Khamis, Disember 15, 2022

Tafsir asas quran nota 1(006-007)s 3



Asas(usul) Tafsir 3

(3) Tafsir Al-Qur'an Dengan Atsar 
Sahabat تفسير القرآن بآثار  الصحابة

Usul ketiga ialah mentafsir al-Qur'an dengan atsar atau pendapat-pendapat Sahabat, khususnya 'Abdullah bin Mas'ud r.a.(m 32H) dan Abdullah bin 'Abbaas r.a.(m.68H).

Sebelum mentafsir al-Qur'an dengan pendapat-pendapat Sahabat, seseorang pentafsir hendaklah terlebih dahulu melihat al-Qur'an sendiri, apakah ada tafsiran terhadap sesuatu yang hendak ditafsirkan di dalamnya atau tiada. Kalau ada, maka tafsiran al-Qur'anlah yang seharusnya dipakai. Kalau tidak ada, maka perlu pula dicari tafsirannya di dalam hadits. Kalau ada tafsirannya di dalam hadits, maka itulah seharusnya dipakai. 

Setelah tidak didapati tafsirannya di dalam hadits, barulah dicari tafsirannya di dalam atsar (kata-kata atau pendapat-pendapat) Sahabat. Demikianlah tertib yang betul dalam pentafsiran al-Qur'an.

Atsar Sahabat diguna pakai dalam mentafsir al-Qur'an kerana sebab-sebab berikut:
(a) Bahasa al-Qur'an adalah bahasa mereka.
(b) Mereka mengetahui dan memahami latarbelakang ayat-ayat al-Qur'an yang diturunkan kepada Rasulullahs.a.w. (c) Mereka mempelajari al-Qur'an dan ma'na-ma'nanya dengan Rasulullahs.a.w. sendiri.
(d) Mereka sangat cermat dalam mentafsir al-Qur'an.
Perbezaan pendapat dalam mentafsir sesuatu ayat berlaku juga di kalangan Sahabat, tetapi biasanya hanya pada lafaz sahaja. Adapun perbezaan pada ma'na, maka itu sesuatu yang jarang berlaku.
(e)Ada jalan penyelesaian yang terang jika berlaku perselisihan pendapat di kalangan Sahabat dalam mentafsir al-Qur'an. Dalam keadaan itu pendapat yang lebih kuat harus dipilih dan ditarjihkan.Dimaksudkan dengan pendapat yang lebih kuat ialah yang lebih dekat dan sesuai dengan al-Qur'an dan hadits yang dinukilkan dengan sanad yang lebih sahih.
(f) Ijma' mereka merupakan hujah dalam syari'at. 

Antara peribadi yang terkenal sebagaimana dalam tafsir al-Qur'an di kalangan Sahabat ialah 10 orang berikut:
(l) Saiyyidina Abu Bakar as-Shiddiq r.a.
(2) Saiyyidina Umar r.a.
(3) Saiyyidina Utsman r.a.
(4) Saiyyidina 'Ali r.a. 
(5)Saiyyidina 'Abdullah bin Mas'ud r.a.
(6)Saiyyidina Abdulhah bin 'Abbaas r.a.
(7)Saiyyidina Ubai bin Ka'ab r.a.
(8)Saiyyidina Zaid bin Tsabit r.a.
(9) Saiyyidina Abu Musa al-Asy'ari r.a.
(10) Saiyyidina 'Abdullah bin Zubair r.a.

Antara contoh tafsir al-Qur'an dengan atsar Sahabat ialah tafsiran Ibnu Mas'ud terhadap rangkai kata لهو الحديث yang tersebut di dalam ayat 6 Surah Luqman.Untuk menguatkan
pendapat beliau, sebanyak tiga kali diulanginya kata-kata ini: هو الله الغناء Bermaksud:Ia demi Allah adalah lagu-lagu. (Atsar riwayat Ibnu Abi Syaibah, Ibnu Jarir, Haakim dan
Baihaqi).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan