Asas(usul) Tafsir 19 (04).
Jika diperiksa dengan cermat, anda akan mendapati riwayat-riwayat Israiliyyat itu tidak sama keadaannya. la terbahagi kepada beberapa macam dan bahagian. Kerana itu hukumnya juga berbeza sesuai dengan bahagian- bahagiannya yang berbeza-beza itu. Di bawah ini dikemukakan sedikit perinciannya:
(1) Mana-mana riwayat Israiliyyat yang bersesuaian dan bertepatan dengan syariat Muhammad s.a.w. di samping diketahui pula kebenarannya berdasarkan keterangan al-Qur'an dan as-Sunnah, maka tiada perselisihan di kalangan 'ulama' tentang keharusan menerimanya dan bercerita tentangnya. Cuma untuk apa lagi kita menerimanya dan bercerita tentangnya kalau ia sudah pun jelas ada dalam syariat kita?
(2) Riwayat Israiliyyat yang bercanggah dengan apa yang diketahui dan diterima dalam syariat Islam, dustanya diketahui berdasarkan keterangan al-Qur'an, as-Sunnah atau pun aqal yang sejahtera, sama sekali tidak boleh diterima, disebar dan dinukilkan dengan apa cara sekalipun.
(3) Riwayat Israiliyyat yang tidak bercanggah dengan syariat yang dibawa oleh Nabi kita Muhammad s.a.w. dan tidak juga menepatinya. Bahkan ia termasuk dalam perkara yang tidak disebutkan baik di dalam al-Qur'an mahupun as-Sunnah, maka hukumnya ialah kita dikehendaki bertawaqquf (tidak berkata apa-apa) terhadapnya. Kita dikehendaki tidak membenarkannya dan juga tidak mendustakannya. Hukum menghikayatkannya adalah harus.
Daripada perbincangan yang lalu dapat disimpulkan bahawa kita umat Islam tidak memerlukan kepada riwayat-riwayat Israiliyyat, bukan sahaja dalam tafsir bahkan juga dalam bidang-bidang yang lain. Jauh sekali daripada keperluan bergantung terus dengannya! Daripada hadits-hadits dan keterangan para ulama', riwayat-riwayat Israiliyyat itu paling tinggi pun hanya harus (boleh) diambil dan bercerita tentangnya sahaja. Tidak timbul langsung soal wajib menerimanya. Keharusan menerima dan bercerita tentangnya pula bersyarat seperti telah disebutkan sebelum ini. Maka tidak benar sama sekali pendapat orang-orang yang mengatakan, "Kita memerlukan riwayat-riwayat Israiliyyat dalam tafsir!”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan