Asas(usul) Tafsir 18 (13)
(b) Penyelewengan Oleh golongan Ahlul Ahwaa' Wa al-Bida' (Ahli Biďah).
Ahli Bid'ah yang dimaksudkan di sini ialah orang-orang yang pada dasarnya berpegang dengan ajaran dan fahaman Ahlu as-Sunnah Wa al-Jama'ah, mereka bahkan menda'wa lebih sunnah daripada orang-orang lain, namun mereka juga sebenarnya telah terpesong daripada landasan Ahlu as-Sunnah Wa al-Jama'ah kerana mempercayai beberapa bid'ah, mengamalkannya serta menganjurkan masyarakat supaya menghidupkannya secara terbuka.
Untuk menegakkan pegangan mereka, golongan ini tidak teragak-agak mentawil ayat-ayat alQur'an secara sewenang-wenang supaya ia kelihatan membenarkannya. Mereka juga seringkali menyebarkan hadits-hadits palsu untuk tujuan yang sama. Golongan ini seperti golongan naturalis, rasionalis dan liberalis juga tidak mempunyai kitab tafsir yang lengkap dan sempurna dalam bahasa 'Arab. Apa yang ada hanyalah tafsiran terhadap beberapa ayat al-Quran yang ditulis di dalam buku-buku atau artikal-artikal tertentu di bawah tajuk dan topik yang pelbagai.
Berikut dikemukakan beberapa sahaja daripada contoh-contohnya:
(1) Firman Allah di bawah nanti dijadikan dalil oleh golongan ini untuk membuktikan keharusan bahkan keelokan membina masjid di atas kubur, selain membina kubah dan juga binaan khusus yang kukuh di atasnya. Lihat firman Allah berkenaan:
Al-Kahf 18:21
وَكَذَٰلِكَ أَعْثَرْنَا عَلَيْهِمْ لِيَعْلَمُوٓا۟ أَنَّ وَعْدَ ٱللَّهِ حَقٌّ وَأَنَّ ٱلسَّاعَةَ لَا رَيْبَ فِيهَآ إِذْ يَتَنَٰزَعُونَ بَيْنَهُمْ أَمْرَهُمْۖ فَقَالُوا۟ ٱبْنُوا۟ عَلَيْهِم بُنْيَٰنًاۖ رَّبُّهُمْ أَعْلَمُ بِهِمْۚ [قَالَ ٱلَّذِينَ غَلَبُوا۟ عَلَىٰٓ أَمْرِهِمْ لَنَتَّخِذَنَّ عَلَيْهِم مَّسْجِدًا]
Maksudnya: Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya orang-orang itu mengetahui bahawa janji Allah menghidupkan semula orang mati adalah benar dan bahawa hari kiamat itu tidak ada sebarang syak padanya; pendedahan itu berlaku semasa orang-orang itu berbantahan sesama sendiri mengenai perkara hidupnya semula orang mati. Setelah itu maka (sebahagian dari) mereka berkata: Dirikanlah sebuah bangunan di atas (gua) mereka. Allah jualah yang mengetahui akan hal ehwal mereka. [Orang-orang yang berkuasa atas utusan mereka (pihak raja) pula berkata: Sebenarnya kami hendak membina sebuah masjid di atas mereka]. (alKahf:21)
Kata mereka, "Orang-orang yang hendak membina masjid di atas kubur Ashabul Kahfi itu adalah orang-orang Nashara berdasarkan apa yang tersebut di dalam kitab-kitab tafsir Ini bererti keharusan membina masjid di atas kubur itu termasuk salah satu ajaran mereka. Dan menurut Usul Fiqh, syariat umat dahulu juga merupakan syariat untuk kita, apabila Allah menyebutnya tanpa membuat apa-apa teguran terhadapnya. Demikianlah halnya dengan membina
masjid di atas kubur Ashabul Kahfi yang tersebut di dalam ayat ke-21 Surah al-Kahfi di atas. Allah tidak ada menegur langsung kehendak mereka itu, sama ada di dalam ayat itu atau di dalam ayat-ayat yang lain."
Abul Faidh Ahmad bin as-Shiddiq al-Ghumari telah menulis satu risalah khusus tentang keharusan bahkan keelokan membina masjid dan kubah-kubah di atas kubur, khususnya kubur orang-orang saleh. Risalahnya itu bernama: إحياء المقبور من استحباب بناء المساجد و القباب على القبور. Di dalam risalah itu beliau telah berdalil dengan ayat ke-21 Surah al-Kahfi di atas tentang keharusan dan keelokan membina masjid dan kubah-kubah di atas kubur. Katanya: "Dalilnya daripada ayat ini ialah Allah tidak menolak dan menegur kata-kata mereka (hendak membina masjid di atas kubur Ashabul Kahfi), sebaliknya Dia telah memperakuinya."
(Ihyaa' al-Maqbur:51 ).
Para 'ulama' Sunni dari dahulu hingga sekarang telah mengkritik keras orang-orang yang berdalil dengan ayat ke-21 Surah al-Kahfi di atas tentang keharusan dan keelokan membina masjid dan kubah-kubah di atas kubur. Bagi mereka orang-orang yang berpendapat begitu sebenarnya termasuk dalam golongan ahli bid'ah.
Maulana Abul Kalam Azad dan Asy-Syeikh al-Albani adalah antara tokoh zaman mutakkhir yang telah mengkritik pemahaman ahli bid'ah dalam masalah ini. Lihat kritikan Abul Kalam Azad di dalam "Tabarrukaat Azad" oleh Maulana Ghulam Rasul Meher m/s 240-317. Dan lihat pula kritikan Al-Albani di dalam bukunya تحذير الساجد من اتخاذ القبور مساجد m/s 55-56.
Agak lama sebelum mereka telah berlalu seorang tokoh tafsir terkenal, al-'Allamah Mahmud al-Aalusi (m. 1270H). Beliau juga telah mengkritik ahli bid'ah yang berpendapat begitu. Kata beliau di dalam tafsirnya yang masyhur "Ruh al-Maani": "Ayat ke-21 Surah al-Kahfi itu dijadikan dalil tentang keharusan membina masjid di atas kubur orang-orang saleh dan keharusan bersembahyang di dalamnya. Ini adalah pendapat yang karut dan kosong daripada kebenaran. la juga pendapat yang rosak dan meleset.
Imam Ahmad, Abu Daud, Tirmizi, Nasaa'i dan Ibnu Majah meriwayatkan daripada Ibnu 'Abbaas, kata beliau. Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
لعن الله زائرات القبور والمتخذين عليها المساجد وابسرج
Bermaksud: "Allah mela'nat orang-orang perempuan yang berziarah ke kubur dan orang-orang yang membuat masjid di atas kubur dan juga orang-orang yang memasang lampu di atasnya."
Di dalam riwayat Muslim terdapat tambahan begini:
ألا وإن من قبلكم كانوا يتخذون قبور أنبيائهم مساجد فإنى أنهاكم عن ذلك
Bermaksud: "Ketahuilah! Sesungguhnya orang-orang
sebelum kamu telah menjadikan kubur-kubur para nabi mereka sebagai masjid. Sesungguhnya aku melarang kamu daripada perbuatan seperti itu."
Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
لعن الله اليهود وابنصارى اتخذوا قببور أنبيائهم مساجد
Bermaksud: Allah mela'nat orang-orang Yahudi dan
Nashara (kerana) mereka telah menjadikan kubur nabi-nabi mereka sebagai masjid."
Setelah itu beliau berkata: "Kesimpulannya, tidaklah patut orang yang ada padanya sedikit pun petunjuk berpegang dengan sesuatu yang bercanggah dengan apa yang tersebut di dalam hadits-hadits yang sahih dan atsar-atsar yang terang, semata-mata kerana berpegang dengan ayat itu. Kerana perbuatan seperti itu sesatnya dan terlalu menunjukkan kurangnya akal ..."
(Ruh al-Maani j.15 m/s 238-239).
Hadits-hadits yang semakna dengan hadits-hadits yang dikemukakan oleh al-Aalusi itu sangatlah banyak. la terbilang sebagai salah satu hadits yang mutawatir maknanya. Dengan adanya hadits-hadits sahih yang sampai ke peringkat mutawatir itu bolehkah anda berkata lagi bahawa Allah memperakui keinginan orang-orang yang hendak membina masjid di atas kubur Ashabul Kahfi?
Bolehkah anda berkata lagi setelah Nabi s.a.w. bersabda begitu bahawa Allah tidak menolak dan tidak menegur perbuatan mereka? Dengan adanya hadits-hadits mutawatir yang menyatakan laknat dan kutukan Allah terhadap orang-orang dahulu yang membina masjid di atas kubur orang-orang saleh, bolehkan anda berkata lagi bahawa perbuatan itu merupakan syariat nabi-Nabi sebelum Nabi Muhammad s.a.w., dan ia juga merupakan syariat yang masih boleh dipakai oleh kita semua??
Tiada ulasan:
Catat Ulasan