Khamis, Disember 15, 2022

Tafsir asas quran nota 1(010-013)s6(02)


Asas(usul) Tafsir 6(02)

Tafsir menggunakan fikiran yang terpuji ialah mentafsir sesuatu ayat al-Qur'an secara bersepadu. Dengan cara mengemukakan ayat-ayat lain yang ada kaitan dengannya,
mengemukakan hadits-hadits sahih yang membantu penafsirannya di samping membatalkan hadits-hadits dha'if dan maudhu' yang dikaitkan dengannya,menyebutkan
ijma' Sahabat jika ada, membawa beberapa pendapat mereka dan mentarjihkan mana yang rajih daripadanya dan menyatakan pendapat Tabi'in yang boleh dan tidak boleh
dijadikan dalil, membincangkannya berdasarkan qaedah bahasa 'Arab secara tuntas, lalu mengemukakan pendapat atau membuat kesimpulan dan keputusan berlandaskan dalil-dalil yang kukuh dan teguh.

Mentafsirkan al-Qur'an dengan cara seperti itulah yang dikatakan tafsir menggunakan fikiran yang terpuji. Tafsir seperti ini memang terpuji dan menjamin kedudukan yang tinggi di sisi Allah.

Tafsir menggunakan fikiran yang tercela pula ialah tafsir dengan menggunakan fikiran semata-mata tanpa menghiraukan segala usul yang telah disebutkan sebelum ini. Orang yang mentafsir al-Qur'an menggunakan fikiran tercela akan mencari dalil-dalil atau sokongan-sokongan daripada al-Qur'an untuk menyokong dan menguatkan sesuatu fahaman yang telah sedia padanya. Dia mengutamakan 'aqalnya dan menolak hadits-hadits sahih yang bercanggah dengannya. Dia tidak percayakan mujizat. Dia bahkan selalu saja menyalahi qaedah-qaedah bahasa 'Arab yang disepakati ahli-ahli bahasa. Pentafsir seperti ini bukan sekadar tercela malah akan diseksa Allah di akhirat nanti. Ini kerana ia bukan sahaja menyesatkan dirinya, malah menyebabkan orang-orang lain juga sesat.

Semoga Allah melindungi kita semua dari pada perbuatan sebegini.

Menurut Imam Ibnu Taimiyyah r.a. perbuatan mentafsir al-Qur'an dengan menggunakan 'aqal semata-mata adalah
haram (وأما تقسير القرآن بمجرد الرأي فحرام). Setelah menukilkan sekian banyak kata-kata Sahabat dan Tabi'in tentang tafsir menggunakan fikiran yang terpuji, beliau berkata, tidak salah mentafsirkan al-Qur'an menggunakan fikiran yang terpuji itu. Mana ada ahli tafsir di dunia ini yang langsung tidak mengguna fikirannya, kemudian menyatakan pendapatnya ketika mentafsir al-Qur'an?

Kata beliau lagi:
فأما من تكلم بما يعلم من ذلك لغة وشر عافلا حرج عليه
Bermaksud: "Adapun orang yang mahir dalam bahasa 'Arab dan alim tentang syari'at, maka tidak mengapa ia mentafsir al-Qur'an menurut pendapatnya."

Para ulama salaf akan memberikan pendapat mereka tentang sesuatu ayat al-Qur'an, jika mereka mempunyai pengetahuan tentangnya. Dalam keadaan mereka tidak mempunyai pengetahuan pula, mereka akan mendiamkan diri sahaja. Mendiamkan diri dalam keadaan anda mempunyai pengetahuan tentang al-Qur'an adalah satu dosa besar. Ia termasuk dalam menyembunyikan agama Allah.

Seorang ahli tafsir, biar bagaimana hebat dan ikhlas sekalipun, tetap mungkin melakukan kesilapan. Kerana ia tetap seorang manusia. Ia hanya seorang umat, bukan seorang nabi atau rasul yang ma'shum. Bagaimanapun ada perbezaan di antara kesilapan yang berlaku pada seorang pentafsir ahli as-Sunnah yang ikhlas dan pentafsir dari kalangan ahli bid'ah.Pentafsir dari kalangan ahli as-Sunnah yang ikhlas dan menggunakan qaedah-qaedah usul tafsir dengan sebaik-baiknya diampunkan jika tersalah dalam pentafsirannya. Sedangkan pentafsir dari kalangan ahli bid'ah tetap dikira bersalah, meskipun benar dalam pentafsirannya. Ini kerana kebenaran dan ketepatan tafsirannya hanyalah satu kebetulan semata-mata.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan