Asas(usul)Tafsir 17iii (03)
(7) Firman Allah di dalam Surah Aali 'imraan berikut:
Aal-e-Imran 3:102
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ
Bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam
keadaan Islam. (Aali' lmraan: 102).
Menurut sesetengah ulama', ia mansukh dengan firman Allah berikut: At-Taghabun 64:16
فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ مَا ٱسْتَطَعْتُمْ وَٱسْمَعُوا۟ وَأَطِيعُوا۟ وَأَنفِقُوا۟ خَيْرًا لِّأَنفُسِكُمْۗ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِۦ فَأُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ
Bermaksud: Maka bertaqwalah kamu kepada Allah menurut kemampuanmu dan dengarlah (akan pengajaran- pengajaranNya) serta ta'atlah (akan perintah-
perintahNya) dan belanjakanlah harta yang baik untuk dirimu. Dan barangsiapa yang terpelihara daripada kebakhilan dirinya, maka mereka itulah orang-orang yang
beruntung. (at-Taghaabun:16).
Sesetengah 'ulama' pula berpendapat ia tidak mansukh, ia bahkan satu ayat yang muhkam(ayat yg menjelaskan).
Imam Ibnul 'Arabi berkata, "Di dalam Surah Aali 'Imraan tidak ada satu pun ayat lain selain ayat 102 itu yang layak dida'wa telah mansukh.
Alasan para 'ulama' yang mengatakan ayat 102 Surah Aali 'Imraan itu mansukh ialah kandungan perintah Allah yang tersebut di dalamnya di luar daripada kemampuan dan kesanggupan manusia.
Sedangkan di dalam ayat 286 Surah al-Baqarah Allah telah menegaskan bahawa Dia tidak membebankan manusia melainkan sekadar kemampuannya.
Perintah Allah di dalam Surah Aali-lmraan ayat 102 pula menghendaki manusia bertaqwa kepadanya dengan sebenar-benar taqwa. Tentu sekali manusia tidak mampu sentiasa ta'at dan ingat kepada Allah setiap masa. Tidak melakukan ma'shiat langsung di sepanjang hayat juga di luar daripada kemampuan dan kesanggupan manusia.
Maka semestinya ada ayat lain yang memansukhkannya. Ia sama ada ayat 16 Surah at-Taghabun atau ayat 286 Surah al-Baqarah yang telah dikemukakan sebelum ini.
Shah Waliyy'ullah pula berpendapat, ayat 102 di dalam Surah Aali Imran itu tidak perlu dikatakan mansukh dengan mana-mana ayat lain. Ia sememangnya tidak mansukh. Ayat 16 Surah at-Taghabun yang dikatakan sebagai nasikhnya itu sebenarnya hanya menjelaskan dan mentafsirkan ma'na taqwa yang berbeza pada kedua-dua ayat tersebut. Di dalam ayat 102 Surah Aali'imraan ia bererti memelihara diri dengan betul-betul daripada kesyirikan dan kekufuran atau dengan kata lain dalam bab akidah umat Islam hendaklah betul-betul menjaga akidahnya. Di dalam ayat 16 Surah at-Taghabun pula orang-orang yang beriman diperintahkan agar bertaqwa sekadar termampu, ia bererti beramal saleh sekadar termampu. Manusia dikira bersalah apabila meninggalkan amalan yang mampu dibuatnya, tetapi jika sesuatu amalan yang diperintahkan itu tidak mampu dikerjakannya, maka tidaklah ia dikira bersalah kerana meninggalkannya. Sebagai contohnya orang yang tidak mampu berwudhu', hendaklah bertayammum. Ia tidak dipaksa menggunakan air juga walaupun ketika tiada air atau ketika tidak boleh menggunakannya kerana sakit dan sebagainya. Demikian juga orang yang tidak mampu bersembahyang sambil berdiri, boleh saja bersembahyang sambil duduk. Allah tidak mengira salah apabila manusia meninggalkan apa yang tidak mampu dibuatnya. Memang begitulah Sunnatullah (ketetapan Allah). Jadi tidak perlu langsung ayat 102 Surah Aali 'Imraan itu dimansukhkan. Ia tetap dengan halnya menuntut orang-orang yang beriman agar benar-benar beriman dan menjauhi kesyirikan serta kekufuran hingga ke akhir hayat mereka. Memang itu pun yang diisyaratkan oleh siaq (halaman) ayat berkenaan
apabila ia ditutup dengan firman Allah: "...dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam".
Pada kebiasaannya ketika hampir mati manusia
tidak mampu melakukan apa-apa amalan zahir lagi selain daripada amalan hati yang boleh tetap teguh dengan kepercayaan dan akidah yang dipegang selama ini. Itu jua
yang dapat dilakukan seseorang yang hampir mati, iaitu bertaqwa kepada Allah dengan erti berpegang teguh dengan agamaNya, mentauhidkanNya serta memelihara diri daripada kesyirikan dan kekufuran.
Berbeza dengan ayat 16 Surah at-Taghabun, ia sedari awal lagi menuntut orang-orang yang beriman supaya beramal sebanyak mungkin, tetapi tidak pula ia menuntut
mereka melakukan sesuatu yang di luar daripada kemampuan seorang manusia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan