Asas(usul) Tafsir 17iii (04)
(8) Firman Allah di dalam Surah an-Nisa 4:33
وَلِكُلٍّ جَعَلْنَا مَوَٰلِىَ مِمَّا تَرَكَ ٱلْوَٰلِدَانِ وَٱلْأَقْرَبُونَۚ وَٱلَّذِينَ عَقَدَتْ أَيْمَٰنُكُمْ فَـَٔاتُوهُمْ نَصِيبَهُمْۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ شَهِيدًا
Bermaksud: Dan bagi tiap-tiap (lelaki dan perempuan yang telah mati), kami telah tetapkan orang-orang yang berhak mewarisi peninggalannya iaitu ibu bapa dan kerabat yang dekat dan mana-mana orang yang kamu telah membuat ikatan setia dengan mereka (untuk bantu-membantu dalam masa kecemasan dan kesusahan) maka berikanlah kepada mereka bahagiannya. Sesungguhnya Allah sentiasa Menyaksikan tiap-tiap sesuatu. (an-Nisaa':33).
Menurut Imam Ibnu 'Arabi, Jalaluddin as-Suy'uthi dan lain-lain, ayat ini dimansukhkan oleh ayat berikut:
Al-Ahzab 33:6
ٱلنَّبِىُّ أَوْلَىٰ بِٱلْمُؤْمِنِينَ مِنْ أَنفُسِهِمْۖ وَأَزْوَٰجُهُۥٓ أُمَّهَٰتُهُمْۗ وَأُو۟لُوا۟ ٱلْأَرْحَامِ بَعْضُهُمْ أَوْلَىٰ بِبَعْضٍ فِى كِتَٰبِ ٱللَّهِ مِنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ وَٱلْمُهَٰجِرِينَ إِلَّآ أَن تَفْعَلُوٓا۟ إِلَىٰٓ أَوْلِيَآئِكُم مَّعْرُوفًاۚ كَانَ ذَٰلِكَ فِى ٱلْكِتَٰبِ مَسْطُورًا
Bermaksud: Nabi itu (hendaknya) lebih utama bagi orang-orang mukmin dari diri mereka sendiri dan isteri-isterinya adalah ibu-ibu mereka. Dan orang-orang yang mempunyui hubungan adalah satu sama lain lebih berhak (waris-mewarisi) di dalam Kitab Allah daripada orang-orang mukmin dan orang-orang Muhajirin (orang bukan kerabatnya), kecuali kalau kamu berbuat baik kepada saudara-saudararnu (seagama).Adalah yang demikian itu telah tertulis di dalam Kitab(Allah).
(al-Ahzaab:6).
Bagi mereka di peringkat permulaan zaman hijrah ke Madinah, Nabi s.a.w. telah mempersaudarakan orang-orang Muhajirin dan Anshaar. Persaudaraan yang dijalin oleh Rasulullah s.a.w. di antara mereka itu dipanggil "Muakhaat". Setiap orang daripada mereka yang dipersaudarakan itu dianggap seperti saudara sebenar yang mempunyai pertalian darah, sehingga kalau orang Anshaar yang dipersaudarakan dengan orang Muhajir meninggal dunia, saudaranya yang Muhajir akan mewarisinya seperti pewaris-pewarisnya yang lain. Begitulah juga sebaliknya. Inilah hukum yang tersebut di dalam ayat 33 Surah an-Nisaa' itu.
Apabila hukum pesaka dengan segala perinciannya diturunkan, pada ketika itu saudara-mara yang mempunyai pertalian darah dengan si mati diutamakan daripada saudara seagama dari kalangan Muhajirin dan Anshaar yang dijalin persaudaraanya oleh Rasulullah s.a.w. sebelum itu. Mereka tidak lagi dikira sebagai pewaris simati.
Hukum yang menyatakan kedudukan saudara-mara yang mempunyai pertalian darah dengan si mati lebih utama daripada saudara seagama hasil "muaakhaat" itu terdapat didalam ayat 6 Surah al-Ahzaab. Ayat inilah yang menjadi nasikh kepada ayat 33 Surah an-Nisaa'.
Menurut Shah Waliyyullah pula, ayat 33 Surah an-Nisaa' itu tidak mansukh, ia bahkan satu ayat yang muhkam. Maksudnya ialah pesaka sememangnya hak pewaris
yang terdiri daripada sanak saudara si mati. Saudara-saudara seagama si mati pula berhak mendapat bahagiannya berupa wang ehsan, sagu hati dan lain-lain daripada keluarga si mati yang merupakan pewaris- perwarisnya. Adapun saudara seagama yang terjalin persaudaraannya melalui 'aqad muaakhaat itu mereka sebenarnya tidak pernahpun diberikan hak sebagai pewaris. Apa yang diberikan kepada mereka itu tidak lebih daripada wang ehsan atau sagu hati sahaja. Tetapi sesetengah pihak menganggap apa yang diberi kepada mereka sebagai pesaka. Pendapat Shah Waliylullah ini nampaknya lebih sesuai dan selari dengan terjemahan dan tafsir al-Qur'an terbitan Departmen agama Indonesia. Lihatlah terjemahannya itu di bawah ini:
An-Nisa' 4:33
وَلِكُلٍّ جَعَلْنَا مَوَٰلِىَ مِمَّا تَرَكَ ٱلْوَٰلِدَانِ وَٱلْأَقْرَبُونَۚ وَٱلَّذِينَ عَقَدَتْ أَيْمَٰنُكُمْ فَـَٔاتُوهُمْ نَصِيبَهُمْۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ شَهِيدًا
Bermaksud: Bagi tiap-tiap harta peninggalan dari harta yang ditinggalkan ibu bapak dan karib kerabat, Kami jadikan pewaris-pewarisnya. Dan (jika ada) orang-orang yang kamu telah bersumpah setia dengan mereka, maka berilah kepada mereka bahagiannya. Sesungguhnya Allah menyaksikan segala sesuatu. (an-Nisaa':33).
Bahagian yang diberikan kepada orang-orang yang kamu telah bersumpah setia dengan mereka itu adalah berupa wang ehsan atau sagu hati dan sebagainya. Ia bukanlah berupa pesaka seperti yang diberikan kepada pewaris-pewaris si mati. Ayat 6 Surah al-Ahzaab juga menceritakan perkara yang sama, iaitu orang-orang yang
mempunyai hubungan darah satu sama lain lebih berhak dalam waris-mewarisi harta peninggalan. Adapun orang-orang mukmin dan orang-orang Muhajirin yang bukan kerabat si mati, maka mereka haruslah dilayani dengan baik dan penuh simpati. Boleh juga diwasiatkan sesuatu yang bernilai untuknya. Walaupun mereka tidak berhak mendapat pesaka daripada si mati, mereka juga sewajarnya diberikan sesuatu oleh penerima pesaka sebagai sagu hati, bukan sebagai sesuatu yang mesti atau wajib diberikan.
Al-Ahzab 33:6
ٱلنَّبِىُّ أَوْلَىٰ بِٱلْمُؤْمِنِينَ مِنْ أَنفُسِهِمْۖ وَأَزْوَٰجُهُۥٓ أُمَّهَٰتُهُمْۗ وَأُو۟لُوا۟ ٱلْأَرْحَامِ بَعْضُهُمْ أَوْلَىٰ بِبَعْضٍ فِى كِتَٰبِ ٱللَّهِ مِنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ وَٱلْمُهَٰجِرِينَ إِلَّآ أَن تَفْعَلُوٓا۟ إِلَىٰٓ أَوْلِيَآئِكُم مَّعْرُوفًاۚ كَانَ ذَٰلِكَ فِى ٱلْكِتَٰبِ مَسْطُورًا
Nabi itu lebih utama bagi orang-orang mukmin dibandingkan diri mereka sendiri dan istri-istrinya adalah ibu-ibu mereka. Orang-orang yang mempunyai hubungan darah satu sama lain lebih berhak (waris-mewarisi) di dalam Kitab Allah daripada orang-orang mukmin dan orang-orang Muhajirin, kecuali kalau kamu hendak berbuat baik kepada saudara-saudaramu (seagama). Demikianlah telah tertulis dalam Kitab (Allah).
Menurut Shah Waliylullah, perkataan أولو الأرحام yang tersebut di dalam aya 33 Surah al-Ahzaab itu merupakan bayan atau mubayyin bagi perkataan موالي yang tersebut di
dalam ayat ayat 33 Surah an-Nisaa'. Oleh itu nasakh dengan erti yang dipakai oleh 'ulama' muta'akkhirin tidak terdapat juga di sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan