Asas(usul) Tafsir 19(03).
Inilah tiga hadits yang mewakili tiga kelompok sabda Nabi s.a.w. berhubung dengan riwayat-riwayat Israiliyyat. Ia merupakan asas dalam bab ini. Sepintas lalu hadits-hadits itu kelihatan saling bertentangan. Hadits (1) nampak semacam membenarkan kita meriwayat riwayat-riwayat Israiliyyat secara mutlaq. Hadits (3) kelihatan melarang kita daripada menerimanya. Sementara hadits (2) pula tidak mengharuskan dan tidak juga melarang. Tetapi jika diteliti berdasarkan apa yang difahami para ulama' hadits, tidak adapun pertentangan antaranya.
Hadits (1) yang mengharuskan kita bercerita tentang sesuatu yang diambil daripada Bani Israil itu adalah yang dipastikan kebenarannya atau yang tidak diyakini dustanya, Adapun yang diketahui dan diyakini dustanya tentu sekali tidak akan dibenar oleh Rasulullah s.a.w. umatnya menyebarkannya. Kerana itu bererti menyebarkan dusta. Ia tidak bercanggah dengan hadits (2), kerana apa yang dimaksudkan oleh hadits (2) itu ialah jangan kamu membenarkan Ahlul Kitab dan jangan pula mendustakan mereka tentang apa yang tidak kamu tahu sama ada ia benar atau dusta. Sebaliknya ia boleh jadi benar dan boleh jadi juga dusta.
Inilah yang difahami al-Imam asy-Syafi'e berdasarkan apa yang dinukilkan oleh HafiZ Ibnu Hajar. Kata asy-Syafi'e, "Sedia dima'lumi bahawa Nabi s.a.w. tidak membenarkan berdusta. Jadi maksud hadits itu ialah berceritalah daripada Bani Israil sesuatu yang tidak kamu ketahui tentang dustanya. Adapun perkara yang di sisimu ia merupakan sesuatu yang harus (mungkin benar mungkin tidak), maka tidak mengapa menukilkannya daripada mereka. Tidaklah ia bermaksud mengizin atau melarang kita daripada bercerita tentang sesuatu yang diyakini kebenarannya." (Lihat Fathul Baari j.6 m/s 499).
Hafiz Ibnu Hajar, demikian juga al-Qasthallani ketika menghuraikan hadits:
لَا تًصَدِقُوا أَهْلَ الْكِتَابِ وَلَا تًكَذِّبُوهُمْ
(Jangan kamu benarkan Ahlul Kitab dan jangan pula kamu dustakan mereka) berkata, "'Maksudnya ialah apabila mereka menceritakan kepadamu tentang sesuatu yang ada kemungkinan benar dan dustanya. Supaya tidak berlaku pendustaan olehmu, padahal ia benar. Begitu juga sebaliknya jika kamu membenarkannya, padahal ia dusta. Kalau berlaku begitu, maka kamu bersalah."
(Lihat Fathul Baari j.8 m/s 170, Irsyadu as-Saarij. 10 m/s 25).
Selepas berkata begitu Hafiz lbnu Hajar menambah kata, "Tidak ada larangan Nabi s.a.w. (kepada kita umatnya) daripada mendustakan mereka pada perkara yang menyalahi syariat kita. Tidak ada juga larangan Baginda (kepada kita umatnya) daripada membenarkan mereka pada perkara yang bersesuaian dengan syariat kita, Asy-Syafi'e telah pun mengingatkan kita tentang perkara ini." (Lihat Fathul Baari j.8 m/s 170),
Hadits (3)Yang melarang umat Islam bercerita dan menukilkan sesuatu daripada Bani lsrail pula dipakai oleh segolongan 'ulama' hanya untuk zaman permulaan Islam sahaja, ketika mana syariat dan peraturan Islam belum lagi teguh dan kukuh. Tujuannya ialah supaya syariat Islam terpelihara daripada kekeliruan dan kecelaruan. Setelah ia kukuh dan teguh, tiada lagi larangan seperti itu. Ketika menghuraikan hadits: حَدِّثوا عن بني إسرائيل ولا حَرَج (Berceritalah daripada Bani Israil, tidak mengapa), Hafiz lbnu Hajar dan al-Qasthallani berkata: "Tidak mengapa kamu bercerita tentang sesuatu yang diambil daripada Bani Israil. Kerana larangan Nabi s.a.w. daripada menerima sesuatu daripada mereka dan membaca kitab-kitab mereka, itu semua adalah sebelum hukum-hukum dan peraturan-peraturan agama Islam mantap dan teguh, lantaran bimbang akan timbul fitnah (pada ketika itu). Setelah tiada lagi apa yang dibimbangkan itu, Baginda pun membenarkan mereka.” (Lihat Fathul Baari j.6 m/s 499, Irsyadu as-Saari j. 7 mls 414).
Apabila anda telah faham dengan baik hadits-hadits itu menurut apa yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh hadits tersebut, ia tidak lagi kelihatan bertentangan antara satu dengan yang Iain. Sekarang mari kita kembali kepada persoalan asal, iaitu apakah hukum menerima dan menyebarkan riwayat-riwayat Israiliyyat?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan