Asas(usul) Tafsir 17i (03)
Nasakh Menurut Istilah' Ulama' Muta'akkhirin
Menurut istilah 'ulama' muta'akkhirin, Nasakh bererti:
a. Terhentinya sesuatu hukum syara' dengan ada dalil syara' lain yang membatalkannya berupa wahyu daripada Allah yang menghalang penetapan hukum yang terdapat dalam wahyu terdahulu.
b. Nas yang menghapus hukum syara' yang telah ditetapkan di dalam nas sebelumnya dengan dalil syara' atau nas yang baharu. Oleh itu perkataan Nasikh membawa maksud ayat yang menasakhkan. Manakala perkataan al-Mansukh bermaksud ayat yang dihapuskan atau
dimansukhkan hukumnya.
c. Berakhirnya sesuatu penetapan hukum yang diambil daripada sesuatu nas dengan sebab ada perubahan hukum daripada nas lain.
d. Membatalkan sesuatu hukum dan amalan yang telah sedia ada dengan sesuatu hukum syara' berdasarkan dalil dan nas yang ada dan datang kemudian daripadanya.
e. Menurut pendapat Ibnu Al-Hajib, al-Nasakh ialah diangkat dan ditukarnya sesuatu hukum syara' dengan sebab wujud nas syara' yang lain. Untuk itu segala nas tidak boleh dinasakhkan lagi selepas Nabi wafat.
Dalil Berlaku Nasakh Menurut Mereka.
Bagi mereka, Nasakh memang berlaku di dalam al-Qur'an berdasarkan dalil, antaranya ialah:
1. Firman Allah s.w.t. berikut: Al-Baqarah 2:106
مَا نَنسَخْ مِنْ ءَايَةٍ أَوْ نُنسِهَا نَأْتِ بِخَيْرٍ مِّنْهَآ أَوْ مِثْلِهَآۗ أَلَمْ تَعْلَمْ أَنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ
Bermaksud: Ayat mana saja yang Kami nasakhkan, atau Kami jadikan (manusia) lupa kepadanya, Kami datangkan yang lebih baik daripadanya atau yang sebanding dengannya. Tidakkah kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu?
(al-Baqarah: 106).
2. Firman Allah s.w.t.: An-Nahl 16:101
وَإِذَا بَدَّلْنَآ ءَايَةً مَّكَانَ ءَايَةٍۙ وَٱللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا يُنَزِّلُ قَالُوٓا۟ إِنَّمَآ أَنتَ مُفْتَرٍۭۚ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ
Bermaksud: Dan apabila Kami tukarkan satu ayat untuk menggantikan ayat yang lain dan Allah memang mengetahui akan apa yang Dia turunkan. - berkatalah mereka (yang kafir): Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah seorang pendusta; (padahal Nabi Muhammad tidak berdusta) bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui hakikat yang sebenamya. (an-Nahl: 101).
3. Hadits yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:
أَنِّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى إِقَامَ يَسْتَقْبِلُ بَيْتِ الْمَقْدِسِ سِتَّةَ عَشَرَ ثُمَّ نُسْخَ ذَلِكَ بِطَلَبِ التَّوَجُّهِ إِلِى الكَعْبَةِ
Bermaksud: Sesungguhnya Nabi pernah mengadap ke arah Baitul Maqdis sebagai qiblat ketika sembahyang selama 16 bulan, selepas itu hukum itu dinasakhkan dan Nabi diarahkan menukar qiblat ke Ka'bah pula.
Dalil berupa nas-nas tersebut menunjukkan dan menjelaskan memang berlaku perubahan dan
pertukaran dalam hukum yang diturunkan dari masa ke semasa. Oleh itu perkataan badal dan nasakh dalam ayat tersebut membawa maksud: penghapusan dan pertukaran.
Justeru itu' jumhur 'ulama' muta'akkhirin berpendapat bahawa konsep nasikh dan mansukh dalam bab hukum-hakam adalah harus berlaku. Tambahan pula, konsep kenabian dan kerasulan Muhamad diutuskan untuk menasakhkan sebahagian syari'at nabi sebelumnya.
Di bawah ini dikemukakan beberapa contoh ayat yang menunjukkan berlakunya nasakh dan pertukaran dalam hukum, antaranya ialah: Firman Allah mengenai perubahan masa 'iddah perempuan yang kematian suami. Sebagaimana firman Allah: Al-Baqarah 2:240
وَٱلَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَٰجًا وَصِيَّةً لِّأَزْوَٰجِهِم مَّتَٰعًا إِلَى ٱلْحَوْلِ غَيْرَ إِخْرَاجٍۚ فَإِنْ خَرَجْنَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِى مَا فَعَلْنَ فِىٓ أَنفُسِهِنَّ مِن مَّعْرُوفٍۗ وَٱللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Bermaksud: Dan orang-orang yang akan meninggal dunia di antaramu dan meninggalkan isteri hendaklah berwasiat untuk isteri-isterinya, (iaitu) diberi nafkah hingga setahun lamanya dan tidak disuruh pindah (dari rumahnya). Akan tetapi jika mereka pindah (sendiri), maka tidak ada dosa bagimu (wali atau waris dari yang meninggal) membiarkan mereka berbuat yang maaruf terhadap diri mereka. Dan Allah Maha perkasa lagi Maha Bijaksana. (al-Baqarah:240).
Ayat di atas telah dinasakhkan (dimansukhkan) oleh ayat berikut: Al-Baqarah 2:234
وَٱلَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَٰجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًاۖ فَإِذَا بَلَغْنَ أَجَلَهُنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا فَعَلْنَ فِىٓ أَنفُسِهِنَّ بِٱلْمَعْرُوفِۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ
234.orang-orang yang meninggal dunia di antaramu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (ber'iddah) empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis "iddahnya, maka tiada dosa bagimu (para wali) membiarkan mereka berbuat terhadap diri mereka menurut yang patut. Allah mengetahui apa yang kami perbuat.
b. Nasakh juga telah berlaku semenjak zaman nabi sebelum Muhammad lagi. Contohnya ialah nasakh yang berlaku terhadap syari'at Nabi Musa: Di mana umatnya dilarang menangkap ikan pada hari Sabtu, tetapi perbuatan tersebut diharuskan kepada umat Muhammad.
c. Di dalam kitab Taurat ada kenyataan bahawa, Nabi Adam menjodohkan anak lelakinya dengan anak perempuannya. Tetapi bagi umat Nabi Muhammad sekarang perkahwinan antara adik-beradik begitu diharamkan.
d. Selain itu juga Allah menegaskan Islam adalah agama terakhir yang memansukhkan semua agama sebelumnya. Sebagaimana firman-Nya: Aal-e-Imran 3:85
وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ ٱلْإِسْلَٰمِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِى ٱلْءَاخِرَةِ مِنَ ٱلْخَٰسِرِينَ
Bermaksud: Sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi. (Aali'lmraan: 85).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan