Rabu, Disember 14, 2022

Tafsir asas quran nota 9(235-248)15 17iv(02)


Asas(usul) Tafsir 17iv(02)
(12) Firman Allah di dalam Surah al-Maa’idah di bawah ini juga dikatakan mansukh oleh jumhur mufassirin:

Al-Ma'idah 5:42
سَمَّٰعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّٰلُونَ لِلسُّحْتِۚ فَإِن جَآءُوكَ فَٱحْكُم بَيْنَهُمْ أَوْ أَعْرِضْ عَنْهُمْۖ وَإِن تُعْرِضْ عَنْهُمْ فَلَن يَضُرُّوكَ شَيْـًٔاۖ وَإِنْ حَكَمْتَ فَٱحْكُم بَيْنَهُم بِٱلْقِسْطِۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلْمُقْسِطِينَ
Bermaksud: Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya). Oleh itu kalau mereka datang kepadamu,
maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah) atau berpalinglah dari mereka dan kalau engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak
akan dapat membahayakanmu sedikitpun dan jika engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (al-Maa’idah:42).

Ia dikatakan mansukh dengan ayat di bawah ini:
Al-Ma'idah 5:49
وَأَنِ ٱحْكُم بَيْنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَآءَهُمْ وَٱحْذَرْهُمْ أَن يَفْتِنُوكَ عَنۢ بَعْضِ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ إِلَيْكَۖ فَإِن تَوَلَّوْا۟ فَٱعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْۗ وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ ٱلنَّاسِ لَفَٰسِقُونَ
Bermaksud: Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu
mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik. (al-Maa’idah:49).

Antara tokoh Salaf yang berpendapat ayat 42 Surah al-Maa’idah itu mansukh dengan ayat 49 Surah yang sama ialah Ibnu `Abbaas, Sa`id bin al-Musaiyyab, Mujahid,
`Ikrimah, az-Zuhri, `Umar bin `Abdil `Aziz dan lain-lain.

Menurut al-Jasshaash, ar-Raazi dan al-Qurthubi, itulah pendapat kebanyakan Salaf. Sementara segolongan
besar ahli Tafsir yang lain pula berpendapat ayat 42 Surah al-Maa’idah itu muhkam, ia tidak dimansukhkan oleh mana-mana ayat pun. Antara tokoh Salaf yang
menganggap ayat itu muhkam dan tidak mansukh ialah Hasan al-Bashri, asy-Sya`bi, an-Nakha`i, Qataadah, `Athaa’ dan lain-lain (Lihat Fakhruddin ar-Razi – Mafaatih al-
Ghaib j.11 m/s 361).

Shah Waliyyullah adalah salah seorang tokoh Tafsir Mut’akkhirin yang termasuk dalam golongan kedua.

Menurut jumhur mufassirin, ayat 42 Surah al-Maa’idah memberi pilihan kepada Rasulullah s.a.w. sama ada mahu menghukum ahli al-Kitab yang meruju` kepada Baginda untuk menyelesaikan kes mereka berpandukan ajaran Islam yang ada atau membiarkan mereka memilih hukum agama mereka sendiri. Pilihan seperti itu diberikan kepada Rasulullah s.a.w. untuk seketika sahaja. Panduan yang diberikan kepada Nabi s.a.w. jika Baginda hendak menyelesaikan kes mereka ialah mempastikan hukuman dijatuhkkan dengan penuh keadilan. Setelah kedudukan agama Islam lebih kuat, tiada lagi pilihan seperti itu diberikan. Nabi s.a.w. diperintah supaya melaksanakan hukum Islam yang diturunkan oleh Allah sahaja ke atas setiap ra'yat dan warganegara di bawah pemerintahan Baginda, baik ia muslim, Ahlil Kitab atau siapa saja. Perintah ini diberi Allah kepada NabiNya melalui ayat 49 Surah al-Maa'idah. Dengan itu termansukhlah pilihan yang diberikan kepada Rasulullah s.a.w. melalui ayat 42 Surah al-Maa'idah. sama ada mahu menghukum Ahlil Kitab menurut hukum Islam atau menyerahkan kepada mereka sendiri untuk menyelesaikan apa-apa kes dan perkara yang berlaku di kalangan mereka berdasarkan peraturan dan hukum yang ada pada mereka.

Menurut Shah Waliyyullah dan ahli-ahli Tafsir dari golongan kedua yang tidak menerima ayat 42 Surah al-Maa'idah di mansukhkan oleh ayat 49, mereka mengatakan ayat 49 sebenarnya hanya menjelaskan maksud ayat 42. القسط
(keadilan) yang tersebut di dalam ayat 42 itu mujmal, ma'nanya masih samar-samar.Ayat 49 menjelaskannya. Ayat 49 menjadi mubayyin dan mufasshil bagr ayal 42.
Perkataan القسط (keadilan) yang tersebut di dalam ayat 42 itu tidak lain dan tidak bukan ialah "apa yang diturunkan oleh Allah". Perintah Allah di dalam ayat 42 supaya NabiNya menghukum di antara mereka dengan adil itu ialah menghukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah. Ini kerana keadilan yang betul-betul terjamin kebenarannya hanyalah yang datang dari Allah. Soal pilihan yang diberikan kepada Rasulullah s.a.w. melalui ayat 42 itu, ia tetap diberikan kepada Baginda khususnya dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan undang-undang kekeluargaan, adat resam dan sebagainya. Ra'yat bukan muslim di dalam negara Islam dibenarkan meruju' dalam perkara itu kepada pendeta-pendeta atau ketua-ketua mereka sendiri.Kalau ada pun kes-kes jenayah yang diminta mereka supaya Nabi s.a.w. menyelesaikannya dan Nabi s.a.w. pula menyuruh meruju' kepada hukum yang
terdapat di dalam agama mereka, tentulah ia yang tidak bercanggah dengan apa yang diturunkan oleh Allah juga. Sebagai contohnya hukuman ke atas penzina muhshan.
Hukuman ke atas penzina Muhshan yang terdapat di dalam Kitab Taurat yang ada dizaman Nabi s.a.w. juga sama dengan hukuman menurut hukum Islam iaitu rejam. Jadi
menyuruh mereka meruju' kepada kitab suci mereka dalam kes-kes jenayah sama sekali bukan untuk mendaulatkan hukum bukan Islam. Sebaliknya untuk mencelikkan
mata mereka terhadap keadilan hukum Islam. Dengan menyuruh mereka meruju' kepada Bible, Nabi s.a.w. seolah-olahnya hendak membuktikan kebenaran hukum
rejam yang terdapat dalam Islam, kerana ia juga terdapat di dalam Bible (Lihat Sifir Istitsna' Bab 22 Ayat 23-24), kitab suci mereka. Jadi apa lagi alasan mereka untuk menolak hukuman had yang terdapat dalam Islam?

Sesetengah 'ulama'  yang tidak menerima ayat 42 dimansukhkan oleh ayat 49 berpendapat, ayat 42 yang memberi pilihan kepada Nabi s.a.w. sama ada hendak
menghukum di antara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah) atau berpaling dari mereka, dan apa yang ditekankan oleh Allah ialah menghukum diantara mereka dengan adil itu berkaitan dengan orang-orang kafir mu'aahad. Tidak menjadi tanggungjawab Rasulullah sebagai ketua negara Islam menyelesaikan kes yang berlaku di antara mereka di negeri mereka sendiri.

Terpulanglah kepada Rasulullah s.a.w. sama ada hendak menyelesaikan kes yang dikemukakan oleh mereka kepada Baginda atau tidak. Sementara ayat 49 pula berkenaan dengan kafir dzimmi. Mereka juga terikat dengan sebahagian hukurn-hakam Islam, baik dalam kes-kes sivil, pesaka, jual beli, jenayah dan lain-lain. Dalam kes jual beli arak, babi dansebagainya, mereka tidak terikat dengan hukum Islam. Demikian juga dalam kes jenayah perzinaan misalnya, meskipun mereka juga ditegah melakukannya dan boleh dikenakan hukuman-hukuman tertentu apabila terbukti telah melakukannya, namun mereka tidak akan direjam. Kerana menurut sesetengah 'ulama' (seperti Imam Abu Hanifah, Malik dan lain-lain) salah satu syarat untuk dilaksanakan hukuman rejam ialah Islam. Pelakunya mestilah seorang muslim.
(Lihat Ahmad bin Mustafa al-Maraghi - Tatsir al-Maraghi j.6 m/s 121, Muhammad Rasyid Ridha - Tafsir al-Manaar j.6
m/s 325-326, Dr Wahbah az-Zuhaili - at-Tafsir al-Munir i.6 m/s 196-197).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan