Selasa, Mac 30, 2021

Tafsir asas quran nota 9(297)18

Tafsir asas quran nota 9(297)18

Bukankah Jibril menurunkan al-Qur'an dalam bentuk ayat-ayat kepada Rasulullah s.a.w.? Nah! Itulah bukti ayat yang ditukar oleh Allah sebagai ganti kepada ayat yang
lain itu bermaksud ayat al-Qur'an, bukan mu'jizat atau syari'at nabi-nabi dan rasul-rasul yang lalu.

Bantahan Terhadap Dalil Kedua.
Dalil kedua ini dipertikaikan juga oleh golongan ketiga. Bagi mereka, tidak ada petunjuk jelas di dalam ayat 101 dan 102 Surah an-Nahl itu yang menunjukkan sesuatu ayat hukum apabila dimansukh oleh Allah, ia diganti dengan ayat hukum yang lain pula olehNya!

Di bawah ini dikemukakan beberapa alasan golongan ketiga dalam menolak pemahaman golongan kedua terhadap ayat berkenaan:
(a) Ketika membincangkan dalil pertama sebelum ini telah pun disebutkan bahawa perkataan آية  - di dalam al-Qur'an tidak semestinya dipakai dengan erti ayat al-Qur'an sahaja. Ia dengan erti ayat al-Qur'an adalah salah satu istilah yang baru diperkenalkan oleh Islam. Jika dilihat kepada penggunaan perkataan itu di dalam al-Qur'an, maka
lebih banyak lagi ia telah dipakai dengan erti-ertinya yang lain menurut bahasa 'Arab. Dan itulah merupakan ma'na-ma'na asalnya. Salah satunya ialah tanda kebesaran
Allah atau mu'jizat.

Perkataan آية  - telah digunakan sebanyak 86 kali di dalam al-Qur'an. yang dipertikaikan sama ada ia dipakai dengan erti ayat al-Qur'an atau lain-lain erti hanyalah dua ayat ini sahaja (ayat 106 Surah al-Baqarah dan ayat 101 Surah an-Nahl ini). Adapun yang lain-lain semuanya disepakati tentang ia sememangnya telah dipakai dengan erti (الآية الكونية) atau tanda-tanda kebesaran Allah pada alam semesta. Termasuk juga di dalamnya mu'jizat-mu'jizat yang diberikan oleh Allah kepada nabi-nabi dan rasul-rasulNya.

(b) Silap sekali mengatakan bahawa apabila Allah berfirman di dalam ayat 101-102 itu yang bermaksud "Allah memang mengetahui akan apa yang Dia turunkan", dan Ruhul Qudus (Jibril) pula yang menurunkannya, maka tentulah yang diturunkan oleh Allah itu berupa ayat-ayat al- Qur'an. Kerana Jibril hanya menurunkan ayat-ayat al-Qur'an sahaja kepada Nabi s.a.w.

297

Tiada ulasan:

Catat Ulasan