Asas(usul) Tafsir 17vi (02)
(19) Firman Allah di dalam Surah al-Mujadilah ayat ke-12 juga mansukh menurut kebanyakan 'ulama'. Lihat ayat berkenaan di bawah ini:
Al-Mujadila 58:12
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا نَٰجَيْتُمُ ٱلرَّسُولَ فَقَدِّمُوا۟ بَيْنَ يَدَىْ نَجْوَىٰكُمْ صَدَقَةًۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ لَّكُمْ وَأَطْهَرُۚ فَإِن لَّمْ تَجِدُوا۟ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu hendak mengadap dan bertanyakan sesuatu kepada Rasulullah, maka hendaklah kamu bersedekah (kepada
fakir miskin) sebelum kamu mengadapnya; (pemberian sedekah) itu adalah lebih baik bagi kamu dan lebih bersih. Dalam pada itu, kalau kamu tidak ada benda yang hendak
disedekahkan, (kamu dibenarkan juga mengadapnya mengenai perkara yang tak dapat dielak), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Mujaadilah:12).
Ia bagi mereka dimansukhkan dengan ayat selepasnya, iaitu ayat ke-13 Surah yang sama. Lihat ayat berkenaan di bawah ini:
Al-Mujadila 58:13
ءَأَشْفَقْتُمْ أَن تُقَدِّمُوا۟ بَيْنَ يَدَىْ نَجْوَىٰكُمْ صَدَقَٰتٍۚ فَإِذْ لَمْ تَفْعَلُوا۟ وَتَابَ ٱللَّهُ عَلَيْكُمْ فَأَقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُوا۟ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥۚ وَٱللَّهُ خَبِيرٌۢ بِمَا تَعْمَلُونَ
Bermaksud: Adakah kamu takut (akan kemiskinan) kerana kerap kali kamu memberi sedekah sebelum kamu mengadap? Kalau kamu tidak melakukan (perintah) itu dan
Allah pun memaafkan kamu (kerana kamu tidak mampu). maka dirikanlah sembahyang dan berikanlah zakat (sebagaimana yang sewajibnya), serta ta'atlah
kamu kepada Allah dan RasulNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNyakan segala amalan yang kamu lakukan. (al-Mujaadilah:13).
Shah Waliyyullah juga seperti Jalaluddin as-Suyuthi bersetuju dengan jumhur 'ulama' dalam menerima ayat ke-12 sebagai mansukh dan ayat yang memansukhkannya pula ialah ayat ke-13 selepasnya.
Sesetengah 'ulama' berpendapat, ayat ke-12 mengandungi hukum wajib memberi sedekah kepada fakir miskin sebelum mengadap Nabi s.a.w. dan sebelum bertanya
kepadanya tentang sesuatu. Hukum wajib seperti itu berlaku hanya sekejap sahaja. Kemudian ia ditamatkan. Memberi sedekah sebelum mengadap Nabi s.a.w. dan
bercakap-cakap dengan Baginda tidak lagi merupakan suatu yang wajib, ia hanya dikekalkan sebagai suatu yang mustahab (elok dilakukan) sahaja. Perubahan seperti
itu tidak lebih daripada perubahan sifat hukum semata-mata, ia boleh dikatakan nasakh hanya menurut istilah mutaqaddimin. Adapun menurut istilah muta'akkhirin, perubahan seperti itu masih tidak termasuk dalam bab nasakh. Ia bahkan termasuk dalam bab takhshish (تخصيص).
Menurut al-Marhum Maulana Husain 'Ali yang dianggap sebagai Syeikh at-Tafsir di Pakistan, ayat ke-12 Surah al-Mujaadilah itu dari awal lagi tidak mengandungi
perintah wajib. la dari awal lagi hanya mengandungi perintah yang memberi erti istihbab. Dan hingga ke akhir, perbuatan memberi sedekah sebelum mengadap Nabi
s.a.w. dan bercakap-cakap dengan Baginda dikekalkan sebagai mustahab. Jadi tidak ada ruang langsung untuk dikatakan ia telah mansukh. (Lihat Maulana Ghulamullah
Khan - Taftir Jawahirul Qur'an j.3 m/s 1235).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan