Asas(usul) Tafsir 19 (05).
Beberapa Peringatan Penting Berhubung Dengan Riwayat-Riwayat Israiliyyat.
Setelah nyata kepada anda hukum menerima dan meriwayatkan riwayat-riwayat Israiliyyat, maka eloklah beberapa perkara berikut diketahui dan dijadikan sebagai panduan oleh pelajar-pelajar Ilmu Tafsir:
(1) Pelajar-pelajar tafsir hendaklah sentiasa sedar dan prihatin terhadap riwayat-riwayat Israiliyyat yang ditemuinya. Mereka hendaklah memastikan apa yang bersesuaian dengan syariat Islam dan apa yang bertentangan dengannya daripada riwayat-riwayat itu. Mana yang bersesuaian boleh diambil dan mana yang bertentangan dibuang saja. Tidak perlulah tafsir dihiasi dengan riwayat-riwayat Israiliyyat yang karut itu. Adapun perkara-perkara yang tidak pernah disebut tentangnya di dalam al-Qur'an dan as-Sunnah, maka biasanya tidak ada sebarang faedah padanya untuk dunia dan agama kita. Ia juga tidak termasuk dalam perkara yang diperlukan dalam tafsir. Sekadar bercerita tentangnya memanglah diharuskan, tetapi ia bukanlah sesuatu yang diperlukan dalam tafsir dan juga dalam kehidupan beragama umat Islam.
AI-Imam Ibnu Taimiyyah berkata mengenainya: "Riwayat-riwayat Israiliyyat daripada bahagian ini (yang tidak pernah disebut tentangnya di dalam al-Qur'an dan as-Sunnah biasanya tidak ada sebarang faedahnya untuk urusan agama kita. Biasanya terdapat banyak sekali khilaf berkenaannya di kalangan Ahlil Kitab sendiri pun. Sebab itulah khilaf tentangnya dinukilkan juga daripada para mufassirin. Sebagai contohnya apa yang mereka sebutkan berkenaan dengan nama-nama Ashaabul Kahfi, warna anjing mereka, tongkat Nabi Musa a.s. kayunya daripada pokok apa? Demikian juga nama-nama burung yang Allah telah hidupkan untuk Nabi Ibrahim, bahagian anggota lembu - secara pasti - yang diperintah Allah supaya disembelih dan dipukul dengannya orang yang terbunuh dan tidak diketahui siapa pembunuh sebenarnya di zaman Nabi Musa a.s., supaya diketahui siapa pembunuh sebenarnya, pokok yang Nabi Musa mendengar suara Allah bercakap dengannya, daripada jenis apakah ia? Dan lain-lain perkara yang tidak disebut oleh Allah tentangnya dengan terang dan jelas. Sebenarnya tidak ada langsung faedah yang diperolehi manusia mukallaf baik untuk dunia mahupun agama mereka dengan mengetahui secara pasti apa yang tersebut itu. Bagaimanapun menukilkan khilaf daripada riwayat-riwayat Israiliyyat mengenainya adalah harus.” (Lihat Fatawa Ibnu Taimiyyah j. 13 m/s 367).
(2)Jalan yang paling baik dan selamat untuk dipilih oleh pentafsir al-Qur'an ialah ia tidak memasukkan ke dalam tafsirnya sedikit pun daripada riwayat-riwayat Israiliyyat itu. Sebaliknya ia hendaklah tidak menghiraukannya langsung. Kerana pada kebiasaannya tidak ada apa-apa faedah pun padanya. Dan menahan diri daripada sesuatu yang tidak berfaedah itu adalah satu langkah yang bijaksana. Jika diandaikan ada sedikit faedah pada menyebutnya sesuai dengan tempat-tempat yang agak mendesak keperluan menyebutnya, maka eloklah ia disebut sekadar sahaja. Tidak perlulah berjela-jela bercerita tentangnya.
(3)Antara perkara yang wajib dijaga oleh pentafsir ialah tidak menukilkan riwayat-riwayat Israiliyyat dalam mentafsirkan sesuatu ayat al-Qur'an yang mujmal (ringkas dan tidak begitu jelas maksudnya), setelah ada riwayat yang sahih daripada Nabi s.a.w. mengenainya. Sebagai contohnya firman Allah berikut:
Sad 38:34 وَلَقَدْ فَتَنَّا سُلَيْمَٰنَ وَأَلْقَيْنَا عَلَىٰ كُرْسِيِّهِۦ جَسَدًا ثُمَّ أَنَابَ
Bermaksud: Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji Nabi Sulaiman (dengan satu kejadian) dan Kami letakkan di atas takhta kebesarannya satu jasad (yang tidak cukup sifatnya), kemudian dia kembali (merayu kepada Kami). (Shaad:34).
Di dalam hadits yang sahih daripada Abu Hurairah terdapat keterangan mengenainya. la menyebutkan bahawa Nabi Sulaiman a.s. pernah berkata, ”Malam ini aku pasti akan pergi kepada tujuh puluh orang (menurut satu riwayat Iain sembilan puluh orang) perempuan dengan tujuan setiap orang daripadanya akan melahirkan seorang pejuang yang hebat di jalan Allah. Baginda tidak berkata: إن شاء الله . Lalu pergilah Baginda kepada mereka tetapi hanya seorang sahaja daripadanya mengandung. Dan ia (seorang yang mengandung itu) akhirnya melahirkan seorang
anak yang tidak cukup sifatnya (cacat), Nabi s.a.w. bersabda: "Demi Tuhan yang nyawaku berada di tanganNya, kalaulah Nabi Sulaiman berkata, insyallah niscaya semua sekali mereka melahirkan anak-anak yang menjadi pejuang-pejuang yang hebat di jalan Allah.
(Hadits riwayat Bukhari, Muslim. Ahmad dan an-Nasaa'i).
Setelah ada hadits sahih ini anda tidak memerlukan lagi kepada dongeng-dongeng yang terdapat di dalam riwayat-riwayat Israiliyyat. Antaranya ialah riwayat Israiliyyat yang menyebutkan tentang kisah syaitan yang ganas berjaya merampas kuasa daripada Nabi Sulaiman setelah ia berjaya mengambil cincin sakti Baginda as, Syaitan buat beberapa lama bertakhta di atas singgahsana Nabi Sulaiman, sehinggalah pada akhirnya setelah Nabi Sulaiman mendapat kembali cincin saktinya, barulah Baginda mendapat kembali kerajaannya.
Kisah itu walaupun telah dikemukakan oleh an-Nasaa'i, lbnu Jarir, Ibnu Abi Haatim, dan asSuyuthi dengan sanad yang kuat daripada Ibnu 'Abbaas, namun seperti kata Abu Hayyaan dan Iain-lain. 'Ia adalah hasil rekaan orang-orang Yahudi dan puak-puak zindiq Sufistha'i. Tidak sepatutnya orang-orang yang berakal menerimanya sebagai satu kisah yang benar." (Lihat Tafsir Ruhul Ma'anij.23 mis 199, Tafsir Ibnu Katsirj.7 m/s 60).
As-Suyuthi sendiri telah mendedahkan punca dan kedudukan riwayat lbnu 'Abbaas itu didalam ad-Durru al-Mantsurnya begini: "Abdur Razzaaq dan Ibnu al-Mundzir mengemukakan satu riwayat daripada Ibnu 'Abbaas, kata beliau: "Empat ayat di dalam Kitab Allah, aku tidak mengetahui apa cerita dan latar belakangnya sehinggalah aku bertanya tentangnya Ka'ab al-Ahbaar. Salah satu daripadanya ialah tentang ayat ke-34 Surah Shaad tadi. Kata beliau, "Syaitan telah mengambil cincin (saki) yang membuatkan Sulaiman dapat berkuasa. Ia mencampaknya ke dalam laut lalu ia ditelan seekor ikan. Setelah itu Sulaiman menjadi pengemis. Ketika meminta sedekah, tiba-tiba disedekahkan kepada Sulaiman ikan yang di dalam perutnya ada cincin (sakti) itu. Ikan itu dibakar oleh Sulaiman dan dimakannya. Di dalam perut ikan itulah ditemui cincin tersebut. Dengan mendapat kembali cincinnya, Sulaiman kemudiannya telah mendapat kembali kerajaannya. (Lihat ad-Durru al-Mantsurj.7 m/s 1 80 dan Tafsir 'Abdur Razzaaq j.3 m/s 165).
Riwayat as-Suyuthi ini jelas menunjukkan Ibnu Abbaas tidak mengambilnya daripada Nabi s.a.w., sebaliknya beliau telah menerimanya daripada Kaab al-Ahbaar. Salah satu punca riwayat-riwayat Israiliyyat.
(4) Antara sikap yang perlu ada pada pentafsir ialah berhati-hati terhadap apa yang dikemukakan oleh pentafsir-pentafsir terdahulu berupa riwayat-riwayat Israiliyyat. Mereka kadang-kadang cuba mentafsirkan ayat-ayat tertentu berpandukan riwayat-riwayat Israiliyyat. Ayat-ayat Allah cuba dikaitkan dengannya. Walaupun tidak ada langsung keperluan mereka berbuat begitu untuk mentafsirkan ayat-ayat berkenaan. Sebagai contohnya lihat saja tafsiran mereka terhadap ayat 102 Surah al-Baqarah berikut:
Al-Baqarah 2:102
وَٱتَّبَعُوا۟ مَا تَتْلُوا۟ ٱلشَّيَٰطِينُ عَلَىٰ مُلْكِ سُلَيْمَٰنَۖ وَمَا كَفَرَ سُلَيْمَٰنُ وَلَٰكِنَّ ٱلشَّيَٰطِينَ كَفَرُوا۟ يُعَلِّمُونَ ٱلنَّاسَ ٱلسِّحْرَ وَمَآ أُنزِلَ عَلَى ٱلْمَلَكَيْنِ بِبَابِلَ هَٰرُوتَ وَمَٰرُوتَۚ وَمَا يُعَلِّمَانِ مِنْ أَحَدٍ حَتَّىٰ يَقُولَآ إِنَّمَا نَحْنُ فِتْنَةٌ فَلَا تَكْفُرْۖ فَيَتَعَلَّمُونَ مِنْهُمَا مَا يُفَرِّقُونَ بِهِۦ بَيْنَ ٱلْمَرْءِ وَزَوْجِهِۦۚ وَمَا هُم بِضَآرِّينَ بِهِۦ مِنْ أَحَدٍ إِلَّا بِإِذْنِ ٱللَّهِۚ وَيَتَعَلَّمُونَ مَا يَضُرُّهُمْ وَلَا يَنفَعُهُمْۚ وَلَقَدْ عَلِمُوا۟ لَمَنِ ٱشْتَرَىٰهُ مَا لَهُۥ فِى ٱلْءَاخِرَةِ مِنْ خَلَٰقٍۚ وَلَبِئْسَ مَا شَرَوْا۟ بِهِۦٓ أَنفُسَهُمْۚ لَوْ كَانُوا۟ يَعْلَمُونَ
Bermaksud: Dan mereka mengikuti apa yang dibaca oleh syaitan-syaitan pada masa kerajaan Sulaiman (dan mereka mengatakan bahawa Sulaiman itu mengerjakan sihir). padahal Sulaiman tidak kafir (tidak mengerjakan sihir), hanya syaitan-syaitan itulah yang kafir (mengerjakan sihir). Mereka mengajarkan sihir kepada manusia dan apa yang diturunkan kepada dua orang malaikat di negeri Babil iaitu Harut dan Marut, sedang keduanya tidak mengajarkan (sesuatu) kepada seorang pun sebelum mengatakan: "Sesungguhnya kami hanya cobaan (bagimu). sebab itu —janganlah kamu jadi kafir". Maka mereka mempelajari dari kedua mereka itu apa yang dengan sihir itu, mereka dapat menceraikan antara seorang (suami) dengan isterinya. Dan mereka itu (ahli sihir) tidak memberi mudharat dengan sihirnya kepada seorang pun kecuali dengan izin Allali. Mereka mempelajari sesuatu yang memberi mudharat. bukan memberi manfaat. Demi, sesungguhnya mereka telah meyakini bahawa sesiapa yang menukarnya (kitab Allah) dengan sihir itu, tiadalah baginya keuntungan di akhirat dan amat jahatlah perbuatan mereka menjual dirinya dengan sihir, kalau mereka mengetahui.
(al-Baqarah: 102).
Ayat ini dikaitkan oleh sekian ramai pentafsir dengan riwayat Israiliyat yang menyebutkan kisah Zuhrah dengan Harut dan Marut, dua orang malaikat yang kononnya telah diuji setelah menjadi manusia. Padahal firman Allah itu dapat di fahami dengan baik tanpa bantuan mana-mana rivs-ayat Israiliyyat pun. Kerana itulah Maulana Asyraf 'Ali Thanwi di dalam Tafsirnya menulis:
"Kisah Zuhrah sangat masyhur telah digunakan oleh ahli-ahli tafsir untuk mentafsirkan di atas. Padahal ia tidak tsabit dengan sanad yang mustabar. Orang-orang yang berpendapat ia bercanggah dengan qaedah-qaedah syariat menolaknya. Sementara orang-orang yang berpendapat ia tidak bercanggah dengan qaedah-qaedah syariat pula tidak menolaknya. Kita sekarang tidaklah hendak membincangkan sama ada ia sahih atau dhaif. Cuma sebagaimana sedia dima'lumi, riwayat-riwayat Israiliyyat tidak diperlukan untuk mentafsirkan ayat al-Qur'an. Dan memahami maksud ayat itu tidak terhenti dan tidak bergantung kepadanya."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan