Isnin, Disember 12, 2022

Tafsir asas quran nota 9(302)279-311s 18(01)


Asas(usul) tafsir 18 (01)

(18) Mengelakan Diri  Tafsir yang Sesat
Usul ke-18 ini  mengelakkan diri daripada tafsir ahli bidah atau golongan-golongan yang sesat الا جتناب عن تفسير الفرق الصالة dan juga golongan-golongan Islam  di zaman moden yang terpengaruh dengan ideologi-ideologi dan falsafah-falsafah bukan Islam.

Ahli bid'ah atau golongan-golongan yang sesat adalah orang-orang yang mengaku beragama Islam. sedangkan 'aqidahnya terpesong dan terseleweng daripada ajaran Islam sebenar. Mereka terdiri daripada golongan Khawarij, Syi'ah-Syi'ah yang melampau (Rawafidh), Jahmiyyah. Mutazilah, Qadariyyah, Jabriyyah,Murji'ah, Batiniah, Anti hadits dan lain-lain.

Golongan-golongon Islam di zaman moden yang terpengaruh dengan ideologi-ideologi dan falsafah-falsafah bukan Islam pula mungkin terdiri daripada pendokong-pendokong Sosialisma, Komunisma, Sekularisma, Qadianisma, Liberalisme, Pluralisma dan lain-lain.

Dalam keadaan sudah ada tafsiran-tafsiran daripada para sahabat, tabi'in dan para ulamak  mutabar yang bijaksana dan saleh dari kalangan Ahli as-Sunah Wal-Jamaah, tafsiran-tafsiran golongan-golongan menyeleweng yang disebutkan tadi langsung tidak diperlukan lagi.

Pada dasarnya masing-masing golongan yang sesat dan menyeleweng itu sudah pun mempunyai kepercayaan dan tanggapan sendiri, lalu untuk memperkuatkan pegangan mereka, ayat-ayat tertentu dita'wilkan supaya kelihatan bersesuaian dengannya. Antara golongan sesat yang paling banyak melakukan ta'wilan-tawilan terhadap ayat-ayat al- Qur'an untuk menguatkan fahman mereka dan membenarkan amalan-amalan mereka ialah puak-puak Batiniah dan Syiah.

Puak-puak Batiniah itu banyak pula pecahan dan alirannya. Termasuklah antara mereka golongan Qaramithah dan sufi yang melampau. Mereka ini mempunyai apa yang dinamakan sebagai tafsir batin' atau tafsir isyari.  Tafsir yang baik semestinya tidak mengandungi tafsir-tafsir seperti itu.

Ahli tafsir Sunni yang bijaksana sudah tentu tidak akan terpengaruh dengannya dan seterusnya tentu sekali tidak akan memberi ruang untuk tafsir-tafsir seperti itu di dalam tafsirnya.

Penulis sama sekali tidak bermaksud menyatakan semua tafsir isyari itu langsung tidak ada kebenaran dan kebaikannya. Apa yang dimaksudkan ialah banyak daripadanya sememangnya mengarut dan langsung tidak berasas. Maka pentafsir hendaklah berwaspada
 terhadapnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan