Isnin, Oktober 17, 2022

Sahih Bukhari Kitab Maghazi 16/10/22(5)

Sahih Bukhari Kitab Maghazi 16/10/22(5)

⁵⁸⁷ Kemusykilan mungkin timbul di sini bahawa bukankah wanita-wanita Bani al-Mushthaliq yang ditawan dan kemudiannya dijadikan hamba sahaya itu musyrikāt (ahli 
syirik) semuanya? Bagaimana Abu Sa`id berkata, “Kami (sebahagian sahabat) lebih menyukai `azal dan hendak melakukannya”, ertinya ialah kami hendak menyetubuhi 
mereka, padahal bukankah jumhur `ulama’ berpendapat hamba sahaya yang musyrikah tidak harus disetubuhi? Hamba sahaya yang harus (boleh) disetubuhi hanyalah yang beragama Islam atau dari kalangan Ahlul Kitab.

Para `ulama’ telah mengemukakan beberapa jawapan untuk merungkai kemusykilan tersebut:

(1) Abul Walīd al-Bāji berpendapat, wanita-wanita itu bukan musyrikāt, sebaliknya  mereka adalah dari kalangan Ahlul Kitab. Jawapan yang diberikan oleh Abul Walīd ini tidak dipersetujui oleh kebanyakan `ulama’, kerana menurut mereka wanita-wanita Bani al-Mushthaliq itu memang musyrikāt (penyembah berhala), mereka bukan Ahlul Kitab.

(2) Ibnu `Abdil Barr berpendapat, peristiwa ini berlaku ketika hukum haram menyetubuhi wanita musyrikāt belum lagi diturunkan. Ia kemudiannya dimansukhkan dengan firman 
Allah:
Al-Baqarah 2:221
وَلَا تَنكِحُوا۟ ٱلْمُشْرِكَٰتِ حَتَّىٰ يُؤْمِنَّۚ وَلَأَمَةٌ مُّؤْمِنَةٌ خَيْرٌ مِّن مُّشْرِكَةٍ وَلَوْ أَعْجَبَتْكُمْۗ وَلَا تُنكِحُوا۟ ٱلْمُشْرِكِينَ حَتَّىٰ يُؤْمِنُوا۟ۚ وَلَعَبْدٌ مُّؤْمِنٌ خَيْرٌ مِّن مُّشْرِكٍ وَلَوْ أَعْجَبَكُمْۗ أُو۟لَٰٓئِكَ يَدْعُونَ إِلَى ٱلنَّارِۖ وَٱللَّهُ يَدْعُوٓا۟ إِلَى ٱلْجَنَّةِ وَٱلْمَغْفِرَةِ بِإِذْنِهِۦۖ وَيُبَيِّنُ ءَايَٰتِهِۦ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ 
Bermaksud: Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (Yang demikian ialah 
kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izinNya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran 
(daripadanya). (al-Baqarah:221).

Pihak yang tidak bersetuju dengan pendapat ini membantahnya dengan berkata, ayat 221 Surah al-Baqarah itu berbicara tentang berkahwin dengan musyrikāt, ia tidak berbicara tentang hamba sahaya dari kalangan musyrikāt. 

(3) Imam Ahmad bin Ĥambal berpendapat, ada kemungkinan mereka memeluk agama Islam setelah menjadi hamba sahaya. Kalau mereka telah memeluk agama Islam, maka tiada halangan lagi bersetubuh dengan mereka. 
Pendapat ini juga dibantah oleh sesetengah `ulama’ dengan alasan ada juga tersebut di dalam sesetengah saluran riwayat Abu Sa`id bahawa beliau berkata,  وأحببنا الفداءْ 
(Kami mahukan tebusan). 
(Lihat sebagai contohnya riwayat Malik, Ahmad, Abu Daud dan lain-lain). 
Ini menunjukkan mereka belum Islam. Kerana wanita muslimah tidak boleh dikembalikan kepada orang musyrik.

(4) Sesetengah `ulama’ berpendapat, berdasarkan hadits Abu Sa`id, Jabir dan lain-lain hamba sahaya musyrikah juga boleh disetubuhi. Mereka juga berpegang dengan umum 
firman Allah berikut:
Al-Mu'minun 23:5 وَٱلَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَٰفِظُونَ 
Al-Mu'minun 23:6إِلَّا عَلَىٰٓ أَزْوَٰجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَٰنُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ 
Al-Mu'minun 23:7 فَمَنِ ٱبْتَغَىٰ وَرَآءَ ذَٰلِكَ فَأُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلْعَادُونَ 
Bermaksud: 
dan orang-orang yang menjaga kemaluannya (5) 
Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela,(6) 
Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.(7) 
(al-Mu’minūn-5-7). 

(Lihat Hafizh Ibnu Hajar - Fatĥul Bāri j.9 m/s 310, Ibnu `Abdil Barr – at-Tamhīd j.3 m/s 135, Muhammad Zakariya – Aujaz al-Masālik j.10 m/s 264).


Tiada ulasan:

Catat Ulasan