Rabu, Julai 06, 2022

Jami ' tirmizi kitab bersuci sesi 108 3/7/22s6

Jami ' tirmizi kitab bersuci sesi 108 3/7/22s6
⁶⁶⁵ Di dalam riwayat Abu Daud tersebut kata-kata Anas begini:
كان أصحاب رسول الله صلى الله عليه وسلم  ينتظرون العشاء الاخرة حتى تخفق رءوسهم، ثم يصلون ولا يتوضئون
Bermaksud: Sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. menunggu (Nabi s.a.w.) untuk bersembahyang `Isyā’ sehingga tersengguk-sengguk kepala mereka. Kemudian mereka bersembahyang dengan tidak berwudhu’ lagi.

Daripada riwayat ini dapat difahami bahawa para sahabat tidur sambil duduk. Dan tidur mereka yang tersebut di dalam hadits ini adalah ketika mereka menunggu untuk
bersembahyang `Isyā’ bersama Nabi s.a.w.

⁶⁶⁶ Muslim, Ahmad, Abu Daud, Ibnu Abi Syaibah, at-Thabaraani, Abu Ya`la, `Abd bin Humaid, at-Thaĥāwi di dalam Syarĥ Musykil al-Aatsār dan al-Baihaqi di dalam
Sunannya juga meriwayatkannya.

⁶⁶⁷ bin Dzakwān al-Bāhili at-Tirmidzi. Beliau adalah pendatang di Baghdad. Shāleh meriwayatkan hadits daripada Malik, Syarīk, Ibnu al-Mubārak dan lain-lain. Tirmidzi dan Abu Haatim adalah antara tokoh yang meriwayatkan hadits daripadanya. Abu Haatim berkata, “Shāleh perawi shadūq”, beliau meninggal dunia pada tahun 239 Hijrah.

⁶⁶⁸ Tidak wajib dia berwudhu’, kerana wudhu’ tidak terbatal dengan tidur dalam keadaan duduk seperti itu.


⁶⁶⁹ Demikianlah perincian khilaf para `ulama’ tentang terbatal atau tidak wudhu’ kerana tidur menurut at-Tirmidzi. Imam an-Nawawi telah menyebutkan khilaf para 
`ulama’ berhubung dengan masalah ini dengan lebih terperinci lagi. Kata beliau, “Ada beberapa mazhab `ulama’ dalam masalah ini:
(1) Tidur tidak membatalkan wudhu’ dalam apa keadaan sekalipun. Inilah pendapat Abu Musa al-Asy`ari, Sa`id bin Musaiyyab, Abu Mijlaz, Humaid al-A`raj dan Syu`bah.

(2) Tidur dalam apa keadaan sekalipun membatalkan wudhu’. Ini adalah mazhab Ĥasan al-Bashri, al-Muzani, Abu `Ubaid al-Qāsim bin Sallām dan Ishaq bin Rāhawaih. Ini juga merupakan satu pendapat asy-Syafi`e yang ganjil. Kata Ibnu al-Mundzir, “Inilah peganganku.” Beliau juga berkata, “Ini juga pendapat yang diriwayatkan daripada Ibnu `Abbaas, Anas dan Abu Hurairah.”

(3) Tidur yang banyak membatalkan wudhu’, tidak kira bagaimana sekali pun keadaannya. Tidur yang sedikit pula tidak membatalkan wudhu’, biar bagaimanapun 
keadaannya. Inilah mazhab az-Zuhri, Rabī`ah, al-Auzā`i menurut satu riwayat yang dinukilkan daripadanya, Malik dan Ahmad dalam salah satu daripada dua riwayat 
yang dinukilkan daripadanya.

(4) Tidur dalam mana-mana keadaan orang yang bersembahyang seperti ruku`, sujud, qiam dan duduk tidak membatalkan wudhu’. Tidak kira dalam sembahyang atau di luar sembahyang. Tidur dalam keadaan menyenggeng, terlentang, telungkup atau tertiarap pula membatalkan. Inilah mazhab Abu Hanifah dan Daud az-Zhāhiri. Ini juga merupakan satu pendapat yang ganjil bagi asy-Syafi`e.

(5) Tidur tidak membatalkan wudhu’ kecuali dalam keadaan orang yang sedang ruku` dan sujud. Imam Ahmad diriwayatkan berpendapat begini.

(6) Tidur tidak membatalkan wudhu’ kecuali dalam keadaan orang yang sedang sujud. Imam Ahmad juga diriwayatkan berpendapat begini.

(7) Tidur dalam sembahyang tidak membatalkan wudhu’ sama sekali. Tidur di luar shalat pula membatalkan. Ini adalah qaul dha`if bagi asy-Syafi`e.

(8) Tidur dalam keadaan tetap punggung di atas lantai tidak membatalkan wudhu’. Jika tidak begitu maka membatalkan. Tidak kira, sama ada sedikit atau banyak, sama ada di dalam shalat atau di luar shalat. Inilah mazhab asy-Syafi`e. Menurut asy-Syafi`e, tidur itu sendiri bukan ĥadats (sesuatu yang membatalkan wudhu’), ia tidak
lebih daripada tanda yang menunjukkan terkeluarnya angin. Apabila seseorang tidur dalam keadaan tidak tetap punggungnya, maka besar sekali kemungkinan angin 
terkeluar (dari duburnya). Kerana itu Syara` menetapkan hukum bagi sesuatu yang ghalib sebagai sesuatu yang pasti. Dalam keadaan seseorang tidur dengan tetap 
punggungnya pula, kemungkinan besar terkeluar angin itu tiada, maka kesucian yang sedia ada dikira ada seperti asalnya.

Banyak sekali terdapat hadits-hadits yang dapat dijadikan sebagai dalil bagi mazhab-mazhab yang berbeza-beza itu.”
Menurut Maulana Muhammad Yusuf al-Banūri, terdapat beberapa orang lagi tokoh yang termasuk dalam kumpulan ke-(1), mereka ialah Ibnu `Umar, Makĥūl, `Abīdah 
as-Salmāni dan al-Auzā`i.

Antara tokoh yang termasuk dalam kumpulan ke-(4) tetapi tidak disebut oleh an-Nawawi ialah Sufyan dan Ĥammād bin Abi Sulaiman.

Satu lagi pendapat yang tidak disebut oleh Imam an-Nawawi dan boleh dikatakan sebagai pendapat ke-9 ialah tertidur dalam keadaan sujud di tempat shalat tidak
membatalkan wudhu’. Tetapi tidur dalam keadaan sujud di luar shalat membatalkan. 
Sengaja tidur dalam shalat juga membatalkan wudhu’. Inilah pendapat Ibnu al-Mubārak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan