Asas(usul) Tafsir 17iii (01)
(5) Firman Allah di dalam Surah al-Baqarah ayat 240 di bawah ini juga mansukh: Al-Baqarah 2:240
وَٱلَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَٰجًا وَصِيَّةً لِّأَزْوَٰجِهِم مَّتَٰعًا إِلَى ٱلْحَوْلِ غَيْرَ إِخْرَاجٍۚ فَإِنْ خَرَجْنَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِى مَا فَعَلْنَ فِىٓ أَنفُسِهِنَّ مِن مَّعْرُوفٍۗ وَٱللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Bermaksud: Dan orang-orang yang akan meninggal dunia di antaramu dan meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isterinya, (iaitu) diberi nafkah hingga setahun lamanya dan tidak disuruh pindah (dari rumahnya). Akan tetapi jika mereka pindah (sendiri), maka tidak ada dosa bagimu (wali atau waris dari yang meninggal) membiarkan mereka berbuat yang ma'ruf terhadap diri mereka. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (al-Baqarah:240).
Ia dikatakan dimansukh oleh firman Allah berikut:
Al-Baqarah 2:234
وَٱلَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَٰجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًاۖ فَإِذَا بَلَغْنَ أَجَلَهُنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا فَعَلْنَ فِىٓ أَنفُسِهِنَّ بِٱلْمَعْرُوفِۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ
Bermaksud: Orang-orang yang meninggal dunia di antaramu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) rnenangguhkan dirinya (ber'iddah) empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis iddahnya, maka tiada dosa bagimu (para wali) membiarkan mereka berbuat terhadap diri mereka menurut yang patut. Allah
mengetahui apa yang kamu perbuat. (al-Baqarah:234).
Semasa jahiliah perempuan yang kematian suami beriddah selama setahun. Itulah yang disebut di dalam ayat 240 Surah al-Baqarah di atas. Islam juga menerima
tempoh itu di peringkat permulaannya. Tetapi Allah memerintahkan orang-orang yang akan meninggal dunia dan meninggalkan isteri agar berwasiat untuk isteri-isterinya, (iaitu) diberi nafkah hingga setahun lamanya dan tidak disuruh pindah (dari rumah atau tempat tinggalnya). Akan tetapi jika mereka sendiri mahu berpindah, maka tidak ada dosa bagi wali atau waris dari yang meninggal membiarkan mereka berbuat yang ma'ruf terhadap diri mereka.
Kemudian tempoh iddah selama setahun itu dimansukhkan kepada empat bulan sepuluh hari melalui ayat 234 Surah al-Baqarah, kecuali kalau si isteri mengandung, maka iddahnya ialah sehingga ia melahirkan kandungannya. Wasiat yang diperintahkan itu pula dimansukhkan dengan ayat pesaka. Tentang tempat tinggal isteri pula terdapat khilaf di kalangan'ulama'. Ada yang berkata, ia dikekalkan dan ada pula yang berkata, ia dimansukhkan dengan hadits: ولا سكنى. Bagi golongan ini isteri yang kematian suami tidak mempunyai hak lagi baik untuk mendapat nafqah atau tempat tinggal selama setahun itu. Keistimewaan mendapat nafqah dan tempat tinggal kalau pun ada hanyalah selagi belum habis iddah dengan berlalu empat bulan sepuluh hari atau dengan si isteri melahirkan kandungan. Menurut jumhur mufassirin ayat 240 dari Surah itu sememangnya dimansukhkan dengan ayat 234 dan surah yang sama. Itulah yang disebutkan oleh Jalaluddin as-Suyuti. Tetapi menurut Syah Waliyyullah ayat 240 Surah al-Baqaarah itu masih boleh dita'wilkan lagi dan tidak perlu dikatakan ia mansukh. Masih ada ruang untuk diamalkan isi kandungan ayat itu dengan kita mengatakan perintah Allah supaya berwasiat itu hanya mustahab, elok atau harus saja dilaksanakan oleh si suami yang akan meninggal dunia. Ia bukanlah suatu yang wajib. Hak berwasiat bukan lagi merupakan tuntutan undang-undang, sebaliknya ia hanya termasuk dalam tuntutan akhlak yang mulia semata-mata. Jika seseorang mengamalkannya, ia akan mendapat pahala kerananya dan jika tidak, maka tidaklah ia berdosa. Si isteri juga tidak berkewajipan mengikut wasiat si suami supaya tinggal di rumahnya selama setahun. Terpulang kepadanyalah, sama ada mahu terus berada di rumah suaminya atau meninggalkannya sebelum cukup setahun.
Demikianlah pandangan Ibnu 'Abbaas terhadap ayat 240 Surah al-Baqaarah. Bahkan itulah yang zahir daripada ayat berkenaan. Maka tidak perlulah ia disenaraikan
sebagai ayat yang mansukh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan