Khamis, Disember 15, 2022

Tafsir asas quran nota 1(010-013)s6(01)


Asas(usul) Tafsir 6(01)

(6) Tafsir al-Quran menggunakan 'aqal 
fikiran تفسير القرآن بالرأي

Usul keenam ialah menyatakan pendapat setelah meneliti, merenung dan mengkaji al-Qur'an berpandukan usul-usul yang tersebut di atas. Allah mengurniakan 'aqal kepada
manusia. Al-Qur'an pula menggesa manusia menggunakan 'aqalnya. Maka seseorang ahli tafsir hendaklah sentiasa menggunakan 'aqal dalam kajiannya terhadap al-Qur'an.
Dengan menggunakan 'aqal, wujudlah kefahaman yang mendalam tentang agama تفقه في الدين.

Lihatlah bagaimana doa Rasulullah s.a.w. untuk Ibnu Abbaas, seorang yang kemudiannya terbilang sebagai tokoh utama dalam tafsir. Bukankah baginda mendoakan
agar beliau mendapat kefahaman yang mendalam tentang agama dan agar diajar Allah kepadanya ilmu tafsir al-Qur'an? Begini doanya:اللهم فقهه في الدين وعلمه التاويل
Bermaksud:"Ya Allah, kurniakanlah kepadanya (Ibnu 'Abbaas) kefahaman yang mendalam tentang agama dan ajarlah dia ilmu tafsir al-Qur'an."
(Hadits fiwayat Ahmad dan Ibnu Abi Syaibah).

Saiyyidina 'Ali pernah berkata, tidak ada apa-apa ilmu khusus atau rahsia pada kami, selain kefahaman 
tentang al-Qur'an yang Allah kurniakan kepada 
seseorang إلا فيهما يعطيه  الله رجلا في القرآن
(Atsar riwayat al-Bukhari). 

Kata-kata Saiyyidina 'Ali ini selain menolak da'waan golongan Bathiniah, menonjolkan juga betapa istimewanya kefahaman hasil kajian terhadap al-Qur'an dengan menggunakan 'aqal fikiran. Kefahaman dan pemahaman al-Qur'an secara mendalam itulah sebenarnya yang dikatakan tafsir al-Qur'an menggunakan fikiran التفسير بالرأي.

Peringatan:
Perlu sekali difahami dengan baik pengertian mentafsir al-Qur'an dengan menggunakan fikiran. Sesetengah orang mengharamkan semua bentuk tafsir yang menggunakan 'aqal fikiran. Sesetengah yang lain pula mengambil kesempatan daripadanya dan bertindak mentafsirkan al-Qur'an dengan sewenang-wenang dan sesuka hati. Imam Ibnu Taimiyyah di dalam Muqaddimah Usul Tafsirnya telah menulis beberapa panduan penting berhubung dengan perkara ini. Penulis akan menyaringnya menggunakan bahasa yang mudah dan ringkas. 

Kata beliau: "Tafsir menggunakan fikiran terbahagi kepada dua.
(a)Tafsir menggunakan fikiran yang 
terpuji التفسير نالرأي الحمود.

(b) Tafsir menggunakan fikiran yang 
tercela التفسير نالرأي المذموم.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan