Asas(usul) Tafsir 17v(02)
(16) Firman Allah di dalam ayat ke-3 Surah an-Nuur yang akan dikemukakan dibawah ini juga dikatakan telah mansukh:
An-Nur 24:3
ٱلزَّانِى لَا يَنكِحُ إِلَّا زَانِيَةً أَوْ مُشْرِكَةً وَٱلزَّانِيَةُ لَا يَنكِحُهَآ إِلَّا زَانٍ أَوْ مُشْرِكٌۚ وَحُرِّمَ ذَٰلِكَ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ
Bermaksud: Laki-laki yang berzina tidak boleh mengawini melainkan perempuan yang berzina, atau perempuan yang musyrik; dan perempuan yang berzina tidak boleh
dikawini melainkan oleh laki-laki yang berzina atau laki-laki musyrik, dan yang demikian itu diharamkan kepada orang-orang yang beriman. (an-Nuur:3).
Kata al-Imam Jalaluddin as-Suyuthi, ayat ini dimansukhkan oleh ayat berikut: An-Nur 24:32
وَأَنكِحُوا۟ ٱلْأَيَٰمَىٰ مِنكُمْ وَٱلصَّٰلِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَآئِكُمْۚ إِن يَكُونُوا۟ فُقَرَآءَ يُغْنِهِمُ ٱللَّهُ مِن فَضْلِهِۦۗ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ
Bermaksud: Dan kawinkanlah orang-orang yang sendirian (bujang, baik lelaki maupun perempuan) dari kalanganmu, dan orang-orang yang layak berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberianNya) lagi Maha Mengetahui. (an-Nuur:32).
Ayat ke-3 Surah an-Nuur itu menurut orang-orang yang mengatakan ia mansukh bererti penzina atau orang yang pernah berzina haram dan tidak boleh berkahwin
dengan orang yang memelihara dirinya daripada perzinaan. Perkahwinannya bahkan tidak sah. Ia hanya boleh berkahwin dengan penzina seumpamanya atau dengan orang musyrik (sebelum pengharaman berkahwin dengan orang musyrik). Itulah sebabnya kebanyakan 'ulama' berpendapat perkahwinan antara penzina dengan orang yang memelihara dirinya daripada penzinaan adalah sah.
Shah Waliyyullah dalam membantah pendapat orang-orang yang mengatakan ayat ke-3 Surah an-Nuur itu mansukh mengemukakan dua alasan.
Pertama: Bukan semua fuqaha' berpendapat perkahwinan antara penzina dengan orang yang memelihara dirinya daripada perzinaan adalah sah. Qataadah, Ahmad bin Hambal, Ishaq bin Rahawaih, Abu 'Ubaid dan lain-lain misalnya tetap berpegang dengan zahir ayat tersebut bahawa penzina laki-laki tidak boleh berkahwin melainkan dengan penzina perempuan. Begitu juga sebaliknya.
Di akhir ayat itu Allah menegaskan ia bahkan diharamkan kepada orang-orang yang beriman. Kalau ia mansukh, kenapa Imam Mujtahid seperti Ahmad masih lagi berpegang dengannya?Ayat (hukum) yang mansukh tentu tidak boleh dijadikan pegangan lagi.
Mengikut apa yang dinukilkan oleh Ibnu Katsir di dalam Tafsirnya ialah Imam Ahmad berpendapat penzina baik laki-laki atau perempuan tidak boleh (haram) dikahwini dan perkahwinan dengannya tidak sah sebelum ia bertaubat. Jika ia bertaubat, maka perkahwinan dengannya adalah sah.
Kedua: Ayat yang dianggap sebagai nasikh (iaitu ayat ke-32 Surah an-Nuur) bagi ayat ke-3 Surah an-Nuur itu umum, sedangkan ayat ke-32 itu pula khusus. Menurut qaedah Usul, ayat yang 'aam tidak boleh memansukhkan ayat yang khas. Ayat ke-32 Surah an-Nuur hanya menganjurkan orang-orang yang beriman agar mengahwinkan orang-orang bujang (sendirian) dan orang-orang yang layak (berkawin) dari kalangan hamba-hamba sahaya mereka, baik lelaki atau perempuan. Itu saja. Ia langsung tidak menyebut dengan siapa mereka perlu berkahwin atau dikahwinkan? Ayat ke-tiga Surah yang samalah yang menjelaskannya. Ini bererti ayat ke-32 Surah an-Nuur adalah mujmal dan ayat ayat ke-3 Surah yang sama pula adalah mufasshil dan mubayyinnya.
Para 'ulama' Tafsir berbeda pendapat tentang maksud firman Allah dalam ayat 3 surah an-Nuur itu. Kerana perbedaan pendapat merekalah anda akan dapati
terjemahan yang dipilih penterjemah-penterjemah al-Qur'an sedikit sebanyak berbeda antara satu dari yang lain. Perkataan لا ينكح shj sudah ada beberapa terjemahan:
(a)tidak boleh. (b) tidak akan. (c) tidak mahu. (d) tidak layak. (e) janganlah. Begitu juga dengan perkataan لاتنكمها selepasnya. Di bawah ini dikemukakan sebahagian daripada pendapat para 'ulama' tentangnya:
(1) Terjemahan yang diberikan di atas adalah berdasarkan pendapat golongan yang mengatakan perkahwinan seseorang muslim yang memelihara dirinya dengan penzina yang tidak bertaubat dan perzinaannya adalah tidak harus, haram dan tidak sah. Penafian Allah di situ dipakai dengan erti penafian keharusan. Dan مشار ابيه (apa yang diisyaratkan) bagi ذلك dalam firman Allah وحرم ذلك على المؤمنين di akhir ayat itu pula adalah perbuatan berkahwin dengan penzina dan orang musyrik. Antara tokoh 'ulama' yang berpendapat demikian ialah Imam Ahmad bin Hambal.
(2) Sesetengah 'ulama' berpendapat, penafian Allah di dalam ayat ke-3 Surah an- Nuur itu bukannya bererti penafian keharusan, ia bahkan bererti penafian kelayakan
dan kesekufuan semata-mata. Oleh kerana penzina, baik laki-laki mahupun perempuan telah melakukan dosa besar dan telah menjadi fasiq dengan sebab perzinaannya, maka hilanglah kelayakannya untuk berkahwin dengan orang-orang yang memelihara dirinya daripada perbuatan terkutuk itu. Ia hanya layak dan sekufu dengan orang yang sepertinya juga. Dan مشار ابيه (apa yang diisyaratkan) bagi ذلك dalam firman Allah وحرم ذلك على المؤمنين di akhir ayat itu pula bukan perbuatan berkahwin dengan penzina, tetapi perbuatan zina dan syirik itulah yang diharamkan
oleh Allah atas orang-orang yang beriman. Kalau begitu untuk apa ayat ke-3 Surah an-Nuur itu dikatakan telah mansukh dengan ayat ke-32 Surah an-Nuur? Memang
tidak diharamkan pun berkahwin dengan penzina. Apa yang disebut Allah hanyalah tidak layak dan tidak sekufunya penzina atau orang musyrik dengan orang-orang beriman yang bukan penzina. Mafhum ayat ke-3 Surah an-Nuur ini bagi mereka sama saja dengan mafhum firman
Allah di dalam di dalam ayatke-26 Surah yang sama berikut:
An-Nur 24:26
ٱلْخَبِيثَٰتُ لِلْخَبِيثِينَ وَٱلْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَٰتِۖ وَٱلطَّيِّبَٰتُ لِلطَّيِّبِينَ وَٱلطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَٰتِۚ أُو۟لَٰٓئِكَ مُبَرَّءُونَ مِمَّا يَقُولُونَۖ لَهُم مَّغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ
Bermaksud: Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). Mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka pengampunan dan pengurniaan yang mulia (syurga). (an-Nuur:26).
(3) Menurut sesetengah 'ulama' pula, ayat itu hanya menganjurkan apa yang terbaik untuk orang-orang yang beriman dalam hal mencari jodoh dan pasangan hidup. Orang mu'min yang memelihara dirinya daripada melakukan dosa-dosa besar seperti zina dan syirik seeloknya tidak berminat kecuali kepada orang yang sepertinya. Orang
mu'min yang telah melakukan perzinaan pula sepatutnya menginsafi diri dan tidak mencari pasangan yang terbaik dan terpilih untuk dirinya. Ia seharusnya sudi menerima sebagai pasangan, orang yang pernah juga terjebak dalam perzinaan sepertinya. Kalau ia boleh insaf dan bertaubat setelah melakukan perbuatan yang keji itu, tidak boleh dan tidak mungkinkah orang yang akan dijadikan pasangannya juga insaf dan bertaubat sepertinya?
(4) Sesetengah 'ulama' berpendapat, ayat ke-3 surah an-Nuur itu sekadar menceritakan tanda-tanda orang yang tidak ikhlas taubatnya, baik daripada perzinaan,
kesyirikan atau lain-lain perkara yang jelik dan keji. Ia juga menunjukkan betapa jelik dan kejinya perzinaan dan kesyirikan pada pandangan Islam. Sesaorang yang telah memeluk agama Islam tetapi masih berminat dan gemar kepada penzina dan musyrik, sehingga kalau hendak kahwin, dia tak kisah pun berkahwin dengan penzina atau musyrik, malah itulah yang lebih disukainya, maka sikapnya itu menunjukkan dia sebenarnya belum lagi menjadi muslim dan mu'min sejati. Sesaorang yang masih gemar dan sukakan perkara-perkara yang mempunyai unsur-unsur kesyirikan setelah memeluk agama Islam, dia tak kisah pun dengan kesyirikan sehingga berkahwin dengan orang musyrik bukan suatu halangan baginya, orang seperti itu sebenarnya belum lagi menjadi muslim dan mu'min sejati. Islamnya tidak lebih daripada tempelan dan nama semata-
mata. Memeluk agama Islam pula bukanlah merupakan taubat nasuhanya daripada kesyirikan. Kerana perasaan gemar dan minat kepada perkara-perkara keji seperti
perzinaan dan kesyirikan serta orang-orang yang masih terlibat dengannya, setelah beragama Islam adalah suatu yang langsung tidak akan didapati pada orang-orang mu'min dan muslim sejati.
Perkataan وَحُرِّمَ(di haramkan) dalam firman Allah di akhir ayat ke-3 Surah an-Nuur, itu tidak bererti haram di segi hukum syara', tetapi ia seharusnya dipakai dengan erti
yang terpakai dalam firman Allah dalam dua ayat di bawah ini:
Al-Anbiya 21:95 وَحَرَٰمٌ عَلَىٰ قَرْيَةٍ أَهْلَكْنَٰهَآ أَنَّهُمْ لَا يَرْجِعُونَ
Bermaksud: Dan mustahil kepada penduduk sesebuah negeri yang Kami binasakan, bahawa mereka tidak akan kembali (kepada Kami untuk menerima balasan di akhirat
kelak). (al-Anbiyaa' :95).
Al-Qasas 28:12
وَحَرَّمْنَا عَلَيْهِ ٱلْمَرَاضِعَ مِن قَبْلُ فَقَالَتْ هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَىٰٓ أَهْلِ بَيْتٍ يَكْفُلُونَهُۥ لَكُمْ وَهُمْ لَهُۥ نَٰصِحُونَ
Bermaksud: Dan Kami cegah Musa dari menyusu kepada perempuan-perempuan yang mahu menyusui(nya) sebelum itu; maka berkatalah kakaknya: "Mahukah kamu aku tunjukkan kepadamu ahlul bait (penduduk sebuah rumah) yang akan memeliharanya untukmu dan mereka dapat berlaku baik kepadanya?" (al-Qashash:12).
Perkataan وَحَرَٰمٌ dalam ayat 95 Surah al-Ambiyaa' itu bererti mustahil atau tidak mungkin. Dan perkataan وَحَرَّمْنَا di permulaan ayat ke-12 Surah al-Qashash itu pula bererti Kami cegah atau Kami jadikan dia enggan (menyusu kepada perempuan-perempuan yang mahu menyusuinya sebelum itu).
Demikianlah juga dengan perkataan 'وَحُرِّمَ di akhir ayat ke-3 Surah an-Nuur, ia seharusnya tidak dipakai dengan erti haram menurut syara' (حرام شرعى), sebaliknya dipakai dengan erti haram menurut sunnatullah (حرام كوني), iaitu perzinaan dan kesyirikan adalah dua perkara yang mustahil dan tidak mungkin dilakukan oleh orang-orang mu'min sejati. Perbuatan berkahwin dengan penzina atau orang musyrik juga mustahil dan tidak mungkin berlaku kepada orang-orang mu'min sejati.
Kebencian kepada kedua-duanya semacam telah menjadi naluri mereka.
Pendapat golongan pentafsir ini nampaknya bersesuaian dengan sabda Rasulullah s.a.w. berikut:
لَا يَزْنِي الزَّانِي حِينَ يَزْنِي وَهُوَ مُؤْمِنٌ وَلَا يَسْرِقُ حِينَ يَسْرِقُ وَهُوَ مُؤْمِنٌ وَلَا يَشْرَبُ حِينَ يَشْرَبُهَا وَهُوَ مُؤْمِنٌ وَالتَّوْبَةُ مَعْرُوضَةٌ بَعْدُ
Bermaksud: "Tidak berzina seseorang yang berzina dalam keadaan dia mu'min (sejati) ketika berzina. Tidak mencuri seseorang pencuri dalam keadaan dia mu'min
(sejati) ketika mencuri. Dan tidak minum arak seseorang peminum arak dalam keadaan dia mu'min (sejati) ketika sedang meminumnya; bagaimanapun pintu taubat
sentiasa terbuka sesudah itu.
(5) Ada juga 'ulama' berpendapat, ayat ke-3 Surah an-Nuur itu khusus dengan sahabat-sahabat tertentu yang menjadi sebab bagi turunnya. Ia tidak umum untuk semua orang-orang mu'min. Dalam keadaan ini tiada alasan juga untuk dikatakan ayat berkenaan mansukh. Antara hadits yang menyebutkan latar belakang bagi turunnya
ayat itu ialah:
(a) Hadits riwayat 'Amar bin Syu'iab daripada ayahnya daripada datuknya, kata beliau:
"Ada seorang laki-laki bernama Martsad bin Abi Martsad. Kerjanya ialah melarikan tawanan-tawanan (Islam) dari Mekah ke Madinah. Di Mekah ada seorang wanita
pelacur bernama 'Anaaq yang pernah menjadi temannya. Martsad telah berjanji akan melarikan salah seorang tawanan yang berada di Mekah (untuk dibawanya ke
Madinah). Kata Martsad, "Aku pun datang, sehingga sampai ke salah satu bayangan dinding di Mekah pada suatu malam yang terang bulannya. 'Anaaq kemudian datang,
dia melihat hitam bayanganku dekat dinding. Ketika ia sampai kepadaku, ia pun mengenaliku dan berkata, "Martsad?" Aku menjawab, Martsad." Ia berkata,
"Selamat datang, bermalamlah dengan kami malam ini." Aku berkata, "Wahai 'Anaaq, Allah mengharamkan zina." Maka 'Anaaq berkata, "Wahai penghuni khemah! Inilah orang yang akan melarikan para tawananmu." Maka aku dikejar oleh lapan orang, dan aku pun menempuh jalan Khandamah hingga aku sampai ke sebuah gua dan masuk ke dalamnya. Mereka pun datang sampai berdiri di atas
kepalaku lalu buang air kecil sehingga menimpa ke kepalaku, namun Allah membutakan mereka sehingga tidak nampak aku. Mereka pun balik dan aku kembali
kepada kawanku dan membawanya, sedangkan dia adalah seorang yang cukup berat hingga aku sampai ke rerumputan idzkhir, lalu aku lepas rantainya, aku pun
membawanya dan ia cukup memberatkanku sehingga aku sampai ke Madinah. Akupun datang kepada Rasulullah s.a.w. dan bertanya sebanyak dua kali, "Wahai
Rasulallah, bolehkah aku mengahwini 'Anaaq?" Rasulullah s.a.w. diam, tidak menjawab apa-apa kepadaku sehingga turun ayat, "Penzina laki-laki tidak boleh berkahwin kecuali dengan penzina perempuan, atau dengan perempuan musyrik; dan penzina perempuan tidak boleh berkahwin kecuali dengan penzina laki-laki atau dengan laki-laki musyrik; dan yang demikian itu diharamkan bagi orang-orang mukmin." Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda, Wahai Martsad, Penzina laki-laki tidak boleh berkahwin kecuali dengan penzina perempuan, atau dengan perempuan musyrik; dan penzina perempuan tidak boleh berkahwin kecuali dengan penzina laki-laki atau dengan laki-laki musyrik." Maka janganlah engkau mengahwininya."
Tirmidzi berkata, "Hadits ini hasan gharib, ia tidak diketahui kecuali melalui saluran riwayat ini.
Hadits ini turut diriwayatkan oleh Abu Daud, an-Nasa'i, Ibnu Jarir dan lain-lain.
Hakim secara singkat berkata, "Sahih isnadnya." Adz-Dzahabi pula tidak membuat apa-apa komentar terhadapnya.
(b) Ahmad, at-Thabaraani, al-Baihaqi, at-Thahaawi, al-Haakim, at-Thabari dan lain-lain meriwayatkan daripada al-Qasim bin Muhammad daripada 'Abdullah bin 'Amar
bin al-'Aash bahawa beliau berkata, "Ada seorang perempuan tinggal di Ajyaad, ia dikenali dengan (nama panggilan) Ummu Mahzul, pekerjaannya ialah melacur. Dia
berjanji untuk menanggung nafqah sesiapa yang ingin mengahwininya dengan syarat membenarkannya terus menjadi pelacur. Lalu ada seorang laki-laki meminta izin
kepada Rasulullah s.a.w. untuk mengahwininya. Maka Rasulullah s.a.w. membacakan firman Allah ini kepadanya atau (syak perawi) Maka turunlah firman Allah ini:
An-Nur 24:3
ٱلزَّانِى لَا يَنكِحُ إِلَّا زَانِيَةً أَوْ مُشْرِكَةً وَٱلزَّانِيَةُ لَا يَنكِحُهَآ إِلَّا زَانٍ أَوْ مُشْرِكٌۚ وَحُرِّمَ ذَٰلِكَ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ
Bermaksud: Laki-laki yang berzina tidak akan mengawini melainkan perempuan yang berzina, atau perempuan yang musyrik; dan perempuan yang berzina tidak akan dikawini melainkan oleh laki-laki yang berzina atau laki-laki musyrik, dan yang demikian itu diharamkan kepada orang-orang yang beriman. (an-Nuur:3).
(c) Ibnu Abi Haatim, Ats-Tsa'labi dan at-Thabari dengan sanad mereka meriwayatkan daripada Ibnu 'Abbaas bahawa beliau berkata, "Semasa jahiliah terdapat rumah-rumah yang dipanggil "mawakhir" (rumah pelacur). Pemilik- pemiliknya menyewakan anak-anak gadis dan perempuan-perempuan mereka. Ia sememangnya terkenal
sebagai tempat perzinaan. Tempat-tempat itu tidak dikunjungi kecuali oleh penzina dari kalangan Ahli Qiblat (orang-orang Islam) atau orang-orang musyrik yang menyembah berhala. Lalu Allah menurunkan firmanNya dalam ayat ke-3 Surah an-Nuur untuk mengharamkan perbuatan tersebut.
(6) Ibnu 'Abbaas sebagaimana dinukilkan oleh Ibnu Katsir dan lain-lain dengan isnad yang sahih berpendapat, maksud firman Allah لا ينكح dan لا ينكحها di dalam ayat ke-3
Surah an-Nuur itu bukan tidak boleh /tidak akan/ tidak layak berkahwin dan dikahwini, tetapi ia bererti "tidak akan (dapat) bersetubuh atau berzina kecuali dengan
penzina juga", sama ada ia muslim (baik laki-laki atau perempuan) atau musyrik (baiklaki-laki atau perempuan).
Di kalangan Tabi'in terdapat agak ramai yang sependapat
dengan Ibnu 'Abbaas. Mereka terdiri daripada murid-murid beliau sendiri dan juga bukan murid-murid beliau, seperti Mujahid, 'Ikrimah, Sa'id bin Jubair, 'Urwah binaz-Zubaft, adh-Dhahhaak, Makhul, Muqatil bin Hayyaan dan lain-lain.
Ini kerana orang Islam, sama ada ia penzina atau bukan penzina, sememangnya diharamkan berkahwin dengan orang musyrik, sama ada ia penzina atau bukan
penzina. Jadi apa ertinya Allah berfirman "Laki-laki yang berzina tidak boleh mengahwini melainkan perempuan yang musyrik; dan perempuan yang berzina tidak boleh dikahwini melainkan oleh laki-laki musyrik?". Seolah-olahnya laki-laki muslim yang berzina boleh berkahwin dengan perempuan muslimah yang berzina atau perempuan yang musyrik. Yang tidak boleh dikahwininya hanyalah perempuan muslimah yang tidak berzina! Padahal seseorang muslim tidak boleh berkahwin dengan perempuan musyrik dalam apa keadaannya sekalipun, sama ada ia penzina atau tidak. Begitu juga perempuan muslimah yang berzina, ia seolah-olah tidak boleh dikahwini melainkan hanya oleh laki-laki yang berzina atau laki-laki musyrik! Padahal bukankah perempuan muslimah, sama ada ia penzina atau bukan penzina, sememangnya tidak boleh berkahwin dengan laki-laki musyrik biar bagaimana sekalipun keadaannya? !
Tetapi kalau anda mengatakan laki-laki muslim tidak boleh bersetubuh atau berzina melainkan dengan penzina juga, sama ada ia muslimah atau musyrikah, maka keadaan
itu boleh berlaku. Demikian juga kalau anda mengatakan sebaliknya, perempuan muslimah tidak boleh bersetubuh atau berzina melainkan dengan penzina juga, sama
ada ia muslim atau musyrik, maka keadaan itu juga boleh berlaku. Sebabnya ialah tidak ada keperluan untuk seseorang penzina mensyaratkan apa-apa agama
pasangannya! !
Berdasarkan pemahaman Ibnu 'Abbaas ini juga tidak wajar dikatakan ayat ke-3 Surah an-Nuur itu mansukh.
Apa yang difahami Ibnu 'Abbaas itu nampaknya bersesuaian dengan sabda Rasulullah s.a.w. berikut:
لَا يَزْنِي الزَّانِي حِينَ يَزْنِي وَهُوَ مُؤْمِنٌ وَلَا يَسْرِقُ حِينَ يَسْرِقُ وَهُوَ مُؤْمِنٌ وَلَا يَشْرَبُ حِينَ يَشْرَبُهَا وَهُوَ مُؤْمِنٌ وَالتَّوْبَةُ مَعْرُوضَةٌ بَعْدُ
Bermaksud: "Tidak berzina seseorang yang berzina dalam keadaan dia mu'min(sejati) ketika berzina. Tidak mencuri seseorang pencuri dalam keadaan dia mu'min(sejati) ketika mencuri. Dan tidak minum arak seseorang peminum arak dalam keadaan dia mu'min (sejati) ketika sedang meminumnya; bagaimanapun pintu taubat sentiasa terbuka sesudah itu.
Semua tafsiran dan pendapat para 'ulama' Tafsir tentang firman Allah di dalam ayat ke-3 Surah an-Nuur yang dikemukakan di atas jika dilihat dari sudut Ilmu Balaghah
tidak terlepas daripada beberapa bentuk qaedah berikut:
(a) Ia dipakai sebagai khabar pada kedua -daalafazdan ma'nanya. Dalam istilahnya ia disebut sebagai خبرية لفظا ومعني lnilah pandangan kebanyakan para muhaqqiqin dari
kalangan mufassirin, termasuk al-Qaffaal, Fakhruddin ar-Razi dan lain-lain.
(b) Ia padalafaznya merupakan khabar, tetapi pada ma'nanya adalah insya'. Dalam
istilahnya ia disebut sebagai خبرية لفظا ومعني إنشائية معن
(c) Ia pada lafaz dan ma'nanya merupakan insya'. Dalam istilahnya ia disebut sebagaiإنشائية لفظا ومعني. Keadaan ini berlaku apabila anda memakai qira'at (syazzah) yangmembaca لاينكح dengan majzum, kerana ia dipakai sebagai fil nahi.
Menambil kira qaedah (a) yang memakai firman Allah berkenaan sebagai ayat خبرية لفظا ومعني (semata-mata cerita, sama ada dari sudut Iafaz ata]u ma'nanya), maka tiadaوlangsung kemungkinan untuk anda mengatakan ia mansukh, kerana ayat cerita tidak termasuk dalam ruang lingkup perbincangan bab nasakh. Selain dari itu, adalah
mustahil diterima Allah berdusta dalam mana-mana ceritaNya. Tidak mungkin berlaku penukaran dalam sesuatu cerita yang disampaikan oleh Allah kepada
Rasulullah dengan segala perinciannya, tiba-tiba ia didapati berlainan malah bercanggah dengan apa yang diceritakan oleh Allah kemudiannya. Tidak mungkin juga berlaku apa yang diceritakan oleh Allah bercanggah dengan kenyataan secara total. Itulah sebabnya an-Nahhaas (Abu Ja'far Ahmad bin Muhammad an-Nahhaas an-Nahwi m.338H) berkata, "Kalau dalam cerita Allah juga boleh berlaku nasakh, niscaya tidak akan diketahui mana yang benar dan mana yang salah dan banyaklah ajaran Allah akan terbatal." (Lihat an-Nahhaas - an-Naasikh Wa al-Mansukh m/s 53 1).
Walaupun nasakh berkemungkinan berlaku dalam bentuk (b) dan (c), tetapi dalam kenyataannya ia tidak pernah berlaku kepada ayat ke-3 Surah an-Nuur berdasarkan
dua dalil berikut:
(i) Sekian ramai sahabat agung Rasulullah s.a.w. sehebat Abu Bakar, 'Umar, Ibnu Mas'ud, Ibnu 'Abbaas, 'Ali, 'Aaishah, Jabir, Baraa'bin'Aazib dan lain-lain masih berpegang dengan zahir ayat tersebut selepas kewafatan Nabi s.a.w. Imam-imam mujtahidin sehebat Ahmad bin Hambal juga masih berpegang dengan zahimya yang
menyatakan terlarang, tidak sah dan haramnya perkahwinan di antara penzina dan orang musyrik dengan orang-orang mu'min yang memelihara dirinya daripada
perbuatan zina. Ini jelas menunjukkan ia tidak mansukh. Kalau ia memang telah mansukh, masakan mereka tidak mengetahuinya.
(ii) Dalil-dalil yang dikemukakan sebagai nasikh oleh pihak yang berpendapat ayat ke-3 Surah an-Nuur itu telah mansukh, sebenarnya tidak mempunyai cukup kekuatan
untuk dianggap sebagai nasikh. Kerana apa yang dida'wa mereka sebagai nasikh itu tidak lebih daripada hanya ijma' dan dua ayat yang masih dipertikaikan keabsahannya
sebagai nasikh, iaitu ayat ke-3 Surah an-Nisaa' dan ayat ke-32 Surah an-Nuur yang telah dikemukakan sebelum ini.
Keabsahan ijma' tergugat di sini apabila terdapat sekian ramai sahabat besar yang menyalahinya. Selain itu para 'ulama' Usul juga berpendapat, ijma' tidak dapat
menasakhkan ayat al-Qur'an dan hadits yang qath'i. Sebabnya ialah ijma' hanya dalil zhanni, bagaimana ia akan dapat menasakhkan dalil al-Qur'an yang qath'i? Ayat ke-3
Surah an-Nisaa' dan ayat ke-32 Surah an-Nuur pula mujmal dan terlalu umum, bagaimana ia akan dapat menasakhkan ayat yang mubayyan dan khas?
Qaedah (c) juga tidak sah kerana ia hanya suatu yang tsabit berdasarkan qiraa'at yang syazzah. Tentu sekali ia tidak mempunyai kekuatan untuk menasakhkan ayat al-Qur'an dan juga hadits yang qath'i.
(Lihat Fakhruddin ar-Razi - at-Tafsir al-Kabir j.6
m/s 259).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan