Asas(usul)Tafsir 17ii(05)
(3) Menyatakan mana-mana qaid yang terdapat di dalam sesuatu ayat hanyalah qaid ittifaqi.
Antara contohnya ialah firman Allah berikut:
Al-Baqarah 2:178
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلْقِصَاصُ فِى ٱلْقَتْلَىۖ ٱلْحُرُّ بِٱلْحُرِّ وَٱلْعَبْدُ بِٱلْعَبْدِ وَٱلْأُنثَىٰ بِٱلْأُنثَىٰۚ فَمَنْ عُفِىَ لَهُۥ مِنْ أَخِيهِ شَىْءٌ فَٱتِّبَاعٌۢ بِٱلْمَعْرُوفِ وَأَدَآءٌ إِلَيْهِ بِإِحْسَٰنٍۗ ذَٰلِكَ تَخْفِيفٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَرَحْمَةٌۗ فَمَنِ ٱعْتَدَىٰ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَلَهُۥ عَذَابٌ أَلِيمٌ
Bermaksud: Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu qishaash berkenaan dengan orang-orang yang dibunuh; orang merdeka dengan orang merdeka. hamba dengan hamba, dan wanita dengan wanita. Maka barang siapa yang mendapat suatu pema'afan dari saudaranya,
hendaklah (yang mema'afkan) mengikuti dengan cara yang baik, dan hendaklah (yang diberi ma'af) membayar (diat) kepada yang memberi ma'af dengan cara yang baik (pula). Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu dan suatu rahmat. Barangsiapa yang melampaui batas sesudah itu, maka baginya siksa yang sangat pedih. (al-Baqarah:178).
Menurut zahir ayat ini, hukuman qishaash yang diwajibkan oleh Allah menghendaki kesamaan di antara pembunuh dan yang dibunuh. Hukuman bunuh tidak boleh dilaksanakan apabila tiada kesamaan di antara pembunuh dan yang dibunuh. Apabila orang merdeka membunuh orang merdeka, hamba membunuh hamba atau wanita membunuh wanita, barulah ada hukuman qishaash yang dituntut Allah menerusi ayat 178 Surah al-Baqarah ini. Jika tidak, maka tidak adalah hukuman qishaash. Hasilnya ialah orang merdeka tidak boleh dibunuh (diqishaash) kerana membunuh hamba kerana tidak ada persamaan di antara mereka berdua. Orang merdeka lebih mulia berbanding hamba. Lelaki tidak boleh dibunuh dengan sebab
membunuh perempuan, kerana tidak ada persamaan juga di antara mereka. Lelaki lebih utama daripada wanita. Berbeza kalau sebaliknya berlaku. Jika wanita membunuh lelaki, maka ia wajib dibunuh kerana kedudukannya lebih rendah berbanding lelaki. Hamba juga wajib dibunuh apabila membunuh orang merdeka, kerana kedudukannya lebih rendah berbanding lelaki. Demikianlah akan difahami kalau sifat merdeka, wanita dan hamba dianggap sebagai
qaid ihtirazi atau syarat yang mesti. Padahal qaid itu bukan qaid ihtirazi, malah ia hanya qaid ittifaqi semata-mata. Ada sebab dan latar belakang tertentu yang menghendaki sifat-sifat itu disebutkan. Ia hanya berkait dengan sebab dan latar belakang berkenaan sahaja.
Bagi Imam Abu Hanifah, ats-Tsauri, Ibnu Abi Laila dan lain-lain yang memang menganggap qaid itu sebagai qaid ittifaqi, tidak timbul sebarang masalah pada firman Allah tersebut.
Firman Allah di dalam Surah al-Maa'idah di bawah ini merupakan bayan (keterangan) bagi ayat 178 Surah al-Baqarah yang dikemukakan tadi. Lihat firman Allah di dalam Surah al-Maa'idah berkenaan: Al-Ma'idah 5:45
وَكَتَبْنَا عَلَيْهِمْ فِيهَآ أَنَّ ٱلنَّفْسَ بِٱلنَّفْسِ وَٱلْعَيْنَ بِٱلْعَيْنِ وَٱلْأَنفَ بِٱلْأَنفِ وَٱلْأُذُنَ بِٱلْأُذُنِ وَٱلسِّنَّ بِٱلسِّنِّ وَٱلْجُرُوحَ قِصَاصٌۚ فَمَن تَصَدَّقَ بِهِۦ فَهُوَ كَفَّارَةٌ لَّهُۥۚ وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ فَأُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ
Bermaksud: Dan Kami telah tetapkan terhadap mereka di dalamnya (At-Taurat) bahawasanya jiwa (dibalas) dengan jiwa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga,gigi dengan gigi, dan luka-luka (pun) ada qishaashnya. Barang siapa yang melepaskan (hak
qishaash)nya, maka melepaskan hak itu (menjadi) penebus dosa baginya. Barang siapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim. (al-Maa' idah :45).
Di dalam ayat ini hukuman qishaash tidak dikaitkan langsung dengan sifat-sifat yang disebutkan di dalam ayat 178 Surah al-Baqarah. Ini menunjukkan qaid yang terdapat didalamnya hanya qaid ittifaqi. Nyawa tetap dibalas dengan nyawa, tidak kira nyawa siapa pun yang diragut dan siapa pun yang meragut nyawanya. Tetapi menurut Ibnu 'Abbaas, Sya'bi, Qataadah, Sa'id bin Musaiyyab, an-Nakha'i dan lain-lain qaid di dalam ayat al-Baqarah itu memang qaid ihtirazi (syarat yang mesti), cuma ia tidak boleh dipakai kerana dimansukhkan oleh ayat 45 Surah al-Maa'idah.
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan