Rabu, Disember 14, 2022

Tafsir asas quran nota 9(267-280)17s 17vi(01)


Asas(usul) Tafsir   17vi (01)

(18) Firman Allah di dalam Surah al-Ahzaab ayat ke-52 berikut juga dikatakan mansukh

Al-Ahzab 33:52
لَّا يَحِلُّ لَكَ ٱلنِّسَآءُ مِنۢ بَعْدُ وَلَآ أَن تَبَدَّلَ بِهِنَّ مِنْ أَزْوَٰجٍ وَلَوْ أَعْجَبَكَ حُسْنُهُنَّ إِلَّا مَا مَلَكَتْ يَمِينُكَۗ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ رَّقِيبًا 
Bermaksud: Tidak halal bagimu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang lain sesudah (isteri-isterimu yang ada) itu dan engkau juga tidak boleh menggantikan
mereka dengan isteri-isteri (yang lain), sekalipun engkau tertarik hati kepada kecantikan mereka, kecuali hamba-hamba perempuan yang engkau miliki dan
(ingatlah) Allah sentiasa Mengawasi tiap-tiap sesuatu. (al-Ahzaab:52).

Orang-orang yang menerimanya mansukh mengatakan naasikhnya ialah firman Allah di bawah ini. Ia juga ayat dari Surah al-Ahzaab:

Al-Ahzab 33:50
يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِىُّ إِنَّآ أَحْلَلْنَا لَكَ أَزْوَٰجَكَ ٱلَّٰتِىٓ ءَاتَيْتَ أُجُورَهُنَّ وَمَا مَلَكَتْ يَمِينُكَ مِمَّآ أَفَآءَ ٱللَّهُ عَلَيْكَ وَبَنَاتِ عَمِّكَ وَبَنَاتِ عَمَّٰتِكَ وَبَنَاتِ خَالِكَ وَبَنَاتِ خَٰلَٰتِكَ ٱلَّٰتِى هَاجَرْنَ مَعَكَ وَٱمْرَأَةً مُّؤْمِنَةً إِن وَهَبَتْ نَفْسَهَا لِلنَّبِىِّ إِنْ أَرَادَ ٱلنَّبِىُّ أَن يَسْتَنكِحَهَا خَالِصَةً لَّكَ مِن دُونِ ٱلْمُؤْمِنِينَۗ قَدْ عَلِمْنَا مَا فَرَضْنَا عَلَيْهِمْ فِىٓ أَزْوَٰجِهِمْ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَٰنُهُمْ لِكَيْلَا يَكُونَ عَلَيْكَ حَرَجٌۗ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا 
Bermaksud: Wahai Nabi, sesungguhnya Kami telah halalkan bagimu isteri-isterimu yang engkau berikan maskahwinnya dan hamba-hamba perempuan yang engkau miliki dari apa yang telah dikurniakan Allah kepadamu sebagai tawanan perang dan (Kami telah halalkan bagimu berkahwin dengan sepupu-sepupumu' iaitu): Anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah bapa) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah bapa) dan anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah ibu) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah ibu) yang telah berhijrah bersama-sama denganmu dan (Kami telah halalkan bagimu) mana-mana perempuan yang beriman yang memberikan dirinya kepada Nabi (untuk
dikahwininya dengan tidak membayar mas kahwin) kalaulah Nabi suka berkahwin dengannya; perkahwinan yang demikian adalah khas bagimu semata-mata' bukan bagi orang-orang yang beriman umumnya; sesungguhnya Kami telah mengetahui apa yang Kami wajibkan kepada orang-orang mukmin mengenai isteri-isteri mereka dan hamba-hamba perempuan yang mereka miliki; - supaya tidak menjadi keberatan bagimu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Ahzaab:50).

Sebagaimana Ibnu al-'Arabi dan as-Suyuthi, Shah Waliyyullah juga menerima ayat ke-52 Surah al-Ahzaab dimansukhkan dengan ayat ke-50 dari Surah yang sama.

Menurut Shah Waliyyullah, walaupun ayat ke-50 tersebut dan dibaca dahulu di dalam al-Qur'an yang ada pada kita sekarang, ia tetap boleh menjadi naasikh bagi ayat ke-52, kerana yang dianggap sebagai syarat oleh para 'ulama' Usul untuk sesuatu dalil menjadi naasikh ialah terkemudiannya daripada segi nuzul (turun) kepada Nabi s.a.w. bukan terkemudiannya dalam bacaan dan tertib mushaf yang ada. Ini bererti, bagi mereka ayat ke-50 Surah al-Ahzaab itu turunnya kepada Nabi s.a.w. adalah kemudian daripada ayat ke-S2 Surah yang sama.
Oleh kerana ayat ke-50 turun kemudian daripada ayat ke-52, dan di dalam ayat ke-50, Allah menghalalkan 7 macam perempuan kepada NabiNya, sedangkan sebelum itu
sudah terdapat larangan Allah terhadap NabiNya daripada berkahwin seterusnya setelah mempunyai beberapa orang isteri, maka tidakkah terdapat pertentangan diantara dua ayat berkenaan? Untuk menghilangkan pertentangan itulah mereka mengatakan ayat yang melarang Nabi s.a.w. daripada berkahwin dengan perempuan-perempuan lain setelah isteri-isterinya yang sedia ada itu dimansukhkan. Dahulu memang pernah tidak dibenarkan Nabi s.a.w. berkahwin lagi, tetapi kemudiannya dibenarkan. Itu adalah satu bentuk kurniaan Allah kepada NabiNya. Mereka juga berpegang dengan atsar 'Aaishah  yang menyebutkan bahawa: 
مَا مَاتَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى أُحِلَّ لَهُ النِّسَاءُ
Bermaksud: Rasulullah s.a.w. tidak meninggal dunia sebelum dihalalkan kepadanya wanita-wanita lain selain mereka (isteri-isterinya yang sedia ada). 
(Atsar riwayat at-Tirmidzi, an-Nasaa'i, Ahmad, ad-Daarimi, Ibnu Hibbaan, al-Haakim, al-Baihaqi dan lain-lain).

Tirmidzi menghukumnya hasan sahih. Haakim menghukum nya sahih dan az-Zahabi menyetujuinya. Kenyataan 'Aaishah ini bagi mereka menunjukkan firman Allah didalam ayat ke-52 Surah al-Ahzaab telah dimansukhkan. Ia juga secara tidak langsung menunjukkan firman Allah di dalam ayat ke-50 diturunkan kemudian, maka ia layak dijadikan sebagai naasikh bagi ayat ke-52.

Walaupun Shah Waliyyullah dan orang-orang yang sependapat dengan beliau mentarjih ayat ke-52 dimansukhkan oleh ayat yang terdahulu daripadanya daripada segi bacaannya, iaitu ayat ke-50, namun jumhur 'ulama' berpendapat ia tidak mansukh. Tidak juga ayat ke-50 merupakan naasikhnya. Bagi mereka, ayat ke-52
merupakan lanjutan keterangan bagi ayat ke-50 dan ke-51 .

Setelah Allah memperincikan perempuan-perempuan yang dihalalkanNya untuk dikahwini NabiNya, dan sememangnya Nabi kita telah pun berkahwin dengan sebahagian daripada perempuan seperti tersebut di dalam ayat itu sebagaimana
dikehendaki Allah. Lalu Allah menyebutkan pula selepasnya bahawa engkau tidak boleh lagi berkahwin dengan perempuan-perempuan lain selain isteri-isterimu yang
sedia ada. Engkau juga tidak boleh menukar mereka dengan perempuan-perempuan lain, sekalipun - katakanlah - engkau tertarik hati kepada kecantikan mereka. Ini
kerana mereka memang telah teruji dan terbukti sebagai perempuan-perempuan terbaik untuk menjadi isterimu dunia akhirat. Inilah tafsir yang rajih menurut jumhur
'ulama'.

Bagi jumhur 'ulama', ayat ke-52 tidak boleh dikatakan mansukh sama ada dengan ayat ke-50 atau ke-51 atau dengan lain-lain dalil berupa hadits Rasulullah s.a.w.
kerana beberapa sebab berikut:
(a) Riwayat-riwayat daripada Ibnu 'Abbaas, Anas, Mujahid, ad-Dhahhaak, Qataadah,Ibnu Zaid, Ibnu Jarir dan lain-lain menyebutkan bahawa selepas berlakunya peristiwa
takhyir (bg pilih) kepada isteri-isteri Rasulullah s.a.w. lalu mereka tidak memilih dunia sebaliknya memilih Allah, RasulNya dan kehidupan akhirat, maka Allah sebagai balasan dan hadiah kepada pilihan mereka telah melarang NabiNya daripada berkahwin dengan perempuan- perempuan yang lain setelah isteri-isteri Baginda s.a.w. yang sedia ada. Nabi s.a.w. juga dilarang menggantikan mereka dengan isteri-isteri yang lain. Ini kerana mereka telah betul-betul teruji dan terbukti layak menjadi isteri-isteri Baginda bukan sahaja di dunia ini, malah hingga ke akhirat. Jadi ayat ke-52 itu bagi mereka sebenarnya merupakan balasan dan hadiah Allah kepada para isteri Rasulullah s.a.w. Dan adalah tidak wajar sama sekali mengatakan Allah menghapuskan dan menarik balik balasan dan hadiah yang pernah diberiNya kepada seseorang. (Lihat Tafsir Ruuh al-Ma'ani j.22 mls 65, Tafsir Ibnu Katsir j.6 mls 447,Tafsir ad-Dumr al-Mantsur j.6 m/s 637, Tafsir Abi as-Sa'ud j.7 m/s 111). 

Kerana itu al-'Allamah Mahmud al-Aaluusi berkata:
والظاهر على القول بان الآية نزلت كرامة  للمختارات وتطييبا لخو اطر هن وشكرا لحسن صنيعهن عدم النسخ والله تعالى أعلم
Bermaksud: Menurut pendapat orang-orang yang mengatakan ayat ini (ayat ke-52 Surah al-Ahzaab) turun sebagai penghormatan kepada isteri-isteri Rasulullah s.a.w. yang diberi pilihan (sama ada hendak memilih dunia atau memilih Allah, RasulNya dan kehidupan akhirat, lalu mereka memilih yang kedua), juga sebagai penghibur hati-hati mereka dan sebagai balasan kepada pilihan yang dibuat mereka, maka zahirnya ayat itu tidak dimansukhkan. والله تعالى أعلم (Lihat Tafsir Ruuh al-Ma'ani j.22 mls 67).

(b) Pendapat orang-orang yang mengatakan ayat ke-52 dimansukhkan oleh ayat ke-50 sebenarnya masih boleh dipertikaikan. Kerana ada juga riwayat daripada Ibnu
'Abbaas,  Qataadah dan lain-lain yang menyatakan sebaliknya, iaitu ayat ke-50 sebetulnya yang dimansukhkan oleh ayat ke-52. Tertib turunnya sama seperti tertib
yang terdapat di dalam mushaf. Ayat ke-50 diturunkan dahulu, kemudian baru ayat ke-52. Tiada dalil yang kukuh di sisi orang-orang yang mengatakan ayat ke-52 boleh
dimansukhkan oleh ayat ke-50, kerana walaupun ayat ke-50 tersebut dan dibaca dahulu di dalam al-Qur'an, tetapi ia diturunkan kemudian. Kalau ayat ke-52 diturunkan dahulu, kenapa pula ia dapat memansukhkan ayat ke-50 yang diturunkan kemudian?
Kenapa Ibnu 'Abbaas berkata: 
ونسخ سبحانه بذلك (أي بقوله لايحل لك النساء الخ ) ما أباحه له قبل من التوسعة في جميع النساء
Bermaksud: "Allah s.w.t memansukhkan dengannya (dengan firmanNya: لا يحل لك النساء dan seterusnya) apa yang telah diharuskan kepadanya (kepada NabiNya) sebelum itu berupa perkahwinan dengan semua macam perempuan (yang tersebut di dalam ayat ke-50 sebelumnya)?" 

Kenapa pula Mujahid dan Ibnu Jubair mentafsirkan من بعد  yang tersebut di dalam ayatke-52 dengan kata mereka:
 بعد إباحة النساء على العموم
Bermaksud: setelah diharuskan perempuan-perempuan (kepada Nabi s.a.w.) secara umum? 
(Lihat Tafsir Ruuh al-Ma'ani j.22 mls 65).

(c) Diriwayatkan daripada sekian ramai sahabat dan tabi'in, termasuk antara mereka Ubai bin Ka'ab, Ibnu 'Abbaas, 'Ikrimah, Abu Razin, ad-Dhahhaak, Qataadah, Hasan
al-Bashri dan lain-lain bahawa Allah menghalalkan kepada NabiNya berkahwin dengan 7 macam perempuan melalui ayat ke-50. 

7 macam perempuan yang dimaksudkan itu ialah: 
(i) Isteri-isteri Nabi s.a.w. yang telah dikahwini Baginda dengan membayar mas kahwinnya dengan sempurna. 
(ii) Hamba sahaya Baginda. 
(iii)Anak-anak perempuan bapa saudara Nabi 
(sebelah bapa). 
(iv) Anak-anak perempuan emak saudara Nabi 
(sebelah bapa). 
(v) Anak-anak perempuan bapa saudara Nabi
(sebelah ibu). 
(vi) Anak-anak perempuan emak saudara Nabi (sebelah ibu) dengan syarat semua mereka (sepupu-sepupu atau kerabat Rasulullah s.a.w. itu) juga telah berhijrah seperti Nabi. 
(vii) Mana-mana perempuan yang beriman yang memberikan dirinya kepada Nabi (untuk dikahwininya dengan tidak membayar mas kahwin).

Melalui ayat ke-52 pula Allah tidak menghalalkan NabiNya berkahwin dengan perempuan-perempuan yang tidak termasuk dalam salah satu daripada 7 macam
perempuan yang telah tersebut di dalam ayat ke-50 sebelumnya. Melalui ayat ke-52 juga Allah tidak menghalalkan kepada NabiNya menggantikan isteri- isterinya yang sedia ada dengan menceraikan mereka, lalu berkahwin dengan perempuan-perempuan lain sebagai ganti mereka, walaupun ia termasuk dalam macam perempuan yang dihalalkan Baginda berkahwin dengannya. Ini bererti apa yang tidak dihalalkan kepada Nabi s.a.w. ialah mengahwini perempuan-perempuan lain dengan
menceraikan mana-mana isteri Baginda yang sedia ada. Kalau tanpa menceraikan mana-mana isteri yang sedia ada, boleh saja Nabi s.a.w. berkahwin dengan siapapun yang disukai Baginda, asalkan ia termasuk dari kalangan 7 macam perempuan yang dibenarkan Baginda berkahwin dengannya. Ini terbukti berdasarkan fakta sejarah
yang menunjukkan Nabi s.a.w. masih lagi berkahwin selepas turun ayatke-52 Surah al-Ahzaab itu. Sebagai contohnya pada tahun ke-7 Hijrah, Rasulullah s.a.w.
berkahwin lagi dengan Maimunah binti al-Haarits.
Selain itu, riwayat yang dikemukakan oleh as-Suyuthi daripada Ziad melalui sekian ramai tokoh-tokoh hadits juga tidak menyokong ayat ke-52 dimansukhkan. 
Lihat riwayat berkenaan di bawah ini:
أخرج الفرْيَابِيّ والدارمي وَابْن سعد  وَعبدالله بن أَحْمد فِي زَوَائد الْمسند جرير وَابْن أبى حَاتِم وَابْن مرْدويه والضياء فِي المختارة عن 
زِيَاد رَضِي الله عَنهُ قَال: قلت لأبي رَضِي الله عَنهُ: أَرَأَيْت لَو أَن ازواج النَّبِي صلى الله علَيهِ وَسلم متن أما لَهُ ضربا من النِّسَاء وَوصف لَهُ صفة فَقَالِ{ يَا أُيهَا النِّبِي إِنَّا أَحللنَا لَك أَزوَاجك} الْأحْزَاب الْآية 50 إِلَى قَوْله {وَامْرَأَة مُوْمنَة} ثمِّ قَالَ {لَا يحل لكء من بعد} هَذِه الصّفة
Bermaksud: Kata Ziad, aku bertanya Ubai (bin Ka'ab r.a): "Bagaimana kalau isteri-isteri Nabi (yang sedia ada) meninggal dunia, tidak halalkah (iuga) Rasulullah s.a.w.
berkahwin (lagi sebagai ganti mereka)?" Jawab Ubai, "Apa yang menghalang Baginda daripadanya?" Kataku, "Firman Allah: لَا يحل لك النِّساء من بعد(Tidak halal bagimu berkahwin dengan perempuan- perempuan yang lain sesudah isteri-isterimu yang ada itu)." Kata Ubai, "Sebenarnya Allah telah menghalalkan kepada Baginda beberapa macam perempuan, sifat-sifatnya juga) disebut Allah menerusi firmanNya:يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِىُّ إِنَّآ أَحْلَلْنَا لَكَ iaitu ayat ke-50 surah a!-Ahzaab hingga firmanNya. وَٱمْرَأَةً مُّؤْمِنَةً .Kemudian beliau (Ubai) berkata (sebagai mentafsirkan perkataan من بعد yang tersebut di dalam firman Allah): لَا يحل لك النِّساء من بعد bahawa ia bermaksud: Tidak halal bagimu berkahwin dengan perempuan- perempuan yang lain selain daripada yang telah disebutkan sifat-sifatnya sebelum itu (di dalam ayat ke-50)."
(Lihat Tafsir ad-Durr al-Mantsur j.6 m/s 636). 

Al-Ahzab 33:50
يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِىُّ إِنَّآ أَحْلَلْنَا لَكَ أَزْوَٰجَكَ ٱلَّٰتِىٓ ءَاتَيْتَ أُجُورَهُنَّ وَمَا مَلَكَتْ يَمِينُكَ مِمَّآ أَفَآءَ ٱللَّهُ عَلَيْكَ وَبَنَاتِ عَمِّكَ وَبَنَاتِ عَمَّٰتِكَ وَبَنَاتِ خَالِكَ وَبَنَاتِ خَٰلَٰتِكَ ٱلَّٰتِى هَاجَرْنَ مَعَكَ وَٱمْرَأَةً مُّؤْمِنَةً إِن وَهَبَتْ نَفْسَهَا لِلنَّبِىِّ إِنْ أَرَادَ ٱلنَّبِىُّ أَن يَسْتَنكِحَهَا خَالِصَةً لَّكَ مِن دُونِ ٱلْمُؤْمِنِينَۗ قَدْ عَلِمْنَا مَا فَرَضْنَا عَلَيْهِمْ فِىٓ أَزْوَٰجِهِمْ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَٰنُهُمْ لِكَيْلَا يَكُونَ عَلَيْكَ حَرَجٌۗ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا 
Wahai Nabi! Sesungguhnya Kami telah menghalalkan bagimu istri-istrimu yang telah engkau berikan maskawinnya dan hamba sahaya yang engkau miliki, termasuk apa yang engkau peroleh dalam peperangan yang dikaruniakan Allah untukmu, dan (demikian pula) anak-anak perempuan dari saudara laki-laki bapakmu, anak-anak perempuan dari saudara perempuan bapakmu, anak-anak perempuan dari saudara laki-laki ibumu dan anak-anak perempuan dari saudara perempuan ibumu yang turut hijrah bersamamu, dan perempuan mukmin yang menyerahkan dirinya kepada Nabi kalau Nabi ingin menikahinya, sebagai kekhususan bagimu, bukan untuk semua orang mukmin. Kami telah mengetahui apa yang Kami wajibkan kepada mereka tentang istri-istri mereka dan hamba sahaya yang mereka miliki agar tidak menjadi kesempitan bagimu. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.

Demikian juga dinukilkan oleh al-Baghawi dan al-Qurthubi di dalam Tafsir mereka.

Kata al-Baghawi:
وَقَالَ عِكْرِمَةُ وَالصَّحَّاكُ: مَعْنَى الْآيَةِ لَا يحل لك النِّساء إِلَّا اللَّاتِي  أَحْلَلْنَا لَكَ وَهُوَ قَوْلُهُ:إِنَّآ أَحْلَلْنَا لَكَ أَزْوَٰجَكَ[الأحزاب:50] لَا يحل لك النِّساء من بعد إِلَّا اللَّاتِي بِالصِّفَةِ الَّتِي تَقَدَّمَ ذِكْرُهَا
Bermaksud: kata 'Ikrimah dan ad-Dhahhaak, "Ma'na ayat(ke-52) ialah tidak halal kepadamu perempuan- perempuan selain daripada mereka yang telah Kami halalkan untukmu, iaitu (menerusi) firmanNya dalam ayat ke-50 Surah al-Ahzaab. Kemudian Allah berfirman: "Tidak halal kepadamu selepas itu kecuali perempuan-perempuan
yang telah Kami halalkan untukmu dengan sifat yang tersebut sebelumnya (di dalam ayat ke-50). (Lihat Tafsir al-Baghawi j.3 mis 654).

Kata al-Qurthubi (m.671H) sebagai mentafsirkan perkataan  من بعد yang tersebut di dalam firman Allah):
لَا يحل لك النِّساء من بعد:
 أَيْ مِنْ بَعْدِ الْأَصْنَافِ الَّتِي سُمِّيَتْ، قَالَهُ أُبَيُّ بْنُ كَعْبٍ وَعِكْرِمَةُ وَأَبُو رَزِينٍ، وَهُوَ اخْتِيَارُ مُحَمِّدِ بْنِ جَرِيرٍ 
Bermaksud: Ertinya ialah selain daripada perempuan- perempuan dengan sifat-sifat yang telah disebutkan. Itulah pendapat Ubai bin Ka'ab. 'lkrimah dan Abu Razin dan
itulah pendapat pilihan Muhammad bin Jarir at-Thabari. (Lihat Tafsir al-Qurthubi j.14 mls 220).

Riwayat Ubai yang dikemukakan di atas menunjukkan tidak ada pertentangan diantara ayat ke-50 dan ke-52, sehingga memaksa kita mengatakan salah satu daripadanya dimansukhkan. Yang tidak dihalalkan oleh Allah kepada Nabinya berkahwin menerusi ayat ke-52 hanyalah perempuan yang tidak termasuk dalam salah
satu daripada 7 macam perempuan yang disebut Allah di dalam ayat ke-50. Adapun dengan mereka, maka boleh saja Baginda berkahwin, jika Baginda mahu. Baginda juga tidak dihalalkan mengahwini mana-mana perempuan yang termasuk dalam salah satu daripada 7 macam perempuan yang halal dikahwini Baginda, kalau dengan mencerai mana-mana isteri yang sedia ada dengan maksud dan tujuan menukar isteri semata-mata. Dalam keadaan tidak mencerai mana-mana isteri yang sedia ada, sebaliknya kerana kematian sebagai contohnya, Baginda tetap dibenarkan berkahwin dengan sesiapa sahaja daripada mereka jika Baginda mahu. Tidak ada sebarang
halangan kepada Nabi s.a.w. untuk berkahwin dalam keadaan ini, walaupun dengan maksud menggantikan isterinya yang telah meninggal dunia itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan