Rabu, April 20, 2022

Sahih bukhari kitab ilmu 0045-0055 16/4/22 5

Sahih bukhari kitab ilmu 0045-0055 16/4/22 5

³¹ Setelah Imam Bukhāri memberitahu tentang طرق التَحَمُّلْ  atau cara penerimaan ĥadīts, beliau ingin memberitahu pula tentang kepelbagaian cara penyampaian ĥadīts atau ْطُرُق ألأَدَاء  ,

yang pertama ialah قراءة (bacaan) iaitu murid membaca di hadapan guru dan apabila ia ingin menyampaikannya kepada muridnya pula, murid itu akan menggunakan lafaz akhbarana, bukan ĥaddatsana. 

Yang kedua pula ialah al-`Ardhu.

-turuq(cara ) itu ada asalnya yakni dari sahabat dan tabiin
dan meluas dizaman tabiin.

Ia adalah satu perkataan yang mengandungi beberapa istilah: 
(1) Murid membaca apa yang telah dibacakan guru, tetapi tidak dalam bentuk riwayat. 
- bukan dalam majlis khusus

(2) Guru mempunyai kitab yang dikarangnya, murid menggunakan kitab itu dan membacanya di hadapan 
gurunya tadi. 

(3) Guru menulis sesuatu ĥadīts (hanya sehelai kertas misalnya) kemudian murid membacanya di hadapan gurunya itu. 

(4) Murid menyalin buku gurunya dan membaca apa yang 
disalinnya itu di hadapan gurunya. Perbezaan Bacaan dan `Ardhu ialah bacaan tidak semestinya apa yang ditulis oleh guru itu sendiri, boleh jadi hasil tulisan orang lain, `ardhu pula dimestikan tulisan yang dibaca murid adalah karangan guru yang dibaca di hadapannya itu. Faedahnya ialah selain daripada menerima ĥadīts, ia juga merupakan pengesahan terhadap apa yang ditulis gurunya itu bahawa ia adalah betul-betul seperti yang dikehendakinya.

Penggunaan istilah-istilah begini biasanya terdapat di dalam kitab-kitab ĥadīts yang lain, tetapi Imam Bukhāri menganggap kedua-dua istilah itu sama sahaja dan boleh 
saja digunakan ĥaddatsana untuk semuanya. 

Ini dibuktikan melalui riwayat pada tajuk bab dan riwayat kedua bab iaitu riwayat Dhimām bin Tsa`labah yang menanyakan Nabi s.a.w. tentang beberapa perkara yang telah disampaikan oleh utusan Nabi s.a.w., lalu Baginda hanya mengiyakannya sahaja, kemudian beliau memberitahu kaumnya bahawa Nabi s.a.w. telah memerintahkan perkara tadi padahal Baginda hanya mengiyakan sahaja apa yang ditanya olehnya. 

Ia menunjukkan bahawa maklumat yang diperolehi melalui apa-apa saluran tentang sabdaan Nabi s.a.w. yang 
disahkan oleh Baginda sendiri sebenarnya sudah boleh dikira sebagai sabdaan Nabi s.a.w. dan boleh diriwayatkan dengan berkata حدثنا, أخبرنا dan sebagainya.

³² Maksud sesetengah mereka (`ulama’) di sini ialah guru Imam Bukhāri yang bernama al-Ĥumaidi. Beliau telah menyebutnya di dalam Kitab an-Nawādirnya. 
Hafizh Ibnu Hajar berkata, di dalam Muqaddimah (Hadyu as-Sāri) saya telah mengatakan ia adalah al-Ĥumaidi. Tetapi sekarang saya berpendapat ia adalah Abu Sa`id al-Ĥaddād. Sebab Al-Baihaqi di dalam Ma`rifatu as-Sunan Wa al-Aatsār mengemukakan satu riwayat daripada Ibnu Khuzaimah bahawa beliau berkata, “Aku telah mendengar Muhammad bin Isma`il al-Bukhari berkata, “Kata Abu Sa`id al-Ĥaddād: “Saya mempunyai hadits daripada Nabi s.a.w. berhubung dengan(keharusan) membaca di hadapan orang `alim.” Apabila beliau ditanya, maka beliau berkata, “Ia adalah kisah Dhimām bin Tsa`labah yang bertanya: “Adakah Allah telah menyuruhmu melakukan perkara ini?” Jawab Nabi s.a.w.: “Ya.”


³³ Imam Bukhāri sebenarnya mahu menolak pendapat orang yang tidak mengira sebagai riwayat yang mu`tabar melainkan apa yang didengar daripada lafaz guru sendiri, maksudnya ialah tidak dikira mu`tabar apa yang dibaca di hadapan guru. 
Riwayat Dhimām ini membuktikan bahawa bacaan murid di hadapan guru yang hanya mengiyakan sahaja itu mu`tabar, kerana kaumnya menerima apa yang diriwayatkannya itu.


³⁴ Perkataan shak (صك )berpunca daripada bahasa Farsi (چک) kemudian ia dijadikan bahasa `Arab. Perkataan check dalam Bahasa Inggeris dan cek dalam Bahasa Melayu
juga datang dari punca yang sama. Ia pada asalnya adalah surat rasmi atau dokumen yang diperakui oleh pihak-pihak tertentu untuk sesuatu akad, mengandungi ma`lumat
tentang orang yang melakukan akad, jenis akad, perjanjian, pengakuan atau kesaksian orang-orang yang berkaitan, dengan menurunkan tandatangan masing-masing pada 
surat rasmi berkenaan. Apabila timbul sesuatu masalah dan surat itu dikemukakan kepada mahkamah, hakim akan membacakan kandungannya di hadapan orang ramai 
dan menanyakan kepada penama yang disertakan di dalamnya: “Adakah benar dia telah menjadikan kamu sebagai saksi?” sebagai contohnya. Pertanyaan itu boleh saja dijawab dengan mengiyakannya.

Bagi Imam Mālik, kalau surat kesaksian yang begitu penting pun boleh digunakan cara `ardhu dengan dibacakan sesuatu kenyataan, kemudian diperakui dan disahkan
oleh tuan punya kenyataan, maka tentulah cara `ardhu ini lebih-lebih lagi boleh digunakan dalam periwayatan.

Bagi Imam Mālik, kalau menisbahkan kesaksian kepada orang yang tidak melafazkan kesaksian itu pun dibolehkan, maka tentunya menisbahkan taĥdīts kepada guru yang 
dibaca di hadapannya itu juga boleh kerana kesaksian lebih tinggi darjatnya daripada periwayatan ĥadīts.

³⁵ Hujjah kedua Imam Mālik ialah sahnya pembelajaran qira’at dengan hanya murid yang menjadi pembaca dan guru mengiyakan dengan hanya menegur ketika terdapat 
kesilapan. Kalau al-Qur’ān pun boleh dipelajari dengan cara ini, maka ĥadīts tentunya tidak ada masalah sekiranya disampaikan dengan cara ini.
Kalau boleh dinisbahkan guru yang tidak membaca kesemua al-Qur’ān di hadapan muridnya itu sebagai pengajarnya, tentu guru yang tidak membaca semua lafaz ĥadīts di hadapan muridnya juga boleh diterima sebagai guru, kerana al-Qur’ān lebih tinggi darjatnya daripada ĥadīts.

³⁶ Imam Bukhāri menyebutkan pendapat al-Ĥasan al-Bashri di sini kerana menurut beliau tidak boleh diriwayatkan ĥadīts berdasarkan ma`nanya. Syarat penerimaan ĥadīts di sisinya lebih ketat berbanding orang-orang lain, namun beliau juga menerima periwayatan dengan cara bacaan (di hadapan guru) ini.

³⁷ Kadang-kadang lebih baik pelajar membaca di hadapan orang `alim (guru muhaddits) berbanding guru sendiri yang membaca, kerana boleh jadi guru yang membaca itu tersilap, tetapi tidak ditegur oleh murid. Dalam keadaan murid yang membaca pula, kedua-dua pihak akan lebih memberikan perhatian.Anak murid Imam Mālik, Mutharrif berkata: “Aku menjadi murid Imam Mālik selama 17 tahun, selama pengajianku aku hanya melihat murid yang membaca di hadapan beliau.” Mutharrif berkata lagi: “Imam Mālik tidak suka orang yang membeza-bezakan antara bacaan guru dan bacaan murid.” Begitulah juga Imam Bukhāri, beliau mengemukakan beberapa pendapat `ulama’ lain yang telah diterima untuk menyokong pendapat beliau yang mungkin agak ganjil kepada sesetengah 
orang.Maulana Muhammad Anwar Syah al-Kasymiri berkata: “Di kalangan anak murid  Imam Mālik hanya Imam Muĥammad (bin Ĥasan as-Syaibāni) yang mendapat 
keistimewaan Imam Mālik menjadi guru yang membaca.”

³⁸ Tanpa perlu disebut dengan istilah yang berbeza iaitu akhbarani. Kalau seorang qari yang mengajar itu boleh dikatakan untuknya aqra’ani (أقرأني ,)maka pengajar 
ĥadīts juga boleh dikatakan ĥaddatsani (حدثني.)

³⁹ Inilah pendapat Imam Mālik, Sufyān ats-Tsauri, satu pendapat dari Abu Ĥanīfah menurut satu riwayat, Sufyān bin `Uyainah, Ĥumaidi, Zuhri, `Ali Ibnu al-Madīni dan 
Imam Bukhāri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan