Asas(usul) Tafsir 17iv(01)
(11) Daripada Surah al-Maa’idah firman Allah yang [..] nanti dikatakan telah mansukh:
Al-Ma'idah 5:2
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تُحِلُّوا۟ شَعَٰٓئِرَ ٱللَّهِ[ وَلَا ٱلشَّهْرَ ٱلْحَرَامَ ]وَلَا ٱلْهَدْىَ وَلَا ٱلْقَلَٰٓئِدَ وَلَآ ءَآمِّينَ ٱلْبَيْتَ ٱلْحَرَامَ يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّن رَّبِّهِمْ وَرِضْوَٰنًاۚ وَإِذَا حَلَلْتُمْ فَٱصْطَادُوا۟ۚ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَـَٔانُ قَوْمٍ أَن صَدُّوكُمْ عَنِ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ أَن تَعْتَدُواۘ وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْبِرِّ وَٱلتَّقْوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ
Bermaksud: Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu melanggar syi´ar-syi´ar Allah, dan [jangan melanggar kehormatan bulan-bulan haram], jangan (mengganggu)
binatang-binatang hadyu (yang dibawa ke Mekah untuk dikorbankan), dan binatang-binatang qalaa’id (dikalongkan sebagai tanda ia adalah hadyu), dan jangan (pula)
mengganggu orang-orang yang mengunjungi Baitullah sedang mereka mencari kurnia dan keredhaan dari Tuhannya dan apabila kamu telah menyelesaikan ibadah haji, maka bolehlah berburu. Dan janganlah sekali-kali kebencian(mu) kepada sesuatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari Masjidilharam itu,
mendorongmu berbuat aniaya (kepada mereka). Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya). (al-Maa’idah:2).
Yang dikatakan telah mansukh hanyalah bahagian yang bergaris di bawahnya atau kurungan itu sahaja. Di dalam ayat di atas Allah telah melarang orang-orang yang beriman daripada melanggar dan menceroboh lima perkara. Salah satu daripadanya ialah melanggar kehormatan bulan-bulan haram iaitu bulan Rajab, Dzul Qa`dah, Dzul Hijjah dan Muharram. Menurut jumhur mufassirin, maksud melanggar dan menceroboh bulan-bulan haram itu ialah berperang dengan orang-orang musyrikin di bulan-bulan itu.
Demikianlah diriwayatkan daripada Ibnu `Abbaas, Qataadah bin Di`aamah m.107H) dan lain-lain.
(Lihat al-Aalusi - Ruuh al-Ma`ani j.6 m/s 53, an-Nahhaas - Kitab an-Naasikh Wa al-Mansukh m/s 115).
Berdasarkan tafsiran inilah ayat 2 Surah al-Maa’idah itu dikatakan telah mansukh. Abd bin Humaid, Abu Daud, Ibnu Jarir dan Ibnu al-Mundzir meriwayatkan daripada Sya`bi (Aamir bin Syuraahil m.114H) bahawa beliau berkata: “Di dalam Surah al-Maa’idah hanya ayat ini sahaja yang dimansukhkan.”
Yang memansukhkannya (nasikhnya) ialah semua firman Allah yang memerintahkan orang-orang Islam memerangi dan membunuh orang-orang musyrikan tidak kira di mana mereka berada dan bila mereka ditemui. Seperti ayat-ayat berikut: At-Taubah 9:5
فَإِذَا ٱنسَلَخَ ٱلْأَشْهُرُ ٱلْحُرُمُ فَٱقْتُلُوا۟ ٱلْمُشْرِكِينَ حَيْثُ وَجَدتُّمُوهُمْ وَخُذُوهُمْ وَٱحْصُرُوهُمْ وَٱقْعُدُوا۟ لَهُمْ كُلَّ مَرْصَدٍۚ فَإِن تَابُوا۟ وَأَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُا۟ ٱلزَّكَوٰةَ فَخَلُّوا۟ سَبِيلَهُمْۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Bermaksud: Apabila sudah habis bulan-bulan Haram itu, maka bunuhlah orang-orang musyrik itu di mana saja kamu menemuinya dan tawanlah mereka, dan juga
keponglah mereka, serta tunggulah mereka di tiap-tiap tempat mengintipnya. Kemudian jika mereka bertaubat (dari kekufurannya) dan mendirikan sembahyang
serta memberi zakat, maka biarkanlah mereka (jangan diganggu). Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (at-Taubah:5).
An-Nisa' 4:89
وَدُّوا۟ لَوْ تَكْفُرُونَ كَمَا كَفَرُوا۟ فَتَكُونُونَ سَوَآءًۖ فَلَا تَتَّخِذُوا۟ مِنْهُمْ أَوْلِيَآءَ حَتَّىٰ يُهَاجِرُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِۚ فَإِن تَوَلَّوْا۟ فَخُذُوهُمْ وَٱقْتُلُوهُمْ حَيْثُ وَجَدتُّمُوهُمْۖ وَلَا تَتَّخِذُوا۟ مِنْهُمْ وَلِيًّا وَلَا نَصِيرًا
Bermaksud: Mereka suka sekali kalau kamu pula menjadi kafir sebagaimana mereka telah menjadi kafir, maka (dengan yang demikian) menjadilah kamu sama seperti
mereka. Oleh itu janganlah kamu mengambil (seorang pun) di antara mereka menjadi teman rapat kamu, sehingga mereka berhijrah pada jalan Allah (untuk menegakkan
Islam). Kemudian kalau mereka sengaja berpaling ingkar, maka tawanlah mereka dan bunuhlah mereka di mana saja kamu menemuinya dan jangan sekali-kali kamu
mengambil (seorang pun) di antara mereka menjadi teman rapat atau penolong. (an-Nisaa’:89).
At-Taubah 9:36
إِنَّ عِدَّةَ ٱلشُّهُورِ عِندَ ٱللَّهِ ٱثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِى كِتَٰبِ ٱللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ مِنْهَآ أَرْبَعَةٌ حُرُمٌۚ ذَٰلِكَ ٱلدِّينُ ٱلْقَيِّمُۚ فَلَا تَظْلِمُوا۟ فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْۚ وَقَٰتِلُوا۟ ٱلْمُشْرِكِينَ كَآفَّةً كَمَا يُقَٰتِلُونَكُمْ كَآفَّةًۚ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلْمُتَّقِينَ
Bermaksud: Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertaqwa. (at-Taubah:36).
Kesimpulannya ialah Ibnu `Abbaas, Qataadah, Mujahid dan asy-Sya`bi mengatakan sebahagian daripada ayat 2 Surah al-Maa’idah itu mansukh, iaitu [ وَلَا ٱلشَّهْرَ ٱلْحَرَامَ ].
َRamai ahli Tafsir memilih pendapat ini. Ibnu Katsir bahkan mengatakan ia adalah pendapat umhur mufassirin.
(Lihat Tafsir Ibnu Katsir j.2 m/s 7).
Sementara itu Saiyyidatina `Aaishah, Hasan al-Bashri, Abu Maisarah `Amar bin Syurahbil dan lain-lain pula berpendapat, tidak ada satu pun ayat di dalam Surah al-
Maa’idah dimansukhkan.
(Lihat al-Jasshaash – Ahkaam al-Qur’an j.4 m/s 161, az-Zamakhsyari – al-Kassyaaf j.1 m/s 602, Muhammad `Ali as-Shabuni - Tafsir Aayaat al-Ahkaam j.1 m/s 403).
Demikian juga pendapat ahli-ahli Tafsir yang tidak menerima adanya nasakh di dalam al-Qur’an. Shah Waliyyullah termasuk salah seorang daripada mereka. Bagi mereka larangan melanggar kehormatan bulan-bulan
haram itu bererti larangan melakukan ma`shiat dan perkara-perkara haram di bulan-bulan itu. Ma`shiat dan perkara-perkara haram bukan sahaja perlu dijauhi orang-orang yang beriman pada bulan-bulan haram itu, di bulan-bulan lain juga ia perlu dijauhi, cuma di bulan-bulan haram lebih-lebih lagilah dituntut supaya dijauhi. Termasuk juga dalam menghormati bulan-bulan haram itu ialah lebih banyak melakukan kebajikan dan ketaqwaan padanya berbanding bulan-bulan lain. Sama sekali ia tidak bererti
bebajikan dan ketaqwaan hanya perlu dibuat pada bulan-bulan haram sahaja.
Shah Waliyyullah memahami firman Allah: وََلَٱ الشَّهْرَ ٱلحَرَام
yang melarang melanggar kehormatan bulan haram itu dengan erti peperangan yang haram seperti berperang sesama Islam, memerangi kafir mu`aahid dan kafir dzimmi tanpa kebenaran dan lain-lain di bulan-bulan haram lebih keji dan lebih jelik daripada di bulan-bulan lain. Itulah yang dituntut Allah supaya dijauhi sangat-sangat oleh orang-orang yang beriman. Ia tidak bererti dahulu mereka dilarang berperang pada bulan-bulan haram, mereka memang haram berperang pada bulan-bulan itu, tetapi sekarang pula mereka dibenarkan berperang padanya. Keadaannya sama seperti sabda Nabi s.a.w. pada haji wadaa` bahawa:
إِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ حَرَامٌ عَلَيْكُمْ كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا فِي شَهْرِكُمْ هَذَا
Bermaksud: Sesungguhnya darah-darah kamu dan harta benda kamu haram kepadamu seperti haramnya harimu ini di bulanmu ini dan di negerimu ini.
(Hadits riwayat Muslim, Ahmad, Ibnu Hibbaan, an-Nasaa’i, ad-Daarimi, `Abd bin Humaid, Baihaqi dan lain-lain).
Hadits ini tidak bermaksud, darah-darah dan harta benda orang-orang Islam tidak haram kepada orang-orang Islam lain pada bulan-bulan selain bulan-bulan haram, selain di tanah haram dan selain pada hari ke-9 Dzul Hijjah, ia bahkan bermaksud di tempat lain selain tanah haram, di hari-hari lain selain hari ke-9 Dzul Hijjah dan di bulan-bulan lain selain bulan-bulan haram juga darah-darah dan harta benda orang-orang Islam haram kepada orang-orang Islam lain, cuma pada hari ke-9 Dzul Hijjah, di tanah haram dan bulan-bulan haram ia lebih-lebih lagi diharamkan.
Golongan `ulama’ dari aliran kedua ini berhujah juga dengan satu hadits Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu `Ubaid daripada Dhamrah bin Habib dan `Athiyyah bin Qais di mana Baginda bersabda:
الَمائِدَةُ مِنْ آ ِخِر القُرآنِ تَنْزِيلًا فَأَحِّلَُّوا حِلَالَهَا وَحَرمُوا حَرَامَهَا
َBermaksud: Surah al-Maa’idah adalah antara surah-surah al-Qur’an yang terakhir diturunkan. Oleh itu, halalkanlah apa yang dihalalkannya dan haramkanlah apa yang diharamkannya.”
Setelah mengemukakan hadits ini al-Aalusi menulis: “Sekumpulan `ulama’ berhujah dengan hadits ini bahawa tidak ada apa pun yang dimansukhkan di dalam Surah ini.” (Lihat Ruuh al-Ma`ani j.5 m/s 47).Ahmad, an-Nasaa’i, al-Haakim dan al-Baihaqi meriwayatkan dengan sanad mereka daripada Aaishah bahawa beliau berkata , `
المائدة آخر سورة نزلت، فما وجدتم فيها من حًلل :فاستحلوه، وما وجدتم فيها من حرام فحرّموه
Bermaksud: Al-Maa’idah adalah Surah yang terakhir diturunkan. Apa-apa yang kamu dapati sebagai halal di dalamnya, maka terimalah ia sebagai halal dan apa-apa yang kamu dapati sebagai haram di dalamnya
(pula), maka terimalah ia sebagai haram.”
Al-Haakim menghukum sahih terhadap hadits ini. Dan adz-Dzahabi menyetujui keputusan al-Haakim itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan