Rabu, Disember 14, 2022

Tafsir asas quran nota 9(249-265)16s 17v(01)


Asas(usul) Tafsir  17v(01)

(15) Ayat ke-41 dari Surah at-Taubah juga dikatakan mansukh oleh ramai 'ulama'.
Lihat ayat berkenaan di bawah ini: 
At-Taubah 9:41
ٱنفِرُوا۟ خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَٰهِدُوا۟ بِأَمْوَٰلِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ 
Bermaksud: Berangkatlah kamu (untuk berperang pada jalan Allah), baik dalam keadaan kamu berasa ringan ataupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan
dirimu di jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui. (at-Taubah:41).

Ia menurut Imam Ibnul 'Arabi, as-Suyuthi dan lain-lain, dimansukhkan dengan   آيات العذر (ayat-ayat yang menyatakan orang-orang uzur yang dibenarkan tidak menyertai perang) dalam Surah al-Fath dan juga at-Taubah. Berikut dikemukakan ayat-ayat yang dimaksudkan itu:
Al-Fath 48:17
لَّيْسَ عَلَى ٱلْأَعْمَىٰ حَرَجٌ وَلَا عَلَى ٱلْأَعْرَجِ حَرَجٌ وَلَا عَلَى ٱلْمَرِيضِ حَرَجٌۗ وَمَن يُطِعِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ يُدْخِلْهُ جَنَّٰتٍ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَٰرُۖ وَمَن يَتَوَلَّ يُعَذِّبْهُ عَذَابًا أَلِيمًا 
Bermaksud: Tiada dosa atas orang buta, orang pincang dan orang sakit (apabila tidak ikut berperang). Sesiapa yang ta'at kepada Allah dan Rasul-Nya, niscaya Allah akan
memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dan sesiapa yang berpaling, niscaya akan diazab-Nya dengan azab yang pedih.
(al-Fath:17).

At-Taubah 9:91
لَّيْسَ عَلَى ٱلضُّعَفَآءِ وَلَا عَلَى ٱلْمَرْضَىٰ وَلَا عَلَى ٱلَّذِينَ لَا يَجِدُونَ مَا يُنفِقُونَ حَرَجٌ إِذَا نَصَحُوا۟ لِلَّهِ وَرَسُولِهِۦۚ مَا عَلَى ٱلْمُحْسِنِينَ مِن سَبِيلٍۚ وَٱللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ 
At-Taubah 9:92
وَلَا عَلَى ٱلَّذِينَ إِذَا مَآ أَتَوْكَ لِتَحْمِلَهُمْ قُلْتَ لَآ أَجِدُ مَآ أَحْمِلُكُمْ عَلَيْهِ تَوَلَّوا۟ وَّأَعْيُنُهُمْ تَفِيضُ مِنَ ٱلدَّمْعِ حَزَنًا أَلَّا يَجِدُوا۟ مَا يُنفِقُونَ 
Bermaksud: Tiada dosa (lantaran tidak pergi berjihad) atas orang-orang yang lemah, orang-orang yang sakit dan atas orang-orang yang tidak memperoleh apa yang akan
mereka belanjakan, apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan Rasul-Nya. Tidak ada jalan sedikitpun untuk menyalahkan orang-orang yang berbuat baik. Dan Allah
Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (91) Dan tiada (pula) dosa atas orang-orang yang apabila mereka datang kepadamu, supaya kamu memberi mereka kenderaan, kamu berkata: "Aku tidak memperoleh kenderaan untuk membawamu". Lalu mereka kembali, sedang mata mereka bercucuran air mata kerana kesedihan, lantaran tidak memperoleh apa yang akan dibelanjakan (untuk pergi berjihad pada jalan Allah).(92).
(at-Taubah:91-92).

Ayat ke-122 di dalam Surah at-Taubah juga merupakan nasikh (ayat yang memansukhkan) bagi ayat ke-41 Surah at-Taubah menurut orang-orang yang menerimanya sebagai ayat yang dimansukhkan. Lihatlah pula ayat ke-122 di dalam Surah at-Taubah berkenaan:
At-Taubah 9:122
وَمَا كَانَ ٱلْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُوا۟ كَآفَّةًۚ فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَآئِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا۟ فِى ٱلدِّينِ وَلِيُنذِرُوا۟ قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوٓا۟ إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ 
Bermaksud: Tidak sepatutnya orang-orang yang beriman keluar semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang
untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka
itu berwaspada. (at-Taubah:122).

Perkataan خفافا dan ثقالا adalah dua perkataan yang berlawanan ertinya. Pada asalnya perkataan خفافا - bererti dalam keadaan kamu ringan dan perkataan ثقالا pula bererti dalam keadaan kamu berat. Beberapa tafsiran telah dinukilkan oleh Ibnu Jarir at-Thabari daripada ahli-ahli tafsir Salaf tentang ma'na sebenar yang dikehendaki
daripada dua perkataan itu. Sebagai contohnya "sama ada kamu muda atau tua" , خِفَّة dipakai dengan erti muda dan ثِقَل dipakai dengan erti tua. Antara tokoh tafsir Salaf
yang berpendapat demikian ialah Hasan al-Bahsri, Mujahid, 'Ikrimah, muqatil dan lain-lain. Ada yang memakainya dengan erti "dalam keadaan kamu sibuk atau lapang
dan senang". Perkataan خفة dipakai mereka dengan erti kelapangan dan ketiadaan kerja. Perkataan ثقل pula dipakai dengan erti sibuk dan ada kerja. Antara tokoh tafsir
Salaf yang berpendapat demikian ialah Zaid bin 'Ali dan al-Hakam bin 'Utaibah. Ada yang memakainya dengan erti "dalam keadaan kamu kaya atau miskin". Perkataan خفة
dipakai mereka dengan erti kekayaan dan perkataan ثقل pula dipakai dengan erti kemiskinan. Antara tokoh tafsir Salaf yang berpendapat demikian ialah Mujahid dan Abu Saleh. Dan ada juga yang memakainya dengan erti "dalam keadaan kamu cergas atau lesu. Perkataan خفة dipakai mereka dengan erti kecergasan dan perkataan ثقل pula dipakai dengan erti kelesuan. Antara tokoh tafsir Salaf yang berpendapat demikian ialah Ibnu 'Abbaas dan Qataadah. Pendek kata perkataan خفافا dan ثقالا dalam ertinya yang luas telah dipakai oleh ahli-ahli tafsir Salaf. Miskin dan kaya, lapang dan sibuk, muda dan tua, berkenderaan dan berjalan kaki, cergas dan lesu, tidak cukup senjata dan kelengkapan perang atau cukup, sihat dan sakit dan sebagainya. Mengambil kira kesemua sekali pendapat- pendapat tersebut dapatlah disimpulkan bahawa Allah pernah menuntut dan memerintah semua lapisan masyarakat, biar bagaimanapun keadaannya supaya keluar berperang di jalan Allah untuk mempertahankan agamaNya. Tetapi tuntutan dan perintah Allah itu tidak berterusan. Ia terikat dengan satu jangka masa tertentu di zaman Rasulullah s.a.w. sahaja. Selepas itu ia
dimansukhkan dengan ayat-ayat dalam Surah at-Taubah dan al-Fath tersebut tadi. 

Shah Waliyyullah bagaimanapun tidak sependapat dengan mereka. Bagi beliau ayat ke-41 dari Surah at-Taubah itu tidak dimansukhkan oleh mana-mana ayat lain. Perkataan خفافا yang tersebut di dalamnya jika dipakai dengan erti "dalam keadaan alat-alat senjata dan kelengkapan perang kamu tidak berapa mencukupi" dan perkataan ثقالا pula bererti dalam keadaan alat-alat senjata dan kelengkapan perang kamu mencukupi", maka tidak perlu lagi dikatakan ayat ke-41 Surah at-Taubah itu dimansukhkan. Terjemahan yang diberikan di atas adalah berdasarkan pendapat
kebanyakan 'ulama' yang mengatakan ia mansukh. Adapun kalau mengikut pendapat Shah Waliyyullah, maka ia seharusnya diterjemahkan begini:
At-Taubah 9:41
ٱنفِرُوا۟ خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَٰهِدُوا۟ بِأَمْوَٰلِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ 
Bermaksud: Berangkatlah kamu (untuk berperang pada jalan Allah), baik dalam keadaan alat-alat senjata dan kelengkapan perang yang ada padamu tidak berapa
mencukupi atau dalam keadaan ia lengkap dan mencukupi, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian itu
adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui. (at-Taubah:41).

Ia sama sekali tidak bererti Allah pada suatu ketika pernah memerintahkan supaya semua orang Islam berperang sama ada ia uzur atau tidak. Kemudian melalui ayat-
ayat 91-92 Surah at-Taubah, 122 surah yang sama dan ayat 17 Surah al-Fath Allah memansukhkannya. Alasan beliau ialah bagaimana Allah akan memerintahkan sesuatu yang tidak mampu dipikul oleh orang-orang yang uzur seperti tersebut didalam ayat-ayat itu setelah Dia sendiri berfirman:

Al-Baqarah 2:286 لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَاۚ  
Bermaksud: Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengankesanggupannya. . . (al-Baqarah:286)

Apa yang tersebut di dalam ayat-ayat 91-92 Surah at-Taubah dan ayat 17 Surah al-Fath, demikian juga ayat 122 Surah at-Taubah adalah tentang orang-orang uzur dan
dikecualikan dari perintah Allah yang tersebut di dalam ayat 41 Surah at-Taubah.

Semuanya bersesuaian dengan firmanNya di dalam ayat 286 Surah al-Baqarah yang baru sekejap dikemukakan. Allah tidak pernah pun memerintah orang-orang uzur
pergi berperang. Yang diperintahNya supaya pergi ialah orang-orang yang mampu,baik dalam keadaan kelengkapan perang kurang mencukupi atau pun mencukupi.

Satu lagi alasan Shah Waliyyullah bagi tidak mansukhnya ayat 41 Surah at-Taubah,andaikata kita menerima Allah memang memerintahkan semua orang Islam supaya
keluar berjihad, sama ada mereka sakit atau sihat, buta atau celik, lemah atau kuat lelaki atau perempuan dan tua atau muda, maka itu hanya dikhususkan dengan
keadaan di mana serangan pihak musuh tidak mampu lagi dihadapi oleh tentera-tentera Islam yang sememangnya ditugas untuk mempertahankan negara. Dalam
keadaan seperti itu sajalah seruan jihad oleh pihak ketua negara Islam ditujukan kepada semua rakyat dan warga negara (النفير العام) agar bangkit mengangkat senjata
melawan musuh. Dalam suasana seperti itulah semua orang berkewajipan (fardhu 'ain) mengangkat senjata, tidak kira bagaimana sekalipun keadaannya. Adapun dalam
keadaan tidak terlalu terdesak, tidaklah semua orang perlu dikerah menyertai pasukan tentera. orang-orang yang uzur dan mempunyai tanggungjawab-tanggungjawab lain
dikecualikan.

Al-Qurthubi, Muhammad 'Abduh, muridnya Rasyid Ridha, Syeikh Muhammad Sayyid at-Thanthawi (Syeikhul Azhar yang lalu), Syeikh Muhammad Tsanaullah al-Mazha,'i, Maulana Ashraf 'Ali at-Thanwi dan lain-lain adalah antara tokoh tafsir yang sependapat dengan Shah Waliyyullah tentang tidak mansukhnya ayat 41 Surah at-Taubah. Adapun Ibnu 'Abbaas dan lain-lain Salaf yang dinukilkan daripada mereka bahawa mereka mengatakan ayat itu mansukh, maka istilah nasakh yang dipakai Salafitu tidaklah menurut istilah yang diterima pakai oleh golongan 'ulama' muta'akkhirin. Ia hanya dipakai mereka dengan erti takhsis atau pengecualian semata-mata. 
(LihatTafsir al-Qurthubi j.8 m/s 150-151, Tafsir al-Mazhan j.4 m/s 220, Tafsir al-Manar  j.10 m/s 398 dan j.11 m/s 64, Tafsir al-Wasith j.6 m/s 297-298, dan Tafsir Bayanul Qur'an j.4 m/s 113).

Kesimpulannya ayat ke-41 Surah at-Taubah itu tidak perlu dikatakan mansukh. Ia tetap dapat dipakai buat selama- lamanya apabila keadaan memerlukan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan