Isnin, Oktober 17, 2022

Sahih Bukhari Kitab Maghazi sesi 094 16/10/22s

Sahih Bukhari Kitab Maghazi sesi 094 16/10/22s


٣٤- باب غَزْوَةُ بَنِي الْمُصْطَلِقِ مِنْ خُزَاعَةَ وَهْيَ غَزْوَةُ الْمُرَيْسِيعِ: 
قَالَ ابْنُ إِسْحَاقَ: وَذَلِكَ سَنَةَ سِتٍّ. 
وَقَالَ مُوسَى بْنُ عُقْبَةَ: سَنَةَ أَرْبَعٍ. 
وَقَالَ النُّعْمَانُ بْنُ رَاشِدٍ عَنِ الزُّهْرِيِّ: كَانَ حَدِيثُ الإِفْكِ فِي غَزْوَةِ الْمُرَيْسِيعِ. 

34- Bab: Peperangan Bani Al-Musthaliq Daripada Puak Khuza`ah, ⁵⁸⁰ Dan Ia Adalah Ghazwah Muraisi`. Kata Ibnu Ishaq: Ia Berlaku Pada Tahun Ke-Enam.⁵⁸¹ Kata Musa Bin Uqbah, Pada Tahun Ke-Empat.⁵⁸² An-Nu`man Bin Rasyid Berkata, Diambilnya Daripada Az-Zuhri Bahawa Hadits Ifk Berlaku Pada Ghazwah Muraisi`.⁵⁸³
__________
⁵⁸⁰  Banu al-Mushthaliq adalah sebahagian daripada qabilah Bani Khuzā`ah. Mushthaliq adalah laqab atau gelaran bagi Judzaimah bin Sa`ad. Perkataan mushthaliq berpunca 
daripada perkataan صلق yang bererti mengangkat atau mengeraskan suara. Oleh kerana suara Judzaimah bin Sa`ad merdu dan lantang beliau digelar dengan al-Mushthaliq (orang yang bersuara merdu dan lantang).

Imam Bukhari menyebut Ghazwah Muraisī` sebagai nama kedua bagi Ghazwah Bani al-Mushthaliq. Muraisī` adalah nama satu sumber air di mana berlakunya peperangan di situ. 
Kerana itu Ghazwah Bani al-Mushthaliq dipanggil juga dengan nama Ghazwah Muraisī`. Banu al-Mushthaliq pula adalah nama satu kaum yang telah berperang dengan orang-orang Islam di zaman Rasulullah s.a.w. Kerana itu ia juga dikenali sebagai Ghazwah Bani al-Mushthaliq. 

Para `ulama’ berbeda pendapat tentang Ghazzwah Bani al-Mushthaliq dan Ghazwah Muraisī` itu, adakah kedua-duanya peperangan yang sama atau lain. Imam Bukhari telah memberikan pendapatnya bahawa kedua-duanya adalah nama bagi peperangan yang
sama.

Menurut Abu Haatim Ibnu Hibbaan al-Busti dan orang-orang yang sependapat dengannya seperti Maulana Muhammad Thāhir al-Fattani, pengarang kitab “Majma` Biĥār al-Anwār”, Ghazwah Bani al-Mushthaliq bukan Ghazwah Muraisī`, kedua-duanya telah berlaku pada masa yang berlainan. Ghazwah Muraisī` telah berlaku pada 2 Sya`ban tahun ke-5 Hijrah. Sementara Ghazwah Bani al-Mushthaliq pula berlaku pada tahun ke-6 Hijrah.

Pendapat kebanyakan `ulama’ Sirah dan Maghāzi dalam masalah ini sama dengan pendapat Bukhari, iaitu kedua-duanya adalah nama bagi peperangan yang sama. 
Pendapat Abu Haatim Ibnu Hibbaan al-Busti dan orang-orang yang sependapat dengannya tertolak kerana tidak konsisten. Di satu pihak mereka mengatakan Ghazwah Bani al-Mushthaliq bukan Ghazwah Muraisī`, di satu pihak yang lain pula mereka mengatakan Juwairiah binti al-Ĥārits telah diperolehi Rasulullah dalam peperangan Bani al-Mushthaliq. Kadang-kadang pula mereka berkata, Juwairiah diperoleh Baginda s.a.w. dalam Ghazwah Muraisī`. Bukankah itu bererti Ghazwah Bani al-Mushthaliq dan Ghazwah Muraisī` adalah peperangan yang sama?

⁵⁸¹ Ibnu Jarir at-Thabari, Khalifah bin Khayyāth dan Ibnu Ĥazam juga berpendapat ia berlaku pada tahun ke-enam. Ibnu Sa`ad, Baihaqi, Haakim, Qatādah dan `Urwah pula 
berpendapat ia telah berlaku pada tahun ke-lima Hijrah.

⁵⁸² Sesetengah `ulama’ mempertikaikan apa yang tercatat sebagai pendapat Musa bin `Uqbah ini. Ia tidak lebih daripada suatu ketelanjuran atau kesilapan penyalin.
 Menurut mereka Musa bin `Uqbah sebenarnya berpendapat ia berlaku pada tahun ke-5 Hijrah. 
Haakim, Abu Sa`id dan lain-lain pegarang Sirah dan Maghāzi bersepakat menukilkan demikian. 

Hafizh Ibnu Hajar juga mentarjiĥkan ia berlaku pada tahun ke-5. Alasannya ialah berdasarkan riwayat Bukhari, Sa`ad bin Mu`ādz juga telah ikut serta dalam peperangan ini. Sedangkan berdasarkan hadits-hadits yang sahih beliau meninggal dunia setelah peperangan Bani Quraizhah. Dan Ghazwah Bani Quraizhah itu juga telah berlaku pada 
tahun ke-5 Hijrah. Seandainya dikatakan Ghazwah Bani al-Mushthaliq atau Ghazwah Muraisī` berlaku pada tahun ke-6, setahun selepas Ghazwah Bani Quraizhah(th ke 5), bagaimana Sa`ad bin Mu`ādz boleh menyertainya?

-ada byk sebab imam bukhari sebutkan pendapat sesaorang, bukan mesti untuk diterima.
- imam bukhari byk tidak bersetuju dengan Ibnu Ishaq walaupun dia menyebutkan pendapat Ibnu Ishaq.
- contoh maghazi bab 1.
١-باب غَزْوَةِ الْعُشَيْرَةِ أَوِ الْعُسَيْرَةِ: 
قَالَ ابْنُ إِسْحَاقَ أَوَّلُ مَا غَزَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الأَبْوَاءَ، ثُمَّ بُوَاطَ، ثُمَّ الْعُشَيْرَةَ. 
Bab:Ghazwah (Peperangan)² Al-Usyairah Atau Al-Usairah. Kata Ibnu Ishaq: "Peperangan yang mula-mula disertai oleh Rasulullah s.a.w. ialah al-Abwaa', kemudian Buwaath kemudian al-'Usyairah."³

٣٩٤٩ - حَدَّثَنِي عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مُحَمَّدٍ حَدَّثَنَا وَهْبٌ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ كُنْتُ إِلَى جَنْبِ زَيْدِ بْنِ أَرْقَمَ فَقِيلَ لَهُ كَمْ غَزَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ غَزْوَةٍ قَالَ تِسْعَ عَشْرَةَ قِيلَ كَمْ غَزَوْتَ أَنْتَ مَعَهُ قَالَ سَبْعَ عَشْرَةَ قُلْتُ فَأَيُّهُمْ كَانَتْ أَوَّلَ قَالَ الْعُسَيْرَةُ أَوْ الْعُشَيْرُ فَذَكَرْتُ لِقَتَادَةَ فَقَالَ الْعُشَيْرُ
3949-Abdullah bin Muhammad meriwayatkan kepada kami, katanya: Wahab meriwayatkan kepada kami, katanya: Syu'bah meriwayatkan kepada kami daripada Abi Ishaq,(Katanya): Pernah saya berada di samping Zaid bin Arqam. Tiba-tiba beliau ditanya orang: “Berapa banyakkah peperangan yang dilancarkan oleh Rasulullah s.a.w.(dan baginda ikut serta dalam peperangan itu)? Jawab beliau:“Sembilan belas.”⁴ Tanya orang lagi: Berapakah peperangan yang engkau sendiri ikut bersama Baginda s.a.w.?Jawab beliau:“Tujuh belas.”Saya bertanya:“Yang manakah antaranya yang mula-mula sekali? Jawab beliau: “Al-'Usairah atau al-'Usyair.” Saya (Syu'bah) ceritakan (apa yang diriwayatkan oleh Abu Ishaq itu) kepada Qataadah. Kata beliau: “Al-'Usyair.”


*dari nota sebelum ini.
Setiap pembaca Sahih Bukhari mesti berasa pelik, kenapa di dalam tajuk bab beliau mengemukakan pendapat Ibnu Ishaq yang menyebutkan tentang tertib ghazwah Rasulullah s.a.w.Ghazwah al-Usyairah disebut Ibnu Ishaq sebagai ghazwah ketiga. Padahal di dalam hadits dibawahnya ghazwah al-`Usyairah disebut Zaid bin Arqam sebagai ghazwah pertama Rasulullah s.a.w.?.Apakah sebenarnya maksud Bukhari di sebalik mengadakan tajuk bab seperti ini? Pada kebiasaannya apa yang disebutkan di dalam tajuk bab merupakan da'waan beliau. Hadits yang dikemukakan dibawahnya pula merupakan dalil bagi da'waan yang dibentangkan di dalam tajuk bab. 

Apakah dengan berbuat begitu Imam Bukhari bermaksud menyokong pendapat Ibnu Ishaq? Kalau tidak, apa maksudnya? Para pensyarah Sahih Bukhari telah memberikan pendapat masing-masing untuk merungkai kekusutan ini. Hafiz al- Aini menerima adanya dua peperangan sebelum ghazwah al-Usyairah. Kerana itu apabila berhadapan dengan hadits Zaid bin Arqam beliau terpaksa membuat beberapa andaian dan ta'wilan berikut:

(1) Mungkin Zaid bin Arqam pada ketika berlaku dua ghazwah sebelum ghazwah al-'Usyairah itu belum Islam. 
(2) Mungkin ketiga-tiga ghazwah itu kecil, maka beliau berpada dengan menyebut yang terbesar daripadanya.(3)Mungkin juga dua peperangan yang berlaku sebelum ghazwah al-Usyairah tidak diketahui beliau. 

Hafiz Ibnu Hajar juga seperti Hafiz al-'Aini menerima adanya dua peperangan sebelum ghazwah al-'Usyairah. Kerana itu apabila berhadapan dengan hadits Zaid, beliau juga menta'wilkannya. 

Ta'wilan Hafiz Ibnu Hajar adalah seperti berikut: 
(1) Zaid tidak tersebut dua peperangan. Mungkin dua peperangan yang tidak tersebut oleh beliau itu ialah al-Abwaa' dan Buwaath.Dua peperangan itu tidak diketahuinya disebabkan beliau masih kecil pada ketika itu.(2) Boleh jadi maksud Zaid dengan katanya:“Peperangan yang mula-mula sekali ialah al-'Usyair” itu ialah peperangan yang beliau sendiri mula-mula sekali ikut serta. Pada taqdinya soalan yang dikemukakan kepada Zaid itu begini:
فِقُلْت ما أول غزوة غزاها أى وأنت معه؟قال العشير
Bermaksud: Saya bertanya (Zaid): “Apakah peperangan yang mula-mula sekali dilancarkan oleh Baginda s.a.w. dalam keadaan engkau sendiri ada bersamanya.” Jawab Zaid: “al-`Usyair.”

(3)Boleh jadi juga Zaid mengira tiga peperangan itu sebagai satu kerana ketiga-tiganya berlaku dalam masa yang hampir. Jawapan oleh kedua-dua tokoh itu pada pendapat penulis semakin menimbulkan kekusutan, kerana ia bercanggah dengan zahir jawapan Zaid. 

Apa perlunya ia dita'wil dengan ta'wilan-ta'wilan yang jauh seperti itu?! Jawapan kepada ta'wilan 
(1) Hafiz al-Aini ialah apakah untuk mengetahui dua peperangan sebelum ghazwah al-`Usyairah itu perlu ada syarat? Dan syaratnya ialah Islam?? Jawapan kepada ta'wilan 
(2) beliau ialah ghazwah al-`'Usyairah tidaklah lebih besar daripada dua ghazwah sebelumnya. Sebagaimana di dalam dua peperangan sebelumnya tidak berlaku pertempuran, di dalam ghazwah al-`Usyairah juga tidak berlaku.Bilangan orang-orang yang telah ikut serta dalam peperangan itu juga lebih kurang sama. Jawapan kepada ta'wilan 
(3) beliau ialah apakah sahabat-sahabat lain yang turut meriwayatkan jumlah ghazwah yang disertai Nabi s.a.w. sebanyak 19 seperti Zaid bin Arqam juga akan dianggap tidak mengetahui tentangnya?
Jawapan untuk ta'wilan (1) Hafiz Ibnu Hajar lebihkurang sama dengan jawapan (3) untuk ta'wilan Hafiz al-`Aini. Jawapan kepada ta'wilan (2)Hafiz Ibnu Hajar ialah ta'wilan yang jauh seperti itu tidak diperlukan. Dan jawapan kepada ta'wilan (3) beliau ialah kalau masa peperangan- peperangan lain yang jauh lebih dekat daripada tiga peperangan ini boleh disebut secara berasingan, kenapa ia juga tidak disebut secara berasingan? 

Maulana Rasyid Ahmad al-Ganggohi di dalam Lami' ad-Daraari berkata, memanglah Bukhari berpendapat ghazwah al-'Usyairah adalah ghazwah pertama Rasulullah s.a.w. Kerana itu beliau mengemukakan kata-kata Qataadah untuk menyokongnya. Qataadah tidak membantah riwayat Abu Ishaq selain memperbetulkan sebutan al-Al-'Usairah atau al-Usyair dengan katanya al-'Usyair sahaja. Oleh kerana pendapat lbnu Ishaq juga ada nilai disisinya, maka beliau mengemukakannya juga. Kebiasaan Bukhari ialah mengemukakan beberapa pendapat ketika berlaku khilaf, meskipun pendapat-pendapat itu tidak kuat di sisinya. Bagi penulis, kalau sesuatu pendapat itu tidak kuat bagaimana ia akan bernilai pula di sisi seseorang, terutamanya di sisi orang seperti Bukhari? Syeikh Zakariya pula berpendapat, tujuan Bukhari mengemukakan hadits Zaid bukan untuk menyatakan ghazwah al-'Usyairah adalah ghazwah pertama Rasulullah. Malah tujuannya ialah untuk menyatakan ghazwah al-`'Usyairah merupakan muqaddimah kepada peperangan Badar yang dikemukakan oleh beliau selepas itu. Oleh kerana ia boleh mengelirukan, dikemukakanlah kata-kata Ibnu lshaq di dalam tajuk bab di atas. Penulis berpendapat, Imam Bukhari sebenarnya hendak mengisyaratkan kepada kelemahan pendapat Ibnu Ishaq. Sebab kelemahannya ialah kerana ia bercanggah dengan hadits sahih yang diriwayatkan oleh Zaid bin Arqam. Pendapat Ibnu Ishaq itu sebenarnya tidak mempunyai sandaran yang kukuh berupa hadits-hadits yang sahih. Lihat misalnya kitab Sirah tulisan Ibnu Ishaq sendiri, kitab sirah susunan Ibnu Hisyam yang berasaskan sirah Ibnu Ishaq dan kitab ar-Raudhu al-Unf yang merupakan syarah kepada sirah Ibnu Hisyam, ketika mengemukakan pendapatnya Ibnu Ishaq langsung tidak mengemukakan apa-apa sandaran berupa hadits-hadits. Apa yang disebutnya, hanyalah semata-mata pendapatnya. Kalau begitu bagaimana ia dapat melawan hadits-hadits sahih daripada sahabat-sahabat Nabi s.a.w. sendiri? Apa lagi jika diambil kira logik yang dikemukakan oleh Maulana Syibli dan Maulana Sulaiman Nadwi yang telah penulis bawakan sebelum ini.
Lihatlah betapa bercanggahnya riwayat yang dikemukakan oleh Ibnu Ishaq dengan riwayat Zaid yang sahih ini.
Xxxxxx

⁵⁸³ Riwayat Nu`mān bin Rāsyid ini dikemukakan oleh Bukhari secara ta`liq. Ia dikemukakan secara maushūl oleh al-Baihaqi di dalam Dalā’il an-Nubuwwah. 
Maksudnya ialah fitnah dan tuduhan dusta terhadap `Aaishah yang tersebar itu telah berlaku sekembalinya mereka dari Ghazwah Muraisī`.Ghazwah Muraisī` berlaku disebabkan Rasulullah s.a.w. telah mendapat tahu bahawa 
ketua Banu al-Mushthaliq iaitu al-Ĥārits bin Abi Dhirār sedang mengumpulkan bala tentera untuk menyerang orang-orang Islam. Rasulullah s.a.w. bertindak pantas dengan menghantar sahabatnya Buraidah bin al-Ĥushaib al-Aslami untuk menyelidiki keadaan sebenarnya. Setelah diselidikinya, ternyata benar apa yang sampai ke pengetahuan baginda itu. Memang mereka sedang bersiap sedia untuk menyerang. Tanpa berlengah-lengah lagi Rasulullah s.a.w. terus keluar bersama sekumpulan besar para sahabatnya untuk menyerang mereka sebelum mereka datang menyerang Madinah. Peristiwa ini menurut Ibnu Sa`ad telah berlaku pada hari Isnin 2  hari bulan Sya`ban tahun ke-5 Hijrah.
Ketika pasukan tentera Islam sampai, mereka sedang leka memberi minum kepada binatang-binatang ternakan. Mereka tidak dapat bertahan menghadapi serangan 
Rasulullah s.a.w. yang datang secara mengejut itu, lalu menyerah kalah. Akibatnya dua ratus keluarga telah ditawan, dua ribu ekor unta dan lima ribu ekor kambing biri-biri telah diperolehi sebagai ghanimah. Dan kira-kira sepuluh orang tentera mereka terbunuh. 
Antara yang tertawan dan diperolehi sebagai ghanimah pada hari itu ialah anak perempuan ketua kaum itu bernama Juwairiah binti al-Ĥārits. Dia kemudiannya 
tersenarai sebagai salah seorang ibu orang-orang mu’min setelah dikahwini Rasulullah s.a.w.
Di peringkat permulaan pembahagian, Juwairiah termasuk dalam bahagian seorang sahabat yang bernama Syammās bin Qais. Lalu beberapa orang sahabat berfikir bahawa
Juwairiah adalah anak ketua Banu al-Mushthaliq, dia hanya layak untuk Rasulullah s.a.w. Tidak sewajarnya dia diberikan kepada orang-orang lain. 
Menurut sesetengah riwayat, Syammās bin Qais telah pun menjadikan Juwairiah sebagai hamba mukatabah. Juwairiah sendiri yang hadhir ke hadapan Rasulullah s.a.w. dan menceritakan bahawa dia anak al-Ĥārits ketua Bani al-Mushthaliq. Kehadhirannya di hadapan Rasulullah s.a.w. adalah untuk mendapat pertolongan dan bantuan baginda demi melunaskan wang mukatabah untuk pembebasannya.
Maka Nabi s.a.w. mengemukakan satu cadangan terbaik untuknya iaitu aku akan melunaskan wang mukatabahmu, kemudian menjadikanmu sebagai isteriku. Mendengar 
cadangan Rasulullah s.a.w. itu Juwairiah gembira sekali dan terus menyatakan persetujuannya. Akhirnya, setelah Juwairiah merdeka, baginda s.a.w. mengahwininya 
sebagaimana dijanjikan. Al-Ĥārits bin Abi Dhirār, ayah Juwairiah, kemudiannya datang ke Madinah dengan
membawa banyak sekali unta untuk memerdekakan anaknya. Dalam banyak-banyak unta yang dibawanya ada dua ekor unta yang sangat istimewa. Semuanya akan diberikan untuk membebaskan anaknya Juwairiah. Ketika dalam perjalanan, niatnya berubah. Dia telah menyembunyikan dua ekor unta istimewanya di salah satu lembah. Unta-unta lain sahaja dibawanya. Setelah menghadap Rasulullah s.a.w. dan mengemukakan hajatnya, Rasulullah s.a.w. bertanya, di mana dua ekor unta lagi yang kamu sembunyikan di lembah itu? mendengar pertanyaan Nabi s.a.w. itu al-Ĥārits terus bersyahadah, “Aku 
bersaksi bahawa engkau memang utusan Allah”. Tiada siapa pun tahu tentang dua ekor unta itu. Tentu sekali Allah telah memberitahumu menerusi wahyu. Itulah latar belakang bagi islamnya Al-Ĥārits bin Abi Dhirār, ketua Bani al-Mushthaliq.
Kemudian Rasulullah s.a.w. memberi peluang kepadanya untuk bertanya anak perempuannya sendiri, jika dia bersetuju untuk pulang bersamamu, maka tidak ada apa-
apa halangan terhadapnya. 
Setelah al-Ĥārits bertanya anaknya Juwairiah, Juwairiah dengan terus terang memilih Allah dan RasulNya. Al-Ĥārits sendiri setelah memeluk agama Islam tidak seperti dahulu 
lagi, dia berasa amat bangga dan gembira jika anaknya memilih Rasulullah s.a.w. sebagai suami, dan dengan itu baginda menjadi menantunya.
`Aaishah berkata, “Tidak pernah aku melihat seorang wanita yang lebih banyak membawa keberkatan kepada kaumnya daripada Juwairiah.” Sebabnya ialah setelah
beliau dikahwini Rasulullah s.a.w., dua ratus keluarga Bani al-Mushthaliq yang ditawan dalam peperangan dan dijadikan hamba abdi semuanya dimerdekakan oleh sekalian sahabat, semata-mata atas alasan mereka adalah keluarga isteri Rasulullah s.a.w.
Zaid bin Ĥāritsah dilantik oleh Rasulullah s.a.w. sebagai penggantinya untuk menjaga Madinah semasa baginda keluar untuk peperangan ini. Daripada isteri-isteri Rasulullahs.a.w. pula yang keluar bersama baginda dalam peperangan tersebut ialah Saiyyidatuna 
`Aaishah dan Saiyyidatuna Ummu Salamah.


٤١٣٨- حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ أَخْبَرَنَا إِسْمَاعِيلُ بْنُ جَعْفَرٍ عَنْ رَبِيعَةَ بْنِ أَبِي عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ يَحْيَى بْنِ حَبَّانَ عَنِ ابْنِ مُحَيْرِيزٍ أَنَّهُ قَالَ دَخَلْتُ الْمَسْجِدَ فَرَأَيْتُ أَبَا سَعِيدٍ الْخُدْرِيَّ فَجَلَسْتُ إِلَيْهِ فَسَأَلْتُهُ عَنِ الْعَزْلِ، قَالَ أَبُو سَعِيدٍ خَرَجْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي غَزْوَةِ بَنِي الْمُصْطَلِقِ، فَأَصَبْنَا سَبْيًا مِنْ سَبْيِ الْعَرَبِ، فَاشْتَهَيْنَا النِّسَاءَ وَاشْتَدَّتْ عَلَيْنَا الْعُزْبَةُ، وَأَحْبَبْنَا الْعَزْلَ، فَأَرَدْنَا أَنْ نَعْزِلَ، وَقُلْنَا نَعْزِلُ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ أَظْهُرِنَا قَبْلَ أَنْ نَسْأَلَهُ فَسَأَلْنَاهُ عَنْ ذَلِكَ فَقَالَ: مَا عَلَيْكُمْ أَنْ لاَ تَفْعَلُوا، مَا مِنْ نَسَمَةٍ كَائِنَةٍ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ إِلاَّ وَهْيَ كَائِنَةٌ. 
4138- Qutaibah bin Sa`id meriwayatkan kepada kami, katanya: Isma`il bin Ja`far (bin Katsīr al-Anshāri al-Madani) meriwayatkan kepada kami daripada Rabī`ah bin Abi `Abdir Rahman (lebih terkenal dengan Rabī`ah ar-Rā’i) daripada
Muhammad bin Yahya bin Ĥabbān daripada Ibni Muĥairīz (`Abdullah bin Muĥairīz) bahawa dia berkata: “Aku masuk ke dalam masjid, dan nampak Abu  Sa`id al-Khudri, lalu aku duduk di sampingnya. Kemudian aku bertanya 
kepadanya tentang `azal. ⁵⁸⁴ Abu Sa`id menjawab: “Kami keluar bersama Rasulullah s.a.w. pada perang Bani al-Mushthaliq, kemudian kami mendapat tawanan dari keturunan `Arab (termasuk wanita dari kalangan mereka), kami tertarik dengan para wanitanya kerana telah lama terpisah daripada isteri-isteri. Kami (sebahagian sahabat) lebih menyukai `azal dan hendak melakukannya.⁵⁸⁵
Lalu kami saling berkata: “Mana boleh kita melakukan `azal ketika Rasulullah s.a.w. berada di tengah-tengah kita dan kita tidak bertanya Baginda tentang masalah ini? Lalu kami bertanya baginda tentangnya.” Baginda menjawab: “Tidak 
menjadi kesalahan kepadamu melakukannya.⁵⁸⁶ Tidak ada satu jiwapun yang telah Allah tetapkan (taqdirkan) akan tercipta hingga hari kiamat kecuali dia pasti akan 
tercipta.”⁵⁸⁷

_________________
⁵⁸⁴ `Azal ialah mengeluarkan zakar daripada kemaluan wanita ketika bersetubuh apabila ia hampir memancutkan air mani, lalu memancutkannya di luar supaya wanita berkenaan tidak lekat perut (hamil). 

⁵⁸⁵ Sebabnya ialah tawanan-tawanan wanita yang menjadi hamba sahaya telah ada pada kami, dan kami boleh pun menyetubuhi mereka, tetapi kami bimbang mereka akan hamil,kerana itulah kami hendak melakukan `azal. Hamba sahaya wanita yang hamil hasil persetubuhan dengan tuannya akan menjadi ummul walad dan ia tidak boleh dijual beli lagi.

_______
⁵⁸⁶ Ayat ini boleh juga diterjemahkan dengan “Tidak mengapa kamu tidak melakukannya. (kerana) Tidak ada satu jiwapun…” Maksudnya ialah mengandung atau tidaknya seseorang wanita lebih bergantung kepada taqdir Allah. Kehamilan tidak berlaku dengan semata-mata melakukan persetubuhan. Jika Allah mentaqdirkan seseorang mendapat anak, ia pasti akan mendapatnya, walaupun ia seorang yang lemah dan kerdil. Sesaorang yang tidak ditaqdirkan mendapat anak pula tidak akan mendapatnya, walaupun ia seorang yang kuat dan perkasa. Kerana itu `azal adalah suatu yang sia-sia. Tidak mengapa kamu tidak melakukannya. Berdasarkan terjemahan ini, Rasulullah s.a.w. nampaknya kurang bersetuju seseorang melakukan `azal. 
Terjemahan yang diberikan di atas pula menampakkan keharusan melakukan `azal. Tidak mengapa kamu melakukannya. 
Perkataan ْلا di antara أن dan ْتفعلوا seharusnya dipakai sebagai  لا زائدة  untuk mendapatkan erti ini. Penggunaan seperti ini juga meluas dalam bahasa `Arab.

⁵⁸⁷ Kemusykilan mungkin timbul di sini bahawa bukankah wanita-wanita Bani al-Mushthaliq yang ditawan dan kemudiannya dijadikan hamba sahaya itu musyrikāt (ahli 
syirik) semuanya? Bagaimana Abu Sa`id berkata, “Kami (sebahagian sahabat) lebih menyukai `azal dan hendak melakukannya”, ertinya ialah kami hendak menyetubuhi 
mereka, padahal bukankah jumhur `ulama’ berpendapat hamba sahaya yang musyrikah tidak harus disetubuhi? Hamba sahaya yang harus (boleh) disetubuhi hanyalah yang beragama Islam atau dari kalangan Ahlul Kitab.

Para `ulama’ telah mengemukakan beberapa jawapan untuk merungkai kemusykilan tersebut:

(1) Abul Walīd al-Bāji berpendapat, wanita-wanita itu bukan musyrikāt, sebaliknya  mereka adalah dari kalangan Ahlul Kitab. Jawapan yang diberikan oleh Abul Walīd ini tidak dipersetujui oleh kebanyakan `ulama’, kerana menurut mereka wanita-wanita Bani al-Mushthaliq itu memang musyrikāt (penyembah berhala), mereka bukan Ahlul Kitab.

(2) Ibnu `Abdil Barr berpendapat, peristiwa ini berlaku ketika hukum haram menyetubuhi wanita musyrikāt belum lagi diturunkan. Ia kemudiannya dimansukhkan dengan firman 
Allah:
Al-Baqarah 2:221
وَلَا تَنكِحُوا۟ ٱلْمُشْرِكَٰتِ حَتَّىٰ يُؤْمِنَّۚ وَلَأَمَةٌ مُّؤْمِنَةٌ خَيْرٌ مِّن مُّشْرِكَةٍ وَلَوْ أَعْجَبَتْكُمْۗ وَلَا تُنكِحُوا۟ ٱلْمُشْرِكِينَ حَتَّىٰ يُؤْمِنُوا۟ۚ وَلَعَبْدٌ مُّؤْمِنٌ خَيْرٌ مِّن مُّشْرِكٍ وَلَوْ أَعْجَبَكُمْۗ أُو۟لَٰٓئِكَ يَدْعُونَ إِلَى ٱلنَّارِۖ وَٱللَّهُ يَدْعُوٓا۟ إِلَى ٱلْجَنَّةِ وَٱلْمَغْفِرَةِ بِإِذْنِهِۦۖ وَيُبَيِّنُ ءَايَٰتِهِۦ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ 
Bermaksud: Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (Yang demikian ialah 
kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izinNya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran 
(daripadanya). (al-Baqarah:221).

Pihak yang tidak bersetuju dengan pendapat ini membantahnya dengan berkata, ayat 221 Surah al-Baqarah itu berbicara tentang berkahwin dengan musyrikāt, ia tidak berbicara tentang hamba sahaya dari kalangan musyrikāt. 

(3) Imam Ahmad bin Ĥambal berpendapat, ada kemungkinan mereka memeluk agama Islam setelah menjadi hamba sahaya. Kalau mereka telah memeluk agama Islam, maka tiada halangan lagi bersetubuh dengan mereka. 
Pendapat ini juga dibantah oleh sesetengah `ulama’ dengan alasan ada juga tersebut di dalam sesetengah saluran riwayat Abu Sa`id bahawa beliau berkata,  وأحببنا الفداءْ 
(Kami mahukan tebusan). 
(Lihat sebagai contohnya riwayat Malik, Ahmad, Abu Daud dan lain-lain). 
Ini menunjukkan mereka belum Islam. Kerana wanita muslimah tidak boleh dikembalikan kepada orang musyrik.

(4) Sesetengah `ulama’ berpendapat, berdasarkan hadits Abu Sa`id, Jabir dan lain-lain hamba sahaya musyrikah juga boleh disetubuhi. Mereka juga berpegang dengan umum 
firman Allah berikut:
Al-Mu'minun 23:5 وَٱلَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَٰفِظُونَ 
Al-Mu'minun 23:6إِلَّا عَلَىٰٓ أَزْوَٰجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَٰنُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ 
Al-Mu'minun 23:7 فَمَنِ ٱبْتَغَىٰ وَرَآءَ ذَٰلِكَ فَأُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلْعَادُونَ 
Bermaksud: 
dan orang-orang yang menjaga kemaluannya (5) 
Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela,(6) 
Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.(7) 
(al-Mu’minūn-5-7). 

(Lihat Hafizh Ibnu Hajar - Fatĥul Bāri j.9 m/s 310, Ibnu `Abdil Barr – at-Tamhīd j.3 m/s 135, Muhammad Zakariya – Aujaz al-Masālik j.10 m/s 264).

362
Henti disini 16/10/22

Tiada ulasan:

Catat Ulasan