Sahih Bukhari Kitab Maghazi 16/10/22(1)
٣٤- باب غَزْوَةُ بَنِي الْمُصْطَلِقِ مِنْ خُزَاعَةَ وَهْيَ غَزْوَةُ الْمُرَيْسِيعِ:
قَالَ ابْنُ إِسْحَاقَ: وَذَلِكَ سَنَةَ سِتٍّ.
وَقَالَ مُوسَى بْنُ عُقْبَةَ: سَنَةَ أَرْبَعٍ.
وَقَالَ النُّعْمَانُ بْنُ رَاشِدٍ عَنِ الزُّهْرِيِّ: كَانَ حَدِيثُ الإِفْكِ فِي غَزْوَةِ الْمُرَيْسِيعِ.
34- Bab: Peperangan Bani Al-Musthaliq Daripada Puak Khuza`ah, ⁵⁸⁰ Dan Ia Adalah Ghazwah Muraisi`. Kata Ibnu Ishaq: Ia Berlaku Pada Tahun Ke-Enam.⁵⁸¹ Kata Musa Bin Uqbah, Pada Tahun Ke-Empat.⁵⁸² An-Nu`man Bin Rasyid Berkata, Diambilnya Daripada Az-Zuhri Bahawa Hadits Ifk Berlaku Pada Ghazwah Muraisi`.⁵⁸³
__________
⁵⁸⁰ Banu al-Mushthaliq adalah sebahagian daripada qabilah Bani Khuzā`ah. Mushthaliq adalah laqab atau gelaran bagi Judzaimah bin Sa`ad. Perkataan mushthaliq berpunca
daripada perkataan صلق yang bererti mengangkat atau mengeraskan suara. Oleh kerana suara Judzaimah bin Sa`ad merdu dan lantang beliau digelar dengan al-Mushthaliq (orang yang bersuara merdu dan lantang).
Imam Bukhari menyebut Ghazwah Muraisī` sebagai nama kedua bagi Ghazwah Bani al-Mushthaliq. Muraisī` adalah nama satu sumber air di mana berlakunya peperangan di situ.
Kerana itu Ghazwah Bani al-Mushthaliq dipanggil juga dengan nama Ghazwah Muraisī`. Banu al-Mushthaliq pula adalah nama satu kaum yang telah berperang dengan orang-orang Islam di zaman Rasulullah s.a.w. Kerana itu ia juga dikenali sebagai Ghazwah Bani al-Mushthaliq.
Para `ulama’ berbeda pendapat tentang Ghazzwah Bani al-Mushthaliq dan Ghazwah Muraisī` itu, adakah kedua-duanya peperangan yang sama atau lain. Imam Bukhari telah memberikan pendapatnya bahawa kedua-duanya adalah nama bagi peperangan yang
sama.
Menurut Abu Haatim Ibnu Hibbaan al-Busti dan orang-orang yang sependapat dengannya seperti Maulana Muhammad Thāhir al-Fattani, pengarang kitab “Majma` Biĥār al-Anwār”, Ghazwah Bani al-Mushthaliq bukan Ghazwah Muraisī`, kedua-duanya telah berlaku pada masa yang berlainan. Ghazwah Muraisī` telah berlaku pada 2 Sya`ban tahun ke-5 Hijrah. Sementara Ghazwah Bani al-Mushthaliq pula berlaku pada tahun ke-6 Hijrah.
Pendapat kebanyakan `ulama’ Sirah dan Maghāzi dalam masalah ini sama dengan pendapat Bukhari, iaitu kedua-duanya adalah nama bagi peperangan yang sama.
Pendapat Abu Haatim Ibnu Hibbaan al-Busti dan orang-orang yang sependapat dengannya tertolak kerana tidak konsisten. Di satu pihak mereka mengatakan Ghazwah Bani al-Mushthaliq bukan Ghazwah Muraisī`, di satu pihak yang lain pula mereka mengatakan Juwairiah binti al-Ĥārits telah diperolehi Rasulullah dalam peperangan Bani al-Mushthaliq. Kadang-kadang pula mereka berkata, Juwairiah diperoleh Baginda s.a.w. dalam Ghazwah Muraisī`. Bukankah itu bererti Ghazwah Bani al-Mushthaliq dan Ghazwah Muraisī` adalah peperangan yang sama?
⁵⁸¹ Ibnu Jarir at-Thabari, Khalifah bin Khayyāth dan Ibnu Ĥazam juga berpendapat ia berlaku pada tahun ke-enam. Ibnu Sa`ad, Baihaqi, Haakim, Qatādah dan `Urwah pula
berpendapat ia telah berlaku pada tahun ke-lima Hijrah.
⁵⁸² Sesetengah `ulama’ mempertikaikan apa yang tercatat sebagai pendapat Musa bin `Uqbah ini. Ia tidak lebih daripada suatu ketelanjuran atau kesilapan penyalin.
Menurut mereka Musa bin `Uqbah sebenarnya berpendapat ia berlaku pada tahun ke-5 Hijrah.
Haakim, Abu Sa`id dan lain-lain pegarang Sirah dan Maghāzi bersepakat menukilkan demikian.
Hafizh Ibnu Hajar juga mentarjiĥkan ia berlaku pada tahun ke-5. Alasannya ialah berdasarkan riwayat Bukhari, Sa`ad bin Mu`ādz juga telah ikut serta dalam peperangan ini. Sedangkan berdasarkan hadits-hadits yang sahih beliau meninggal dunia setelah peperangan Bani Quraizhah. Dan Ghazwah Bani Quraizhah itu juga telah berlaku pada
tahun ke-5 Hijrah. Seandainya dikatakan Ghazwah Bani al-Mushthaliq atau Ghazwah Muraisī` berlaku pada tahun ke-6, setahun selepas Ghazwah Bani Quraizhah(th ke 5), bagaimana Sa`ad bin Mu`ādz boleh menyertainya?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan