Tafsir asas quran nota 1(010-013)s6
Tafsir asas quran nota 1(010-013)s6(01)
Asas(usul) Tafsir 6(01)
(6) Tafsir al-Quran menggunakan 'aqal
fikiran تفسير القرآن بالرأي
Usul keenam ialah menyatakan pendapat setelah meneliti, merenung dan mengkaji al-Qur'an berpandukan usul-usul yang tersebut di atas. Allah mengurniakan 'aqal kepada
manusia. Al-Qur'an pula menggesa manusia menggunakan 'aqalnya. Maka seseorang ahli tafsir hendaklah sentiasa menggunakan 'aqal dalam kajiannya terhadap al-Qur'an.
Dengan menggunakan 'aqal, wujudlah kefahaman yang mendalam tentang agama تفقه في الدين.
Lihatlah bagaimana doa Rasulullah s.a.w. untuk Ibnu Abbaas, seorang yang kemudiannya terbilang sebagai tokoh utama dalam tafsir. Bukankah baginda mendoakan
agar beliau mendapat kefahaman yang mendalam tentang agama dan agar diajar Allah kepadanya ilmu tafsir al-Qur'an? Begini doanya:اللهم فقهه في الدين وعلمه التاويل
Bermaksud:"Ya Allah, kurniakanlah kepadanya (Ibnu 'Abbaas) kefahaman yang mendalam tentang agama dan ajarlah dia ilmu tafsir al-Qur'an."
(Hadits fiwayat Ahmad dan Ibnu Abi Syaibah).
Saiyyidina 'Ali pernah berkata, tidak ada apa-apa ilmu khusus atau rahsia pada kami, selain kefahaman
tentang al-Qur'an yang Allah kurniakan kepada
seseorang إلا فيهما يعطيه الله رجلا في القرآن
(Atsar riwayat al-Bukhari).
Kata-kata Saiyyidina 'Ali ini selain menolak da'waan golongan Bathiniah, menonjolkan juga betapa istimewanya kefahaman hasil kajian terhadap al-Qur'an dengan menggunakan 'aqal fikiran. Kefahaman dan pemahaman al-Qur'an secara mendalam itulah sebenarnya yang dikatakan tafsir al-Qur'an menggunakan fikiran التفسير بالرأي.
Peringatan:
Perlu sekali difahami dengan baik pengertian mentafsir al-Qur'an dengan menggunakan fikiran. Sesetengah orang mengharamkan semua bentuk tafsir yang menggunakan 'aqal fikiran. Sesetengah yang lain pula mengambil kesempatan daripadanya dan bertindak mentafsirkan al-Qur'an dengan sewenang-wenang dan sesuka hati. Imam Ibnu Taimiyyah di dalam Muqaddimah Usul Tafsirnya telah menulis beberapa panduan penting berhubung dengan perkara ini. Penulis akan menyaringnya menggunakan bahasa yang mudah dan ringkas.
Kata beliau: "Tafsir menggunakan fikiran terbahagi kepada dua.
(a)Tafsir menggunakan fikiran yang
terpuji التفسير نالرأي الحمود.
(b) Tafsir menggunakan fikiran yang
tercela التفسير نالرأي المذموم.
Tafsir asas quran nota 1(010-013)s6(02)
Asas(usul) Tafsir 6(02)
Tafsir menggunakan fikiran yang terpuji ialah mentafsir sesuatu ayat al-Qur'an secara bersepadu. Dengan cara mengemukakan ayat-ayat lain yang ada kaitan dengannya,
mengemukakan hadits-hadits sahih yang membantu penafsirannya di samping membatalkan hadits-hadits dha'if dan maudhu' yang dikaitkan dengannya,menyebutkan
ijma' Sahabat jika ada, membawa beberapa pendapat mereka dan mentarjihkan mana yang rajih daripadanya dan menyatakan pendapat Tabi'in yang boleh dan tidak boleh
dijadikan dalil, membincangkannya berdasarkan qaedah bahasa 'Arab secara tuntas, lalu mengemukakan pendapat atau membuat kesimpulan dan keputusan berlandaskan dalil-dalil yang kukuh dan teguh.
Mentafsirkan al-Qur'an dengan cara seperti itulah yang dikatakan tafsir menggunakan fikiran yang terpuji. Tafsir seperti ini memang terpuji dan menjamin kedudukan yang tinggi di sisi Allah.
Tafsir menggunakan fikiran yang tercela pula ialah tafsir dengan menggunakan fikiran semata-mata tanpa menghiraukan segala usul yang telah disebutkan sebelum ini. Orang yang mentafsir al-Qur'an menggunakan fikiran tercela akan mencari dalil-dalil atau sokongan-sokongan daripada al-Qur'an untuk menyokong dan menguatkan sesuatu fahaman yang telah sedia padanya. Dia mengutamakan 'aqalnya dan menolak hadits-hadits sahih yang bercanggah dengannya. Dia tidak percayakan mujizat. Dia bahkan selalu saja menyalahi qaedah-qaedah bahasa 'Arab yang disepakati ahli-ahli bahasa. Pentafsir seperti ini bukan sekadar tercela malah akan diseksa Allah di akhirat nanti. Ini kerana ia bukan sahaja menyesatkan dirinya, malah menyebabkan orang-orang lain juga sesat.
Semoga Allah melindungi kita semua dari pada perbuatan sebegini.
Menurut Imam Ibnu Taimiyyah r.a. perbuatan mentafsir al-Qur'an dengan menggunakan 'aqal semata-mata adalah
haram (وأما تقسير القرآن بمجرد الرأي فحرام). Setelah menukilkan sekian banyak kata-kata Sahabat dan Tabi'in tentang tafsir menggunakan fikiran yang terpuji, beliau berkata, tidak salah mentafsirkan al-Qur'an menggunakan fikiran yang terpuji itu. Mana ada ahli tafsir di dunia ini yang langsung tidak mengguna fikirannya, kemudian menyatakan pendapatnya ketika mentafsir al-Qur'an?
Kata beliau lagi:
فأما من تكلم بما يعلم من ذلك لغة وشر عافلا حرج عليه
Bermaksud: "Adapun orang yang mahir dalam bahasa 'Arab dan alim tentang syari'at, maka tidak mengapa ia mentafsir al-Qur'an menurut pendapatnya."
Para ulama salaf akan memberikan pendapat mereka tentang sesuatu ayat al-Qur'an, jika mereka mempunyai pengetahuan tentangnya. Dalam keadaan mereka tidak mempunyai pengetahuan pula, mereka akan mendiamkan diri sahaja. Mendiamkan diri dalam keadaan anda mempunyai pengetahuan tentang al-Qur'an adalah satu dosa besar. Ia termasuk dalam menyembunyikan agama Allah.
Seorang ahli tafsir, biar bagaimana hebat dan ikhlas sekalipun, tetap mungkin melakukan kesilapan. Kerana ia tetap seorang manusia. Ia hanya seorang umat, bukan seorang nabi atau rasul yang ma'shum. Bagaimanapun ada perbezaan di antara kesilapan yang berlaku pada seorang pentafsir ahli as-Sunnah yang ikhlas dan pentafsir dari kalangan ahli bid'ah.Pentafsir dari kalangan ahli as-Sunnah yang ikhlas dan menggunakan qaedah-qaedah usul tafsir dengan sebaik-baiknya diampunkan jika tersalah dalam pentafsirannya. Sedangkan pentafsir dari kalangan ahli bid'ah tetap dikira bersalah, meskipun benar dalam pentafsirannya. Ini kerana kebenaran dan ketepatan tafsirannya hanyalah satu kebetulan semata-mata.
Tafsir asas quran nota 1(010-013)s6(03)
Asas(usul) Tafsir 6(03)
Perincian Yang Tidak Berfaedah Dalam Tafsir.
Seseorang pelajar tafsir hendaklah mengetahui bahawa menjadi rujukan umat terdapat sekian banyak cerita di dalam sesetengah tafsir yang dikaitkan dengan sesuatu
firman Allah s.w.t. Padahal ia langsung tidak berasas dan tidak bersanad. Malah terdapat juga di dalamnya perincian-perincian yang tidak berfaedah. Oleh itu apabila mentafsir al-Qur'an, anda hendaklah berpada dengan riwayat-riwayat yang sahih meskipun ia tidak terperinci. Sibuk mencari ma'lumat tentang berapakah panjang dan lebar bahtera Nabi Nuh a.s. adalah sesuatu yang sia-sia dan tidak berfaedah. Berapakah sebenarnya bilangan Ashab al-Kahfi juga sesuatu yang tidak perlu dipastikan. Kalau ia betul-betul diperlukan, tentu Allah dan RasulNya telah memberitahu tentangnya.
Apa yang perlu ditekankan sebenarnya ialah tentang maksud al-Qur'an mengemukakan sesuatu cerita. Kenapa misalnya Allah telah memerintah Nabi Nuh supaya membuat bahtera. Kenapa Ashab al-Kahfi terpaksa berlindung di dalam gua tempat persembunyian mereka. Apakah perkara yang mendorong mereka lari ke gua itu?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan