Para `ulama’ muhadditsin telah memberikan perhatian luar biasa kepada Jaami` Tirmizi kerana kelebihan dan keistimewaannya yang sangat banyak. Hasilnya lahirlah 
sekian banyak syarah dan hasyiah yang dikarang mereka di sepanjang sejarah penulisan kitab-kitab hadits. 

Antara syarah dan hasyiahnya yang popular ialah: 
(1) `Aaridhatu al-Ahwazi - Hafiz Abu Bakar Ibnu al-`Arabi al-Maliki m.256H. 
(2) Quut al-Mughtazi - Jalaluddin as-Suyuthi m.911H. 
(3) Syarah at-Tirmizi - Abu at-Thaiyyib 
al-Madani m.1109H. 
(4) Syarah Tirmizi - Syeikh Siraj Ahmad Sarhindi. 
(5) Naf`u Quut al-Mughtazi - `Allamah Damanti. Kitab ini merupakan ringkasan kepada kitab Quut al-Mughtazi karangan as-Suyuthi. 
(6) Syarah at-Tirmizi - Hafiz Abu al-Fath Muhammad bin Muhammad bin Saiyyidi an-Naas asy-Syafi`e m.734H. 
(7) Syarah at-Tirmizi - Syeikh Zainuddin `Abdur Rahman bin Ahmad bin Rajab al-Hambali m.795H. 
(8) Syarah at-Tirmizi - Syeikh Sirajuddin `Umar bin Ruslan al-Bulqini asy-Syafi`e m.805H. 
(9) Syarah Zawaa’id at-Tirmizi - Syeikh Sirajuddin `Umar bin Ruslan. 
(10) Hasyiah Syeikh Abu al-Hasan Nuruddin Muhammad bin `Abdul Hadi as-Sindhi al-Hanafi m.1138H. 
(11) Tuhfatu al-Ahwazi - Maulana `Abdur Rahman al-
Mubarakpuri m.1353H. 
(12) Al-`Arfu asy-Syazi - Maulana Muhammad Anwar Syah 
al-Kashmiri. Buku ini sebenarnya adalah hasil catitan seorang murid Maulana bernama Maulana Muhammad Chiragh. 
(13) Al-Kaukab ad-Durri - Maulana Rasyid

30


Jami' Al-Tirmizi 0031

Ahmad al-Ganggohi m.1323H. 
(14) Ma`arifu as-Sunan - Maulana Muhammad Yusuf 
al-Banoori. 
(15) Bahrul Maazi - Syeikh Muhammad Idris al-Marbawi. Bahrul Maazi adalah satu-satunya Syarah Tirmizi di dalam bahasa Melayu (Jawi lama). Ia sebenarnya merupakan Syarah kepada Mukhtasar Sunan at-Tirmizi. Walaupun ia 
hanya Syarah kepada Mukhtasar Sunan at-Tirmizi, namun perbincangannya agak meluas dan ia telah termuat dalam 9 jilid tebal.
(16) Tuhfatul Alma`i - Syeikhul Hadits Darul `Ulum Deoband sekarang, Maulana Sa`id Ahmad Palanpuri. Tuhfatul 
Alma`i adalah Taqrir (Syarah) Jaami` at-Tirmizi yang lengkap dalam bahasa Urdu. Ia dicetak menjadi 8 jilid.
Syuruh Tirmizi Terbaik Utk Rujukan Syarah Tirmizi.
(1) Al-Kaukabu ad-Durri - Rashid Ahmad ganggohi
(2) Al-Kaukabu ad-Durri - Abu Thalhah 
(3) Al-Wardu at-Thari 
(4) Anwaaru as-Sunan 
(5) Haqaiq as-Sunan
(6) Dars e Tirmizi - Taqi Usmani
(7) Daqaaiqu as-Sunan
(8) Jaami` Tirmizi Vol- 1
(9) Majma`ul Bahrain
(10) Tashreehaat Tirmizi
(11) Tohfatul Alma`i

31




Tiada ulasan:

Catat Ulasan