Selasa, Februari 07, 2023

Sunan Abu Daud Muqadimah6/2/23(05)

Sunan Abu Daud Muqadimah6/2/23(05)
Mazhab Imam Abu Daud:

Para `ulama’ berbeda pendapat tentang mazhab (fiqh) Imam Abu Daud. Bukan sahaja Imam Abu Daud, para muĥadditsīn agung yang lain juga sama, para `ulama’ juga 
berbeda pendapat tentang mazhab fiqh mereka. Masing-masing pengikut mazhab yang popular di kalangan umat menyenaraikan tokoh-tokoh besar hadits sabagai salah seorang tokoh mazhab mereka.
Di dalam Bustān al-Muĥadditsīn, Shah `Abdul `Aziz menulis, “Para `ulama’ berbeda pendapat tentang mazhabnya. Ada yang berkata beliau bermazhab Syafi`e, ada pula yang berusaha membuktikan beliau bermazhab Ĥambali.” 
Abu `Aashim al-`Abbādi dan Ibnu Bāthīsy pula membilang beliau sebagai seorangyang bermazhab Syafi`e. Pendapat mereka diikuti oleh segolongan `ulama’ yang datang 
kemudian seperti Tājuddīn as-Subki, Thāsy Kubra Zādeh dan Nawab Shiddīq Ĥasan Khan. Bagaimanapun pendapat mereka dibantah oleh ramai tokoh `ulama’ yang lain. 
Ad-Dāudi berkata, “Mereka tidak mengemukakan dalil yang menyokong pendapat mereka itu.”
Kebanyakan penulis biografi `ulama’, antaranya Abu Ishaq asy-Syīrāzi, al-Qādhi Abul Ĥusain bin Abi Ya`la al-Farrā’, menyenaraikan nama Imam Abu Daud dalam kelas 
pertama tokoh-tokoh mazhab Ĥambali. Imam adz-Dzahabi bahkan telah mengira beliau sebagai salah seorang murid terpilih Imam Ahmad. 
Al-Muĥaddits Mualana Muhammad Anwah Shah al-Kashmiri, Syeikhul Ĥadīts Maulana Zakariya dan lain-lain pula yakin beliau adalah salah seorang tokoh besar 
dalam mazhab Ĥambali.
Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah pernah ditanya tentang mazhab enam pengarang kitab-kitab utama hadits dan lain-lain tokoh hadits, adakah mereka mujtahid yang tidak
bertaqlid kepada sesiapa atau mereka juga muqallid? 
Jawab beliau: “Bukhari dan Abu Daud adalah dua orang imam mujtahid dalam fiqh. 
Muslim, Tirmidzi, Nasaa’i, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah, Abu Ya`la, al-Bazzaar dan lain-lain, semuanya bermazhab Ahlul Ĥadīts. Mereka tidak bertaqlid kepada mana-mana `ulama’ secara khusus, dan tidak juga mereka termasuk dalam mujtahid mutlaq. 
Mereka lebih cenderung kepada pendapat imam-imam hadits, seperti Syafi`e, Ahmad, Ishaq, Abu `Ubaid dan lain-lain.

Antara mereka ada yang pendapatnya lebih dekat dan lebih rapat dengan pendapat Imam Ahmad, seperti Abu Daud dan lain-lain. Pandangan mereka bagaimanapun lebih 
cenderung kepada aliran Ahlul Ĥijāz berbanding aliran-aliran Ahlul `Irāq, seperti Abu Hanifah dan ats-Tsauri.”
Seperti telah disebutkan sebelum ini, tokoh-tokoh `ulama’ hadits Deobandi lebih cenderung mengatakan Imam Abu Daud bermazhab Ĥambali. Kata mereka, dengan
meneliti tajuk-tajuk bab yang dibuat beliau dapat dikatakan secara putus bahawa beliau memang bermazhab Ĥambali.

Pada banyak tempat di dalam SunanNya Imam Abu Daud mentarjiĥkan hadits-hadits yang menyokong aliran (mazhab) Ahmad, padahal ada banyak juga hadits-hadits yang menyokong pandangan aliran-aliran lain. Antara contohnya:
(1) Beliau mengadakan tajuk bab begini
باب كَرَاهِيَةِ اسْتِقْبَالِ الْقِبْلَةِ عِنْدَ قَضَاءِ الْحَاجَةِ: 
tanpa menyebutkan di dalamnya واستدبارها .Sebabnya ialah membelakangi qiblat ketika qadha’ hajat menurut Imam Ahmad adalah harus secara mutlaq. Kemudian beliau mengadakan pula satu tajuk  bab begini باب الرُّخْصَةِ فِي ذَلِكَ
 (Bab Keharusan Membelakanginya)
 
(2)Beliau mengadakan tajuk bab berbunyiباب الْبَوْلِ قَائِمًا(Bab Kencing Sambil Berdiri
Lalu di bawahnya beliau kemukakan hadits Ĥudzaifah berikut:
حَدَّثَنَا حَفْصُ بْنُ عُمَرَ وَمُسْلِمُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ قَالاَ: حَدَّثَنَا شُعْبَةُ (ح) وَحَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ حَدَّثَنَا أَبُو عَوَانَةَ- وَهَذَا لَفْظُ حَفْصٍ- عَنْ سُلَيْمَانَ عَنْ أَبِي وَائِلٍ عَنْ حُذَيْفَةَ قَالَ: أَتَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُبَاطَةَ قَوْمٍ فَبَالَ قَائِمًا ثُمَّ دَعَا بِمَاءٍ فَمَسَحَ عَلَى خُفَّيْهِ. 
(Telah menceritakan kepada kami Hafsh bin Umar dan Muslim bin Ibrahim mereka berdua berkata; Telah menceritakan kepada kami Syu'bah. Dan menurut jalur yang lain; Telah menceritakan kepada kami Musaddad telah menceritakan kepada kami Abu 'Awanah dan ini adalah lafazh Hafsh dari Sulaiman dari Abu Wa`il dari Hudzaifah dia berkata; "Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah mendatangi tempat pembuangan sampah suatu kaum, lalu buang air kecil dengan berdiri, kemudian beliau meminta untuk didatangkan air, lalu beliau mengusap dua khufnya." Abu Dawud berkata; Musaddad berkata; Hudzaifah berkata; Lalu saya pergi menjauh dari beliau, namun beliau memanggil saya hingga saya berada di sisi tumitnya. )

ِSebabnya ialah menurut mazhab Imam Ahmad, kencing sambil berdiri itu harus secara mutlaq. Sedangkan menurut jumhur `ulama’, tanpa uzur kencing sambil berdiri itu 
makruh tanzīhi. Imam Abu Daud langsung tidak mengemukakan hadits-hadits yang menekankan supaya kencing sambil duduk, padahal hadits-hadits itu juga masyhur. Beliau sebaliknya mengemukakan hadits-hadits itu di tempat lain.

(3) Imam Abu Daud mengadakan tajuk bab berbunyi:باب في تَرْكِ الْوُضُوءِ مِمَّا مَسَّتِ النَّارُ (Bab Tidak Perlu Berwudhu’ Kerana Memakan Sesuatu Yang Dimasak Dengan Api). 
Kemudian beliau mengadakan باب التَّشْدِيدِ فِي ذَلِكَ (Bab Larangan Keras Terhadapnya)selepasnya. Maksud beliau ialah menyatakan kewajiban berwudhu’ selepas memakan sesuatu yang dimasak dengan api.

Melalui tajuk bab pertama Imam Abu Daud mengisyaratkan kepada kata-kata Jabir di bawah bab itu bahawa: 
.كَانَ آخِرَ الْأَمْرَيْنِ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَرْكُ الْوُضُوءِ مِمَّا غَيَّرَتْ النَّارُ 
(amal Rasulullah yang terakhir ialah tidak berwudhu’ kerana memakan sesuatu yang dimasak dengan api). Oleh kerana kata-kata Jabir itu dijadikan sebagai dalil oleh jumhur `ulama’ tentang mansukhnya hukum keperluan berwudhu’ selepas memakan sesuatu yang dimasak dengan api, dan ia merangkumi juga hukum berwudhu’ selepas memakan daging unta, maka Imam Abu Daud mengadakan selepasnya tajuk bab kedua tadi.

Tujuan beliau ialah menyatakan hukum meninggalkan (tidak perlu) berwudhu’ kerana memakan sesuatu yang dimasak dengan api itu tidak dimansukhkan dengan hadits Jabir tersebut, tetapi ia dimansukhkan oleh dalil-dalil yang lain.

(4) Tajuk bab باب في الْقَطْعِ فِي الْعَارِيَةِ إِذَا جُحِدَتْ
(Bab Tentang Hukum Potong Tangan Kerana 
Pinjaman Apabila Dinafikan), diadakan oleh Abu Daud untuk menyokong pendapat Imam Ahmad dalam masalah ini. Imam Ahmad berpendapat, pengkhianat juga (dalam
sesetengah kes) boleh dipotong tangan. Pendapatnya ini berbeza daripada pendapat jumhur `ulama’.
Sedangkan sebelum itu beliau (Imam Abu Daud) telah pun mengemukakan satu hadits di mana Rasulullah s.a.w. bqersabda: لَيْسَ عَلَى الْخَائِنِ قَطْعٌ
Bermaksud: Tiada hukum potong tangan terhadap pengkhianat. Hadits inilah yang menjadi pegangan jumhur `ulama’. 
(5) Beliau juga mengadakan tajuk bab ini: باب الْوُضُوءِ بِفَضْلِ وَضُوءِ الْمَرْأَةِ:( Bab Berwudhu Dengan Menggunakan Air Lebihan Wudhu’ Wanita). Selepas itu beliau mengadakan 
pula tajuk bab ini: باب النَّهْيِ عَنْ ذَلِكَ
(Bab Larangan Menggunanya). Tujuannya ialah 
memperkuatkan mazhab Imam Ahmad. 

Sebabnya ialah hanya Imam Ahmad dari kalangan imam empat mazhab berpendapat tidak harus lelaki mengguna air lebihan wanita berwudhu’. Bagi Imam Ahmad, air yang
telah dicelup oleh wanita untuk berwudhu’ atau mengangkat hadats sudah menjadi musta`mal untuk lelaki.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan